Author name: jksm_admin

syahirah
03
Program Jabatan

PEMBUDAYAAN KONSEP ITQAN DAN PEKA BAGI MENJAYAKAN PELAN TRANSFORMASI AL-FALAH

KUALA LUMPUR| YAA Dato’ Hj Mohd. Amran Hj Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie beserta pegawai kanan dan warga kerja JKSM telah menghadiri Majlis Perhimpunan Agensi Agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan. Ketika menyampaikan amanat, YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj Mohd. Na’im Hj Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggesa warga agensi agar membudayakan konsep itqan (tekun dan komited) dalam menjalankan amanah. “Saya ingin mengingatkan ketua-ketua agensi dan warga kerja keseluruhannya agar lebih proaktif dalam memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan terutamanya apabila melibatkan keperluan masyarakat.” “Begitu juga ketika mendepani era globalisasi-dasar langit terbuka tanpa sempadan ini, setiap warga perlulah peka terutamanya apabila melibatkan tohmahan palsu, fitnah dan kitar ulang isu. Ini kerana, sekiranya perkara negatif ini dibiarkan, pihak yang tidak bertanggungjawab akan selesa mengulang-ulang dan akhirnya mempengaruhi masyarakat lainnya pula,” tegas Menteri berkenaan. Ketika majlis perhimpunan tersebut, Dato’ Setia Dr. Mohd. Na’im juga melancarkan Buku Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) yang akan menjadi dokumen panduan kerja bagi 14 agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). “Kita ada lima teras, 10 fokus gerak kerja dan lima nilai utama yang dibangunkan. Kita juga ada 21 strategi, 31 program, 11 keberhasilan yang hendak dicapai. Kefahaman, penghayatan kepada pelan ini bukan hanya kepada ketua agensi sahaja, namun perlu diserap oleh keseluruhan warga organisasi,” ujar beliau. Untuk rekod, Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan bangunan ‘Ilaj Home dari JAKIM kepada JAWI, Penyerahan Sijil Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) kepada JAKIM dan Penyerahan Sumbangan Wakaf kepada Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA Kebangsaan). Kurator Berita Unit Komunikasi Korporat, JKSM

02
Program Jabatan

PERASMIAN KOMPLEKS MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH

KOTA KINABALU| Tanggal 6 September 2023 merupakan detik bersejarah bagi warga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSNS) apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menyempurnakan perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah di Kota Kinabalu sempena lawatan Seri Paduka Baginda ke Sabah dalam program jelajah ‘Kembara Kenali Borneo’ bermula 3 September lalu. Turut hadir ke majlis ini adalah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Mahiruddin, Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Menteri Hal Ehwal Agama, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, YAA Dato’ Haji Mohd. Amran Haji Mat Zain serta dif-dif kehormat yang lain. Dalam majlis tersebut Seri Paduka Baginda bertitah agar Hakim Syarie dapat melaksanakan amanah dalam menyelesaikan permasalahan umat Islam di Sabah dengan adil dan cepat. Seusai menyempurnakan perasmian kompleks tersebut, Seri Paduka Baginda berkenan mencemar duli melawat dewan Mahkamah Rayuan serta mendengar taklimat ringkas berkaitan JKSNS yang disampaikan oleh Yang Arif Tuan Ahadin Arinen, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. Seri Paduka Baginda turut beramah mesra bersama warga JKSNS ketika sesi fotografi berlangsung. Untuk rekod, seramai 100 ahli jawatankuasa terdiri daripada kakitangan JKSNS telah bertungkus lumus membuat persediaan bagi menjayakan majlis ini yang turut melibatkan kakitangan daripada agensi lainnya seperti PDRM, RELA dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Syabas dan tahniah diucapkan!

01
Program Jabatan

MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN SERANTAU KEKELUARGAAN ISLAM

PUTRAJAYA| YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Serantau Kekeluargaan Islam anjuran JAKIM di Dewan Ibnu Sina, Masjid Putra pada hari ini. . Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama. . Persidangan yang julung-julung kalinya diadakan ini melibatkan negara serantau yang terdiri dari Brunei, Republik Indonesia dan Singapura bermula pada 21-23 September 2023. . Ia bakal menyaksikan 9 kertas pembentangan mengenai amalan terbaik dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh negara-negara serantau dalam menangani dan menguruskan isu-isu kekeluargaan Islam untuk dikongsikan bersama. . Semoga persidangan ini dapat menepati objektif penganjurannya dan menjadi jaringan kerjasama yang padu dalam kalangan negara anggota MABIMS ke arah pengukuhan institusi kekeluargaan Islam di negara-negara serantau.

01
Program Jabatan

MAJLIS PENYERAHAN NOTA SERAH TUGAS KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA

14 April 2023| Satu Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah diadakan pada tengahari ini bertempat di Pejabat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM telah menerima Nota Serah Tugas terbabit daripada YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga merupakan mantan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM dari April 2019 sehingga Dec 2022. YAA Dato’ Haji Mohd Amran dilantik sebagai Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie secara rasmi pada 10 April 2023. Turut hadir dalam sesi tersebut ialah YBrs. Tuan Haji Nassir bin Abd Aziz; Ketua Pendaftar JKSM dan Tuan Shaiful Azli bin Jamaludin, Ketua Unit Komunikasi Korporat JKSM.

01
Program Jabatan

MUZAKARAH PEGAWAI REKOD DAN PEMBANTU TADBIR REKOD JKSN/MSN TAHUN 2023

09 Februari 2023| Seksyen Rekod, BPKR telah mengadakan Muzakarah Pegawai Rekod dan Pembantu Tadbir Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) / Mahkamah Syariah Negeri (MSN) pada 7 hingga 9 Mac 2023 bertempat di Grand Continental Hotel Langkawi, Kedah. Muzakarah ini telah dirasmikan oleh Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz, Pengarah Bahagian Pendaftaran, Keurussetiaan dan Rekod (BPKR). Tuan Pengarah BPKR dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa muzakarah ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memantapkan pengurusan rekod, menerapkan bekerja secara kumpulan dan mengeratkan silaturrahim sert jalinan kerjasama antara satu sama lain. Selain itu, ianya sebagai platform kepada pegawai-pegawai rekod untuk bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman berkaitan pengurusan rekod di negeri masing-masing. Inisiatif program ini diadakan di luar pejabat dan memilih Langkawi, Kedah adalah kerana untuk membolehkan para peserta memberi tumpuan dan komitmen yang tinggi agar setiap perkongsian ilmu dapat dibuat sepenuh masa tanpa terikat dengan waktu pejabat yang terhad. Selain itu muzakarah ini juga menjemput penceramah yang berpengalaman di dalam pengurusan fail terperingkat iaitu Encik Mohd Azri bin Pramlee daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO). Manakala penceramah Puan Nor Azlina binti Kamarudin daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dijemput bagi memberikan ceramah berkenaan pelaksanaan DDMS kepada peserta muzakarah. Tuan Pengarah BPKR mengucapkan tahniah atas kejayaan aktiviti dan program yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2022, antaranya Retreat Pegawai Sulh, Pegawai dan Pembantu Rekod seluruh Malaysia kali Pertama Tahun 2022 pada 21-23 Mei 2022, Bengkel Galeri Kehakiman Syariah secara dalam talian pada 21 Julai 2022 dan Inspektorat Pengurusan Rekod di JKSN/MSN di 7 buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Johor, Kelantan dan Sabah yang telah diadakan bermula Ogos hingga November 2022. Seksyen Rekod pada tahun ini telah merancang pelbagai program antaranya ialah Inspektorat Pengurusan Rekod JKSN/MSN di 7 buah negeri lagi iaitu Sarawak, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, dan Pahang yang akan diadakan bermula Mac sehingga September 2023, yang bertujuan untuk memastikan pengurusan rekod dilaksanakan dengan teratur dan mematuhi dasar serta panduan pengurusan rekod yang telah ditetapkan. JKSM juga dalam persediaan akhir Galeri Kehakiman Syariah bagi sambutan 25 tahun penubuhan JKSM yang akan diadakan pada 6 Julai 2023 dan akan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Selain itu, Bengkel Pemurnian Klasifikasi Fail Urusan Am dan Fungsian yang melibatkan PRJ/PTRJ bersama Arkib Negara Malaysia juga dalam perancangan untuk diadakan pada bulan September 2023. Tuan pengarah BPKR mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua PRJ/PTRJ atas gerak kerja yang penuh komited dalam melaksanakan pelupusan rekod dan pemindahan rekod yang bernilai kekal ke Arkib Negara Malaysia sepanjang tahun 2022. Diharapkan dengan program Muzakarah yang dilaksanakan ini membolehkan JKSN/MSN seluruh Malaysia dapat menggunakan sistem DDMS secara keseluruhannya dan dapat mempertingkatkan penyampaian dan ketelusan perkhidmatan kerajaan melalui capaian pengurusan rekod secara digital (elektronik). Manakala DDMS 2.0 bertujuan untuk membangunkan sistem pengurusan rekod yang menguruskan rekod rasmi dan rahsia rasmi kerajaan bagi keseluruhan kitaran hayatnya iaitu daripada proses pewujudan, penawanan, penyimpanan, penyelenggaraan, pengedaran dan pelupusan rekod secara digital dan sistematik.Penggunaan DDMS 2.0 dapat mempertingkatkan penyampaian dan ketelusan perkhidmatan kerajaan melalui capaian pengurusan rekod digital (elektronik) any where, any time and any device . Penggunaan DDMS 2.0 juga mewujudkan keseragaman pengurusan rekod elektronik di sektor awam.

01
Program Jabatan

MAJLIS PENUTUPAN KONVENSYEN SEMPENA IJTIMAK PERDANA AGENSI AGAMA SELURUH MALAYSIA (IJPAM) 2023

KOTA KINABALU| YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie JKSM telah menghadiri Majlis Penutupan Konvensyen Sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM SABAH 2023) anjuran JAKIM, Agensi Agama Islam Sabah dan Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) dengan tema “Transformasi Pengurusan Hal Ehwal Islam dalam Era Malaysia Madani” bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu, Sabah. . Majlis ini dimulakan dengan ucapan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan ucapan alu-aluan oleh YAB Datuk Seri Panglima Hj. Hajiji bin Hj. Noor. Manakala Majlis perasmian penutupan konvensyen ini telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. . Semoga konvensyen seumpama ini dapat membumi dan meningkatkan, sekali gus menjelmakan pengurusan hal ehwal agama Islam di seluruh Negara supaya selaras dengan konsep Malaysia Madani.

01
Program Jabatan

SAMBUTAN HARI INOVASI JABATAN KEHAKIMAN DAN SYARIAH MALAYSIA TAHUN 2023

PUTRAJAYA| Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan Sambutan Hari Inovasi JKSM Tahun 2023 bertempat di Dewan Tan Sri Dato’ Setia Ibrahim bin Lembut, JKSM pada 6 Oktober 2023. Program ini melibatkan seramai 200 orang pegawai dan kakitangan JKSM, di samping jemputan khusus pegawai dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri. Hari Inovasi JKSM Tahun 2023 ini diadakan bertujuan untuk memupuk dan menyemarakkan budaya inovasi dalam kalangan warga JKSM. Di samping itu, ianya merupakan platform untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pasukan atau individu yang berjaya menghasilkan inovasi yang memberikan impak positif kepada jabatan. Selaras dengan matlamat JKSM tersebut, beberapa acara menarik telah diadakan seperti Sesi Perkongsian Pengalaman Inovasi dan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), Pameran Inovasi, Pertandingan Inovasi Menghias Pejabat JKSM dan Pertandingan Kuiz Celik Inovasi. Majlis Perasmian Sambutan Hari Inovasi JKSM Tahun 2023 ini disempurnakan oleh YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie JKSM. Menerusi Sambutan Hari Inovasi yang diadakan pada tahun ini, warga JKSM berpeluang untuk mendengar sendiri pengalaman inovasi daripada Kumpulan KIK dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri (JKSN) yang telah melaksanakan projek inovasi dan juga menyertai pertandingan-pertandingan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Kumpulan KIK tersebut juga telah mendapat pengiktirafan dan diumumkan sebagai pemenang di dalam pertandingan inovasi tersebut. Di samping itu, Kumpulan KIK daripada JKSN ini juga membawa bahan pameran untuk dipamerkan di ruang yang disediakan untuk tatapan warga JKSM. Di antara JKSN yang hadir menjayakan Pameran Inovasi tersebut adalah JKSN Selangor, MSN Melaka, JKSN Kedah, JKSN Terengganu dan JKSN Negeri Sembilan. Pertandingan Inovasi Menghias Pejabat JKSM juga mendapat sambutan hangat daripada warga JKSM di mana dalam tempoh kurang dari 1 bulan, setiap bahagian dan unit JKSM telah bertungkus lumus menghias pejabat masing-masing dengan mewujudkan Sudut Inovasi, replika dan arca serta menyediakan info-info yang berkaitan. Penilaian pertandingan tersebut telah dinilai oleh 3 orang hakim yang dilantik dan keputusan pertandingan diumumkan semasa Majlis Perasmian Sambutan Hari Inovasi JKSM. Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) telah diumumkan sebagai Johan Pertandingan manakala Bahagian Khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia (BKPSM) sebagai pemenang tempat kedua. Bahagian Sokongan Keluarga dan Unit Integriti pula telah diumumkan sebagai pemenang di tempat ketiga. Sambutan Hari Inovasi JKSM Tahun 2023 ini telah berjaya menyuntik semangat para warga JKSM untuk bergiat aktif dalam menghasilkan idea dan projek inovasi pada masa akan datang bagi membantu menambahbaik penyampaian perkhidmatan JKSM kepada para pelanggan dan stakeholder. Disediakan oleh: Urus setia Sambutan Hari Inovasi JKSM Tahun 2023 Bahagian Khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia, JKSM

02
Program Jabatan

MAJLIS KUNJUNGAN MAHABBAH DAN DIALOG KEHAKIMAN NEGARA 2023

PUTRAJAYA| Majlis Kunjungan Mahabbah dan Dialog Kehakiman Negara antara Badan Kehakiman Syariah dan Badan Kehakiman Sivil telah berlangsung pada hari ini di Dewan Banquet, Istana Kehakiman, Putrajaya. . Kunjungan Mahabbah dan Dialog Kehakiman ini telah disusun bersama oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) atas inisiatif YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM dan YAA Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat, Ketua Hakim Negara (KHN). . Majlis ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama strategik antara Badan Kehakiman Syariah dan Badan Kehakiman Sivil, mendapat input-input terkini perkhidmatan pentadbiran yang disediakan, berkongsi perkembangan semasa badan kehakiman masing-masing dan saling bertukar-tukar pandangan bagi mencapai titik-titik persamaan yang ada dalam mengangkat martabat kehakiman dan perundangan Negara supaya sama-sama menjunjung ruh dan semangat Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. . Delegasi JKSM diketuai oleh YAA Dato’ KP/KHS JKSM, turut hadir YA Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, YAA Ketua Hakim Syarie Negeri-negeri (JKSN) dan pegawai-pegawai Syariah JKSM. Manakala dari Badan Kehakiman Sivil pula diketuai oleh YAA Tun Ketua Hakim Negara Malaysia dan diiringi YAA Hakim Besar Malaya, YAA Hakim Besar Sabah dan Sarawak, YA Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, YA Hakim-hakim Mahkamah Rayuan, YA Hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan Pegawai-pegawai Kehakiman dari Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Sivil. . YAA Tun dan Badan Kehakiman Sivil menyambut dan mengalu-alukan kunjungan delegasi JKSM ke majlis ini. Delegasi JKSM diberi penghormatan melawat Dewan Mahkamah, muzium kehakiman, perpustakaan dan mendengar taklimat berkenaan E-Kehakiman hasil inovasi badan kehakiman untuk kemudahan pengamal undangan-undang serta masyarakat yang berurusan di Mahkamah Sivil. . Kunjung hormat ini memberi impak yang sangat positif kepada kerjasama strategik antara 2 Badan Kehakiman Negara yang meletakkan asas ihsan, itqan dan keadilan sebagai teras dalam penyampaian perkhidmatan sebagaimana digagaskan oleh al-Quran surah al-Maidah ayat 8 dalam memperkasakan Institusi Kehakiman di Malaysia.

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Contact Us

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.