Keratan Akhbar

Mohd. Naim Mokhtar 2 resize
Keratan Akhbar

616,707 kes Mahkamah Syariah dalam tempoh lima tahun

MUHYIDDIN Yassin (duduk, tengah) merakam kenangan bersama sebahagian Hakim Mahkamah Syariah pada Majlis Perasmian Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Tahun 2020 di Putrajaya hari ini. Turut kelihatan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (duduk, enam dari kiri) dan Mohd. Na’im Mokhtar (duduk, enam dari kanan). – FAISOL MUSTAFA PUTRAJAYA: Kes-kes di Mahkamah Syariah di negara ini menunjukkan peningkatan yang konsisten melebihi 100,000 kes bagi setiap lima tahun.  Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, bagi tahun 2014 hingga 2018 sahaja, kes-kes yang difailkan di Mahkamah Syariah seluruh negara berjumlah 616,707 kes. Beliau berkata, berdasarkan statistik berkenaan, ia menjadi sandaran kepada JKSM agar terus berusaha gigih bagi mencapai maqasid syariah dan maqasid qadhaiyyah dalam menyalurkan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat. Menurut beliau, dalam tempoh 22 tahun penubuhan JKSM, pelbagai kejayaan telah ditempa antaranya ialah pewujudan jawatan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di peringkat Persekutuan bagi tujuan mendengar kes rayuan di negeri-negeri selain penyelarasan akta atau enakmen di seluruh negara mulai tahun 2000. “Bagi tahun 2019, JKSM menduduki ranking pertama dalam kluster perundangan dan kehakiman bagi pencapaian kluster terbaik agensi-agensi agama.  “Di peringkat antarabangsa pula, World Justice Project yang menjalankan kajian berhubung Rule of Law Index (RLI) pada tahun 2018 mendapati bahawa institusi kehakiman, ketelusan keadilan, hak asasi, keterbukaan kerajaan menyumbang kepada kedudukan Malaysia di tempat ke-53 daripada 113 negara di seluruh dunia, yang mana Malaysia merupakan antara lima negara Islam terbaik di dunia.  “Pada tahun 2019, kedudukan Malaysia meningkat ke tangga ke-51 daripada 126 buah negara, dan seterusnya pada tahun ini meningkat ke tangga 47 daripada 128 buah negara dengan Malaysia merupakan negara Islam kedua terbaik di seluruh dunia,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2020 yang dirasmikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini semalam. Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, kajian ilmiah yang dilakukan oleh Gutman dan Voigt terhadap institusi kehakiman di negara-negara Islam menerusi Islamic State Index (ISI) pula memberikan skala 3.602 daripada markah maksimum 4.0 bagi Malaysia.  Katanya, penilaian yang dilakukan tersebut adalah dengan meneliti keislaman sesuatu negara, yang diukur mengikut jumlah penduduk, peruntukan Perlembagaan mengenai Islam dan keanggotaannya di dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).  Dalam pada itu, beliau berkata, JKSM telah mengemukakan beberapa saranan bagi menaik taraf status Ketua Hakim Syarie dan Hakim Syarie di seluruh negara antaranya ialah  penstrukturan semula jabatan itu dengan menzahirkan aspek pengasingan kuasa di antara badan kehakiman dan pentadbiran perundangan melalui pewujudan Suruhanjaya Kehakiman Syariah.   “Penjenamaan JKSM sebagai sebuah jabatan yang menguruskan hal ehwal pengurusan melibatkan perundangan syariah turut dicadangkan selain mengkaji semula kadar emolumen bagi para hakim syariah dengan pewujudan Akta Saraan Hakim Syarie yang khusus,” katanya. – UTUSAN Sumber: Utusan

WhatsApp Image 2020 09 22 at 2.06.15 PM
Keratan Akhbar

Empat Hakim Syarie dilantik anggota Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah

SULTAN Sharafuddin (dua dari kiri) bersama penerima watikah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini. SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenaan menyerahkan watikah pelantikan kepada empat orang Hakim Syarie sebagai anggota Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor dalam satu istiadat di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini. Mereka yang dilantik ialah Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, Mohd. Amran Mat Zain. Pelantikan itu selaras dengan Subseksyen 57(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 itu berkuatkuasa pada 25 Ogos 2020 hingga 24 Ogos 2023. Selain itu, turut dilantik ialah Datuk Mohamad Shakir Abdul Hamid dan Othman Ibrahim berkuat kuasa pada 4 Mei 2020 hingga 3 Mei 2023. Pada istiadat tersebut juga, sembilan orang Hakim Mahkamah Rendah Syariah turut menerima watikah pelantikan iaitu Muhamad Hisyam Zakaria, Salmi Amalia Jamil, Nor Faiz Afsal Abu Bakar, Fairus Jaafar, ‘Afif Sofiuddin Abd. Ghani, Ahmad Faizal Tahiron, Muhammad Mustaqim  Darus, Siti Nazratul Ain Sulaiman dan Mohd. Fakhrurrazi Mahamad. Sementara, Nur Afiqah Ismail dan Nurnazliya Zakaria turut dilantik sebagai pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah. Kesemua pelantikan itu dibuat selaras dengan Subseksyen 59(1) dan Seksyen 60 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Watikah pelantikan turut diserahkan kepada Zakaria Jamil sebagai Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor dan tiga Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah melibatkan Siti Salmiah Ismail, Syahrul Syafie Hariths dan Ramizah Razali. Yang turut hadir dalam istiadat tersebut ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Mohammad Adib Husain dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Mohd. Shahzihan Ahmad.-UTUSAN Sumber: Utusan

08bhmenteri
Keratan Akhbar

Undang-undang Islam tidak pecah belah masyarakat majmuk

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. – Foto BERNAMA KUALA LUMPUR: Dakwaan menyatakan undang-undang Islam boleh memecahbelahkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini adalah tidak berasas sama sekali, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Zulkifli berkata jika rakyat pelbagai kaum dan agama dapat memahami serta menghayati Perlembagaan Persekutuan serta sistem perundangan Islam di Malaysia, kerajaan yakin perundangan Islam bukanlah suatu isu yang sensitif. “Undang-undang Islam itu sendiri, sifatnya inklusif dan progresif yang sesuai dengan peredaran masa. “Ini kerana prinsip-prinsipnya bersifat menyantuni semua kaum dan golongan masyarakat sama ada orang Islam dan orang bukan Islam,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara di sini, hari ini. Hukuman dalam Islam juga, katanya, bersifat mendidik, bukan untuk menghukum semata-mata, justeru, adalah tidak berasas sama sekali dakwaan bahawa undang-undang Islam boleh memecahbelahkan keharmonian masyarakat majmuk. Sementara itu Zulkifli mengakui berlaku ketidakharmonian serta pertindihan antara dua sistem perundangan yang diamalkan oleh negara iaitu perundangan sivil dan syariah. Beliau berkata sehubungan itu kerajaan sentiasa mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengharmonikan perundangan sivil dan syariah tanpa prejudis. Zulkifli berkata namun perkara yang paling utama adalah kedua-dua sistem perundangan ini bertujuan untuk mencari, memberi dan mencapai keadilan. “Apabila matlamat ini jelas, maka usaha untuk mengharmonikan kedua-dua sistem perundangan ini akan menjadi lebih mudah,” katanya. Beliau berkata antara usaha yang sedang giat dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam usaha memperkasakan mahkamah syariah termasuklah cadangan peningkatan peringkat mahkamah syariah, pindaan undang-undang substantif dan undang-undang prosedur. – BERNAMA Sumber: BH Online

Menterjakm1
Keratan Akhbar

10 Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil dilantik

DR Zulkifli. FOTO BERNAMA PUTRAJAYA: Seramai 10 Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan (Jakim) atau dikenali sebagai Jawatankuasa Teknikal dilantik berkuat kuasa 16 Ogos hingga 15 Ogos 2023 depan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu kenyataan hari ini berkata, ahli jawatankuasa teknikal baharu dilantik bagi menggantikan ahlinya yang tamat tempoh 15 Ogos lalu. Katanya, antara sumbangan utama jawatankuasa ini ialah penyeragaman lima Undang-Undang Syariah 2001, iaitu Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam: Undang-Undang Keluarga Islam; Undang-Undang Tatacara Mahkamah Syariah; Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah. “Dari aspek pengharmonian undang-undang syariah dan sivil, Jawatankuasa Teknikal ini memainkan peranan signifikan dalam meminda Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan pada 1988 iaitu dengan memasukkan Fasal (1A) yang memperuntukkan Mahkamah Tinggi Sivil dan mahkamah di bawahnya tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. “Ahli Jawatankuasa Teknikal ini dilantik secara pentadbiran oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik, menamatkan dan melantik semula keanggotaan mana-mana ahli demi kepentingan Jawatankuasa Teknikal terbabit,” katanya. Katanya, Jawatankuasa Teknikal ini ditubuhkan pada 6 Mei 1988 bernaung di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), suatu badan yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja pada 1 Julai 1969 bagi menyelaras hal ehwal Islam di Malaysia termasuk perundangan Islam. Barisan baharu jawatankuasa ini dipengerusikan bekas Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman. Ahli lain adalah bekas Profesor, Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Abdul Monir Yaacob: bekas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya, Datuk Dr Hassan Ab Rahman dan bekas Rektor Profesor Undang-Undang, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin. Selain itu, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar; bekas Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Muhammad Asri Abdullah; bekas Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Malaysia, Datuk A Aziz A Rahim; Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Mohamad Shakir Abdul Hamid; Pengarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) Prof Datin Dr Raihanah Abdullah dan mantan Timbalan Ketua Bahagian, Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara, Rodziah Muhammad. Sumber: Harian Metro

KL19 11082020 YAPEIM GOLD
Keratan Akhbar

Persekutuan, negeri perkasakan mahkamah syariah

Foto BERNAMA KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri berusaha memperkasa institusi Mahkamah Syariah, dengan memperluas bidang kuasa institusi itu, selain menaik taraf sistem kehakiman dan menyemak semula kedudukan Hakim Mahkamah Syariah. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata kerajaan juga sedang meneliti kewajaran untuk menubuhkan semula Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) yang pernah ditubuhkan pada 2017 bagi memartabatkan sistem perundangan Syariah secara holistik, namun terhenti berikutan pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14. “Selain itu, penyeragaman pentadbiran juga dilakukan melalui pembinaan Arahan Amalan Mahkamah Syariah, Kaedah-Kaedah Mahkamah Syariah dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan diguna pakai di seluruh Mahkamah Syariah. “Usaha ini dibuat melalui perbincangan dalam Persidangan Ketua-Ketua Hakim Syarie Seluruh Malaysia dan mesyuarat Ketua-Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini. Beliau menjawab soalan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang). Zulkifli memaklumkan, inisiatif berbentuk inovasi juga sudah diperkenalkan bagi mempercepat penyelesaian kes dan kelancaran pengurusan pentadbiran mahkamah, antaranya e-Bicara, e-Faraid, Program Perceraian Secara Fast Track di Selangor, Program Sifar Kes Tertunggak (SIKET) di Wilayah Persekutuan, E-Syariah Instant Access Procedure (e-Siap) di Pulau Pinang serta pengenalan sistem i-Tray dan i-Post di Terengganu bagi mempercepat penyerahan dokumen dan perintah mahkamah. “Berkenaan tempoh masa penyelesaian sesuatu kes, ia bergantung kepada pelbagai faktor, sama ada dari pihak Mahkamah Syariah, peguam syarie atau pihak dalam kes itu sendiri. “Usaha proaktif sudah dilakukan mahkamah bagi memastikan setiap kes diselesaikan dalam tempoh masa yang munasabah,” katanya. Beliau menegaskan, sebarang usaha untuk menstruktur semula pentadbiran dan prosedur yang diguna pakai Mahkamah Syariah seluruh negara perlu mendapat pandangan dan persetujuan Sultan atau Raja selaku ketua agama di setiap negeri serta pihak berkuasa agama negeri. Menjawab soalan tambahan Noh sama ada kerajaan bercadang menjalankan kajian bagi membandingkan keberkesanan Mahkamah Syariah setiap negeri dalam mengendalikan kes, Zulkifli berkata, beberapa langkah penambahbaikan yang berjaya dilaksanakan di beberapa negeri seperti Wilayah Persekutuan, Selangor dan Terengganu diharap akan menjadi ikutan negeri lain dan akan diperbaiki dari semasa ke semasa. Mengenai soalan tambahan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) sama ada jumlah kakitangan sokongan bagi mengendalikan beban kerja di Mahkamah Syariah mencukupi, Zulkifli menjelaskan, beliau sudah mengadakan lawatan di beberapa Mahkamah Syariah terutama di Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bagi melihat masalah yang dihadapi. “Memang ada masalah kakitangan sokongan kurang cukup. Sebagai contoh di Wilayah Persekutuan, kini sedang dalam proses untuk diisi dengan lebih 30 jawatan baharu dan insya-Allah, akan menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi. Sumber: Berita Harian

51594876765 MahkamahUtama
Keratan Akhbar

Sidang pertama pendengaran kes Mahkamah Utama Syariah Perak hari ini

Pewujudan Mahkamah Utama Syariah itu mendapat perkenan daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. –fotoBERNAMA Sejarah bakal tercipta hari ini dalam sistem perundangan syariah negara, apabila Mahkamah Utama Syariah Perak bersidang buat pertama kali, sejak pengumuman penubuhannya dalam Dewan Undangan Negeri Perak 5 Dis 2018. Sidang pertama itu akan dibarisi panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Syarie Perak Datuk Asa’ari Mohd Yazid, mantan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, bagi mendengar permohonan kebenaran merayu melibatkan satu kes harta sepencarian. Mohd Na’im yang juga Ketua Pengarah JKSM berkata, untuk rekod, Perak adalah satu-satunya negeri yang mewujudkan Mahkamah Utama Syariah, sekali gus mempunyai empat lapisan mahkamah dalam sistem kehakiman syariah di negeri itu. “Sementara bagi negeri-negeri lain setakat ini hanya mempunyai tiga peringkat lapisan mahkamah, iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, dan Mahkamah Rayuan Syariah,” katanya ketika dihubungi Bernama, bagi menjelaskan mengenai penubuhan Mahkamah Utama Syariah itu. Pewujudan Mahkamah Utama Syariah itu, selepas mendapat perkenan daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Mohd Na’im berkata, bagi kes yang bermula di peringkat Mahkamah Tinggi Syariah seperti kes tuntutan harta sepencarian dan kes tuntutan hadanah (hak jagaan anak), hak merayu hanya sekali sahaja, iaitu di Mahkamah Rayuan Syariah, sedangkan kebanyakan kes itu adalah berat dan nilai tuntutannya lebih tinggi. “Dengan wujudnya Mahkamah Utama Syariah iaitu satu lagi lapisan mahkamah selepas Mahkamah Rayuan Syariah, pihak-pihak yang bertikai memperolehi dua kali peluang merayu, dalam memastikan proses keadilan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya. Mohd Na’im berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk menubuhkan Mahkamah Utama Syariah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan terlebih dahulu, sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain. “Namun ia bergantung kepada perkenan Sultan, Majlis Agama Negeri-Negeri & Kerajaan Negeri,” katanya.– BERNAMA Sumber: Astro Awani

41591854905 mahkamah
Keratan Akhbar

Semua Mahkamah Syariah beroperasi sepenuhnya mulai semalam

JKSM bersama Mahkamah Syariah negeri-negeri seluruh negara telah mengeluarkan garis panduan pasca PKP pada 18 Mei lepas. – Gambar fail Semua Mahkamah Syariah di seluruh negara beroperasi semula sepenuhnya semalam, kata Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. Ia susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Jun lepas. Mohd Na’im berkata pihaknya sentiasa komited dalam memastikan pelaksanaan penyampaian perkhidmatan keadilan diteruskan serta operasi Mahkamah Syariah seluruh negara digerakkan selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Pihak saya akan memastikan Mahkamah-mahkamah Syariah di seluruh negara akan mematuhi segala garis panduan keselamatan dan kesihatan yang dikeluarkan. ”Bagi prosedur perbicaraan dan pengurusan kes lama ataupun baharu, pelanggan boleh merujuk mahkamah berdekatan kerana ia ditetapkan mengikut Jabatan Kehakiman Syariah Negeri masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama. Mohd Na’im berkata JKSM bersama Mahkamah Syariah negeri-negeri seluruh negara telah mengeluarkan garis panduan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mei lepas melalui Mesyuarat Khas Ketua-Ketua Hakim Syarie berkaitan pengurus kes pasca PKP. Beliau turut menasihati pelanggan yang mempunyai urusan di mahkamah supaya sentiasa memakai pelitup separuh muka, diwajibkan melalui imbasan suhu badan di laluan masuk yang ditetapkan serta perlu merekodkan kehadiran yang diletakkan di pintu masuk Mahkamah Syariah. “Pelanggan yang mempunyai masalah kesihatan dan golongan berisiko dinasihatkan supaya tidak hadir ke mahkamah,” katanya. Sebelum ini, semua mahkamah syariah di seluruh negara ditangguh dan dilaksanakan secara dalam talian berikutan pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lepas bagi membendung penularan wabak COVID-19. PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang memberikan lebih banyak kelonggaran kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.– BERNAMA Sumber: Astro Awani

MOHD NA'IM MOKHTAR/HAKIM SYARIE SELANGOR
Keratan Akhbar

Mahkamah Syariah mungkin laksana semula prosiding hingga malam

Datuk Dr Mohd Na’im. FOTO NSTP JABATAN Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mungkin melaksanakan semula prosiding mahkamah sehingga malam. Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya menggalakkan mahkamah malam mengambil kira tiga bulan tidak mendengar kes susulan pandemik Covid-19. Menurutnya, mahkamah ditutup dan sebahagian beroperasi susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu diikuti PKP Bersyarat (PKPB). “Berlaku lambakan kes, jadi akan wujudkan semula mahkamah malam bergantung kepada mahkamah syariah di negeri. “Mahkamah akan bersidang dari 6 petang hingga 8 malam atau 7 hingga 9 malam. Kemungkinan besar mahkamah malam akan dihidupkan semula,” katanya. Beliau berkata demikian di siaran langsung di Facebook malam tadi ketika soal jawab dalam talian bersama Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang. Soal jawab itu mengupas normal baharu operasi dan prosedur operasi standard (SOP) Mahkamah Syariah seluruh negara pasca PKP/PKPB. Mohd Na’im berkata, mahkamah syariah pada bila-bila masa sudah bersedia untuk beroperasi dengan kelaziman baharu menerusi SOP yang dikeluarkan JKSM selaras garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Selain itu, pindaan dicadangkan nanti kita juga akan melihat bagaimana melaksanakan persidangan atau perbicaraan secara dalam talian. “Saya percaya persidangan, seminar, pengurusan kes dan bicara dalam talian akan jadi normal baharu yang tidak biasa dilaksanakan sebelum PKP. “Jadi untuk warga mahkamah syariah di seluruh negara termasuk saya, mengambil kesempatan ini mengajak peguam syarie menerima normal baharu ini sebagai menunjukkan fleksibiliti dan keanjalan syariat Islam kepada penyelesaian masalah yang ada,” katanya. Beliau berkata, kegagalan untuk menerima dan mengadaptasi normal baharu itu seterusnya menyebabkan warga kerja serta sistem mahkamah syariah akan ketinggalan. Terdahulu, katanya, dalam tempoh PKP sejak 18 Mac lalu pihaknya sudah mengadakan lima siri mesyuarat khas untuk membangunkan SOP pengendalian kes di Mahkamah Syariah di seluruh negara. “Ia bagi membolehkan kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan mahkamah syariah untuk beroperasi. “”Kita sudah menulis surat kepada MKN pada 14 April dan dapat jawapan pada 24 April untuk membenarkan mahkamah syariah beroperasi secara terhad. “Ia bertujuan mengimbangi keperluan PKP dengan pada masa sama membenarkan mahkamah syariah mengendalikan beberapa kes yang dikategorikan sebagai kes terdesak,” katanya. Sumber: Harian Metro

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Contact Us

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.