Author name: jksm_admin

Program Jabatan

KENYATAAN TAWARAN SEBUTHARGA RASMI. NO. SEBUT HARGA QT240000000028670

| Ketua Hakim Syarie, YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, telah turun padang menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Angkat Madani beliau di Pasir Puteh, Kelantan. Ia sebagai tanda solidariti terhadap arahan YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Inisiatif ini dilaksanakan bertujuan membantu meringankan beban mangsa yang terkesan akibat bencana banjir. Penyampaian sumbangan awal ini adalah sejajar dengan seruan YB Menteri menerusi Kenyataan Media beliau semalam agar semua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berganding bahu dalam membantu masyarakat terjejas. YAA Dato’ Haji Mohd Amran menegaskan bahawa sumbangan ini mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan agensi kerajaan terhadap nasib mangsa bencana. Ia adalah usaha kolektif bagi menyahut arahan kerajaan Madani untuk mendekati masyarakat dan membantu mereka mengatasi cabaran pasca banjir dan berharap bantuan awal ini mampu memberi kelegaan kepada saudara-saudara kita yang sedang diuji. Selain itu, Beliau juga menyeru seluruh masyarakat khususnya Persatuan Pegawai Syariah Malaysia melancarkan tabung kutipan Derma dan mengatur gerak kerja membantu mangsa banjir yang terlibat dalam bencana dibeberapa buah negeri yang terkesan. Untuk Rekod, penyerahan awal sumbangan ini dilaksanakan oleh YAA Dato Haji Amran bin Haji Mat Zain sejurus selesai mempengerusikan Mesyuarat penyelarasan Program Santuni Madani Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM di sini hari ini.

Program Jabatan

KURSUS PENGUATKUASAAN, PELAKSANAAN PERINTAH DAN PERINTAH BERSALING HAKIM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH ZON TENGAH

8 Mac 2023: Bahagian Latihan (BL), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan Kursus Penguatkuasaan, Pelaksanaan Perintah dan Perintah Bersaling Hakim Mahkamah Rendah Syariah Zon Tengah kepada Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah (MRS) Zon Tengah bermula 7 Mac 2023 hingga 8 Mac 2023. Kursus ini dikendalikan oleh penceramah jemputan iaitu, Tuan Mohd Hirman bin Ab Raub, Timbalan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Malaya, Klang Selangor. Kumpulan sasaran peserta wajib bagi kursus kali ini ialah seramai 42 orang Hakim Syarie MRS Zon Tengah, iaitu daripada Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Objektif utama kursus ini adalah untuk memberi kefahaman kepada peserta berhubung kaedah-kaedah dan bentuk-bentuk penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah di Mahkamah Syariah yang diperuntukkan dalam Akta/Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah serta memberi panduan kepada peserta dalam pendengaran dan penghakiman kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah Mahkamah Syariah dan pengendorsan Perintah Bersaling. Semua peserta telah menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang kursus ini berlangsung selama dua hari. Semoga kecekapan para peserta dalam menjalankan tugasan hakiki sebagai Hakim Syarie di MRS akan dapat dipertingkatkan hasil daripada kursus ini.

Program Jabatan

KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM MERAFAK SEMBAH MENJUNJUNG KASIH MENGADAP KDYMM TUANKU PEMANGKU RAJA PERLIS

SEPANG- KDYMM Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan KDYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil telah berkenan menerima mengadap YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, YA Dato’ Haji Mohd Shukor bin Sabudin dan YA Dato’ Mohamad Shakir bin Haji Abdul Hamid yang merupakan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSN Perlis. Sayugia, YAA Dato’ yang mengetuai delegasi JKSM merafak sembah dan menjunjung kasih atas perkenan KDYMM Tuanku menerima mengadap delegasi JKSM berkenaan. YAA Dato’ juga dengan penuh takzimnya merafak sembah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada KDYTM Raja Puan Muda Perlis yang telah menamatkan pengajian dengan jayanya di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Pertemuan bersama KDYMM Tuanku Pemangku Raja Perlis berlangsung penuh harmoni dengan kehadiran bersama Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis serta YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim bin Haji Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Hadir sama, Ketua Pendaftar JKSN Perlis selaku wakil Ketua Hakim Syarie negeri Indera Kayangan tersebut. Dirgahayu KDYMM Tuanku Pemangku Raja Perlis.

Program Jabatan

LAWATAN JKSM KE KOMPLEKS KEDIAMAN KAKITANGAN AWAM (KKKA) KLIA

NILAI | YAA Dato’ Haji Mohd. Amran Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah mengadakan lawatan ke Kompleks Kediaman Kakitangan Awam (KKKA), Nilai, Negeri Sembilan pada hari ini.Bersama beliau dalam lawatan tersebut adalah Puan Mazlina Hussain, Pengarah Bahagian Latihan JKSM bersama barisan pegawainya yang terdiri daripada Tuan Mohamad Shahidan Abdul Ghapar (Ketua Penolong Pengarah), Dr. Roziana Mat Amin dan Puan Zurina Musa (Penolong Pengarah Kanan) serta Puan Ira Kartini Chairullah (Penolong Pengarah).Lawatan ke Kem Bina Negara tersebut merupakan susulan lawatan yang dilakukan oleh YB Senator Dato’ Setia Hj Mohd. Na’im Hj Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ke kompleks berkenaan pada 18 September 2023.Ia merupakan inisiatif JKSM dalam usaha merealisasikan hasrat kewujudan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia (AKSM).Untuk rekod, cadangan penubuhan AKSM telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja yang ke-216 pada 19 Mac 2009 di Istana Negara.Walaubagaimanapun, hasrat berkenaan tertangguh atas faktor ekonomi.Inisiatif penubuhan AKSM ini telah digerakkan semula pada 2020 untuk mendapatkan peruntukan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan AKSM.Demi mencapai maksud penubuhan tersebut, maka beberapa siri perbincangan dan lawatan telah dilakukan ke beberapa lokasi berbeza di tanah air.

Program Jabatan

KURSUS PENULISAN ALASAN PENGHAKIMAN BERKESAN (LANJUTAN)

KUALA LUMPUR| Peranan para hakim dalam sistem kehakiman adalah penting, kerana golongan berkenaan telah diamanahkan dengan tanggungjawab menghakimi kes, serta memastikan keadilan disampaikan. Dalam menyampaikan keadilan kepada pihak-pihak, kaedah tradisional dalam penulisan penghakiman telah memainkan peranannya yang tersendiri dalam pendekatan para hakim menulis alasan penghakiman. Walaubagaimanapun, dalam situasi dinamika sosial dan pertambahan kes-kes yang kompleks, terdapat keperluan yang mendesak untuk para hakim mencarigali kaedah terkini dalam penyediaan alasan penghakiman supaya penghakiman yang disediakan jelas, padat, koheren, dan meyakinkan baik dari sudut pandang hakim itu sendiri mahupun pihak-pihak yang menerima penghakiman. Selaras dengan semangat tersebut, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia melalui Bahagian Latihan sentiasa komited dalam mencari rumus terkini dalam memberikan sesuatu yang segar dan baharu dalam bentuk menyediakan latihan kepada Hakim-Hakim Mahkamah Syariah supaya ilmu dan kemahiran golongan tersebut sentiasa dipertingkatkan seterusnya menjadi katalis peningkatan martabat Mahkamah Syariah itu sendiri. Dalam menjayakan hasrat ini, semestinya hal tersebut tidak dapat dilaksanakan secara bersendirian, oleh itu kolaborasi strategik bersama dengan entiti kerajaan yang lain adalah siginifikan dalam membantu institusi kehakiman syariah meningkat dari semasa ke semasa. Dalam konteks kursus pada kali ini, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia melalui Bahagian Latihan dengan kerjasama Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) telah menganjurkan Kursus Penulisan Alasan Penghakiman Berkesan (Lanjutan) pada 9 Oktober 2023 hingga 12 Oktober 2023 (Isnin-Khamis) bertempat di Hotel Dorsett Hartamas, Kuala Lumpur. Kursus ini telah menggariskan tiga (3) objektif yang ingin dipenuhi iaitu mencapai 5C dalam penulisan penghakiman iaitu CLEAR (jelas), CONCISE (padat), COMPREHENSIVE (menyeluruh), COHERENT (koheren/ aliran dan struktur yang mudah difahami) dan CONVINCING (meyakinkan); melatih serta membangunkan kumpulan penceramah dan fasilitator dalam kalangan Pegawai Syariah; dan membolehkan para peserta bertukar-tukar pendapat serta berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai bidang penulisan alasan penghakiman. Berucap di hadapan kira-kira 25 orang peserta yang terdiri daripada YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Pegawai Penyelidik Hakim Mahkamah Rayuan, YAA Dato’ Haji Mohd Amran Bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia menekankan kepentingan menjaga amanah dan dalam aspek pelaksanaan tugas kehakiman pula, beliau menyeru supaya para hakim hendaklah menghukum dengan adil sepertimana yang difirmankan dalam surah al-Nisa’ ayat ke-58. Di samping itu juga, YAA Dato’ sempat memberikan penekanan tentang kewajipan melaksanakan perintah setelah penghakiman dikeluarkan dengan memetik kata-kata Saidina Umar melalui Risalah al-Qada’. Dalam aspek penguasaan metodologi penulisan, beliau menggariskan kepentingan mengadaptasi teknik, struktur dan format paling terkini dalam penyediaan dan penulisan alasan penghakiman. Di penghujung kalam, YAA Dato’ mendoakan agar para hakim tergolong dalam kalangan mereka yang amanah, berusaha kuat, dan menjunjung nilai-nilai integriti. Majlis penutupan kursus ini telah disempurnakan oleh YA Dato’ Sri Hasnah binti Dato’ Mohammed Hashim, Hakim Mahkamah Persekutuan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Latihan Akademi Kehakiman. Dalam ucapannya, beliau menyatakan keterujaan kerjasama dua hala antara pihak Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dalam menjayakan kursus seumpama ini. Beliau mengatakan bahawa, kedua-dua pihak saling dapat mempelajari antara satu sama lain dan melalui kursus ini juga, pembinaan kumpulan penceramah dan fasilitator dalam kalangan Hakim Mahkamah Syariah yang mengikuti kursus ini dapat diwujudkan untuk melatih pula Hakim-Hakim Mahkamah Syariah yang lain supaya ilmu dan kemahiran yang diterapkan melalui kursus ini dapat disebarluaskan dan dimanfaatkan.

Program Jabatan

BENGEK PEMURNIAN KLASIFIKASI FAIL URUSAN AM DAN FUNGSIAN JKSM TAHUN 2024

| Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) hari ini menerima lawatan akademik daripada seramai 65 orang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), bertujuan memperkukuh pemahaman mengenai peranan dan fungsi JKSM dalam sistem kehakiman syariah di Malaysia. YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, pada petang ini berkesempatan turut beramah mesra dengan delegasi yang hadir pada sesi lawatan pada hari ini. Majlis ini telah dipengerusikan oleh YBrs Puan Siti Maszuriyati Aziz, Pengarah Bahagian Pusat Sumber Maklumat dan Penerbitan JKSM, yang turut mengalu-alukan kehadiran para pelajar. Dalam ucapan beliau, Puan Siti menekankan pentingnya kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan agensi kerajaan dalam melahirkan modal insan yang kompeten dan memahami kehakiman syariah. Taklimat informatif telah disampaikan oleh Tuan Mohamad Shahidan bin Abdul Ghafar, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Latihan, yang memberikan pendedahan menyeluruh mengenai struktur dan fungsi JKSM. Seterusnya, Tuan Mohd Yusof bin Sulaiman, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga, berkongsi peranan bahagian tersebut dalam menyokong kesejahteraan institusi keluarga melalui pendekatan syariah. Lawatan ini turut menyaksikan sesi soal jawab yang interaktif, di mana pelajar UIAM mengambil peluang mengemukakan pelbagai soalan berkaitan kehakiman syariah. Respons positif dan semangat ingin tahu para pelajar mencerminkan keterujaan mereka untuk memahami lebih mendalam peranan JKSM. Delegasi juga dibawa melawat Perpustakaan Al-Ghazali, pusat rujukan utama yang kaya dengan sumber-sumber syariah, serta Galeri JKSM yang memaparkan sejarah dan pencapaian jabatan ini. Lawatan ini tidak hanya membuka ruang perkongsian ilmu tetapi turut memperkukuh hubungan strategik antara JKSM dan institusi pendidikan seperti UIAM, sejajar dengan usaha memartabatkan institusi kehakiman syariah di Malaysia.

Program Jabatan

KURSUS TATACARA PROSIDING PERBICARAAN JENAYAH SYARIAH ANJURAN BAHAGIAN LATIHAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA (JKSM)

PUTRAJAYA| Usaha Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam memperkasakan modal insan Pegawai Syariah seluruh Malaysia adalah menjadi agenda berterusan melalui penganjuran progam latihan. Bertempat di Dewan Tan Sri Dato’ Setia Dr Ibrahim Lembut, JKSM, satu Kursus Tatacara Prosiding Perbicaraan Jenayah Syariah anjuran Bahagian Latihan JKSM telah diadakan bermula pada 12 Julai 2023 hingga 14 Julai 2023 yang menyasarkan peserta terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah seluruh Malaysia dan Penolong Penasihat Undang-Undang (Syariah) Negeri. Terdapat tiga objektif program yang digariskan oleh pihak penganjur iaitu bagi mengukuhkan pemahaman para peserta mengenai tatacara prosiding perbicaraan jenayah syariah, memberikan pendedahan berhubung dengan tatacara sebatan syariah melalui demonstrasi sebatan syariah dan membolehkan peserta bertukar-tukar pendapat serta berkongsi pengalaman dan ilmu mengenai bidang tugas masing-masing. Bahagian Latihan beriltizam menjadikan kursus ini sebagai platform kepada peserta memahami undang-undang jenayah syariah dalam kerangka tatacara bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang praktik keadilan dalam perbicaraan di Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian, adalah penting untuk memiliki pemahaman tentang konteks tatacara tersebut beroperasi, tentang bagaimana prosedur jenayah syariah berinteraksi dengan prinsip undang-undang substantif dan undang-undang keretangan. YAA Dato’ Haji Mohd Haji Amran Bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dalam ucapannya di hadapan kira-kira 46 orang peserta program memulakan ucapannya dengan memetik potongan ayat al-Quran daripada Surah al-Zariyat, ayat 56, yang antara lain, menekankan kepentingan bekerja sebagai satu ibadah dan atas dasar tersebut, pelaksanaan tugas harian hendaklah dilakukan dengan sebaik mungkin. Selanjutnya, beliau menegaskan kepentingan menguasai bidang tugas dalam konteks kehakiman dan perundangan, lebih-lebih lagi berhubung dengan pengetahuan serta kemahiran terhadap perkara yang perlu diadili sebagai pembuat keputusan di Mahkamah. Dalam konteks pelaksanaan tugas itu sendiri, beliau menyeru supaya aspek ketekunan dalam penyempurnaan tugas hendaklah dititikberatkan agar hasil kerja sesuai amanah yang dikehendaki. Selain gesaan menguasai skop tugas, kemahiran ke atas perkara yang ingin diberikan keadilan, dan juga aspek ketekunan, beliau turut mengujarkan tausiahnya dalam aspek disiplin dengan menekankan bahawa penjagaan waktu dan menepatinya adalah dituntut serta hendaklah sentiasa dipenuhi dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Kursus tiga hari ini menampilkan tenaga penceramah pakar dalam bidang berkaitan iaitu YBrs. Tuan Awang Armadajaya bin Awang Mahmud, Peguam Bela & Peguam Cara (Malaya) dan TPP Ramli bin Umar dari Bahagian Keselamatan dan Inteligen, Jabatan Penjara Malaysia. . Menarik pada kali ini apabila buat julung-julung kalinya program seumpama ini diadakan slot khas iaitu demonstrasi sebatan syariah dan sivil yang juga dikelolakan oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia diketuai oleh TPP Ramli bin Umar serta dibantu oleh pegawai-pegawainya. YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie pada akhirnya mengharapkan agar semua pihak sentiasa memegang amanah dalam lapangan kehakiman dan perundangan ini dan mendoakan supaya tergolong dalam kalangan pegawai-pegawai yang amanah, berupaya kuat, dan berintegriti. Beliau menutup ucapannya dengan membacakan sepotong ayat al-Quran daripada Surah al-Qassas ayat 26 yang bermaksud “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang diambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah”.

Program Jabatan

KENYATAAN KEPUTUSAN TENDER RASMI. NO TENDER: QT240000000021605

| YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), telah mengetuai satu lawatan kerja ke tapak cadangan pembinaan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia (AKSM) di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau lokasi strategik yang dirancang bagi projek pembangunan AKSM, sebuah pusat latihan unggul yang bakal menjadi simbol kemajuan dalam sistem kehakiman syariah di Malaysia. Program hari ini dimulakan dengan Mesyuarat Permulaan (kick off) Projek AKSM yang diadakan di JKSM bagi membincangkan pelan pelaksanaan projek pembinaan. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Puan Analiza binti Zakaria, Arkitek Penguasa Kanan dari Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR). Turut hadir adalah wakil-wakil dari Cawangan Arkitek, Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, dan Cawangan Kejuruteraan Elektrikal JKR, serta wakil daripada Jabatan Perdana Menteri dan pengurusan tertinggi JKSM. Setelah sesi mesyuarat, program diteruskan dengan lawatan ke tapak cadangan pembinaan, di mana YAA Dato’ Haji Mohd Amran dan delegasi meninjau lokasi yang bakal menempatkan AKSM. Turut menyertai lawatan ini ialah pegawai kanan JKSM, termasuk Tuan Mohamad Zakian bin Dio, Ketua Pendaftar JKSM; Puan Azlina Aziz, Pengarah Kanan (Pengurusan); Tuan Amiruddin bin Hamzah, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia; dan Puan Mazlina Hussein, Pengarah Bahagian Latihan. YAA Dato’ Haji Mohd Amran menegaskan pentingnya pembangunan AKSM sebagai langkah strategik untuk menyediakan pusat latihan yang kondusif, moden, dan mampu memenuhi keperluan kehakiman syariah masa kini dan masa hadapan. Beliau turut mengingatkan semua pihak yang terlibat agar memastikan perancangan dan pembangunan ini dilaksanakan dengan teliti, menepati piawaian profesional, serta sejajar dengan keperluan institusi kehakiman syariah. Projek ini diiktiraf sebagai satu mercu tanda penting dalam usaha JKSM untuk memartabatkan keadilan syariah di Malaysia. Kehadiran dan komitmen semua pihak yang terlibat dalam mesyuarat serta lawatan ini mencerminkan kesungguhan JKSM untuk memastikan kejayaan projek ini sebagai pusat latihan bertaraf Global.

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

[language-switcher]

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.