Author name: jksm_admin

syahirah
03
Program Jabatan

KURSUS TATACARA PROSIDING PERBICARAAN JENAYAH SYARIAH ANJURAN BAHAGIAN LATIHAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA (JKSM)

PUTRAJAYA| Usaha Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam memperkasakan modal insan Pegawai Syariah seluruh Malaysia adalah menjadi agenda berterusan melalui penganjuran progam latihan. Bertempat di Dewan Tan Sri Dato’ Setia Dr Ibrahim Lembut, JKSM, satu Kursus Tatacara Prosiding Perbicaraan Jenayah Syariah anjuran Bahagian Latihan JKSM telah diadakan bermula pada 12 Julai 2023 hingga 14 Julai 2023 yang menyasarkan peserta terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah seluruh Malaysia dan Penolong Penasihat Undang-Undang (Syariah) Negeri. Terdapat tiga objektif program yang digariskan oleh pihak penganjur iaitu bagi mengukuhkan pemahaman para peserta mengenai tatacara prosiding perbicaraan jenayah syariah, memberikan pendedahan berhubung dengan tatacara sebatan syariah melalui demonstrasi sebatan syariah dan membolehkan peserta bertukar-tukar pendapat serta berkongsi pengalaman dan ilmu mengenai bidang tugas masing-masing. Bahagian Latihan beriltizam menjadikan kursus ini sebagai platform kepada peserta memahami undang-undang jenayah syariah dalam kerangka tatacara bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang praktik keadilan dalam perbicaraan di Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian, adalah penting untuk memiliki pemahaman tentang konteks tatacara tersebut beroperasi, tentang bagaimana prosedur jenayah syariah berinteraksi dengan prinsip undang-undang substantif dan undang-undang keretangan. YAA Dato’ Haji Mohd Haji Amran Bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dalam ucapannya di hadapan kira-kira 46 orang peserta program memulakan ucapannya dengan memetik potongan ayat al-Quran daripada Surah al-Zariyat, ayat 56, yang antara lain, menekankan kepentingan bekerja sebagai satu ibadah dan atas dasar tersebut, pelaksanaan tugas harian hendaklah dilakukan dengan sebaik mungkin. Selanjutnya, beliau menegaskan kepentingan menguasai bidang tugas dalam konteks kehakiman dan perundangan, lebih-lebih lagi berhubung dengan pengetahuan serta kemahiran terhadap perkara yang perlu diadili sebagai pembuat keputusan di Mahkamah. Dalam konteks pelaksanaan tugas itu sendiri, beliau menyeru supaya aspek ketekunan dalam penyempurnaan tugas hendaklah dititikberatkan agar hasil kerja sesuai amanah yang dikehendaki. Selain gesaan menguasai skop tugas, kemahiran ke atas perkara yang ingin diberikan keadilan, dan juga aspek ketekunan, beliau turut mengujarkan tausiahnya dalam aspek disiplin dengan menekankan bahawa penjagaan waktu dan menepatinya adalah dituntut serta hendaklah sentiasa dipenuhi dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Kursus tiga hari ini menampilkan tenaga penceramah pakar dalam bidang berkaitan iaitu YBrs. Tuan Awang Armadajaya bin Awang Mahmud, Peguam Bela & Peguam Cara (Malaya) dan TPP Ramli bin Umar dari Bahagian Keselamatan dan Inteligen, Jabatan Penjara Malaysia. . Menarik pada kali ini apabila buat julung-julung kalinya program seumpama ini diadakan slot khas iaitu demonstrasi sebatan syariah dan sivil yang juga dikelolakan oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia diketuai oleh TPP Ramli bin Umar serta dibantu oleh pegawai-pegawainya. YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie pada akhirnya mengharapkan agar semua pihak sentiasa memegang amanah dalam lapangan kehakiman dan perundangan ini dan mendoakan supaya tergolong dalam kalangan pegawai-pegawai yang amanah, berupaya kuat, dan berintegriti. Beliau menutup ucapannya dengan membacakan sepotong ayat al-Quran daripada Surah al-Qassas ayat 26 yang bermaksud “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang diambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah”.

01
Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA JKSM BERSAMA PERSEKUTUAN ORANG PEKAK MALAYSIA (MFD), PERSATUAN JURUBAHASA ISYARAT MALAYSIA (MYASLI) DAN PERSATUAN ORANG PEKAK ISLAM MALAYSIA (PRISMA) KEPADA KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA

PUTRAJAYA | Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), JKSM telah mengadakan kunjungan hormat bersama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MYASLI) dan Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) kepada Ketua Pengarah /Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa pihak JKSM menyahut dasar kerajaan bagi memastikan OKU mendapat kesaksamaan hak dan peluang bagi penyertaan penuh dalam masyarakat khususnya ketika berurusan di Mahkamah Syariah. Buat julung kalinya Bahagian Sokongan Keluarga JKSM berkolaborasi bersama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MYASLI) dan Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia ( PRISMA ) dalam merencana program penerangan dan pemahaman kepada masyarakat awam mengenai prosedur undang-undang dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BSK. Kunjungan hormat ini dihadiri oleh Encik Mohamad Sazali bin Shaari selaku Presiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Puan Wan Zuraida Abu selaku Ketua Jurubahasa Isyarat MFD merangkap Presiden Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyASLI) dan Encik Aqlam Jafri selaku Yang Dipertua Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA). Turut hadir adalah Tuan Mohamad Zakian bin Dio,Pengarah Kanan ( Kehakiman ) JKSM dan Puan Maria binti Jilani,Pengarah Bahagian Sokongan keluarga JKSM. Antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai perkhidmatan jurubahasa isyarat dan cadangan penambahbaikkan bagi kemudahan OKU pendengaran dan pertuturan di Mahkamah Syariah.

01
Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA JKSM KE MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR (MAINJ) BAGI PERBINCANGAN BERKAITAN HAD KIFAYAH NEGERI JOHOR

JOHOR BAHRU, 01 Jun 2023: Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang diketuai oleh Tuan Mohamad Zakian bin Dio, Pengarah Kanan (Kehakiman) dan Puan Maria binti Jilani, Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga JKSM telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bertempat di Majlis Agama Islam Negeri Johor bagi membincangkan kaedah penentuan kadar had kifayah di negeri Johor. Perbincangan telah dipengerusikan oleh Y.B Dato’ (Dr.) Hj Nooh bin Gadut, Penasihat MAINJ dan turut dihadiri oleh Tuan Haji Ismail bin Abu, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ serta pegawai-pegawai kanan MAINJ. Perbincangan mengenai had kifayah ini adalah penting bagi menentukan kelayakan pemohon iaitu Pemiutang Penghakiman terhadap tuntutan BSK Transit yang meliputi tuntutan kos penginapan, makan minum dan pengangkutan bagi menghadiri prosiding berkaitan dengan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah di mana-mana Mahkamah Syariah seluruh Malaysia termasuk kehadiran ke sesi rundingcara BSK yang terhad kepada enam (6) kali sahaja bagi setiap tindakan penguatkuasaan untuk seorang pemohon. Delegasi telah dibentangkan berhubung pengiraan had kifayah negeri Johor oleh Ustaz Mohd Firdaus Bin Abd Hamid, Amin Baitulmal Daerah Johor Bahru dan hasil pembentangan tersebut boleh digunakan oleh BSK Seksyen Negeri Johor di dalam menentukan kelayakan pemohon atau Pemiutang Penghakiman terhadap tuntutan BSK Transit sebelum permohonan tersebut dipertimbangkan oleh BSK JKSM untuk kelulusan. Turut serta dalam kunjungan hormat ini ialah Tuan Mohd Yusof bin Sulaiman, Ketua Penolong Pengarah BSK JKSM, Tuan Ahmad Faizal Tahiron, Penolong Pengarah BSK JKSM dan Puan Nurdiyana binti Aziz , Penolong Pengarah BSK Seksyen Negeri Johor. Usai perbincangan tersebut, delegasi yang diketuai oleh Pengarah Kanan (Kehakiman) menyampaikan penghargaan ucapan terima kasih di atas kesudian MAINJ meluangkan masa menerima kunjungan hormat ini.

01
Program Jabatan

KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM MERAFAK SEMBAH MENJUNJUNG KASIH MENGADAP KDYMM TUANKU PEMANGKU RAJA PERLIS

SEPANG- KDYMM Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan KDYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil telah berkenan menerima mengadap YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, YA Dato’ Haji Mohd Shukor bin Sabudin dan YA Dato’ Mohamad Shakir bin Haji Abdul Hamid yang merupakan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSN Perlis. Sayugia, YAA Dato’ yang mengetuai delegasi JKSM merafak sembah dan menjunjung kasih atas perkenan KDYMM Tuanku menerima mengadap delegasi JKSM berkenaan. YAA Dato’ juga dengan penuh takzimnya merafak sembah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada KDYTM Raja Puan Muda Perlis yang telah menamatkan pengajian dengan jayanya di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Pertemuan bersama KDYMM Tuanku Pemangku Raja Perlis berlangsung penuh harmoni dengan kehadiran bersama Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis serta YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim bin Haji Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Hadir sama, Ketua Pendaftar JKSN Perlis selaku wakil Ketua Hakim Syarie negeri Indera Kayangan tersebut. Dirgahayu KDYMM Tuanku Pemangku Raja Perlis.

1 2 1024x768
Program Jabatan

KURSUS PENGURUSAN AKAUN AMANAH TAHUN 2023

9 FEBRUARI 2023 (PUTRAJAYA) – Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah berjaya melaksanakan Kursus Pengurusan Akaun Amanah (Akaun Belum Terima dan Hapus Kira) Tahun 2023 pada 7 hingga 9 Februari 2023 di Makmal Komputer BTMK, Aras 4 JKSM. Peserta yang terdiri daripada Penolong Pengarah Kanan, Penolong Pengarah, Penolong Akauntan, Pembantu Tadbir (Kewangan) BSK Seksyen Negeri seluruh Malaysia telah hadir sepanjang tiga hari kursus. Penceramah daripada Bahagian Akaun JPM telah hadir bagi menyampaikan ceramah dan memberikan panduan dalam penyediaan Akaun Belum Terima (ABT) BSK serta menerangkan prosedur pelaksanaan hapus kira berdasarkan pekeliling dan tatacara kewangan yang sedang berkuatkuasa. Para peserta turut didedahkan kepada penyediaan laporan ABT dan hapus kira melalui latihan amali, dibentangkan pada hari terakhir kursus untuk maklum balas daripada penceramah. BSK JKSM telah mensasarkan fokus pelaksanaan hapus kira bagi ABT pendahuluan nafkah pada tahun 2023 – 2024 dan pelaksanaan kursus ini menandakan permulaan bagi pelaksanaan strategi ini. Semoga para peserta mendapat manfaat daripada kursus yang telah dilaksanakan serta dapat mengaplikasikan segala maklumat yang telah diberikan sepanjang tempoh kursus dalam pelaksanaan hapus kira pendahuluan nafkah BSK Seksyen Negeri seluruh Malaysia.

01
Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS PENGARAH JABATAN KERJA RAYA NEGERI SABAH

13 Februari 2023 | YA Dato’ Mohd Amran bin Mat Zain, Hakim Rayuan JKSM yang menjalankan tugas Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM hari ini berkesempatan mengadakan Kunjung Hormat ke atas Tuan Haji Arman bin Abdul Muin, Pengarah JKR Negeri Sabah. Antara perkara yang telah dibincangkan berkaitan isu pelaksanaan projek yang sedang dilaksanakan di Mahkamah Syariah Daerah Papar dan isu-isu yang belum selesai bagi projek Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah untuk tujuan penutupan akaun 2023 memandangkan tiada lagi butiran dan peruntukan pada tahun hadapan. Selain itu, JKSM turut menyampaikan hasrat dalam melaksanakan projek bagi Rolling Plan Keempat (RP4) RMKe-12 Tahun 2024 melibatkan daerah Kota Belud, Kudat dan Sandakan. Turut hadir dalam kunjungan ini ialah YAA Datuk Ahmad Din bin OKK Othman, Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah, Tuan Haji Nassir bin Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM, Puan Azlina binti Abdul Aziz, Pengarah Kanan (Pengurusan) JKSM, Puan Surayah binti Ramlee, Ketua Pendaftar, JKSN Sabah.

01
Program Jabatan

KUNJUNG HORMAT BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA JKSM KE JKS NEGERI SEMBILAN

16 Februari 2023 (KHAMIS)- Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) JKSM telah mengadakan kunjung hormat BSK JKSM Ke Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan dan lawatan kerja ke Mahkamah Syariah Port Dickson yang diketuai oleh Tuan Mohd Yusof bin Sulaiman, Ketua Penolong Pengarah BSK JKSM. Sesi taklimat telah disampaikan oleh Tuan Mohd Alimi bin Mohamad, Penolong Pengarah Kanan BSK Seksyen Negeri Sembilan dan YBrs. Tuan Dr. Zul Zaidi bin Mahmod mewakili pihak JKSNS. Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan kepada Pegawai lantikan baharu BSK JKSM berkenaan operasi dan pentadbiran Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan dan BSK Seksyen Negeri Sembilan berkaitan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah Nafkah di Mahkamah Syariah.

01
Program Jabatan

BENGKEL PEMANTAPAN PELAKSANAAN AUDIT EKOSISTEM KONDUSIF SEKTOR AWAM (EKSA)

21 Februari 2023 ( SELASA )- Jawatankuasa Latihan EKSA JKSM dengan kerjasama Bahagian khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia JKSM telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Pelaksanaan Audit Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) bertempat di Dewan Tan Sri Ibrahim Bin Lembut, Aras 5, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Putrajaya pada hari ini. Penceramah jemputan bagi bengkel adalah Tuan Wan Mohd Farid bin Wan Mahadzer daripada Kementerian Pembangunan dan kerajaan Tempatan. Bengkel telah dihadiri oleh Jawatankuasa Latihan, Jawatankuasa Audit Dalam EKSA, Jawatankuasa Promosi dan ketua-ketua sektor/zon yang dilantik. Bengkel ini turut dihadiri oleh Tuan Nik Bukhari Hashimy bin Nik Yahya selaku Ketua jawatankuasa Latihan EKSA JKSM. Objektif utama bengkel adalah untuk memberi pendedahan kepada para peserta berkenaan pelaksanaan audit EKSA di JKSM,menjana idea dan kreativiti dalam mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif. Pengisian bengkel ini meliputi amalan EKSA dari jabatan yang cemerlang, strategi/penambahbaikkan amalan EKSA dan simulasi audit EKSA di zon yang terpilih.

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Contact Us

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.