Author name: jksm_admin

syahirah
01
Program Jabatan

BENGKEL TINTA SULH SIRI 2 TAHUN 2023

PUTRAJAYA, 21 Februari 2023 – Seksyen Sulh, Bahagian Pendaftaran Keurussetiaan dan Rekod, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengadakan Bengkel Tinta Sulh Siri 2 tahun 2023 bertempat di Bilik Mesyuarat BPKR dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Tinta Sulh ini merupakan bengkel penulisan yang bertujuan untuk memberi galakkan kepada Pegawai Sulh untuk menulis mengenai apa sahaja tajuk yang mereka suka terutamanya dalam bidang perundangan Syariah. Objektif bengkel ini diadakan adalah bertujuan untuk: a. Melatih peserta secara praktikal dalam penulisan Artikel/Buku yang berkualiti dari segi hukum Syarak dan undang-undang; b. Memberi pendedahan kepada Pegawai Sulh agar menguasai ilmu penulisan; c. Memberikan garis panduan dan latihan penulisan kepada Pegawai Sulh untuk untuk menghasilkan artikel yang mengembangkan idea dan kreativiti Pegawai Sulh secara berterusan dalam penulisan; d. Menjelaskan kepada para peserta kriteria penulisan yang berkualiti dan pencarian sumber rujukan yang dipercayai; e. Menghasilkan Jurnal Sulh Malaysia. Bengkel ini dikendalikan oleh YBrs. Dr. Hendun binti Abd Rahman Shah, Pensyarah Kanan/ Fellow Pelawat di JKSM dibantu oleh fasilitator yang dilantik iaitu YBrs. Dr. Wan Azimin bin Wan Adnan Pegawai Sulh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan, YBrs. Dr. Hanifah binti Haydar Ali Tajuddin Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dasar dan Penyelidikan JKSM, dan YBrs. Dr. Roziana binti Mat Amin, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Latihan JKSM untuk menyelia penulisan artikel para peserta. Di awal bengkel ini, para peserta telah diberikan taklimat bengkel oleh Puan Norul Aina binti Bahari, Penolong Pengarah Kanan Seksyen Sulh. Bengkel tersebut telah disertai seramai 30 orang peserta terdiri dalam kalangan Pegawai Sulh seluruh Malaysia secara fizikal dan atas talian (online).Di akhir bengkel dijangka setiap Pegawai Sulh berjaya menulis satu artikel berkaitan perundangan syariah untuk diterbitkan dalam Jurnal Sulh.

03
Program Jabatan

KURSUS HIBAH, AMANAH, WASIAT DAN PROBET (HARTANAH)

GENTING HIGHLANDS| Usaha strategik dan berterusan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam menyediakan latihan berimpak tinggi bagi pembangunan kompetensi Pegawai-Pegawai Syariah seluruh Malaysia wajar dipuji. Kali ini, bertempat di Awana Resorts World, Genting Highlands, Pahang Darul Makmur, Bahagian Latihan, JKSM menganjurkan Kursus Hibah, Amanah, Wasiat dan Probet (Hartanah) dengan pihak penganjur menggariskan empat objektif yang ingin dicapai iaitu meningkatkan kefahaman dan kemahiran kepada peserta mengenai hal perkara berkaitan dengan Hibah, Amanah, Wasiat dan Probet; mendedahkan kepada para peserta tentang konsep dan pelaksanaan Hibah Amanah Tunai, Hibah Hartanah Dalam Cagaran, dan Wasiyyah Wajibah daripada perspektif Syarak, perundangan dan administratif; mendedahkan kepada para peserta mengenai praktik penyediaan dokumentasi Hibah, Amanah, Wasiat secara profesional; dan menyediakan ruang percambahan ilmu dan idea dalam aspek perundangan Hibah, Amanah, Wasiat dan Probet (Hartanah). . Progam yang bermula pada 12 September 2023 dan berakhir hari ini menyasarkan para peserta yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Penolong Penasihat Undang-Undang (Syariah) Negeri-Negeri, serta pegawai-pegawai daripada Bahagian Dasar dan Penyelidikan JKSM. . Hadir merasmikan kursus ini, YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ketika berucap menekankan kepentingan penguasaan bidang ilmu yang berkaitan dengan skop tugas dan peranan pegawai-pegawai. Atas hubungannya dengan penganjuran kursus yang disertai oleh kumpulan sasaran terpilih ini, hal perkara berkaitan hibah dan isu-isu yang berbangkit di dalam prosiding kes sebagai contoh, penguasaan ilmu sepenuhnya haruslah dipastikan menyeluruh. . Mengambil kesempatan dalam ucapannya, YAA Dato’ sempat menyentuh perihal kepentingan menjaga amanah kerana perlanggaran terhadapnya boleh mendatangkan kemudharatan kepada pihak lain. Dalam aspek pelaksanaan tugasan seharian, beliau menyeru supaya pegawai-pegawai hendaklah bersifat tekun dan menitikberatkan kesempurnaan hasil kerja selari dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Beliau turut mendoakan agar para pegawai tergolong dalam kalangan mereka yang amanah, berusaha kuat, dan menjunjung nilai-nilai integriti. Cuplikan ayat al-Quran yang dipetik daripada Surah al-Qassas ayat 26 yang bermaksud, “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang diambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” . Program yang telah diklasifikasikan sebagai berimpak tinggi ini menampilkan penceramah pakar daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sendiri iaitu YA Dato’ Haji Mohamad Shakir bin Haji Abdul Hamid, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, YA Tuan Haji Salehan bin Yatim, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor, YBrs. Tuan Jaiya bin Abu yang merupakan Pengarah Bahagian Pengurusan dan Perundangan Tanah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, dan YBrs. Tuan Ahmad Termizie bin Abdullah, Peguam Bela dan Peguam Cara (Malaya) / Peguam Syarie. . Kursus pada kali ini berakhir dengan pembentangan Resolusi Kursus daripada YBrs. Tuan Mohamad Shahidan bin Abdul Ghapar, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Latihan, JKSM dan untuk rekod, sebanyak sembilan (9) resolusi telah diambil dan dipersetujui untuk kajian susulan.

01
Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA JKSM BERSAMA PERSEKUTUAN ORANG PEKAK MALAYSIA (MFD), PERSATUAN JURUBAHASA ISYARAT MALAYSIA (MYASLI) DAN PERSATUAN ORANG PEKAK ISLAM MALAYSIA (PRISMA) KEPADA KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA

PUTRAJAYA | Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), JKSM telah mengadakan kunjungan hormat bersama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MYASLI) dan Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) kepada Ketua Pengarah /Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa pihak JKSM menyahut dasar kerajaan bagi memastikan OKU mendapat kesaksamaan hak dan peluang bagi penyertaan penuh dalam masyarakat khususnya ketika berurusan di Mahkamah Syariah. Buat julung kalinya Bahagian Sokongan Keluarga JKSM berkolaborasi bersama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MYASLI) dan Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia ( PRISMA ) dalam merencana program penerangan dan pemahaman kepada masyarakat awam mengenai prosedur undang-undang dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BSK. Kunjungan hormat ini dihadiri oleh Encik Mohamad Sazali bin Shaari selaku Presiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Puan Wan Zuraida Abu selaku Ketua Jurubahasa Isyarat MFD merangkap Presiden Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyASLI) dan Encik Aqlam Jafri selaku Yang Dipertua Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA). Turut hadir adalah Tuan Mohamad Zakian bin Dio,Pengarah Kanan ( Kehakiman ) JKSM dan Puan Maria binti Jilani,Pengarah Bahagian Sokongan keluarga JKSM. Antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai perkhidmatan jurubahasa isyarat dan cadangan penambahbaikkan bagi kemudahan OKU pendengaran dan pertuturan di Mahkamah Syariah.

02
Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT JKSM DAN MAHKAMAH SYARIAH WILAYAH PERSEKUTUAN KE MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN (MAIWP)

KUALA LUMPUR | Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) telah mengadakan kunjungan hormat ke Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 7 Ogos 2023 bertempat di MAIWP, Bangunan PERKIM, Kuala Lumpur. Kunjungan hormat yang diketuai oleh YAA Dato’ Haji Mohd Amran Bin Mat Zain Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM ini telah disambut oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi MAIWP serta pegawai-pegawai kanan MAIWP. Tujuan kunjungan hormat tersebut adalah untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan dengan MAIWP khususnya dengan YBhg. Tan Sri Dr. yang sememangnya mempunyai pengalaman yang luas dalam sektor kewangan bagi memberikan pandangan dan idea dalam pengurusan dana Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) JKSM. Pandangan daripada pihak yang mempunyai kaitan secara langsung dengan dana BSK ini amat penting bagi membolehkan penambahbaikan pengurusan dana BSK dibuat dari semasa ke semasa. Sebelum ini, MAIWP telah menyumbangkan dana kepada BSK Seksyen Wilayah Persekutuan pada tahun 2010 bagi tujuan pengoperasian BSK Seksyen Wilayah Persekutuan dan penyaluran bantuan nafkah kepada pihak yang berkelayakan. Selain itu, perbincangan turut dimaklumkan bahawa kerjasama lanjut antara JKSM dan MAIWP akan diadakan bagi membolehkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan dapat dilaksanakan. Terdahulu, BSK boleh menyalurkan maklumat bekas isteri atau ibu yang berkelayakan bagi skim bantuan yang bersesuaian oleh MAIWP selain daripada bantuan dana BSK yang sedia ada. Turut serta dalam kunjungan hormat ini ialah YA Puan Hajjah Noor Hadina binti Haji Ahmad Zabidi, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, YAA Tuan Hj. Mohd Asri bin Hj. Tahir, Ketua Hakim Syarie MSWP, Yang Berusaha Tuan Haji Nassir bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM, Puan Maria binti Jilani, Pengarah BSK JKSM berserta pegawai-pegawai dari BSK JKSM dan BSK Seksyen Wilayah Persekutuan.

01
Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM KE ATAS KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA

PUTRAJAYA| Sesi kunjung hormat Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ke atas YBhg. Dato’ Dr. Zulkapli bin Mohamed Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia Jabatan Perkhidmatan Awam telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Blok C1, Kompleks C, JPA. Delegasi diketuai oleh YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, turut disertai oleh YA Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, YAA Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri (JKSN) dan Mahkamah Syariah Negeri-negeri (MSN), Ketua Pendaftar JKSM, Pengarah Kanan Pengurusan dan Pengarah BPKR JKSM. Manakala pihak JPA pula dihadiri oleh YBhg. Datuk Azhar bin Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Pengarah-pengarah Bahagian Perkhidmatan & Perjawatan serta Timbalan-timbalan Pengarah. YBhg. Dato’ Dr. KPPA mengalu-alukan kunjungan JKSM, JKSN dan MSN ke JPA serta memaklumkan perkembangan terkini berkaitan Pembangunan Kerjaya. Beliau juga memaklumkan bahawa JPA dalam proses membuat semakan dan kajian berhubung gaji dan elaun penjawat awam, termasuk melibatkan institusi Kehakiman dan perundangan Syariah. Selain kunjung hormat bagi mengeratkan silaturrahim, YAA Dato’ Hj. Mohd Amran turut menyampaikan intipati kunjung hormat tersebut bagi mendapatkan makluman perkembangan penstrukturan perjawatan iaitu kajian semakan semula Model perjawatan JKSN/MSN dengan mengambil kira peningkatan hierarki Mahkamah Syariah, penambahbaikan perjawatan perkhidmatan secara time based kepada Pegawai Syariah, cadangan penyusunan semula struktur organisasi dan pengukuhan perjawatan JKSM. Turut dibincangkan bersama adalah pertimbangan penstrukturan perjawatan kepada semua warga Mahkamah Syariah sama ada melibatkan negeri gunasama mahupun bukan gunasama. Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) juga menyokong penuh hasrat Kerajaan untuk menambahbaik skim perkhidmatan penjawat awam terutama Pegawai Syariah, pertimbangan bagi pemberian bayaran intensif Perkhidmatan Kritikal (BPIK), tambahbaik urusan kenaikan pangkat melalui pelaksanaan Time Based skim Pegawai Syariah dan pengisian kekosongan jawatan Pegawai Syariah yang berlaku sama ada melibatkan negeri gunasama mahupun bukan gunasama. YBhg. Dato’ KPPA mewakili JPA menyambut baik cadangan yang dikemukakan tersebut dan akan membuat penelitian serta pertimbangan sewajarnya berdasarkan kepada keperluan yang bersesuaian. Kunjung hormat ini memberi impak yang sangat positif kepada penambahbaikan dan pemerkasaan institusi kehakiman Syariah di Malaysia.

01
Program Jabatan

KUNJUNG HORMAT HAKIM RAYUAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA DAN KETUA HAKIM SYARIE MAHKAMAH SYARIAH NEGERI MELAKA KEPADA MUFTI KERAJAAN NEGERI MELAKA

5 April 2023 | Rabu – Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka telah mengadakan Kunjung hormat ke atas Sahibus Samahah Datuk Wira Hj. Abdul Halim bin Tawil Mufti Kerajaan Negeri Melaka. Kunjung hormat tersebut telah di adakan di Pejabat Mufti Negeri Melaka. Delegasi JKSM diketuai oleh YA Dato’Haji Mohd Amran bin Mat Zain Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM bersama dengan YAA Datuk Mohd Nadzri bin Abdul Rahman Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka. Tujuan kunjung hormat diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan seterusnya membincangkan berkaitan cadangan perlantikan Hakim wanita bagi Mahkamah Rayuan Syariah di negeri Melaka. Sahibus Samahah memaklumkan berkaitan fatwa yang telah diputuskan sebelum ini dan keputusan MKI yang mengharuskan perlantikan hakim Syarie wanita. Selain itu,kedua-dua membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan perundangan dan kehakiman syariah. Turut hadir sama YA Datuk Haji Mohd Radzi bin Abd Latif Hakim Rayuan Syariah JKSM, Sahibus Fadilah Haji Hazarudin bin Haji Baharudin Timbalan Mufti Melaka, Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz Pengarah BPKR, Tuan Mohammad Zulkhairi bin Aziz Ketua Pendaftar MSNM dan Tuan Mohd Saifuddin bin Othman Pegawai Penyelidik Kanan MSNM juga beberapa pegawai daripada Jabatan Mufti Negeri Melaka.

01
Program Jabatan

E-KONSULTASI: INOVASI JKSM DAN ADVOKASI MASYARAKAT

JUMAAT, 26 MEI 2023- Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sekali lagi melakukan anjakan paradigma dengan menawarkan perkhidmatan e-Konsultasi atau runding cara percuma kepada masyarakat yang berhadapan isu-isu perundangan dan kehakiman di Mahkamah Syariah. “E-Konsultasi ini merupakan inovasi baharu JKSM dalam menawarkan rundingcara dan khidmat nasihat perundangan secara atas talian kepada masyarakat. Jika sebelum ini mana-mana pihak yang berhasrat untuk mendapatkan khidmat nasihat perundangan perlu membelanjakan sejumlah kos, namun dengan perkhidmatan e-Konsultasi ini mereka berpeluang untuk mendapatkan khidmat runding cara tersebut dengan pantas, mudah dan tanpa melibatkan sebarang bayaran,” ujar YAA Dato’ Hj Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarii JKSM ketika merasmikan perkhidmatan e-Konsultasi tersebut. “Terdapat pelbagai manfaat e-Konsultasi kepada masyarakat. Antaranya runding cara ini diadakan secara face to face dengan dikendalikan oleh pegawai JKSM yang berpengalaman.” “Maklumat sahih yang disampaikan secara terfokus kepada individu tertentu yang menghadapi kemusykilan tersebut diharapkan dapat mengurangkan stress masyarakat dan kesesakan di kaunter Mahkamah,” tambah beliau lagi. Perkhidmatan e-Konsultasi ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa had kewangan tertentu. Justeru, bagi mereka yang berhasrat untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut, masing-masing hendaklah mengisi e-borang yang disediakan ketika program Online Legal Clinic (OLC) yang bersiaran menerusi facebook live JKSM, pada hari Khamis, jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengahari. Dengan kata lain, program OLC merupakan gerbang kepada masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan e-Konsultasi tersebut. Seterusnya, persoalan berbangkit yang telah disaring tersebut akan diserahkan kepada pegawai tertentu dan link google meet diemailkan kepada pihak yang bertanya bagi penetapan sesi konsultasi pada hari Jumaat keesokannya. “Bertepatan dengan motto Online Legal Clinic dan E-Konsultasi iaitu ‘Segalanya tentang anda’, maka sesungguhnya kejayaan e-Konsultasi ini bergantung kepada sambutan daripada masyarakat. Sehubungan itu, masyarakat disarankan untuk memanfaatkan perkhidmatan ini dengan sebaiknya,” tegas YAA Dato Hj Mohd Amran di hujung ucapannya. Untuk rekod, OLC dan E-Konsultasi merupakan inisiatif dari Bahagian Latihan JKSM dengan sinergi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) demi untuk membumikan ilmu perundangan dan kehakiman syariah, di samping bertindak sebagai salah satu kaedah advokasi kepada masyarakat awam. Sehingga kini tujuh sesi e-konsultasi dikendalikan oleh empat orang pegawai JKSM dan JPW yang dilantik.

01
Program Jabatan

KURSUS SIJIL EKSEKUTIF KEMAHIRAN ISTINBAT HUKUM DALAM PENGHAKIMAN SYARIE (KIPSYA) Siri -2/2023

PUTRAJAYA, 18 Mei – Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengadakan Kursus Sijil Eksekutif Kemahiran Istinbat Hukum Dalam Penghakiman Syarie (KIPSYA) Siri 2 bermula pada 17 hingga 18 Mei 2023 dengan kerjasama Institut Fatwa dan Halal (iFFAH) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di JKSM Putrajaya. Objektif kursus ini diadakan adalah bertujuan untuk: 1. Memantapkan pemahaman para peserta berkenaan Pengenalan kepada al-Fiqh, usul al-Fiqh, al-Qada dan dalil-dalil utama hukum Syarak dalam penghakiman Syarie. 2. Memantapkan pemahaman para peserta berkenaan kaedah interpretasi teks Nas Syarak dalam bidang perundangan dan kehakiman Syariah yang terdiri dari Wad’u al-Lafz Li al-Ma’na, Isti’mal al-Lafz fi al-Ma’na, Dalalat al-Lafz ‘ala al-Ma’na dan Kaifiyah Dalalat al-Lafz ‘ala al-Ma’na. Para penceramah juga kerap kali dalam kuliah sepanjang 2 hari ini amat menitik beratkan kepada para peserta berkenaan pemahaman kepada hukum-hakam serta memahami fekah al-Waqi’ dalam membuat alasan penghakiman. KIPSYA siri 2 ini dikendalikan oleh Prof Madya Mohd Nasir bin Abdul Majid, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) USIM, Prof. Madya Dr. Abdul Manan bin Ismail, Pengarah Akademi Fiqh Islami (AFHAM) USIM dan Prof. Dr. Irwan bin Mohd Subri, Professor di Fakulti Syariah dan Undang-undang / Pengarah Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), USIM. Kursus tersebut telah dihadiri seramai 30 orang peserta (kumpulan kedua) terdiri dalam kalangan YA Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah seluruh Malaysia dan Pegawai-pegawai Syariah seluruh Malaysia.

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Contact Us

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.