Author name: jksm_admin

Program Jabatan

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN DALAM BIDANG KEHAKIMAN SYARIAH ANTARA JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA DAN KERAJAAN BRUNEI DARUSSALAM SEMPENA RUNDINGAN PEMIMPIN TAHUNAN (ALC24)

PUTRAJAYA | – Pada hari ini, satu sejarah telah dicatatkan apabila Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Kerajaan Negara Brunei Darussalam menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kehakiman Syariah. Majlis penting ini telah berlangsung di Protocol Hall, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya dan disaksikan oleh pemimpin tertinggi dari kedua-dua negara sempena Rundingan Pemimpin Tahunan (Annual Leaders Consultation – ALC24). MoU ini ditandatangani oleh YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, mewakili Malaysia, manakala pihak Negara Brunei Darussalam pula diwakili oleh Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat / Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim Bin Haji Besar. YAB Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izuddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyaksikan majlis menandatangani MoU ini. Hadir bersama adalah YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) selaku Menteri Pengiring kepada KDYMM Sultan Brunei Darussalam sepanjang ALC24 ini berlangsung. Turut hadir pegawai dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, YA Dato’ Mohamad Shakir Bin Abdul Hamid, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM dan Tuan Haji Nassir bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM. Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC24) adalah acara tahunan yang diadakan antara Malaysia dan Brunei, di mana pemimpin dari kedua-dua negara berkumpul untuk membincangkan isu-isu bilateral, serantau dan global serta mengukuhkan hubungan dua hala. Pada kali ini, acara tersebut telah menyaksikan penandatanganan MoU dari pelbagai kementerian dan jabatan termasuk dalam bidang kehakiman Syariah sebagai langkah ke hadapan dalam kerjasama kedua-dua negara di arena kehakiman Syariah. MoU ini bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama di antara Malaysia dan Brunei dalam bidang kehakiman Syariah dan pentadbiran undang-undang Islam. Ia diharapkan akan membuka jalan bagi pertukaran pengetahuan dan pengalaman antara kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran semasa dan memajukan sistem kehakiman Syariah untuk manfaat bersama. MoU ini adalah satu langkah penting untuk mempereratkan hubungan dua hala dalam bidang kehakiman Syariah dan ia akan memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat Islam kedua-dua negara. Dengan penandatanganan MoU ini, Malaysia dan Brunei kini berkomitmen untuk bekerjasama dalam usaha meningkatkan kefahaman dan pelaksanaan undang-undang Islam serta memajukan sistem kehakiman Syariah bagi kesejahteraan masyarakat Islam secara amnya. Untuk rekod, kesepakatan menandatangani MoU ini merupakan usaha berterusan hasil cetusan idea YBM (HEA) sewaktu beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie JKSM. Beliau juga bertanggungjawab membentangkan Memorandum bagi mendapat pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri. Foto : Kementerian Luar Negeri Berita : Bahagian Dasar & Penyelidikan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia

Program Jabatan

LAWATAN TAPAK OLEH YA DATO’ MOHD AMRAN BIN MAT ZAIN KE PROJEK MAHKAMAH SYARIAH DAERAH PAPAR, SABAH

13 Februari 2023 | Susulan dari kelewatan pelaksanaan projek ini sebanyak -2.47% bersamaan 16 hari untuk kerja-kerja awalan tanah, YA Dato’ Mohd Amran bin Mat Zain telah mengadakan lawatan ke tapak bagi memantau dengan lebih dekat dan mengenalpasti isu dan masalah yang dihadapi oleh pihak kontraktor. Bintang Kejora Sdn Bhd selaku kontraktor utama yang dilantik telah membentangkan perancangan mereka untuk menghadapi masalah di tapak dan tindakan yang telah diambil bagi mempercepatkan pelaksanaan projek ini seperti mana jadual dan tempoh masa yang ditetapkan. Sementara itu, JKSM akan mengambil beberapa inisiatif untuk membantu pihak JKR Sabah selaku Pegawai Penguasa (SO) dan pihak kontraktor dalam mengatasi pencerobohan tapak yang sepatutnya tidak berlaku selepas tapak ini diwartakan oleh Kerajaan Negeri Sabah. Turut hadir dalam sesi lawatan ini YAA Datuk Ahmad Din bin OKK Othman, Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah, Tuan Haji Nassir bin Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM, Puan Azlina binti Abdul Aziz, Pengarah Kanan (Pengurusan) JKSM dan Puan Surayah binti Ramlee, Ketua Pendaftar JKSN Sabah.

Program Jabatan

PERSIDANGAN KETUA HAKIM SYARIE SELURUH MALAYSIA KALI KE-78 BIL.1 TAHUN 2023

29 2023 (Rabu)-_ Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan Persidangan Ketua Hakim Syarie Seluruh Malaysia Kali Ke-78 Bil.1 Tahun 2023 pada 28 dan 29 Mac 2023 secara dalam talian melalui aplikasi _Google Meet._ Persidangan ini telah dihadiri oleh YA Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, YAA Ketua-ketua Hakim Syarie JKSN/MSN, YBrs. Tuan Ketua Pendaftar JKSM, Pengarah Kanan Pengurusan, Pengarah Kanan Kehakiman serta Pengarah-pengarah Bahagian JKSM dan urusetia seramai lebih kurang 38 orang. Persidangan selama 2 hari ini telah dimulai dengan Persidangan Ketua Hakim Syarie Seluruh Malaysia pada 28 Mac 2023 yang dipengerusikan oleh YA Dato’ Haji Mohd Shukor bin Sabudin. Persidangan diteruskan pada 29 Mac 2023 dengan Taklimat Perolehan Rekod Persendirian Penjawat Tinggi Awam yang dimulai dengan ucapan aluan dari Dato’ Jaafar Sidek bin Haji Abdul Rahman, Ketua Pengarah ARKIB Negara Malaysia dan taklimat disampaikan oleh Tuan Haji Zaidin bin Mohd Nor, Timbalan Ketua Pengarah Seksyen Perancangan dan Pengurusan, ARKIB Negara Malaysia. Taklimat ini memberi penerangan berkenaan tatacara pengumpulan dan penyimpanan rekod penjawat tinggi awam. Seterusnya pembentangan diteruskan oleh pihak MAMPU berkenaan My GDX: Platform Perkongsian Data oleh Pn Azlina binti Ali Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kerajaan Digital, MAMPU dan Taklimat Dasar Perkongsian Data Sektor Awam olen Pn. Novolin Jou, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kerajaan Digital MAMPU. Taklimat ini memberi kefahaman berkenaan dengan platform perkongsian data yang komprehensif melalui MyGDX bagi membolehkan perkongsian data merentas agensi dapat dilaksanakan dengan mudah dan selamat. Persidangan ini ditangguhkan pada jam 12.00 tengah hari. Disediakan oleh: Seksyen Keurussetiaan, BPKR

Program Jabatan

PERSIDANGAN KETUA PENDAFTAR NIKAH CERAI DAN RUJU’ DAN KETUA PENDAFTAR JKSN/MSN SELURUH MALAYSIA KALI KE-11 TAHUN 2023

19 Jun 2023 (Isnin)- Persidangan KPNCR dan Ketua Pendaftar JKSN/MSN merupakan program yang mengumpulkan Ketua-ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju’ bersama Ketua-ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia bagi membincangkan isu-isu berbangkit melibatkan kedua-dua agensi pelaksana ini. Persidangan pada kali ini telah diadakan di H Elite Design Hotel, Kota Bharu Kelantan yang disertai oleh seramai lebih kurang 40 orang peserta dan urus setia dan telah dipengerusikan secara bersama oleh Tuan Haji Ruslan bin Said, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM dan Tuan Haji Nassir bin Haji Abd Aziz, Ketua Pendaftar JKSM. Satu kertas pembentangan berkaitan hal ehwal kebenaran pernikahan menggunakan wali raja/hakim telah dibentangkan oleh Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz, Pengarah BPKR, JKSM. Persidangan ini akan diteruskan dengan lawatan kerja dan diskusi isu pernikahan yang berlawanan dengan Akta/Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Nikah Sindiket) warganegara Malaysia di Selatan Thailand bersama Majlis Agama Islam di 5 Wilayah Selatan Thailand bermula pada 20 hingga 23 Mei 2023. Disediakan oleh: Seksyen Keurussetiaan BPKR JKSM

Program Jabatan

PERSIDANGAN KEHAKIMAN DAN PERUNDANGAN SYARIAH NUSANTARA (PKPSN) 2023

KUALA LUMPUR| Bahagian Pendaftaran, Keurussetian & Rekod (BPKR), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan *Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara (PKPSN) 2023* pada 18 hingga 20 September 2023 di Hotel Pacific Regency Suites, Kuala Lumpur. Persidangan ini telah dihadiri oleh YAA Ketua Hakim Syarie, Dato’ Haji Mohd Amran bin Mohd Zain, YA Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, YAA Ketua-ketua Hakim Syarie JKSN/MSN, YA Hakim- hakim Mahkamah Rayuan Syariah Seluruh Malaysia serta Ketua Hakim dan wakil delegasi dari Negara Nusantara iaitu Brunei dan Republik Indonesia. Persidangan selama 3 hari ini telah diisi dengan Pembentangan Kertas Kerja oleh wakil- wakil negara Nusantara berhubung Bidangkuasa dan Pentadbiran Kehakiman di ketiga-tiga Negara. Objektif persidangan pada kali ini adalah JKSM berhasrat untuk menubuhkan Sekretariat Perundangan dan Kehakiman Syariah Nusantara di kalangan negara anggota, membincangkan isu-isu kekeluargaan Islam, pentadbiran kehakiman Syariah dan jenayah Syariah serantau dalam membentuk suatu kesepakatan bersama yang bergerak atas dasar Syarak, Secara khususnya, negara-negara nusantara dan negeri-negeri secara amnya akan dapat menyediakan platform kepada institusi tertinggi kehakiman syariah untuk bertukar-tukar fikiran dan mencari jalan untuk memperkasakan Mahkamah Rayuan Syariah, memperkasa kompentensi dan wibawa institusi rayuan Mahkamah Syariah, menjadi nukleus penting kepada penubuhan Majlis Perundangan dan Kehakiman Syariah Nusantara (MPKSN) dan mengangkat darjat kehakiman dan perundangan Syariah dalam menjalin hubungan kerjasama bagi menjamin kelestarian hubungan kemanusiaan dalam kalangan negara nusantara. Persidangan selama 3 hari ini telah diisi dengan Pembentangan Kertas Kerja oleh wakil- wakil negara Nusantara berhubung Bidangkuasa dan Pentadbiran Kehakiman di ketiga-tiga Negara. Selain itu, persidangan pada kali ini juga turut mengambil peluang dengan mengadakan mesyuarat Penubuhan Sekretariat Kehakiman Syariah Nusantara yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM dan dihadiri oleh YAA. Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syarie Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Prof. Dr. Drs. H. Amran Suadi, S.H., M.Hum., M.M., Ketua Kamar Agama Mahkamah Agung Republik Indonesia dan Ketua-ketua Hakim Syarie Negeri Seluruh Malaysia. Persidangan ini juga turut diserikan dengan majlis makan malam di Menara Kuala Lumpur bagi meraikan semua peserta PKPSN khususnya delegasi dari Negara-negara Nusantara. Sebagai penutup persidangan pada kali ini telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Mokhtar melalui pembacaan teks yang disampaikan oleh YAA Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM. Disediakan oleh: Seksyen Keurusetiaan, BPKR

Program Jabatan

BENGKEL JADUAL PELUPUSAN REKOD URUSAN FUNGSIAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH SARAWAK

14 Februari 2023| Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah mengadakan Bengkel Jadual Pelupusan Rekod Urusan Fungsian bertempat di Hotel Merdeka Palace Kuching. Bengkel ini bertujuan untuk membincangkan Jadual Pelupusan Rekod Urusan Fungsian khusus bagi JKSS selaras dengan keperluan Ordinan dan undang-undang yang berkuatkuasa di negeri Sarawak. Antara objektif bengkel tersebut ialah:- 1. Memastikan rekod yang bernilai sementara dapat dimusnahkan dengan segera manakala rekod yang bernilai kekal dipindahkan ke Pustaka Negeri Sarawak untuk simpanan kekal. 2. Meningkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran menerusi pelupusan rekod secara efisien dan sistematik, menjimatkan perbelanjaan pengurusan sesebuah penjawat awam. 3. Mematuhi keperluan perundangan dengan mengenal pasti serta memisahkan bahan-bahan rekod yang berpotensi untuk dijadikan bahan rujukan dan penyelidikan pada masa akan datang. Bengkel ini turut disertai oleh Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sarawak iaitu Yang Amat Arif Datu Haji Awg. Suhaili bin Ledi, Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sarawak iaitu Yang Arif Tuan Abdul Karim bin Haji Mohd Nuli, pegawai dan kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sarawak dan wakil JKSM iaitu Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz (Pengarah BPKR), Puan Sofian binti Ahmad (KPP Seksyen Rekod BPKR) dan Puan Hasmaniza binti Ainullah (Wakil BTMK), serta wakil daripada Pustaka Sarawak iaitu Puan Jeysi Halmi dan En Amrul Nasri Mohammed (Pustakawan).

Program Jabatan

KUNJUNG HORMAT HAKIM RAYUAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA DAN KETUA HAKIM SYARIE MAHKAMAH SYARIAH NEGERI MELAKA KEPADA MUFTI KERAJAAN NEGERI MELAKA

5 April 2023 | Rabu – Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka telah mengadakan Kunjung hormat ke atas Sahibus Samahah Datuk Wira Hj. Abdul Halim bin Tawil Mufti Kerajaan Negeri Melaka. Kunjung hormat tersebut telah di adakan di Pejabat Mufti Negeri Melaka. Delegasi JKSM diketuai oleh YA Dato’Haji Mohd Amran bin Mat Zain Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM bersama dengan YAA Datuk Mohd Nadzri bin Abdul Rahman Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka. Tujuan kunjung hormat diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan seterusnya membincangkan berkaitan cadangan perlantikan Hakim wanita bagi Mahkamah Rayuan Syariah di negeri Melaka. Sahibus Samahah memaklumkan berkaitan fatwa yang telah diputuskan sebelum ini dan keputusan MKI yang mengharuskan perlantikan hakim Syarie wanita. Selain itu,kedua-dua membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan perundangan dan kehakiman syariah. Turut hadir sama YA Datuk Haji Mohd Radzi bin Abd Latif Hakim Rayuan Syariah JKSM, Sahibus Fadilah Haji Hazarudin bin Haji Baharudin Timbalan Mufti Melaka, Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz Pengarah BPKR, Tuan Mohammad Zulkhairi bin Aziz Ketua Pendaftar MSNM dan Tuan Mohd Saifuddin bin Othman Pegawai Penyelidik Kanan MSNM juga beberapa pegawai daripada Jabatan Mufti Negeri Melaka.

Program Jabatan

LAWATAN KERJA KE INSTITUT LATIHAN DAN KEFAHAMAN ISLAM ANGKATAN TENTERA MALAYSIA – ILMI ATM, PORT DICKSON, NEGERI SEMBILAN UNTUK KURSUS PROFESIONAL SULH MEDIASI {USIM-JKSM) DAN OUTREACH SULH

23 Mei 2023 | Delegasi Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang diketuai oleh Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz Pengarah Bahagian Pendaftaran Keurussetiaan dan Rekod hari ini telah mengadakan Lawatan Kerja ke Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia – ILMI ATM, Port Dickson, Negeri Sembilan. Ketibaan delegasi JKSM telah disambut sendiri oleh YBrs. Lt Kol Ismail bin Wahab (Komandan Institut Latihan dan Kefahaman Islam ATM) bersama YBrs. Lt Kol Mohd Nizar Zahrin bin Zakaria serta beberapa anggota KAGAT yang lain. Lawatan kerja ini diadakan bagi membincangkan dua Program Kerjasama yang antara JKSM dengan KAGAT yang akan diadakan pada tahun ini iaitu Outreach (OR) Sulh dan Kursus Kemahiran Profesional Sulh-Mediasi yang akan dibuat oleh JKSM dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan KAGAT. Sehubungan dengan itu lawatan dan perbincangan ini diharapkan dapat melancarkan program yang akan dilaksanakan. Delegasi JKSM telah dibawa meninjau fasiliti di sekitar Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia – ILMI yang akan digunakan sepanjang program berlansung. Turut hadir sewaktu kunjungan tersebut adalah Puan Neney Shuhaidah binti Shamsuddin (Pengarah Bahagian Latihan JKSM), YBrs Dr Hendun binti Abd Rahman Shah (Fellow /Pensyarah Fakulti Syariah Undang-Undang USIM, Puan Norul Aina binti Bahari (Penolong Pengarah Kanan Seksyen Sulh JKSM) serta Pn Juhaida binti Omar (Penolong Pegawai Syariah Seksyen Sulh JKSM.

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

[language-switcher]

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.