Program Jabatan

Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT JKSM DAN MAHKAMAH SYARIAH WILAYAH PERSEKUTUAN KE MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN (MAIWP)

KUALA LUMPUR | Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) telah mengadakan kunjungan hormat ke Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 7 Ogos 2023 bertempat di MAIWP, Bangunan PERKIM, Kuala Lumpur. Kunjungan hormat yang diketuai oleh YAA Dato’ Haji Mohd Amran Bin Mat Zain Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM ini telah disambut oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi MAIWP serta pegawai-pegawai kanan MAIWP. Tujuan kunjungan hormat tersebut adalah untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan dengan MAIWP khususnya dengan YBhg. Tan Sri Dr. yang sememangnya mempunyai pengalaman yang luas dalam sektor kewangan bagi memberikan pandangan dan idea dalam pengurusan dana Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) JKSM. Pandangan daripada pihak yang mempunyai kaitan secara langsung dengan dana BSK ini amat penting bagi membolehkan penambahbaikan pengurusan dana BSK dibuat dari semasa ke semasa. Sebelum ini, MAIWP telah menyumbangkan dana kepada BSK Seksyen Wilayah Persekutuan pada tahun 2010 bagi tujuan pengoperasian BSK Seksyen Wilayah Persekutuan dan penyaluran bantuan nafkah kepada pihak yang berkelayakan. Selain itu, perbincangan turut dimaklumkan bahawa kerjasama lanjut antara JKSM dan MAIWP akan diadakan bagi membolehkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan dapat dilaksanakan. Terdahulu, BSK boleh menyalurkan maklumat bekas isteri atau ibu yang berkelayakan bagi skim bantuan yang bersesuaian oleh MAIWP selain daripada bantuan dana BSK yang sedia ada. Turut serta dalam kunjungan hormat ini ialah YA Puan Hajjah Noor Hadina binti Haji Ahmad Zabidi, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, YAA Tuan Hj. Mohd Asri bin Hj. Tahir, Ketua Hakim Syarie MSWP, Yang Berusaha Tuan Haji Nassir bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM, Puan Maria binti Jilani, Pengarah BSK JKSM berserta pegawai-pegawai dari BSK JKSM dan BSK Seksyen Wilayah Persekutuan.

Program Jabatan

KURSUS SIJIL EKSEKUTIF KEMAHIRAN ISTINBAT HUKUM DALAM PENGHAKIMAN SYARIE (KIPSYA) SIRI 3 DAN 4 TAHUN 2023

KUALA LUMPUR| YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah merasmikan Majlis Penutup Kursus Sijil Eksekutif Kemahiran Istinbat Hukum dalam Penghakiman Syarie (KIPSYA) Siri 3 dan 4 Tahun 2023. Kursus ini telah dirangka dengan kerjasama antara JKSM bersama Institut Fatwa dan Halal (iFFAH) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang bertujuan menyediakan pelapis, rakan rujuk bidang syarak dan tenaga pakar dalam disiplin ilmu kemahiran istinbat hukum dalam penyediaan alasan penghakiman. Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terlibat dalam siri kali ini. Kursus ini telah dikendalikan oleh Prof. Dr. Irwan bin Mohd Subri, Prof. Madya Dr. Abdul Manan bin Ismail dan Prof. Madya Dr. Mohd Nasir bin Abdul Majid, kesemuanya merupakan tenaga pengajar pakar daripada USIM. Kursus ini berperanan menjadi platform dan peluang kepada para peserta mendalami ilmu usul fiqh dari segi kaedah dan teknik, memahami konteks dan isu dengan merujuk kepada kaedah-kaedah fiqh (al-Qawaid al-fiqhiyyah) di samping melihat aplikasi penghakiman kes yang diputuskan melalui amalan para sahabat baginda Rasulullah SAW serta para ulama muktabar terdahulu. YAA Dato’ Ketua Pengarah JKSM dalam ucapannya menzahirkan harapan besar agar keluaran pegawai daripada kursus bersiri ini mampu menyebarluaskan ilmu yang diperoleh melalui penulisan dalam alasan penghakiman dan menghuraikan idea-idea menerusi penulisan artikel agar kefahaman yang diraih bertambah mantap dan mampu dimanfaatkan sebaiknya. Beliau juga optimis bahawa usahasama persijilan seperti kursus ini dapat diteruskan pada masa akan datang serta dipanjangkan dalam disiplin/bidang lain demi pemantapan ilmu dan perkongsian manfaat di antara institusi kehakiman syariah dan institusi pengajian tinggi. Disediakan oleh: Urus setia Bahagian Latihan, JKSM

Program Jabatan

LARIAN INTEGRITI MADANI JKSM 2024

| Bahagian Sokongan Keluarga ,Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor bertempat di Bangunan Mahkamah Syariah, Johor. Yang Amat Arif Dato’ Haji Muhammad Khaldun bin Mohamad Sharif, Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran BSK JKSM yang diketuai oleh Puan Maria binti Jilani, Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga JKSM berserta delegasi.Menurut YAA Ketua Hakim Syarie,peranan BSK dilihat sangat penting dalam menguatkuasakan perintah nafkah di Mahkamah Syariah.Oleh yang demikian,Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor komited menambahbaik perkhidmatan BSK agar lebih mudah diakses oleh masyarakat. Turut hadir, Tuan Sahul Hamid Moideen, Ketua Pendaftar, YA Tuan Zulfahmi Bunaim, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Puan Noriana binti Ahamad Sapari,Penolong Pengarah Kanan BSK berserta pegawai dan kakitangan BSK JKSM dan Seksyen Negeri Johor. Kunjungan hormat ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara agensi dan bertukar pandangan ke arah menambahbaik sistem perkhidmatan pengurusan kepada pelanggan yang berurusan di BSK khususnya untuk rakyat Negeri Johor.

Program Jabatan

BENGKEL JADUAL PELUPUSAN REKOD URUSAN FUNGSIAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH SARAWAK

14 Februari 2023| Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) telah mengadakan Bengkel Jadual Pelupusan Rekod Urusan Fungsian bertempat di Hotel Merdeka Palace Kuching. Bengkel ini bertujuan untuk membincangkan Jadual Pelupusan Rekod Urusan Fungsian khusus bagi JKSS selaras dengan keperluan Ordinan dan undang-undang yang berkuatkuasa di negeri Sarawak. Antara objektif bengkel tersebut ialah:- 1. Memastikan rekod yang bernilai sementara dapat dimusnahkan dengan segera manakala rekod yang bernilai kekal dipindahkan ke Pustaka Negeri Sarawak untuk simpanan kekal. 2. Meningkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran menerusi pelupusan rekod secara efisien dan sistematik, menjimatkan perbelanjaan pengurusan sesebuah penjawat awam. 3. Mematuhi keperluan perundangan dengan mengenal pasti serta memisahkan bahan-bahan rekod yang berpotensi untuk dijadikan bahan rujukan dan penyelidikan pada masa akan datang. Bengkel ini turut disertai oleh Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sarawak iaitu Yang Amat Arif Datu Haji Awg. Suhaili bin Ledi, Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sarawak iaitu Yang Arif Tuan Abdul Karim bin Haji Mohd Nuli, pegawai dan kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sarawak dan wakil JKSM iaitu Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz (Pengarah BPKR), Puan Sofian binti Ahmad (KPP Seksyen Rekod BPKR) dan Puan Hasmaniza binti Ainullah (Wakil BTMK), serta wakil daripada Pustaka Sarawak iaitu Puan Jeysi Halmi dan En Amrul Nasri Mohammed (Pustakawan).

Program Jabatan

KUNJUNG HORMAT HAKIM RAYUAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA DAN KETUA HAKIM SYARIE MAHKAMAH SYARIAH NEGERI MELAKA KEPADA MUFTI KERAJAAN NEGERI MELAKA

5 April 2023 | Rabu – Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka telah mengadakan Kunjung hormat ke atas Sahibus Samahah Datuk Wira Hj. Abdul Halim bin Tawil Mufti Kerajaan Negeri Melaka. Kunjung hormat tersebut telah di adakan di Pejabat Mufti Negeri Melaka. Delegasi JKSM diketuai oleh YA Dato’Haji Mohd Amran bin Mat Zain Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM bersama dengan YAA Datuk Mohd Nadzri bin Abdul Rahman Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka. Tujuan kunjung hormat diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan seterusnya membincangkan berkaitan cadangan perlantikan Hakim wanita bagi Mahkamah Rayuan Syariah di negeri Melaka. Sahibus Samahah memaklumkan berkaitan fatwa yang telah diputuskan sebelum ini dan keputusan MKI yang mengharuskan perlantikan hakim Syarie wanita. Selain itu,kedua-dua membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan perundangan dan kehakiman syariah. Turut hadir sama YA Datuk Haji Mohd Radzi bin Abd Latif Hakim Rayuan Syariah JKSM, Sahibus Fadilah Haji Hazarudin bin Haji Baharudin Timbalan Mufti Melaka, Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz Pengarah BPKR, Tuan Mohammad Zulkhairi bin Aziz Ketua Pendaftar MSNM dan Tuan Mohd Saifuddin bin Othman Pegawai Penyelidik Kanan MSNM juga beberapa pegawai daripada Jabatan Mufti Negeri Melaka.

Program Jabatan

LAWATAN KERJA KE INSTITUT LATIHAN DAN KEFAHAMAN ISLAM ANGKATAN TENTERA MALAYSIA – ILMI ATM, PORT DICKSON, NEGERI SEMBILAN UNTUK KURSUS PROFESIONAL SULH MEDIASI {USIM-JKSM) DAN OUTREACH SULH

23 Mei 2023 | Delegasi Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang diketuai oleh Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz Pengarah Bahagian Pendaftaran Keurussetiaan dan Rekod hari ini telah mengadakan Lawatan Kerja ke Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia – ILMI ATM, Port Dickson, Negeri Sembilan. Ketibaan delegasi JKSM telah disambut sendiri oleh YBrs. Lt Kol Ismail bin Wahab (Komandan Institut Latihan dan Kefahaman Islam ATM) bersama YBrs. Lt Kol Mohd Nizar Zahrin bin Zakaria serta beberapa anggota KAGAT yang lain. Lawatan kerja ini diadakan bagi membincangkan dua Program Kerjasama yang antara JKSM dengan KAGAT yang akan diadakan pada tahun ini iaitu Outreach (OR) Sulh dan Kursus Kemahiran Profesional Sulh-Mediasi yang akan dibuat oleh JKSM dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan KAGAT. Sehubungan dengan itu lawatan dan perbincangan ini diharapkan dapat melancarkan program yang akan dilaksanakan. Delegasi JKSM telah dibawa meninjau fasiliti di sekitar Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia – ILMI yang akan digunakan sepanjang program berlansung. Turut hadir sewaktu kunjungan tersebut adalah Puan Neney Shuhaidah binti Shamsuddin (Pengarah Bahagian Latihan JKSM), YBrs Dr Hendun binti Abd Rahman Shah (Fellow /Pensyarah Fakulti Syariah Undang-Undang USIM, Puan Norul Aina binti Bahari (Penolong Pengarah Kanan Seksyen Sulh JKSM) serta Pn Juhaida binti Omar (Penolong Pegawai Syariah Seksyen Sulh JKSM.

Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH PAHANG DAN BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA JKSM KE MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG (MUIP)

PEKAN, 20 Jun 2023: Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah dijemput oleh Jabatan Kehakiman Syariah Pahang ( JKSP ) untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang(MUIP) bertempat di Kompleks MUIP bagi membincangkan program promosi dan kesedaran yang boleh dianjurkan bersama antara agensi – agensi di bawah MUIP. Perbincangan telah dipengerusikan oleh YH Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain selaku CEO MUIP. Terdahulu, deligasi yang diketuai oleh YAA Dato’ Haji Abdul Walid bin Haji Abu Hassan telah diberikan penerangan berkaitan fungsi dan peranan MUIP dalam memartabat syiar Islam khususnya di Negeri Pahang. Objektif utama perbincangan ini adalah untuk berkongsi pandangan dan idea kaedah terbaik untuk memperkenalkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BSK Seksyen Negeri Pahang dalam urusan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah dan mut’ah khususnya kepada masyarakat Pahang. Turut serta dalam kunjungan hormat ini ialah Tuan Mohamad Zakian bin Dio, Pengarah Kanan (Kehakiman),Puan Maria binti Jilani, Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga JKSM,Tuan Mohd Yusof bin Sulaiman, Ketua Penolong Pengarah BSK JKSM berserta pegawai dari JKSP dan BSK Seksyen Negeri Pahang.

Program Jabatan

KUNJUNG HORMAT KETUA PENGARAH JKSM KE PEJABAT TIMBALAN KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN AWAM (OPERASI), JPA

PUTRAJAYA | Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain hari ini berkesempatan mengadakan kunjungan hormat ke pejabat YBrs. Dr. Anesee bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) di Blok C, JPA. Kehadiran Dato’ KP JKSM disambut mesra oleh YBrs. Dr. Aneese sendiri bersama kakitangan pejabat beliau. Antara objektif kunjungan hormat ini diadakan adalah bertujuan bagi mengeratkan hubungan kerjasama strategik antara JKSM bersama JPA, saling bertukar-tukar pandangan dan membincangkan perkara-perkara yang melibatkan hal ehwal operasi dan pengurusan JKSM. Turut hadir ialah Puan Azlina binti Aziz, Pengarah Kanan (Pengurusan) JKSM. Semoga dengan kerjasama yang terbina ini dapat meningkatkan gerak kerja yang lebih cemerlang sekali gus memartabatkan pentadbiran institusi kehakiman Syariah negara in Shaa Allah. Kunjungan kerjasama ini merupakan manifestasi kepada sebuah hadith Nabi Muhammad SAW Daripada Abu Musa al-Asy`ari R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda: إِنَّ المُؤْمِنَ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang beriman itu dengan orang beriman yang lain seumpama binaan yang saling mengukuh.” (al-Bukhri 482) Siiru ‘Ala Barakatillah.

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

[language-switcher]

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.