Author name: jksm_admin

Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM KE ATAS KETUA PENGARAH PENDAFTARAN NEGARA

PUTRAJAYA| Sesi kunjungan hormat Ketua Pengarah/Ketua hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ke atas YBrs. Tuan Zamri bin Misman, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Kamar Gemilang, JPN pada 11 September 2023. Delegasi diketuai oleh YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM yang turut disertai oleh YAA Tuan Mohd. Asri bin Tahir, Ketua Hakim Syarie, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Ketua Pendaftar JKSM, wakil daripada Bahagian Undang-Undang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pegawai Bahagian Dasar dan Penyelidikan, JKSM. Pihak JPN pula dihadiri, antaranya oleh Tuan Saiful Yazan bin Alwi, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Operasi), Pengarah-Pengarah Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat dan Bahagian Dasar dan Pemodenan, Penasihat Undang-Undang dan pegawai-pegawai Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat. YBrs. Tuan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara mengalu-alukan kehadiran JKSM, MSWP dan JAKIM. Antara perbincangan dalam sesi kunjungan hormat ini adalah berkaitan dengan isu permohonan pengangkatan dan pendaftaran pengangkatan anak oleh orang Islam dan isu-isu lain berkaitan dengan mahkamah syariah dan JPN. Semoga dengan kunjungan hormat ini akan merintis ruang kerjasama strategik yang lebih erat antara jabatan-jabatan ini demi kepentingan bersama.

Program Jabatan

KENYATAAN KEPUTUSAN TENDER RASMI. NO TENDER: QT240000000025703

| Satu majlis penyampaian sumbangan telah diadakan oleh Biro Kebajikan dan Pembangunan Insan KKS, JKSM bagi sesi 2024/2026 di Bilik Mesyuarat Utama (BMU), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Majlis ini bertujuan untuk menyampaikan sumbangan kepada warga KKS yang telah mengalami musibah seperti kehilangan ahli keluarga (kematian) dan mereka yang dimasukkan ke hospital (warded). Majlis ini berlangsung secara ringkas serta dengan penuh rasa kebersamaan dan kasih sayang, mencerminkan semangat persaudaraan di kalangan warga KKS ini adalah salah satu inisiatif untuk membantu meringankan beban warga yang sedang menghadapi kesukaran. Seramai 18 orang penerima sumbangan yang telah menerima manfaat berbentuk wang tunai, disempurnakan oleh YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie merangkap Penasihat KKS diiringi oleh YA Dato’ Haji Mohd Shakir bin Abdul Hamid, Pengerusi KKS Sesi 2024/2026. Turut hadir Exco tertinggi KKS dan Duta-Duta Bahagian di majlis tersebut. Semoga bantuan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang sedang diuji. Semoga usaha ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk membantu lebih ramai individu yang memerlukan.

Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS PENGARAH JABATAN KERJA RAYA NEGERI SABAH

13 Februari 2023 | YA Dato’ Mohd Amran bin Mat Zain, Hakim Rayuan JKSM yang menjalankan tugas Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM hari ini berkesempatan mengadakan Kunjung Hormat ke atas Tuan Haji Arman bin Abdul Muin, Pengarah JKR Negeri Sabah. Antara perkara yang telah dibincangkan berkaitan isu pelaksanaan projek yang sedang dilaksanakan di Mahkamah Syariah Daerah Papar dan isu-isu yang belum selesai bagi projek Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah untuk tujuan penutupan akaun 2023 memandangkan tiada lagi butiran dan peruntukan pada tahun hadapan. Selain itu, JKSM turut menyampaikan hasrat dalam melaksanakan projek bagi Rolling Plan Keempat (RP4) RMKe-12 Tahun 2024 melibatkan daerah Kota Belud, Kudat dan Sandakan. Turut hadir dalam kunjungan ini ialah YAA Datuk Ahmad Din bin OKK Othman, Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah, Tuan Haji Nassir bin Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM, Puan Azlina binti Abdul Aziz, Pengarah Kanan (Pengurusan) JKSM, Puan Surayah binti Ramlee, Ketua Pendaftar, JKSN Sabah.

Program Jabatan

KURSUS PROTOKOL, ETIKET SOSIAL DAN PENGURUSAN MAJLIS 2023

Bertarikh 20 hingga 22 Mac 2023, Bahagian Latihan JKSM (BL) telah menganjurkan Kursus Protokol, Etiket Sosial dan Pengurusan Majlis 2023 secara fizikal bertempat di Hotel Ancasa Resident, Port Dickson, Negeri Sembilan yang dihadiri seramai 40 orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan pelbagai gred perkhidmatan agensi kehakiman dan perundangan syariah dari seluruh Malaysia. Kursus ini telah dirangka khusus untuk memberikan pengetahuan mengenai tatacara dan aspek pengurusan majlis yang betul mengikut protokol penganjuran sesuatu majlis. Selain itu, kursus ini juga memberikan pendedahan dan meningkatkan kemahiran pengurusan profesionalisme individu bagi menjayakan sesuatu majlis sekaligus memberikan imej yang baik kepada organisasi. Objektif kursus ini antara lain memberi pengetahuan etika dan protokol dalam sesuatu majlis, mempelajari teori dan amali menguruskan majlis serta kemahiran protokol etiket dan komunikasi dimana adalah diharapkan agar para peserta mengetahui apakah perbezaan pengurusan majlis rasmi dan tidak rasmi, formal dan tidak formal di peringkat organisasi, negeri, kebangsaan dan peringkat antarabangsa. Kursus ini dijayakan oleh dua orang tenaga pengajar daripada Perunding Latihan Kanan dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara, Kuala Lumpur iaitu Puan Suzana Binti Ibrahim, Ketua Unit Kecemerlangan Komunikasi Dan Bahasa Melayu dan Ts. Dr. Rohaizan Binti Daud, Perunding Latihan, Kecemerlangan Komunikasi dan Bahasa Melayu (Komunikasi). Di akhir kursus, para peserta diberi simulasi dan latihan dalam kumpulan yang dibimbing oleh tenaga pengajar dan penilaian dijalankan. Kursus selama 3 hari ini diakhiri dengan perasmian penutup yang disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Latihan JKSM. Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para penceramah serta tahniah kepada para peserta yang berjaya mengikuti kursus ini dengan jayanya. JKSM amat berharap agar segala ilmu dan latihan yang diperolehi daripada kursus ini dapat diamalkan dalam menjayakan sesuatu majlis di jabatan masing-masing.

Program Jabatan

KURSUS HIBAH, AMANAH, WASIAT DAN PROBET (HARTANAH)

GENTING HIGHLANDS| Usaha strategik dan berterusan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam menyediakan latihan berimpak tinggi bagi pembangunan kompetensi Pegawai-Pegawai Syariah seluruh Malaysia wajar dipuji. Kali ini, bertempat di Awana Resorts World, Genting Highlands, Pahang Darul Makmur, Bahagian Latihan, JKSM menganjurkan Kursus Hibah, Amanah, Wasiat dan Probet (Hartanah) dengan pihak penganjur menggariskan empat objektif yang ingin dicapai iaitu meningkatkan kefahaman dan kemahiran kepada peserta mengenai hal perkara berkaitan dengan Hibah, Amanah, Wasiat dan Probet; mendedahkan kepada para peserta tentang konsep dan pelaksanaan Hibah Amanah Tunai, Hibah Hartanah Dalam Cagaran, dan Wasiyyah Wajibah daripada perspektif Syarak, perundangan dan administratif; mendedahkan kepada para peserta mengenai praktik penyediaan dokumentasi Hibah, Amanah, Wasiat secara profesional; dan menyediakan ruang percambahan ilmu dan idea dalam aspek perundangan Hibah, Amanah, Wasiat dan Probet (Hartanah). . Progam yang bermula pada 12 September 2023 dan berakhir hari ini menyasarkan para peserta yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Penolong Penasihat Undang-Undang (Syariah) Negeri-Negeri, serta pegawai-pegawai daripada Bahagian Dasar dan Penyelidikan JKSM. . Hadir merasmikan kursus ini, YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ketika berucap menekankan kepentingan penguasaan bidang ilmu yang berkaitan dengan skop tugas dan peranan pegawai-pegawai. Atas hubungannya dengan penganjuran kursus yang disertai oleh kumpulan sasaran terpilih ini, hal perkara berkaitan hibah dan isu-isu yang berbangkit di dalam prosiding kes sebagai contoh, penguasaan ilmu sepenuhnya haruslah dipastikan menyeluruh. . Mengambil kesempatan dalam ucapannya, YAA Dato’ sempat menyentuh perihal kepentingan menjaga amanah kerana perlanggaran terhadapnya boleh mendatangkan kemudharatan kepada pihak lain. Dalam aspek pelaksanaan tugasan seharian, beliau menyeru supaya pegawai-pegawai hendaklah bersifat tekun dan menitikberatkan kesempurnaan hasil kerja selari dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Beliau turut mendoakan agar para pegawai tergolong dalam kalangan mereka yang amanah, berusaha kuat, dan menjunjung nilai-nilai integriti. Cuplikan ayat al-Quran yang dipetik daripada Surah al-Qassas ayat 26 yang bermaksud, “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang diambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” . Program yang telah diklasifikasikan sebagai berimpak tinggi ini menampilkan penceramah pakar daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sendiri iaitu YA Dato’ Haji Mohamad Shakir bin Haji Abdul Hamid, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, YA Tuan Haji Salehan bin Yatim, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor, YBrs. Tuan Jaiya bin Abu yang merupakan Pengarah Bahagian Pengurusan dan Perundangan Tanah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, dan YBrs. Tuan Ahmad Termizie bin Abdullah, Peguam Bela dan Peguam Cara (Malaya) / Peguam Syarie. . Kursus pada kali ini berakhir dengan pembentangan Resolusi Kursus daripada YBrs. Tuan Mohamad Shahidan bin Abdul Ghapar, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Latihan, JKSM dan untuk rekod, sebanyak sembilan (9) resolusi telah diambil dan dipersetujui untuk kajian susulan.

Program Jabatan

KONTINJEN JKSM MERIAHKAN PERARAKAN SAMBUTAN MAULIDUL RASUL PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN 1445H/TAHUN 2023

KUALA LUMPUR| Perarakan Sambutan Maulidul Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan pada hari ini 14 Oktober 2023 bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur turut dimeriahkan dengan penyertaan Kontinjen Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Seawal jam 6.00 pagi, seramai 20 orang pegawai dan kakitangan JKSM telah hadir sebagai peserta kontinjen di lokasi program. Perarakan bermula jam 8.00 pagi dengan mengarak sepanduk sebagai tanda membesarkan peristiwa Maulidul Rasul dan mengalunkan selawat ke atas baginda Nabi Muhammad SAW di sepanjang perarakan berlangsung. YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie dan YBrs. Tuan Haji Nassir bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM telah hadir sebagai tetamu kehormat dan turut memberikan sokongan kepada pasukan Kontinjen JKSM. Perarakan kontinjen turut disertai oleh pelbagai jabatan kerajaan, swasta serta NGO dengan pelbagai kreativiti yang ditonjolkan oleh kontinjen masing-masing. Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2023 diteruskan dengan acara di dalam Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah dengan ucapan YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), persembahan nasyid, penyampaian Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 1445H / Tahun 2023. Di samping itu, pemenang kontinjen terbaik turut diumumkan di dalam majlis berkenaan. Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/Tahun 2023 berlangsung dengan meriah serta berjaya memberi penghayatan kepada para peserta terhadap perjuangan baginda Nabi Muhammad SAW serta menghargai jasa dan pengorbanan baginda dalam menyebarkan agama Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam. Disediakan oleh: Urus setia Kontinjen Sambutan Maulidur Rasul JKSM 1445H / Tahun 2023

Program Jabatan

EMPAT TERAS KERJAYA DALAM MODUL KEHAKIMAN DAN PERUNDANGAN DIMURNIKAN

| Bahagian Sokongan Keluarga pada hari ini telah mengadakan Program Pengukuhan Organisasi dan Penghayatan Pekerjaan Tahun 2025 bertempat di Rinching ATV Adventure Park, Semenyih Selangor. Tujuan program ini diadakan adalah bagi memupuk semangat berpasukan, bekerjasama, meningkatkan kecekapan dalam menyelesaikan masalah serta meningkatkan produktiviti dalam melaksanakan tugasan selain menguji kekuatan mental dan fizikal pegawai. Program yang dihadiri oleh pegawai dan kakitangan dari Bahagian Sokongan Keluarga ini memulakan aktiviti dengan menaiki ATV mengikut trek-trek yang telah ditetapkan. Kemudian, aktiviti diteruskan dengan aktiviti air di gigi sungai dan makan tengah hari bersama-sama di samping bertukar pandangan dan cadangan dalam meningkatkan motivasi dan sokongan di dalam organisasi. Aktiviti-aktiviti program pada kali ini mendekati alam semulajadi dapat dilihat sebagai suatu simbol kesyukuran dan menghargai ciptaan Allah SWT.

Program Jabatan

KURSUS SIJIL EKSEKUTIF KEMAHIRAN ISTINBAT HUKUM DALAM PENGHAKIMAN SYARIE (KIPSYA) Siri -2/2023

PUTRAJAYA, 18 Mei – Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengadakan Kursus Sijil Eksekutif Kemahiran Istinbat Hukum Dalam Penghakiman Syarie (KIPSYA) Siri 2 bermula pada 17 hingga 18 Mei 2023 dengan kerjasama Institut Fatwa dan Halal (iFFAH) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di JKSM Putrajaya. Objektif kursus ini diadakan adalah bertujuan untuk: 1. Memantapkan pemahaman para peserta berkenaan Pengenalan kepada al-Fiqh, usul al-Fiqh, al-Qada dan dalil-dalil utama hukum Syarak dalam penghakiman Syarie. 2. Memantapkan pemahaman para peserta berkenaan kaedah interpretasi teks Nas Syarak dalam bidang perundangan dan kehakiman Syariah yang terdiri dari Wad’u al-Lafz Li al-Ma’na, Isti’mal al-Lafz fi al-Ma’na, Dalalat al-Lafz ‘ala al-Ma’na dan Kaifiyah Dalalat al-Lafz ‘ala al-Ma’na. Para penceramah juga kerap kali dalam kuliah sepanjang 2 hari ini amat menitik beratkan kepada para peserta berkenaan pemahaman kepada hukum-hakam serta memahami fekah al-Waqi’ dalam membuat alasan penghakiman. KIPSYA siri 2 ini dikendalikan oleh Prof Madya Mohd Nasir bin Abdul Majid, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) USIM, Prof. Madya Dr. Abdul Manan bin Ismail, Pengarah Akademi Fiqh Islami (AFHAM) USIM dan Prof. Dr. Irwan bin Mohd Subri, Professor di Fakulti Syariah dan Undang-undang / Pengarah Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), USIM. Kursus tersebut telah dihadiri seramai 30 orang peserta (kumpulan kedua) terdiri dalam kalangan YA Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah seluruh Malaysia dan Pegawai-pegawai Syariah seluruh Malaysia.

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

[language-switcher]

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.