Author name: jksm_admin

syahirah
01
Program Jabatan

MAJLIS PENYERAHAN NOTA SERAH TUGAS KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA

14 April 2023| Satu Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah diadakan pada tengahari ini bertempat di Pejabat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM telah menerima Nota Serah Tugas terbabit daripada YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga merupakan mantan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM dari April 2019 sehingga Dec 2022. YAA Dato’ Haji Mohd Amran dilantik sebagai Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie secara rasmi pada 10 April 2023. Turut hadir dalam sesi tersebut ialah YBrs. Tuan Haji Nassir bin Abd Aziz; Ketua Pendaftar JKSM dan Tuan Shaiful Azli bin Jamaludin, Ketua Unit Komunikasi Korporat JKSM.

03
Program Jabatan

PERSIDANGAN KEHAKIMAN DAN PERUNDANGAN SYARIAH NUSANTARA (PKPSN) 2023

KUALA LUMPUR| Bahagian Pendaftaran, Keurussetian & Rekod (BPKR), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan *Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara (PKPSN) 2023* pada 18 hingga 20 September 2023 di Hotel Pacific Regency Suites, Kuala Lumpur. Persidangan ini telah dihadiri oleh YAA Ketua Hakim Syarie, Dato’ Haji Mohd Amran bin Mohd Zain, YA Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, YAA Ketua-ketua Hakim Syarie JKSN/MSN, YA Hakim- hakim Mahkamah Rayuan Syariah Seluruh Malaysia serta Ketua Hakim dan wakil delegasi dari Negara Nusantara iaitu Brunei dan Republik Indonesia. Persidangan selama 3 hari ini telah diisi dengan Pembentangan Kertas Kerja oleh wakil- wakil negara Nusantara berhubung Bidangkuasa dan Pentadbiran Kehakiman di ketiga-tiga Negara. Objektif persidangan pada kali ini adalah JKSM berhasrat untuk menubuhkan Sekretariat Perundangan dan Kehakiman Syariah Nusantara di kalangan negara anggota, membincangkan isu-isu kekeluargaan Islam, pentadbiran kehakiman Syariah dan jenayah Syariah serantau dalam membentuk suatu kesepakatan bersama yang bergerak atas dasar Syarak, Secara khususnya, negara-negara nusantara dan negeri-negeri secara amnya akan dapat menyediakan platform kepada institusi tertinggi kehakiman syariah untuk bertukar-tukar fikiran dan mencari jalan untuk memperkasakan Mahkamah Rayuan Syariah, memperkasa kompentensi dan wibawa institusi rayuan Mahkamah Syariah, menjadi nukleus penting kepada penubuhan Majlis Perundangan dan Kehakiman Syariah Nusantara (MPKSN) dan mengangkat darjat kehakiman dan perundangan Syariah dalam menjalin hubungan kerjasama bagi menjamin kelestarian hubungan kemanusiaan dalam kalangan negara nusantara. Persidangan selama 3 hari ini telah diisi dengan Pembentangan Kertas Kerja oleh wakil- wakil negara Nusantara berhubung Bidangkuasa dan Pentadbiran Kehakiman di ketiga-tiga Negara. Selain itu, persidangan pada kali ini juga turut mengambil peluang dengan mengadakan mesyuarat Penubuhan Sekretariat Kehakiman Syariah Nusantara yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM dan dihadiri oleh YAA. Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syarie Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Prof. Dr. Drs. H. Amran Suadi, S.H., M.Hum., M.M., Ketua Kamar Agama Mahkamah Agung Republik Indonesia dan Ketua-ketua Hakim Syarie Negeri Seluruh Malaysia. Persidangan ini juga turut diserikan dengan majlis makan malam di Menara Kuala Lumpur bagi meraikan semua peserta PKPSN khususnya delegasi dari Negara-negara Nusantara. Sebagai penutup persidangan pada kali ini telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Mokhtar melalui pembacaan teks yang disampaikan oleh YAA Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM. Disediakan oleh: Seksyen Keurusetiaan, BPKR

03
Program Jabatan

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN DALAM BIDANG KEHAKIMAN SYARIAH ANTARA JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA DAN KERAJAAN BRUNEI DARUSSALAM SEMPENA RUNDINGAN PEMIMPIN TAHUNAN (ALC24)

PUTRAJAYA | – Pada hari ini, satu sejarah telah dicatatkan apabila Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Kerajaan Negara Brunei Darussalam menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kehakiman Syariah. Majlis penting ini telah berlangsung di Protocol Hall, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya dan disaksikan oleh pemimpin tertinggi dari kedua-dua negara sempena Rundingan Pemimpin Tahunan (Annual Leaders Consultation – ALC24). MoU ini ditandatangani oleh YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, mewakili Malaysia, manakala pihak Negara Brunei Darussalam pula diwakili oleh Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat / Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim Bin Haji Besar. YAB Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izuddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyaksikan majlis menandatangani MoU ini. Hadir bersama adalah YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) selaku Menteri Pengiring kepada KDYMM Sultan Brunei Darussalam sepanjang ALC24 ini berlangsung. Turut hadir pegawai dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, YA Dato’ Mohamad Shakir Bin Abdul Hamid, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM dan Tuan Haji Nassir bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM. Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC24) adalah acara tahunan yang diadakan antara Malaysia dan Brunei, di mana pemimpin dari kedua-dua negara berkumpul untuk membincangkan isu-isu bilateral, serantau dan global serta mengukuhkan hubungan dua hala. Pada kali ini, acara tersebut telah menyaksikan penandatanganan MoU dari pelbagai kementerian dan jabatan termasuk dalam bidang kehakiman Syariah sebagai langkah ke hadapan dalam kerjasama kedua-dua negara di arena kehakiman Syariah. MoU ini bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama di antara Malaysia dan Brunei dalam bidang kehakiman Syariah dan pentadbiran undang-undang Islam. Ia diharapkan akan membuka jalan bagi pertukaran pengetahuan dan pengalaman antara kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran semasa dan memajukan sistem kehakiman Syariah untuk manfaat bersama. MoU ini adalah satu langkah penting untuk mempereratkan hubungan dua hala dalam bidang kehakiman Syariah dan ia akan memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat Islam kedua-dua negara. Dengan penandatanganan MoU ini, Malaysia dan Brunei kini berkomitmen untuk bekerjasama dalam usaha meningkatkan kefahaman dan pelaksanaan undang-undang Islam serta memajukan sistem kehakiman Syariah bagi kesejahteraan masyarakat Islam secara amnya. Untuk rekod, kesepakatan menandatangani MoU ini merupakan usaha berterusan hasil cetusan idea YBM (HEA) sewaktu beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie JKSM. Beliau juga bertanggungjawab membentangkan Memorandum bagi mendapat pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri. Foto : Kementerian Luar Negeri Berita : Bahagian Dasar & Penyelidikan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia

01
Program Jabatan

PERJUMPAAN KHAS KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM BERSAMA PENGARAH YAYASAN ISLAM KELANTAN (YIK)

Kota Bharu | Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain telah mengadakan perjumpaan khas bersama YM Engku Rajhan bin Engku Ismail, Pengarah YIK bertempat di ibu pejabat YIK, Kota Bharu, Kelantan. YAA Dato’ KP/KHS menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada YM Engku atas kesudian menerima kunjungan ini dan kesediaan YIK meneruskan jalinan kerjasama yang dapat memanfaatkan kedua-dua belah pihak. Antara program bersama yang sedang dijalankan ialah Kursus Multaqa Pakar Turath Syariah secara bersiri mulai tahun 2021 sehingga 2025. Perjumpaan ini memberi tumpuan ke arah meneruskan kesinambungan dan jalinan hubungan kerjasama yang baik di antara JKSM dan YIK di samping berkongsi maklumat berhubung prospek kerjasama yang boleh diteroka antara kedua-dua pihak di masa hadapan seperti kursus-kursus dan latihan membabitkan perkongsian kepakaran dan kemahiran. Perjumpaan mesra ini diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati antara JKSM dan YIK. Perjumpaan khas YAA Dato’ KP/KHS JKSM ini turut ditemani oleh Pengarah Kanan (Kehakiman) JKSM, Tuan Mohamad Zakian bin Dio. Manakala dari pihak YIK pula ditemani oleh Timbalan-timbalan pengarah dan pegawai-pegawai kanan. Disediakan oleh: Penyelaras program latihan, Bhg. Latihan, JKSM.

01
Program Jabatan

TAHNIAH KEPADA YAA DATO’ HAJI MOHD AMRAN BIN MAT ZAIN YANG TELAH DILANTIK SEBAGAI KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA (JKSM)

Setinggi-tinggi tahniah kepada YAA Dato’ Haji Mohd Amran Bin Mat Zain yang telah dilantik sebagai Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berkuatkuasa mulai 10 April 2023. Surat lantikan ini telah disampaikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Nai’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Semoga YAA Dato’ Haji Mohd Amran dapat menerajui kepimpinan JKSM dengan cemerlang serta menyemarakkan lagi semangat dalam usaha untuk terus memartabat serta memperkasakan institusi kehakiman syariah di Malaysia.

01
Program Jabatan

LAWATAN RASMI KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM BERSAMA DELEGASI MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) KE MESIR

KAHERAH | YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) merupakan salah seorang delegasi lawatan bersama YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ke Mesir bermula 1 hingga 5 September 2023 baru-baru ini. Pelbagai sesi perjumpaan dan perbincangan telah diadakan sepanjang lawatan kerja tersebut sepertimana berikut: 2 September (Sabtu) a) YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim JKSM bersama para delegasi mengadakan pertemuan Pre-Council dan mendengar taklimat berkaitan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Mesir daripada TYT Duta Besar Malaysia ke Kaherah, Mesir, Tuan Hj. Zamani bin Ismail. b) YAA Dato’ menyertai kunjungan hormat delegasi ke atas YBrs Prof. Dr. Nazir Muhamad ‘Ayyad selaku Setiausaha Agung Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah, Mesir dalam mengemukakan hasrat memperbaharui mu’adalah al-Azhar al-Syarief kepada Darul Quran JAKIM bagi meneruskan para pelajar menyambung pengajian Ijazah di Ma’ahad Tahfiz wa al-Qiraat, Shoubra, Mesir. c) YAA Dato’ telah diundang untuk menghadiri Majlis Perjumpaan bersama Mufti Besar Mesir Prof. Dr. Shawqi Ibrahim ‘Allam dan Majlis Apresiasi Kursus Pengurusan Fatwa di Mesir anjuran Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP). 3 September (Ahad) a) YAA Dato’ bersama para delegasi mengadakan kunjung hormat ke atas Musa’id (KSU) Menteri Keadilan Mesir (National Centre for Judicial Studies) yang juga merupakan Mudir Pusat Pengajian Kehakiman Mesir. Secara dasarnya, pihak NCJS telah memberi komitmen danbersetuju untuk menawarkan kerjasama Kursus Kehakiman kepada Pegawai Syariah di JKSM pada masa akan datang. b) Kemudian, YAA Dato’ telah menyertai kunjungan hormat delegasi ke atas Menteri Agama Mesir YB Prof. Dr. Mohamed Mokhtar Goma’a di pejabat beliau. c) YAA Dato’ turut diundang untuk menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama wakil pelajar-pelajar Malaysia di Mesir seramai 1000 orang yang hadir dari pelbagai negeri dan pelbagai latar belakang pengajian. 4 September (Isnin) a) YAA Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain bersama para delegasi mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Sheikh al-Azhar al-Syarif yang diketuai oleh Fadhilah al-Sheikh Dr. Muhammad Abdul Rahman Al-Dhuwaini, Timbalan Sheikh al-Azhar. b) YAA Dato’ mengunjungi Pusat al-Azhar Sedunia bagi Memerangi Keganasan dan Kefatwaan Elektronik. Semoga hasil interaksi dan perbincangan tersebut memberi manfaat seoptimumnya kepada keseluruhan pegawai syariah dan seterusnya menyemarakkan lagi usaha pemerkasaan institusi kehakiman syariah di Malaysia.

03
Program Jabatan

PEMBUDAYAAN KONSEP ITQAN DAN PEKA BAGI MENJAYAKAN PELAN TRANSFORMASI AL-FALAH

KUALA LUMPUR| YAA Dato’ Hj Mohd. Amran Hj Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie beserta pegawai kanan dan warga kerja JKSM telah menghadiri Majlis Perhimpunan Agensi Agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan. Ketika menyampaikan amanat, YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj Mohd. Na’im Hj Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggesa warga agensi agar membudayakan konsep itqan (tekun dan komited) dalam menjalankan amanah. “Saya ingin mengingatkan ketua-ketua agensi dan warga kerja keseluruhannya agar lebih proaktif dalam memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan terutamanya apabila melibatkan keperluan masyarakat.” “Begitu juga ketika mendepani era globalisasi-dasar langit terbuka tanpa sempadan ini, setiap warga perlulah peka terutamanya apabila melibatkan tohmahan palsu, fitnah dan kitar ulang isu. Ini kerana, sekiranya perkara negatif ini dibiarkan, pihak yang tidak bertanggungjawab akan selesa mengulang-ulang dan akhirnya mempengaruhi masyarakat lainnya pula,” tegas Menteri berkenaan. Ketika majlis perhimpunan tersebut, Dato’ Setia Dr. Mohd. Na’im juga melancarkan Buku Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) yang akan menjadi dokumen panduan kerja bagi 14 agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). “Kita ada lima teras, 10 fokus gerak kerja dan lima nilai utama yang dibangunkan. Kita juga ada 21 strategi, 31 program, 11 keberhasilan yang hendak dicapai. Kefahaman, penghayatan kepada pelan ini bukan hanya kepada ketua agensi sahaja, namun perlu diserap oleh keseluruhan warga organisasi,” ujar beliau. Untuk rekod, Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan bangunan ‘Ilaj Home dari JAKIM kepada JAWI, Penyerahan Sijil Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) kepada JAKIM dan Penyerahan Sumbangan Wakaf kepada Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA Kebangsaan). Kurator Berita Unit Komunikasi Korporat, JKSM

01
Program Jabatan

MAJLIS KHATAM QURAN , TAHLIL ARWAH, PERTANDINGAN HAFAZAN, NASYID DAN SUMBANGAN IFTAR ANJURAN KELAB KEBAJIKAN DAN SUKAN JKSM DENGAN KERJASAMA PUSPANITA CAWANGAN KECIL JKSM 2023

14 April 2023| Kelab Kebajikan dan Sukan (KKS) JKSM dengan kerjasama Puspanita Cawangan Kecil JKSM telah menganjurkan Majlis Khatam Quran dan Tahlil Arwah Tahun 2023 bertempat di Dewan Tan Sri Ibrahim Lembut, JKSM. Majlis telah dirasmikan oleh YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM. Usai Majlis Khatam Quran dan Tahlil Arwah tersebut, program diserikan lagi dengan pertandingan hafazan dan nasyid yang disertai oleh pegawai dan kakitangan JKSM. Antara aktiviti yang turut diadakan pada majlis hari ini ialah Penyerahan Bantuan Infak Ramadan & Hari Raya Aidilfitri Kelab Bukit Perdana (JPM) oleh KKS kepada 27 orang penerima yang telah diluluskan permohonan mereka baru-baru ini. Sumbangan berupa wang tunai RM400 dan bakul makanan (barangan keperluan asas) kepada setiap penerima. Sebagai penutup program, di sebelah petangnya, KKS telah menaja nasi arab & bubur lambuk sebagai menu iftar dan mengedarkannya kepada semua warga JKSM. Puspanita JKSM juga turut menghadiahkan bunga telur dan juadah tepung pelita kepada semua. Tahniah diucapkan kepada semua barisan exco KKS dan Puspanita yang terlibat!

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Contact Us

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.