Program Jabatan

01
Program Jabatan

WEBINAR INTENSIF DAURAH MUKATTHAFAH NUSŪS FIQHIYYAH SYAR’IYYAH (MUGHNI AL-MUHTĀJ) LIL IMĀM KHATIB AL-SYIRBINĪ SIRI 1/2023

KHAMIS, 16 Februari 2023 – Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sentiasa istiqamah dalam rencananya memperkasakan kemahiran pembacaan dan pemahaman kitab-kitab turath dalam kalangan Pegawai Syariah melalui program-program yang dirangka dan dilaksanakan. Selari dengan aspirasi tersebut, Bahagian Latihan pada tahun ini, meneruskan siaran program Pengajian Turath Webinar Daurah Mukatthafah Nusūs Fiqhiyyah Syariyyah (Mughni al-Muhtāj) Lil Imām Khatib al-Syirbinī dengan sasaran peserta adalah terbuka kepada semua peringkat Pegawai Syariah seluruh Malaysia. Program yang diadakan ini bertujuan memenuhi matlamat Daurah iaitu pada memastikan kefahaman peserta terus diperteguhkan dengan prinsip fiqh mazhab syafie, perbahasan dan pandangan yang berpaksikan ulama mazhab tersebut yang terkandung dalam teks klasik Mughni al-Muhtaj. . Program dimulakan dengan ucapan aluan yang disampaikan oleh Puan Nenney Shuhaidah binti Shamsuddin, Pengarah Bahagian Latihan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang menyatakan komitmen di pihak bahagian untuk melaksanakan program latihan yang dapat melahirkan Pegawai-pegawai Syariah yang berkeupayaan membaca dan memahami turath Islami teruatamanya dalam parameter kehakiman dan perundangan Islam. . Daurah Siri 1 Tahun 2023 menampilkan panel penceramah pakar turath JKSM iaitu Al-Fadhil Tuan Haji Yusof bin Mohamad Al-Hafiz dengan Hibah dan Mutaah menjadi induk kupasan. Di bawah topik Hibah, penceramah telah memfokuskan tentang syarat dan rukun serta kupasan isu-isu berkaitan ijab dan qabul seperti kedudukan hukum pemberian hibah secara lafaz kinayah, pemberian kepada kanak-kanak, orang bisu dan lain-lain lagi. Dalam konteks Mutaah pula, diskusi tentang kadar pemberian Mutaah serta kedudukan hukum pemberian mutaah apabila pasangan bercerai dalam keadaan isteri belum disetubuhi turut disentuh, serta kupasan-kupasan menarik lain yang disesuaikan dengan konteks terkini. . Program Webinar Intensif Daurah Mukatthafah Nusūs Fiqhiyyah Syar’iyyah (Mughni al-Muhtāj) Lil Imām Khatib al-Syirbini Siri 1/2023 ini bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada 12.30 tengah hari serta dijangka akan bersiaran buat kali kedua pada tahun ini iaitu pada 14 April 2023 (Jumaat). Jumpa lagi di siri yang ke-2, insya Allah.

01
Program Jabatan

YAA KETUA HAKIM SYARIE MENINJAU KAWASAN BENCANA BANJIR DAN SANTUNI MANGSA DI PASIR PUTIH

| Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), YAA Dato’ Hj Mohd Amran bin Mat Zain, petang ini menerima kunjungan hormat daripada YAA Ketua Hakim Syarie Negeri Terengganu, YAA Tuan Haji Rosdi bin Harun di ibu pejabat JKSM. Kunjungan ini merupakan lawatan rasmi pertama YAA Tuan Haji Rosdi ke JKSM selepas pelantikannya sebagai Ketua Hakim Syarie Negeri Terengganu pada 21 Februari 2025. Beliau hadir bersama delegasi yang terdiri daripada YA Haji Kamalruazmi bin Ismail, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu dan YA Haji Hamidi bin Shafie, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu. Pertemuan ini bertujuan memperkukuh hubungan antara institusi kehakiman syariah peringkat negeri dan persekutuan serta membincangkan agenda penting berkaitan pembangunan sistem perundangan syariah di Malaysia. Dalam sesi perbincangan, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pelbagai aspek termasuk pemerkasaan Mahkamah Syariah, penambahbaikan sistem penyampaian keadilan, serta usaha pembangunan modal insan dalam kalangan hakim dan pegawai kehakiman syariah. YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM menyambut baik pelantikan YAA Tuan Haji Rosdi bin Harun dan menzahirkan harapan agar kerjasama erat antara JKSM dan Mahkamah Syariah Negeri Terengganu terus diperkukuhkan demi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan institusi kehakiman syariah. Kunjungan hormat ini diakhiri dengan sesi bergambar dan pemberian cenderahati sebagai tanda penghargaan serta simbol jalinan erat antara JKSM dan Mahkamah Syariah Negeri Terengganu. Dengan pertemuan ini, diharapkan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak akan terus diperkukuhkan dalam usaha memperkasakan sistem kehakiman syariah di Malaysia.

01
Program Jabatan

WEBINAR INTENSIF DAURAH MUKATTHAFAH NUSŪS FIQHIYYAH SYAR’IYYAH (MUGHNI AL-MUHTĀJ) LIL IMĀM KHATIB AL-SYIRBINĪ SIRI 3/2023

JUMAAT, 23 Jun 2023 – Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sentiasa istiqamah dalam rencananya memperkasakan kemahiran pembacaan dan pemahaman kitab-kitab turath dalam kalangan Pegawai Syariah melalui program-program yang dirangka dan dilaksanakan. Selari dengan aspirasi tersebut, Bahagian Latihan pada tahun ini, meneruskan siaran program Pengajian Turath Webinar Daurah Mukatthafah Nusūs Fiqhiyyah Syariyyah (Mughni al-Muhtāj) Lil Imām Khatib al-Syirbinī dengan sasaran peserta adalah terbuka kepada semua peringkat Pegawai Syariah seluruh Malaysia. Program yang diadakan ini bertujuan memenuhi matlamat Daurah iaitu pada memastikan kefahaman peserta terus diperteguhkan dengan prinsip fiqh mazhab syafie, perbahasan dan pandangan yang berpaksikan ulama mazhab tersebut yang terkandung dalam teks klasik Mughni al-Muhtaj. Walaubagaimanapun, Daurah Siri ke-3 pada kali ini telah dibahagikan kepada dua segmen iaitu slot sebelah pagi memfokuskan kepada Bab al-Qada’ dalam Kitab Mughniyy al-Muhtaj, manakala selepas rehat perbincangan beralih kepada Kitab Furu’ al-Masa’il Wa Usul al-Wasa’il dalam Bab al-Talaq (Masalah-Masalah Fiqh Terpilih daripada Bab al-Talaq) karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani transliterasi oleh Kumpulan Penterjemah dan Pengubah Aksara Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Daurah Siri ke-3 Tahun 2023 menampilkan panel penceramah pakar turath JKSM iaitu Al-Fadhil Tuan Nabil bin Dato’ Haji Muhammad Shukri. Di bawah Bab al-Qada’, penceramah telah membincangkan perihal tatakelola kehakiman Syariah seperti isu saraan hakim-hakim, pencatat, penterjemah, skop pusat tahanan (penjara/lokap) dalam kes mal, fi dan kos, di samping pendedahan kepada peserta berhubung dengan teknik memahami uslub (gaya bahasa) pengarang kitab bagi memastikan para peserta dapat membezakan serta memilih pandangan-pandangan yang bersesuaian untuk tujuan aplikasi. Sementara itu, berhubung dengan Kitab Furu’ al-Wasa’il di bawah permasalahan talak, perbahasan berkaitan syarat sah talak, status suami yang melafazkan talak seperti suami berstatus kanak-kanak atau yang hilang kewarasan sehingga ke tahap gila, faktor-faktor pertimbangan rosaknya akal akibat pengambilan bahan-bahan terlarang serta memabukkan secara sengaja mahu pun tidak sengaja turut telah diperbincangkan. Program Webinar Intensif Daurah Mukatthafah Nusūs Fiqhiyyah Syar’iyyah (Mughni al-Muhtāj) Lil Imām Khatib al-Syirbini Siri 3/2023 ini bermula pada pukul 8.30 pagi dan berakhir pada 12.30 tengah hari dan dijangka akan bersiaran buat kali ke-4 pada bulan Julai 2023. Untuk rekod, pembelian Kitab Furu’ al-Masa’il Wa Usul al-Wasa’il dalam Bab al-Talaq (Masalah-Masalah Fiqh Terpilih Daripada Bab al-Talaq) karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani transliterasi oleh Kumpulan Penterjemah dan Pengubah Aksara Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) boleh dilakukan dengan menghubungi Bahagian Pusat Sumber dan Penerbitan, JKSM. Jumpa lagi di siri yang ke-4, insya Allah.

02
Program Jabatan

TEMU RAMAH BERSAMA RADIO TELEVISYEN MALAYSIA (RTM-JAKIM)

Satu sesi temu ramah bersama YAA Dato’ Hj. Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM bagi siaran berita RTM TV1 dengan wartawan Seksyen Berita Ehwal Semasa RTM telah diadakan pada hari ini bertempat di Pejabat Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Kompleks Islam Putrajaya. Dalam sesi tersebut, YAA Dato’ berkongsikan tentang langkah-langkah dan peranan JKSM sebagai agensi Persekutuan dalam memartabatkan Mahkamah Syariah. YAA Dato’ turut menjelaskan bahawa JKSM sentiasa prihatin dan mengambil maklum akan isu yang sentiasa dibangkitkan oleh masyarakat terutama kes-kes di Mahkamah Syariah serta isu-isu pentadbiran yang berkaitan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. YAA Dato’ juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada RTM-JAKIM dan berharap agar hubungan baik dengan para media seumpama ini dapat diteruskan dalam kerangka membantu menyebarluaskan peranan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh JKSM kepada masyarakat. 31 Mei 2023. JKSM, Putrajaya

01
Program Jabatan

TEMU BUAL PAKAR BAGI PENYELIDIKAN IJAZAH SARJANA PENGAJIAN ISLAM (SYARIAH)

PUTRAJAYA| YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berbesar hati meluangkan masa untuk ditemubual oleh penuntut pasca siswazah iaitu Puan Zurina binti Musa. Puan Zurina juga merupakan penolong pengarah kanan di Bahagian Latihan JKSM. Temu bual ini dilaksanakan untuk memenuhi tuntutan Ijazah Sarjana Pengajian Islam (Syariah), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi penyediaan disertasi bertajuk Pelaksanaan Penasaban dan Pendaftaran Kelahiran Anak Tidak Sah Taraf bagi Orang Islam di Malaysia. . Semasa temu bual tersebut, YAA Dato’ turut berkongsi pengetahuan, informasi, kemahiran dan pengalaman beliau dalam mengendalikan kes-kes yang berkaitan dengan penyelidikan isu tersebut. . Antara objektif penyelidikan ini ialah mengkaji amalan terkini prosedur penasaban dan pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf orang Islam menurut perspektif perundangan di Malaysia dengan hukum Syarak serta menganalisis konflik perundangan antara Syariah dan Sivil dalam isu yang dikaji. . Di akhir sesi temu bual, YAA Dato’ menzahirkan harapan agar tujuan dan objektif temu bual ini dapat dicapai, seterusnya penyelidikan ini dapat disempurnakan. Semoga terus berjaya. Siiru Ála Barakatillah.

01
Program Jabatan

YAA KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM HADIRI MAJLIS QIAMULAIL PERDANA

15 April 2023| YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah menghadiri Majlis Qiamullail Perdana di Masjid Putra, Putrajaya awal pagi tadi. Seramai 2000 orang jemaah membanjiri masjid Putra seawal 4 pagi bersama-sama YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir mengimarahkan majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Tuan Haji Nassir bin Abd Aziz, Ketua Pendaftar JKSM. Majlis ini dimulakan dengan solat sunat tahajud, solat sunat taubat dan solat hajat yang dipimpin oleh imam jemputan iaitu Hanif Azmir Hassim sebelum disusuli dengan sahur. Pengisian acara seterusnya ialah solat subuh berjemaah yang diimamkan oleh imam jemputan iaitu Ahmad Fairuz Nazaruddin dan tausiyah subuh yang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Dasar dan Strategik Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional, Mohd Gunawan Che Ab Aziz. Majlis Qiamullail Perdana itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV AlHijrah dan laman Facebook JAKIM.

01
Program Jabatan

WACANA PEMIKIR SULH NEGARA: KE ARAH INSTITUSI KEADILAN SYARIAH MADANI

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai Negeri Sembilan, 28 Februari 2023– Seksyen Sulh, Bahagian Pendaftaran, Keurusetiaan dan Rekod (BPKR), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Wacana Pemikir Sulh Kebangsaan dan Mesyuarat Pemikir Sulh bilangan 1/2023 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Program ini diserikan dengan ucapan aluan dari YBrs.Prof Madya Dr.Nik Salida Suhaila Nik Salleh Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM dan ucapan balas oleh YA Dato’ Mohd Amran Bin Mat Zain, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Untuk rekod Wacana Pemikir Sulh Negara ini, julung kali diadakan sejak Jawatankuasa Pemikir Sulh (think tank) ditubuhkan. Penubuhan Jawatankuasa Pemikir Sulh (think tank) di peringkat kebangsaan ini adalah antaranya untuk mengenalpasti permasalahan dalam melaksanakan penyelarasan dan pemantauan perkhidmatan pengurusan Sulh dengan cekap dan tersusun. Selain itu, kumpulan ini juga akan membantu JKSM dalam usaha memartabatkan Sulh dalam membantu penyelesaian pertikaian kes dan sekaligus membantu mengurangkan perbicaraan kes-kes di Mahkamah Syariah. Sewaktu Wacana tersebut, sebanyak 2 kertas kerja telah dibentangkan. Pembentang kertas kerja yang pertama iaitu YBrs. Dr. Hendun binti Abd Rahman Shah, Pensyarah Kanan/ Fellow Pelawat di JKSM yang bertajuk Modul Baharu Institusi Sulh ADR manakala kertas kerja yang kedua telah dibentangkan oleh Puan Nor Asniah binti Mohd Noh, Penolong Pengarah Kanan/ Kaunselor Berdaftar, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan tajuk “Pengurusan Runding Cara dan Kekeluargaan Islam dan Cabaran Yang Dihadapi”. Sejurus selepas habis pembentangan kertas kerja dan sesi soal jawab, majlis diteruskan dengan Mesyuarat Jawatankuasa Pemikir Sulh Bil 1/2023. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YA Dato’ Mohd Amran Bin Mat Zain. Ahli mesyuarat terdiri dari ahli akademik yang pelbagai latar belakang bidang pengajian, pengamal undang-undang, Ketua-ketua Pendaftar mahkamah negeri yang mahir dan arif mengenai pentadbiran dan perundangan syariah di Malaysia serta pegawai-pegawai syariah yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Sulh. Pelbagai isu telah dibincangkan antaranya berkisar tentang kertas kerja yang telah dibentangkan sewaktu Wacana Pemikir Sulh Kebangsaan. Setelah selesai mesyuarat, ahli mesyuarat telah dibawa untuk melawat Klinik Guaman dan Falak Learning Space.Majlis tamat pada jam 6 petang.

01
Program Jabatan

TEMU BUAL BAGI PENGESAHAN DAPATAN PENYELIDIKAN DOKTOR FALSAFAH (PHD)

PUTRAJAYA| YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM berkesempatan meluangkan masa untuk sesi temu bual pengesahan dapatan penyelidikan peringkat Doktor Falsafah (PhD) bertempat di pejabat beliau hari ini. Temu bual tersebut dijalankan oleh Tuan Hammad bin Mohamad Dahalan, pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang merupakan calon PhD di Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Calon Phd ini berada di peringkat akhir menyiapkan tesisnya yang bertajuk “Tadbir Urus Tata Tertib Peguam Syarie di Malaysia: Analisis di bawah Kaedah-Kaedah Peguam Syarie”. Semoga segala input dan pandangan yang disampaikan oleh YAA Dato’ dapat membantu dalam melengkapkan kajian ini dan diharapkan agar hasil kajian tersebut dapat dimanfaatkan oleh warga kerja JKSM/JKSN/MSN dan pihak-pihak yang terlibat dalam hal ehwal kepeguaman syarie di negara ini. Siiru ‘Ala Barakatillah. Selamat maju jaya Tuan Hammad!

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.