Author name: jksm_admin

syahirah
02
Program Jabatan

KONTINJEN JKSM MERIAHKAN PERARAKAN SAMBUTAN MAULIDUL RASUL PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN 1445H/TAHUN 2023

KUALA LUMPUR| Perarakan Sambutan Maulidul Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan pada hari ini 14 Oktober 2023 bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur turut dimeriahkan dengan penyertaan Kontinjen Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Seawal jam 6.00 pagi, seramai 20 orang pegawai dan kakitangan JKSM telah hadir sebagai peserta kontinjen di lokasi program. Perarakan bermula jam 8.00 pagi dengan mengarak sepanduk sebagai tanda membesarkan peristiwa Maulidul Rasul dan mengalunkan selawat ke atas baginda Nabi Muhammad SAW di sepanjang perarakan berlangsung. YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie dan YBrs. Tuan Haji Nassir bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM telah hadir sebagai tetamu kehormat dan turut memberikan sokongan kepada pasukan Kontinjen JKSM. Perarakan kontinjen turut disertai oleh pelbagai jabatan kerajaan, swasta serta NGO dengan pelbagai kreativiti yang ditonjolkan oleh kontinjen masing-masing. Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2023 diteruskan dengan acara di dalam Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah dengan ucapan YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), persembahan nasyid, penyampaian Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 1445H / Tahun 2023. Di samping itu, pemenang kontinjen terbaik turut diumumkan di dalam majlis berkenaan. Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/Tahun 2023 berlangsung dengan meriah serta berjaya memberi penghayatan kepada para peserta terhadap perjuangan baginda Nabi Muhammad SAW serta menghargai jasa dan pengorbanan baginda dalam menyebarkan agama Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam. Disediakan oleh: Urus setia Kontinjen Sambutan Maulidur Rasul JKSM 1445H / Tahun 2023

01
Program Jabatan

KURSUS SIJIL EKSEKUTIF KEMAHIRAN ISTINBAT HUKUM DALAM PENGHAKIMAN SYARIE (KIPSYA) SIRI 3 DAN 4 TAHUN 2023

KUALA LUMPUR| YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah merasmikan Majlis Penutup Kursus Sijil Eksekutif Kemahiran Istinbat Hukum dalam Penghakiman Syarie (KIPSYA) Siri 3 dan 4 Tahun 2023. Kursus ini telah dirangka dengan kerjasama antara JKSM bersama Institut Fatwa dan Halal (iFFAH) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang bertujuan menyediakan pelapis, rakan rujuk bidang syarak dan tenaga pakar dalam disiplin ilmu kemahiran istinbat hukum dalam penyediaan alasan penghakiman. Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah terlibat dalam siri kali ini. Kursus ini telah dikendalikan oleh Prof. Dr. Irwan bin Mohd Subri, Prof. Madya Dr. Abdul Manan bin Ismail dan Prof. Madya Dr. Mohd Nasir bin Abdul Majid, kesemuanya merupakan tenaga pengajar pakar daripada USIM. Kursus ini berperanan menjadi platform dan peluang kepada para peserta mendalami ilmu usul fiqh dari segi kaedah dan teknik, memahami konteks dan isu dengan merujuk kepada kaedah-kaedah fiqh (al-Qawaid al-fiqhiyyah) di samping melihat aplikasi penghakiman kes yang diputuskan melalui amalan para sahabat baginda Rasulullah SAW serta para ulama muktabar terdahulu. YAA Dato’ Ketua Pengarah JKSM dalam ucapannya menzahirkan harapan besar agar keluaran pegawai daripada kursus bersiri ini mampu menyebarluaskan ilmu yang diperoleh melalui penulisan dalam alasan penghakiman dan menghuraikan idea-idea menerusi penulisan artikel agar kefahaman yang diraih bertambah mantap dan mampu dimanfaatkan sebaiknya. Beliau juga optimis bahawa usahasama persijilan seperti kursus ini dapat diteruskan pada masa akan datang serta dipanjangkan dalam disiplin/bidang lain demi pemantapan ilmu dan perkongsian manfaat di antara institusi kehakiman syariah dan institusi pengajian tinggi. Disediakan oleh: Urus setia Bahagian Latihan, JKSM

01
Program Jabatan

JKSM MENGUTUK ZIONIS ATAS KEKEJAMAN PEMBERSIHAN ETNIK DAN UMAT ISLAM DI PALESTIN

PUTRAJAYA| YAA Dato’ Hj Mohd Amran Hj Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman rejim Zionis yang membunuh serta melakukan pembersihan etnik dan umat Islam di Palestin. “Semenjak penubuhan negara haram Israel pada 14 Mei 1948 iaitu lebih 70 tahun lalu, umat Islam Palestin ditindas secara berterusan sehingga ke hari ini. Bukan sahaja bermula semenjak peristiwa Nakbah tersebut, namun sebenarnya kezaliman terhadap umat Islam di Palestin bermula lebih awal lagi.” “Sejarah menyaksikan golongan Yahudi ini ditindas di dunia Barat terutamanya di wilayah Eropah Timur. Kerana itu, ketika mereka melarikan diri ke Timur Tengah terutamanya ke Palestin, mereka mengibarkan sepanduk _’The Germans destroyed our families and homes – don’t you destroy our hopes’.”_ “Ironinya, walaupun bangsa Yahudi ini menderita disebabkan kezaliman tentera Nazi, namun kezaliman yang lebih teruk pula ditimpakan kepada warga Palestin yang membantu mereka,” ujar YAA Dato’ Hj Mohd Amran. “Pada hari ini, tentera Zionis sekali lagi mencabuli hak asasi manusia, menzahirkan kedegilan dan keangkuhannya kepada dunia apabila mengebom Hospital Arab Al-Ahli di Bandar Gaza dan membunuh lebih 500 rakyat Palestin terutamanya kanak-kanak, wanita dan orang tua. Pihak berkuasa kesihatan Palestin memaklumkan hampir 3,000 warga Palestin terkorban dengan lebih 11,000 orang cedera semenjak 7 Oktober lalu,” tambah beliau lagi. Sejarah merekodkan bahawa Yahudi telah menubuhkan Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO) secara rasmi pada tahun 1897 melalui persidangan pertamanya di Basel. Pertubuhan ini telah memilih Theodor Herzl sebagai presiden yang pertama dengan matlamat utamanya adalah untuk menubuhkan sebuah negara bagi bangsa Yahudi. Idea ini sebelumnya telah diterbitkan dalam buku yang ditulis oleh Herzl, iaitu ‘Der Judenstaat’ atau The State of Israel. Golongan Yahudi melobi kuasa besar dunia pada waktu tersebut iaitu Britain untuk mendapatkan sokongan dan simpati. Beberapa strategi digunakan dengan mendekati pembuat dasar di Britain untuk menubuhkan negara Israel di Palestin. Antaranya dengan menimbulkan perasaan simpati bagi mendapatkan persetujuan House of Common di Britain. Rentetan itu, satu deklarasi persetujuan dan sokongan oleh Britain telah dikeluarkan menerusi satu surat yang ditulis oleh Menteri Luar Britain, iaitu Arthur James Balfour yang kemudiannya dikenali sebagai Deklarasi Balfour pada 2 November 1917. Serentak itu juga, British melancarkan serangan bagi menawan Palestin. Pada 1918 iaitu selepas Perang Dunia Pertama, Baitulmaqdis dan Palestin jatuh ke tangan British selepas British menewaskan Empayar Islam Uthmaniyyah (1516-1917). Rentetan itu, bermulalah perpindahan secara besar-besaran bangsa Yahudi ke Palestin di bawah naungan British dari 1918-1947. Kurator Berita Unit Komunikasi Korporat, JKSM

01
Program Jabatan

KENYATAAN TAWARAN TENDER RASMI. NO. TENDER QT240000000025703

| Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Dato’ Setia Dr. Hj Mohd. Na’im Mokhtar merakamkan ucapan tahniah kepada 39 orang pegawai syariah yang terpilih untuk mengikuti Kursus Kehakiman Jangka Pendek di Universiti Islam Imam Muhammad Ibnu Saud, Riyadh, Arab Saudi. Kursus Kehakiman Jangka Pendek ini dijadualkan bermula pada 30 Ogos sehingga 20 September 2024 dengan komposisi penyertaan melibatkan 29 orang pegawai lelaki dan 10 orang pegawai wanita. “Saya ingin memaklumkan bahawa pemilihan pegawai ini dilakukan secara telus. Para pegawai yang terpilih tersebut telah berjaya melepasi sesi temu duga yang dikendalikan oleh para pensyarah dari Universiti berkenaan yang diadakan pada penghujung November tahun lalu,” ujar beliau ketika menyampaikan amanat kepada para peserta dalam program taklimat persediaan bagi menghadiri kursus kehakiman berkenaan. “Sesungguhnya, peluang untuk mengikuti kursus ini bukanlah terbuka pada setiap bulan atau setiap tahun. Malah, kali pertama kursus ini diadakan adalah pada 2019 dengan hanya melibatkan penyertaan dari kalangan pegawai lelaki sahaja.” “Alhamdulillah, pada tahun ini Kerajaan Arab Saudi berbesar hati meluaskan peluang ini kepada para peserta wanita dan ianya merupakan satu pengiktirafan kepada pegawai syariah wanita dan sistem perundangan syariah di Malaysia ini sendiri,” tambah Menteri berkenaan lagi. Memandangkan kos yang tinggi dan usaha yang bukan sedikit dicurahkan bagi menjayakan Kursus Kehakiman ini, YB Dato’ Setia Dr. selaku menteri yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan kursus ini mengharapkan output yang terbaik daripada para peserta. “Saya berharap Tuan/Puan meletakkan aras yang tinggi dalam usaha menuntut ilmu ketika berada di sana, sama ada semasa berinteraksi dalam kuliah, mahupun ketika mengadakan kunjungan ke Jabatan/Agensi yang berkaitan.” “Diharapkan Tuan/Puan dapat meluaskan pandangan dan membuka minda terutamanya terhadap aspek prosiding, pengaplikasian teknologi maklumat dalam penyampaian perkhidmatan, sistem pemfailan kes, prosedur sulh/mediasi, pelaksanaan hukuman, fasiliti, pentadbiran sistem kehakiman, statut dan sebagainya.” “Saya juga mendoakan semoga Allah SWT memudahkan urusan permusafiran Tuan/Puan serta dilimpahkan ilmu. Paling utama, saya mengharapkan penglibatan Tuan/Puan tersebut akan memberikan impak positif bukan sahaja kepada diri dan keluarga, namun lebih besar lagi manfaatnya dapat dinikmati oleh masyarakat, institusi kehakiman syariah dan negara amnya,” ujar beliau ketika mengakhiri amanat kepada para peserta. Untuk rekod, Kursus Kehakiman Jangka Pendek di Universiti Islam Imam Muhammad Ibnu Saud, Riyadh, Arab Saudi merupakan kesinambungan kerjasama dua hala antara Kerajaan Arab Saudi dengan Pejabat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta diurusetiakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Para pegawai yang berjaya mengikuti kursus berkenaan terdiri daripada pegawai syariah yang berkhidmat di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-Negeri (JKSN)/Mahkamah Syariah Negeri (MSN), Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri-negeri (JAPENS), Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

01
Program Jabatan

KERJASAMA DUA HALA KERAJAAN MALAYSIA DAN ARAB SAUDI DIPERKASA MENERUSI KURSUS KEHAKIMAN JANGKA PENDEK DI UNIVERSITI ISLAM IMAM MUHAMMAD IBNU SAUD, RIYADH, ARAB SAUDI

| Unit Transformasi E-Syariah (U-TES) Bahagian Pendaftaran Keurussetiaan dan Rekod (BPKR) dengan kerjasama Bahagian Teknologi Maklumat Komunikasi (BTMK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada hari ini meneruskan Lawatan Inspektorat Sistem E-Syariah Versi 3 (ESV3) di bumi ”Che Siti Wan Kembang”. Lokasi yang terpilih ialah Mahkamah Rendah Syariah Pasir Puteh, Kelantan. Pemilihan MRS Pasir Puteh sebagai lokasi inspektorat adalah mewakili Mahkamah Daerah yang terlibat secara langsung dalam Sistem E-Syariah Versi 3. Fokus lawatan pada hari ini adalah untuk menilai tahap penggunaan dan kefahaman pengguna berkaitan Modul Pendaftaran Kes (Penolong Pendaftar), Modul Prosiding (Pembantu Hakim Mahkamah Rendah Syariah) dan Modul Sulh (Pegawai Sulh). Selain itu, objektif inspektorat ini dijalankan bagi menilai tahap kepuasan pengguna Sistem ESV3. Delegasi pada hari ini telah disambut mesra oleh barisan pegawai MRS Pasir Puteh yang diketuai wakil Hakim Mahkamah Rendah Syariah Pasir Puteh iaitu Tuan Amir Sufi bin Mohd Kamil, Pegawai Sulh MRS Pasir Puteh. Setelah menilai tahap penggunaan modul-modul yang terlibat, secara umumnya penggunaan Sistem ESV3 di MRS Pasir Puteh adalah berada di tahap memuaskan dan wajar mendapat pujian. Para pegawai mahir menggunakan sistem dan memahami peranan yang dipertanggungjawabkan. Walau bagaimanapun, beberapa cadangan penambahbaikan telah dikemukakan agar penggunaan Sistem ESV3 dapat dioptimumkan. Untuk rekod, sesi pada hari ini turut dihadiri oleh Puan Hasmaniza binti Ainullah (Penolong Pengarah Kanan BTMK JKSM), Puan Marini binti Azahri (Penolong Pengarah Kanan BTMK JKSM), Encik Anas bin Jamaluddin (Penolong Pegawai Syariah Kanan UTES JKSM), Encik Shahrizan bin A Rahim (Pembantu Syariah Kanan UTES JKSM) dan Pegawai-pegawai ICT JKSN Kelantan. الاتِّحَادُ أَسَاسُ النَّجَاحِ “Perpaduan adalah asas keberhasilan.” ,

02
Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA JKSM KE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI JOHOR

JOHOR BAHRU, 31 Mei 2023: Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang diketuai oleh Tuan Mohamad Zakian bin Dio, Pengarah Kanan (Kehakiman) dan Puan Maria binti Jilani,Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga JKSM telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YAA Tuan Muhammad Khaldun bin Mohamad Sharif, Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor bertempat di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor, Johor Bahru. Delegasi ini telah mengadakan perbincangan tentang perkara-perkara melibatkan perkembangan operasi BSK JKSM yang berperanan membantu golongan yang tidak berkemampuan menerusi tindakan khidmat nasihat, proses perbicaraan di Mahkamah dan juga penyaluran pendahuluan atau bantuan nafkah. Di samping itu, kunjungan hormat ini adalah bagi mengeratkan hubungan antara BSK JKSM dengan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor. Turut serta dalam kunjungan hormat ini ialah Tuan Mohd Yusof bin Sulaiman, Ketua Penolong Pengarah BSK, Tuan Ahmad Faizal Tahiron, Penolong Pengarah BSK JKSM dan Puan Nurdiyana binti Aziz , Penolong Pengarah BSK Seksyen Negeri Johor. Usai perbincangan tersebut, delegasi yang diketuai oleh Pengarah Kanan (Kehakiman) menyampaikan penghargaan ucapan terima kasih di atas kesudian YAA Tuan meluangkan masa menerima kunjungan hormat ini.

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.