Keratan Akhbar

Jakim
Keratan Akhbar

Rundingan undang-undang untuk beku, potong wang bekas suami culas nafkah

KUALA LUMPUR: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sedang berunding dengan Kementerian Kewangan supaya arahan mahkamah syariah berhubung pembayaran nafkah oleh bekas suami boleh dikuatkuasakan mengikut akta berkaitan. Pada masa ini, perintah mahkamah syariah tidak terikat dengan beberapa akta berkaitan seperti yang dikuatkuasakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ini menyebabkan keputusan mahkamah syariah itu tidak membolehkan harta bekas suami dibekukan atau pemotongan wang daripada akaun bank dilakukan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata melalui Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadanah dan Nafkah yang ditubuhkan JKSM, peruntukan bagi penguatkuasaan tindakan seperti pembekuan aset dan pemotongan wang KWSP atau bank, diwujudkan, namun tidak dapat dilaksanakan walaupun dipersetujui Kabinet. “Apabila kita cuba ambil tindakan susulan terhadap pihak lain yang akan terbabit dalam penguatkuasaan ini, kita terpaksa berbincang dengan Kementerian Kewangan kerana dalam akta di bawah BNM, keputusan mahkamah syariah tidak terikat. Begitu juga dengan KWSP. “Justeru, kami sekarang dalam rundingan intensif dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai bagaimana keputusan mahkamah ini juga terikat dalam akta mereka,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini. Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (PAS-Kuala Terengganu) yang bertanya mengenai langkah yang dilaksanakan kerajaan bagi memperkasa mahkamah syariah terutama dalam membela hak wanita dalam isu perkahwinan dan penceraian, di bawah dasar Rahmatan lil Alamin. Menjawab soalan asal Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar), Mujahid berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai agensi pusat dan rakan strategik lain seperti kerajaan negeri dan agensi agama di bawah menteri sudah dan sedang giat melaksanakan program penerangan, penjelasan dan pembudayaan konsep Rahmah kepada masyarakat. Katanya, tiga pendekatan yang dilaksanakan adalah penerangan dan penjelasan, pembudayaan serta penyelarasan agensi, membabitkan 14 siri ‘townhall’ dan wacana eksekutif yang diadakan di tujuh negeri dan empat kementerian, selain sesi libat urus bersama kementerian, jabatan serta agensi kerajaan. “Sehingga Oktober lalu, sebanyak enam negeri sudah melancarkan Program Rahmah, membabitkan 12,000 peserta dan bakinya akan dilaksanakan pada fasa kedua. “Selain itu, kerajaan juga melantik 215 pendakwah dan profesional daripada pelbagai bidang sebagai “Duta Rahmah” yang berperanan menyampaikan dasar ini kepada masyarakat di negeri dan daerah seluruh negara. “Siri jelajah penerangan konsep Rahmah ini juga mula diperluaskan ke kampus dan sebanyak 10 kampus melaksanakan ‘townhall’ Rahmatan lil Alamin bersama mahasiswa mahasiswi,” katanya. Selain itu katanya, program pembudayaan Rahmah turut diperluaskan melalui video pendek dan secara langsung melalui laman Facebook, dan sehingga kini sebanyak 30 siri video diterbitkan. Malah, katanya, beliau juga bertemu dengan duta negara Kesatuan Eropah baru-baru ini untuk menjelaskan pendekatan Rahmatan Lil Alamin yang diambil Malaysia. Sumber: Berita Harian

472028
Keratan Akhbar

Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah dalam rundingan

Mujahid (tengah) pada sidang media di USIM hari ini. NILAI – Kerajaan sedang mengadakan rundingan dengan beberapa pihak berkepentingan termasuk Bank Negara dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mencari penyelesaian supaya setiap keputusan dibuat oleh Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah berkenaan sesuatu kes dapat dilaksanakan dengan sempurna. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, ini kerana ada beberapa keputusan yang diputuskan terikat dengan akta dan undang-undang lain menyebabkan ia sukar dikuatkuasakan. Menurutnya, beberapa siri perbincangan dengan semua pemegang taruh yang diadakan oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menunjukkan perkembangan positif. “Setakat ini tiada masalah hanya perlu rundingan dan jika perlu penglibatan kementerian tertentu lebih kepada pindaan akta di pihak mereka kerana di pihak kami (Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah) telah selesai,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Seminar Kebangsaan Solusi Hadhanah Mahkamah Syariah (Muqarrar) 2019 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini. Selain itu katanya demi kepentingan Mahkamah Khas Hadhanah ini, JKSM telah dihantar ke Australia untuk membuat kajian serta bertukar-tukar pandangan dengan pihak Mahkamah Keluarga di sana bagi menambah baik undang-undang Syariah sedia ada. “Rombongan ini dipimpin oleh Datuk Dr Mohd Na’im untuk mereka bertukar pendapat dengan Mahkamah Keluarga Australia memandangkan mahkamah ini mempunyai piawaian yang agak baik. “Hasil dari pengkongsian pengalaman ini nanti mungkin kita boleh lihat bagaimana untuk kita menambah baik perlembagaan yang ada dalam negara,” katanya. Mengulas mengenai seminar hari ini, Mujahid berkata melalui kertas kerja yang telah dibentangkan pada hari ini, ia mungkin dapat menyumbang kepada kerajaan untuk dijadikan input bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan tuntutan hadhanah dan penguatkuasaannya. Beliau ketika berucap turut berkata, hadhanah atau hak penjagaan adalah isu yang amat kritikal dalam kes membabitkan masalah rumah tangga dan perceraian. Hadir sama, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang dan Naib Canselor USIM, Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin. Sumber: Sinar Harian

449337
Keratan Akhbar

Mahkamah khas nafkah mula beroperasi hari ini

PUTRAJAYA – Mahkamah Rendah Syariah (Bahagian Nafkah) yang bertujuan memendekkan tempoh penyelesaian kes daripada 14 bulan kepada enam bulan mula beroperasi hari ini. Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mahkamah itu mula beroperasi di Dewan Mahkamah Rendah Syariah (MRS) Wilayah Persekutuan. “Untuk makluman, pendaftaran kes pertama pada hari ini akan menggunakan nombor pendaftaran kod kes mahkamah 14005 dan hakim syarie pertama yang diamanahkan mengendalikan kes di dewan MRS (Bahagian Nafkah) ialah Abdullah Zuhdee Ab Halim. “Dengan beroperasinya MRS (Bahagian Nafkah) ini dijangka memendekkan tempoh penyelesaian kes daripada 14 bulan kepada enam bulan,” katanya di sini hari ini. Menurut kenyataan itu, pemerkasaan mahkamah syariah merupakan sebahagian daripada agenda utama kerajaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan keadilan dapat diberikan sebaik mungkin kepada masyarakat. Jelasnya, melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP), Program Pengkhususan Pengendalian Kes Hadanah dan Nafkah serta Pewujudan Bahagian Penguatkuasaan dan Pelaksanaan diwujudkan. Selain itu, melalui program tersebut, fasa pasca bicara selepas perintah dikeluarkan juga diberikan penekanan. “Perkara ini selari dengan prinsip syariah yang digariskan dalam risalatul qada bahawa tugas mahkamah syariah tidak terhenti setakat mengeluarkan perintah, bahkan perlu memastikan perintah dikeluarkan itu dilaksanakan sepenuhnya,” katanya. Sumber: Sinar Harian

Hiasan mahkamah
Keratan Akhbar

Pencetus martabat Mahkamah Syariah

FOTO Hiasan PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) percaya Rang Undang-Undang (RUU) Guaman Syarie 2019 akan menjadi pencetus kepada usaha memartabatkan Mahkamah Syariah di negara ini. Presidennya Musa Awang berkata, pihaknya berharap RUU itu tidak mendapat tentangan daripada mana-mana Ahli Parlimen seterusnya diluluskan. “PGSM berharap RUU Guaman Syarie itu tidak mendapat halangan, bangkangan atau tentangan daripada mana-mana Ahli Parlimen sama ada blok kerajaan atau pembangkang. “Ini kerana RUU itu tidak akan menjejaskan mana-mana pihak, tetapi akan menjadi pencetus kepada usaha memartabatkan Mahkamah Syariah di negara ini kerana peguam syarie adalah sebahagian daripada institusi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof di Dewan Rakyat hari ini, membentangkan RUU Guaman Syarie 2019 bagi bacaan kali pertama. RUU itu akan menjadi undang-undang yang akan mentadbir dan menyelia profesion guaman syarie khususnya di Wilayah Persekutuan sekali gus menaikkan lagi profesion guaman syarie. Musa berkata, RUU itu bukan saja dapat mengangkat profesionalisme peguam syarie di negara ini malah dapat membantu menyelesaikan masalah ketidakseragaman dan ketidakselarasan amalan undang-undang di antara negeri. Malah katanya, ia dapat mengelakkan kemudaratan kepada masyarakat yang timbul akibat daripada ketidakselarasan itu. “Sebelum ini, peguam syarie hanya dikawal selia melalui Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Negeri yang mempunyai peruntukan berhubung kelayakan, penerimaan masuk, tindakan disiplin dan tatatertib yang berbeza-beza antara satu negeri dengan negeri lain. “Perbincangan untuk menggubal undang-undang itu mengambil masa lama iaitu sejak 1984 dan bertukar-tukar daripada seorang menteri ke seorang menteri dan daripada seorang Perdana Menteri ke Perdana Menteri lain. Akhirnya, ia berjaya direalisasikan,” katanya. Menurutnya, cadangan RUU itu melihat pelbagai segi dan mengambil pandangan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) malah mengambil maklum bidang kuasa negeri. Justeru katanya, RUU itu tidak sesekali melangkaui bidang kuasa negeri dan Persekutuan yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan. “Walaupun RUU ini hanya berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan, ia bakal menjadi model undang-undang untuk dijadikan panduan dan contoh penyeragaman undang-undang profesion guaman syarie ke negeri lain seterusnya untuk menggubal Enakmen Peguam Syarie negeri melalui Dewan Undangan Negeri masing-masing,” katanya. Sumber: Harian Metro

MUJAHIT YUSOF / PROGRAM HARI TERBUKA JKSM
Keratan Akhbar

Penyelarasan, penyeragaman undang-undang syariah dilaksana tahun depan

Mujahid hadir pada Hari Terbuka Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di Putrajaya, hari ini. – NSTP/Samadi Ahmad PUTRAJAYA: Penyeragaman dan penyelarasan undang-undang jenayah syariah di seluruh negara dijangka dapat direalisasikan tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa. Katanya, usaha atau roadmap untuk mencapai hasrat itu sudah mencapai kemajuan 40 peratus. “Kami dalam proses untuk menyeragamkan enakmen jenayah syariah di seluruh negara sebab hari ini, semua maklum kesalahan sama (tetapi) hukuman berbeza berlaku di negeri yang berbeza. “Ini tidak baik untuk menunjukkan keadilan dalam Islam,” katanya kepada media selepas menghadiri Hari Terbuka Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di sini, hari ini. Mujahid berkata, JKSM dan bahagian undang-undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah diminta melakukan penyelarasan dan keseragaman dengan menjadikan Akta Wilayah Persekutuan sebagai model. Katanya, Majlis Raja-Raja secara asasnya bersetuju dengan langkah JKSM untuk menyeragamkan undang-undang jenayah syariah di negara ini. Mujahid berkata beliau akan bertemu dengan Exco negeri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama untuk membincangkan perkara itu. “Kami juga tengok enakmen negeri-negeri, kalau nampak ia terbaik, kami akan ambil tetapi akhirnya semua adalah sama dan selaras,” katanya. Mujahid juga berkata, kajian mengenai penghukuman di bawah undang-undang jenayah syariah sedang dilakukan agar kaedah hukuman lebih bersifat memulihkan atau rehabilitatif “Hari ini (hukuman) bersifat punitif (menghukum) bermakna hakim nak buat keputusan dia tiada pilihan sebab rotan, dan penjara itu sahaja (pilihan) dia ada. “Kalau dia (hakim) ambil (pendekatan) untuk bebaskan dengan bon berkelakuan baik, (itu) tiada (dalam) peruntukan. “Oleh kerana falsafah bukan untuk hanya hukum orang, Hakim Syarie boleh menggunakan (hukuman bersifat) rehabilitatif seperti bon kelakuan baik, khidmat masyarakat,” katanya. – BERNAMA Sumber: Berita Harian

71560668451 Divorce
Keratan Akhbar

Penubuhan Mahkamah Khas Perkahwinan mampu bela nasib bekas isteri, anak-anak

Penubuhan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah diharap mampu membela nasib golongan wanita yang berdepan kesukaran selepas penceraian. Penubuhan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah diharap mampu membela nasib isteri dan ibu tunggal yang sering terabai selepas berlakunya penceraian. Walaupun ia baru di peringkat jawatankuasa pelaksana, banyak pihak berharap penubuhan institusi itu akan diwujudkan dalam masa terdekat. Naib Presiden Persatuan Peguam Wanita, Meera Samanther positif bahawa penubuhan mahkamah khas itu mampu menangani kesusahan bukan sahaja golongan isteri, malah anak-anak mereka. “Kami mengalu-alukan inisiatif ini kerana ia akan memberi beberapa cara untuk menangani masalah yang perlu ditanggung oleh isteri dan ibu tunggal.“ Penglibatan Bank Negara dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan memperkuatkan lagi penguatkuasaan institusi itu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad. Beliau turut berharap bahawa kerajaan juga akan mengkaji susunan yang sama untuk perkahwinan membabitkan bukan Islam. Semalam, Kabinet telah meluluskan satu jawatankuasa khas bagi pelaksanaan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah yang mempunyai kuasa menyita harta lelaki culas membayar nafkah kepada bekas isteri. Jawatankuasa khas berkenaan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof bertindak sebagai penasihatnya. Mujahid berkata, jawatankuasa tersebut akan melakukan sesi keterlibatan dengan semua pemegang taruh termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dijangka selesai sehingga hujung tahun ini. Sementara itu, Pengerusi Gerakan Srikandi Malaysia, Wan Ashima Kamaruddin menyatakan sokongannya apabila satu institusi pembelaan terhadap wanita akhirnya bakal dibangunkan. “Banyak ibu tunggal yang kes mereka babitkan penganiayaan dan penipuan tidak mendapat pembelaan sewajarnya. “Jadi mahkamah ini boleh bantu menjaga hak kebajikan wanita termasuk yang berkahwin di sempadan dan suami akhirnya lepas tangan. Kita kena bantu atasi semua itu,” jelasnya. Sumber: Astro Awani

WhatsApp Image 2019 06 12 at
Keratan Akhbar

Ketua Polis Negara terima kunjungan hormat Latheefa Koya, Dr Mohd Na’im

ABDUL Hamid menerima kunjungan hormat daripada Latheefa dan Dr Mohd Na’im di Bukit Aman, pagi tadi. KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador hari ini menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang baharu, Latheefa Koya, di Bukit Aman, pagi tadi. Abdul Hamid turut menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM )Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, yang juga Ketua Hakim Syarie Malaysia. Kunjungan hormat itu bertujuan untuk memperkasakan lagi hubungan kerjasama di antara PDRM dengan SPRM serta JKSM. Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu manakala Dr Mohd Na’im dilantik sebagai Ketua Pengarah JKSM pada 26 Mac lalu. Sumber: BH Online

313463
Keratan Akhbar

Agong terima menghadap Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) berkenan menerima menghadap Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Istana Negara hari ini. – Foto Bernama KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Istana Negara, di sini. JKSM dalam satu kenyataan menyatakan bahawa pertemuan selama 45 minit itu berlangsung dalam suasana yang sangat mesra. “Banyak perkara berkaitan syariah dan perundangan syariah dibincangkan. “Mohd Na’im juga berkesempatan menyampaikan ucapan tahniah mewakili warga JKSM, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri dan Mahkamah Syariah Negeri atas pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16,” menurut kenyataan itu. Mohd Na’im dilantik memegang jawatan tersebut pada Mac lepas bagi menggantikan Datuk Mukhyuddin Ibrahim yang menerajui JKSM sejak 2017. -Bernama Sumber: Sinar Harian

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Contact Us

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.