Author name: jksm_admin

syahirah
Idris yadim
Keratan Akhbar

Perlu bincang dengan JKSM, elak langgar undang-undang – Idris

Idris (tengah) menyampaikan surat tawaran pelatih DMY sambil disaksikan Nasrudin (kanan). – NSTP/OWEE AH CHUN HULU LANGAT: Cadangan mewajibkan sesi kaunseling terhadap pasangan Islam yang hendak memfailkan permohonan cerai, perlu dibincang lebih lanjut dengan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sebelum sebarang keputusan mengenainya dimuktamadkan. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, menyifatkan saranan itu sebagai baik untuk membendung kes perceraian dalam kalangan pasangan Islam, namun ia perlu diteliti bagi mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang sedia ada. “Perkara ini perlu dirujuk dengan JKSM terlebih dahulu kerana mereka lebih tahu. Jika saya beritahu boleh atau tidak boleh (mewajibkan sesi kaunseling), mungkin akan bertentangan dengan undang-undang. “Apatah lagi sekiranya sudah diwajibkan nanti tetapi tidak dilaksanakan pula, ia akan menjadi perkara yang salah. “Oleh itu, isu ini perlu dibincangkan dengan JKSM dan penasihat undang-undang kita terlebih dahulu,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Akademi Dai’e Muda (DMY) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Institut Latihan Dakwah YADIM, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan. Sebelum ini, BH melaporkan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) serta Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan sesi kaunseling kepada pasangan yang hendak memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah, bagi menangani peningkatan kes cerai terutama dalam kalangan pasangan Islam. Ia susulan pendedahan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, di Dewan Rakyat, baru-baru ini, bahawa kira-kira lima permohonan cerai membabitkan pasangan Islam diterima Mahkamah Syariah seluruh negara, setiap jam ketika pandemik COVID-19 bermula Mac 2020 hingga Ogos lalu. Ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti di masjid dan surau termasuk cadangan agar saf kembali dirapatkan untuk solat berjemaah pula, Idris berkata, Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan mengambil pandangan semua pihak berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu. Bagaimanapun secara umum, beliau menjelaskan, antara indikator utama akan diambil kira ialah memastikan jemaah lengkap vaksinasi COVID-19. “Selain Sahibus Samahah serta ahli MKI, mesyuarat itu nanti akan turut disertai pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya. Sumber: Berita Harian

DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
Keratan Akhbar

PM calls on syariah officers to imbibe ‘Malaysian Family’ spirit

Prime Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob delivers his speech in conjunction with the Unition Nations General Assembly on Sept 25. – Bernama photo KUALA LUMPUR (Sept 29): Prime Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob today urged syariah officers to imbibe the ‘Malaysian Family’ spirit and responsibilities for fair and equitable implementation of Islamic law by placing a high standard in ensuring justice in Islam. He said although the syariah courts in each state of Malaysia had their own and exclusive jurisdiction, this was no obstacle for the institution to move together in the spirit of the ‘Malaysian Family’. “The ‘Malaysian Family’ concept introduced by my administration has placed the interest of society at the top. “The ‘Malaysian Family’ will always compromise, promote understanding, work together for the greater good, avoid destructive conflicts and focus on the goal of equality,” he said when opening the virtual International Syariah Judiciary Conference (PKA) 2021, here, today. Ismail Sabri also wants the syariah judges and officers in this country to have a high level of integrity and to always be calm in making a decision or in carrying out their work and responsibilities. He stressed that they also needed to close ranks and be on the same wavelength with the current leaders to uplift the syariah judicial system in the country. “The spirit of togetherness and consultation is the pillar of the family principles that I wish for, so let’s together bring this to reality in the syariah legal and judicial institution,” he said. The prime minister also suggested that the syariah judicial institution continue to be proactive in exploring new and more effective service norms. These include utilising long-distance communications technology in delivering services by the syariah courts, which is in tandem with the country’s current situation of being in the transition phase of recovery due to the Covid-19 pandemic. The two-day PKA 2021 from today is organised by the Malaysia Department of Syariah Judiciary (JKSM) with the cooperation of the Melaka state government, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan (Federal Territories Islamic Religious Department), Melaka Islamic Religious Department and Melaka Syariah Court. Besides Malaysian religious officers, the participants are from Singapore, Palestine, Brunei, Indonesia, Maldives, Papua New Guinea, Australia, Yemen and Qatar. – Bernama Sumber: The Borneo Post

Ismail 1 e1629218303262 1 e1632897056331
Keratan Akhbar

Hakim syarie, pegawai syariah perlu berintegriti tinggi

Ismail Sabrii PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru hakim syarie dan pegawai syariah agar sentiasa mengamalkan sikap integriti yang tinggi dan tenang dalam membuat suatu keputusan. Beliau berkata, sikap tersebut juga perlu dalam mereka melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang dipikul. “Nasihat saya kepada semua hakim Syarie dan Pegawai Syariah seluruh Malaysia hendaklah merapatkan saf dan bersama-sama dengan kepimpinan semasa dalam mencapai usaha-usaha bagi memartabatkan sistem Kehakiman Syariah di negara ini. “Sifat kebersamaan dan nilai musyawarah inilah merupakan tunjang bagi prinsip kekeluargaan yang saya hasratkan dan bersama-samalah untuk kita menzahirkannya di dalam Institusi Kehakiman dan Perundangan Syariah,” katanya di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika berucap secara online merasmikan Persidangan Kehakiman Syariah Antarabangsa (PKA) 2021 anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) hari ini. Program julung kali diadakan bertujuan mempertingkatkan kerjasama dan memenuhi aspirasi Malaysia sebagai pusat perkembangan bagi institusi kehakiman syariah seterusnya menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan bagi sistem kehakiman dan perundangan syariah. Persidangan kali ini dihadiri oleh pelbagai negara termasuk para peserta dari Palestin, Qatar, Republik Yaman, Papua New Guines, Maldives, Australia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Ismail Sabri berkata, melalui persidangan antarabangsa seperti PKA, perbincangan ilmiah mengenai isu-isu kehakiman syariah dapat diadakan. Katanya, usaha itu amat penting dalam membantu pihak kerajaan dan pihak berkuasa agama negeri-negeri mendapatkan penjelasan berhubung isu-isu undang-undang syarak yang kadang-kala agak rumit untuk ditangani secara bersendirian. “Saya menyedari bahawa tugas dan tanggungjawab para Hakim Syarie dan Pegawai Syariah amat berat dalam menegakkan hukum berlandaskan agama Islam. Bagaimanapun, mereka hendaklah menyempurnakan tugas-tugas yang diamanahkan dengan penuh sabar dan ikhlas,” katanya. – K! ONLINE Sumber: Kosmo

ANAKCERAII1A
Keratan Akhbar

‘Doakan saya boleh bertahan’

Kuala Lumpur: “Doakan saya boleh bertahan untuk besarkan anak. Sejak berpisah tujuh bulan lalu, saya tidak tahu ke mana lagi hendak mengadu. “Duit simpanan tidak seberapa habis digunakan. Sepatutnya kes sudah didengar di mahkamah namun tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Muna. Ibu tunggal berusia 30-an itu buntu memikirkan masa depan anak-anaknya berusia dua hingga lapan tahun selepas menggalas tugas sebagai ibu dan bapa serentak. Katanya, dia tidak menyangka rumah tangga dibina lebih 10 tahun lalu hancur di tengah jalan dan lebih malang, suaminya sudah berkahwin baharu dan langsung tidak mengambil tahu soal anak. “Sebelum ini saya nekad besarkan anak dengan wang sendiri. Dengan adanya nafkah, ia serba sedikit membantu saya membiayai persekolahan dan perbelanjaan harian mereka. “Tetapi saya tidak tahu bila akan dapat nafkah ini. Semakin hari berlalu rasa seperti hilang semangat,” katanya yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang di selatan tanah air. Seorang lagi ibu tunggal mahu dikenali sebagai Rohaya, 30-an, berkata hidupnya bersama tiga anak bertambah sukar apabila tidak menerima nafkah daripada bekas suami. Menurutnya, keadaan bertambah meruncing apabila terpaksa menjaga anak bongsunya yang juga orang kurang upaya (OKU) dan pada masa sama dia juga hamil anak yang keempat. Katanya, sejak berpisah dengan suami pada awal tahun ini, dia terpaksa menumpang ihsan ibu bapanya di Kedah kerana tiada wang menyara kehidupan bersama anak selain tiada tempat untuk berlindung. Sepatutnya perceraian saya sudah didengar di mahkamah, tetapi sampai sekarang saya tidak tahu bagaimana statusnya. “Tak tahu sampai bila akan hidup begini. Adik-beradik lain juga tinggal bersama dan saya rasa seperti menyusahkan mereka pula,” katanya. Justeru, dia berharap kesnya dapat didengar dan diputuskan segera untuk memberi keadilan kepada anak-anaknya buat mereka meneruskan kehidupan mendatang. 36,983 kes cerai didaftar sejak PKP Mereka mungkin tidak mengerti apa-apa kerana masih kecil namun anak-anak berdepan nasib dan masa depan tidak menentu kerana perpisahan ibu bapa mereka. Ini menyebabkan timbul masalah sosial seperti kemiskinan, ponteng sekolah dan lebih malang lagi ada yang terjerumus ke dalam kancah pelacuran. Semua berpunca daripada segala urusan berkaitan perceraian dan tuntutan nafkah menjadi semakin sukar ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Mohd Naim Mokhtar berkata, berdasarkan statistik pendaftaran kes, ada 201 kes nafkah tertunggak direkodkan di seluruh negara sejak Mac 2020 hingga Mei lalu. Menurutnya, setakat ini 36,983 kes perceraian didaftar di mahkamah syariah seluruh negara sepanjang tempoh itu. Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 18,783 kes berjaya diselesaikan iaitu 11,539 kes pada PKP1.0, PKP 2.0 (5,216 kes) dan 2,028 kes dari April 2021 hingga Mei lalu. “Ia bukanlah isu baru, tetapi nafkah tertunggak ini banyak kesannya. Atas dasar nafkah adalah perkara yang penting maka pengabaiannya memerlukan campur tangan pihak berwajib. “Justeru, JKSM sentiasa mengambil tindakan proaktif dalam membantu ibu tunggal dan anak mendapatkan kembali hak mereka terutama pembayaran nafkah daripada bekas suami atau bapa seperti perintah mahkamah,” katanya. Katanya, ia termasuk menubuhkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) pada 2008 bagi membantu menguat kuasa dan melaksana perintah nafkah yang gagal dipatuhi oleh bekas suami atau bapa. “Kewujudan BSK di mahkamah syariah bagi membantu ibu tunggal dan anak-anak sekiranya bekas suami enggan membayar nafkah dengan menguatkuasakan perintah mahkamah,” katanya. Mohd Naim berkata, fungsi lain BSK adalah menyediakan pendahuluan nafkah (bersifat revolving fund yang disalurkan kerajaan) dan bantuan nafkah ( disalurkan Majlis Agama Islam Negeri) kepada penghutang penghakiman (isteri atau bekas isteri) tidak berkemampuan (iaitu yang berada di bawah had kifayah) selama enam bulan selepas kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah didaftarkan di mahkamah syariah. Menurutnya, jumlah pendahuluan nafkah itu seperti dinyatakan dalam perintah nafkah mahkamah syariah. Katanya, selain pemantauan pematuhan perintah melalui integrasi e-nafkah dan e-syariah, JKSM melalui BSK mengadakan promosi dan kaunter bergerak secara berkala di tempat tumpuan awam bagi memudahkan orang awam mendapatkan khidmat nasihat perundangan syariah dan guaman berkaitan perintah nafkah. Dalam pada itu, Mohd Naim berkata, dari segi pengabaian, 148 aduan diterima iaitu 78 aduan pada PKP 1.0, 26 aduan pada PKP 2.0 manakala selebihnya pada PKP yang terbaharu. “Apabila aduan diterima, BSK akan mengeluarkan notis kepada bekas suami atau bapa yang dilaporkan melakukan pengabaian nafkah. “Tindakan selanjutnya akan dilaksanakan berdasarkan undang-undang dan garis panduan sedia ada bagi memastikan pembayaran nafkah dilaksanakan. “Kepada pasangan suami isteri berdepan situasi ini atau dalam proses penceraian, saya nasihatkan walau apapun keadaan dan sekiranya penceraian jalan terbaik, kebajikan anak terutama nafkah perlu diutama bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka,” katanya. Sumber: Harian Metro

MOHD. NAIM MOKHTAR
Keratan Akhbar

Pegawai syariah wanita diseru cipta inovasi dalam penyampaian perkhidmatan

MOHD. NA’IM MOKHTAR PUTRAJAYA:  Pegawai-pegawai syariah wanita di negara ini dan rantau Nusantara diseru sentiasa berusaha mencipta inovasi dalam proses penyampaian perkhidmatan dalam bidang perundangan dan kehakiman syariah. Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar ketika berucap merasmikan Seminar Perundangan dan Kehakiman Syariah Wanita Nusantara 2021 berkata, program itu juga dijangka dapat membuka ruang kepada pegawai wanita untuk meneroka peranan dan berkongsi cabaran sepanjang keterlibatan dalam bidang perundangan dan kehakiman syariah. “Objektif seminar juga meneliti prospek kerjaya pegawai wanita dalam bidang perundangan dan kehakiman syariah selain mengupas isu-isu semasa melibatkan wanita dan kanak-kanak serta menilai kembali undang-undang serta peraturan yang diaplikasikan bagi isu-isu terbabit,” katanya. Seminar secara dalam talian itu bertemakan Wanita: Isu-Isu Semasa Perundangan Dan Kehakiman Syariah dan julung kali diadakan sejak dua dekad penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).  Seramai 373 peserta terlibat dalam seminar itu terdiri daripada pegawai syariah, penolong pegawai syariah dan pembantu syariah di seluruh negara selain turut disertai pegawai wanita dari Indonesia, Brunei, Singapura dan Maldives.  Mohd. Na’im yang juga Ketua Pengarah JKSM turut mengajak semua peserta seminar menelurusi sejarah Islam, pengiktirafan tertinggi dan solidariti yang diberikan kepada golongan wanita. Pada seminar berkenaan, dua sesi pembentangan kertas kerja  berkaitan tajuk Peranan Dan Cabaran Pegawai Perundangan Dan Kehakiman Syariah Wanita Dalam Sistem Kehakiman Dan Perundangan Berdasarkan Pengalaman Negeri Serantau dibentangkan.- UTUSAN ONLINE  Sumber: Utusan

IMG 20210728 WA0020 768x432
Keratan Akhbar

Firma guaman Syarie boleh mohon beroperasi

ALHAMDULILLAH, saya dengan sukacita ingin memaklumkan bahawa Peguam Syarie di seluruh negara boleh mengemukakan permohonan bagi pengoperasian pejabat atau firma Guaman Syarie sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) melalui sistem Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MlTl) – COVID-79 Intelligent Management System (CIMS) sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN). Permohonan tersebut akan diuruskan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi tujuan pertimbangan untuk kelulusan pengoperasian, tertakluk kepada SOP yang telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertarikh 15 Julai 2021. la juga tertakluk kepada negeri-negeri yang berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN). Permohonan boleh dibuat melalui Kluster Perundangan dan Kehakiman Syariah dan Sektor Guaman Syarie yang mempunyai empat Subsektor iaitu Khidmat Nasihat Profesional Guaman Syarie, Perkhidmatan Guaman Syariah, Perkhidmatan Khidmat Nasihat dan Peguam Syarie bagi tuntutan Harta Pusaka, Hibah dan Wasiat dan Perkhidmatan Perunding Keluarga Islam. Saya mengharapkan peluang ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua Peguam Syarie di seluruh negara dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Suka juga diingatkan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama terutamanya Peguam Syarie untuk mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh MKN seterusnya dapat mengelakkan berlaku penularan wabak COVID-19 ini semasa pengoperasian pejabat atau firma guaman Syarie. Gunakanlah pendekatan yang terbaik sebagaimana yang telah ditetapkan oleh MKN bagi pengurusan kes di Mahkamah Syariah. Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan atas kerjasama yang dihulurkan oleh pihak Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN), MKN, MITI, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bagi mempermudahkan usaha ini. Semoga kita semua dilindungi Allah S.W.T dari musibah wabak COVID-19 ini serta dapat meneruskan perkhidmatan kepada orang awam dan masyarakat meskipun dalam keadaan yang berlaku pada hari ini. YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRIMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)28 Julai 2021 bersamaan 18 Zulhijjah 1442H – HARAKAHDAILY 28/7/2021 Sumber Asal: https://www.facebook.com/100044315565310/posts/377643550389494/ Sumber: Harakah Daily

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.