Keratan Akhbar

Ismail 1 e1629218303262 1 e1632897056331
Keratan Akhbar

Hakim syarie, pegawai syariah perlu berintegriti tinggi

Ismail Sabrii PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru hakim syarie dan pegawai syariah agar sentiasa mengamalkan sikap integriti yang tinggi dan tenang dalam membuat suatu keputusan. Beliau berkata, sikap tersebut juga perlu dalam mereka melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang dipikul. “Nasihat saya kepada semua hakim Syarie dan Pegawai Syariah seluruh Malaysia hendaklah merapatkan saf dan bersama-sama dengan kepimpinan semasa dalam mencapai usaha-usaha bagi memartabatkan sistem Kehakiman Syariah di negara ini. “Sifat kebersamaan dan nilai musyawarah inilah merupakan tunjang bagi prinsip kekeluargaan yang saya hasratkan dan bersama-samalah untuk kita menzahirkannya di dalam Institusi Kehakiman dan Perundangan Syariah,” katanya di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika berucap secara online merasmikan Persidangan Kehakiman Syariah Antarabangsa (PKA) 2021 anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) hari ini. Program julung kali diadakan bertujuan mempertingkatkan kerjasama dan memenuhi aspirasi Malaysia sebagai pusat perkembangan bagi institusi kehakiman syariah seterusnya menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan bagi sistem kehakiman dan perundangan syariah. Persidangan kali ini dihadiri oleh pelbagai negara termasuk para peserta dari Palestin, Qatar, Republik Yaman, Papua New Guines, Maldives, Australia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Ismail Sabri berkata, melalui persidangan antarabangsa seperti PKA, perbincangan ilmiah mengenai isu-isu kehakiman syariah dapat diadakan. Katanya, usaha itu amat penting dalam membantu pihak kerajaan dan pihak berkuasa agama negeri-negeri mendapatkan penjelasan berhubung isu-isu undang-undang syarak yang kadang-kala agak rumit untuk ditangani secara bersendirian. “Saya menyedari bahawa tugas dan tanggungjawab para Hakim Syarie dan Pegawai Syariah amat berat dalam menegakkan hukum berlandaskan agama Islam. Bagaimanapun, mereka hendaklah menyempurnakan tugas-tugas yang diamanahkan dengan penuh sabar dan ikhlas,” katanya. – K! ONLINE Sumber: Kosmo

ANAKCERAII1A
Keratan Akhbar

‘Doakan saya boleh bertahan’

Kuala Lumpur: “Doakan saya boleh bertahan untuk besarkan anak. Sejak berpisah tujuh bulan lalu, saya tidak tahu ke mana lagi hendak mengadu. “Duit simpanan tidak seberapa habis digunakan. Sepatutnya kes sudah didengar di mahkamah namun tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Muna. Ibu tunggal berusia 30-an itu buntu memikirkan masa depan anak-anaknya berusia dua hingga lapan tahun selepas menggalas tugas sebagai ibu dan bapa serentak. Katanya, dia tidak menyangka rumah tangga dibina lebih 10 tahun lalu hancur di tengah jalan dan lebih malang, suaminya sudah berkahwin baharu dan langsung tidak mengambil tahu soal anak. “Sebelum ini saya nekad besarkan anak dengan wang sendiri. Dengan adanya nafkah, ia serba sedikit membantu saya membiayai persekolahan dan perbelanjaan harian mereka. “Tetapi saya tidak tahu bila akan dapat nafkah ini. Semakin hari berlalu rasa seperti hilang semangat,” katanya yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang di selatan tanah air. Seorang lagi ibu tunggal mahu dikenali sebagai Rohaya, 30-an, berkata hidupnya bersama tiga anak bertambah sukar apabila tidak menerima nafkah daripada bekas suami. Menurutnya, keadaan bertambah meruncing apabila terpaksa menjaga anak bongsunya yang juga orang kurang upaya (OKU) dan pada masa sama dia juga hamil anak yang keempat. Katanya, sejak berpisah dengan suami pada awal tahun ini, dia terpaksa menumpang ihsan ibu bapanya di Kedah kerana tiada wang menyara kehidupan bersama anak selain tiada tempat untuk berlindung. Sepatutnya perceraian saya sudah didengar di mahkamah, tetapi sampai sekarang saya tidak tahu bagaimana statusnya. “Tak tahu sampai bila akan hidup begini. Adik-beradik lain juga tinggal bersama dan saya rasa seperti menyusahkan mereka pula,” katanya. Justeru, dia berharap kesnya dapat didengar dan diputuskan segera untuk memberi keadilan kepada anak-anaknya buat mereka meneruskan kehidupan mendatang. 36,983 kes cerai didaftar sejak PKP Mereka mungkin tidak mengerti apa-apa kerana masih kecil namun anak-anak berdepan nasib dan masa depan tidak menentu kerana perpisahan ibu bapa mereka. Ini menyebabkan timbul masalah sosial seperti kemiskinan, ponteng sekolah dan lebih malang lagi ada yang terjerumus ke dalam kancah pelacuran. Semua berpunca daripada segala urusan berkaitan perceraian dan tuntutan nafkah menjadi semakin sukar ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Mohd Naim Mokhtar berkata, berdasarkan statistik pendaftaran kes, ada 201 kes nafkah tertunggak direkodkan di seluruh negara sejak Mac 2020 hingga Mei lalu. Menurutnya, setakat ini 36,983 kes perceraian didaftar di mahkamah syariah seluruh negara sepanjang tempoh itu. Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 18,783 kes berjaya diselesaikan iaitu 11,539 kes pada PKP1.0, PKP 2.0 (5,216 kes) dan 2,028 kes dari April 2021 hingga Mei lalu. “Ia bukanlah isu baru, tetapi nafkah tertunggak ini banyak kesannya. Atas dasar nafkah adalah perkara yang penting maka pengabaiannya memerlukan campur tangan pihak berwajib. “Justeru, JKSM sentiasa mengambil tindakan proaktif dalam membantu ibu tunggal dan anak mendapatkan kembali hak mereka terutama pembayaran nafkah daripada bekas suami atau bapa seperti perintah mahkamah,” katanya. Katanya, ia termasuk menubuhkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) pada 2008 bagi membantu menguat kuasa dan melaksana perintah nafkah yang gagal dipatuhi oleh bekas suami atau bapa. “Kewujudan BSK di mahkamah syariah bagi membantu ibu tunggal dan anak-anak sekiranya bekas suami enggan membayar nafkah dengan menguatkuasakan perintah mahkamah,” katanya. Mohd Naim berkata, fungsi lain BSK adalah menyediakan pendahuluan nafkah (bersifat revolving fund yang disalurkan kerajaan) dan bantuan nafkah ( disalurkan Majlis Agama Islam Negeri) kepada penghutang penghakiman (isteri atau bekas isteri) tidak berkemampuan (iaitu yang berada di bawah had kifayah) selama enam bulan selepas kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah didaftarkan di mahkamah syariah. Menurutnya, jumlah pendahuluan nafkah itu seperti dinyatakan dalam perintah nafkah mahkamah syariah. Katanya, selain pemantauan pematuhan perintah melalui integrasi e-nafkah dan e-syariah, JKSM melalui BSK mengadakan promosi dan kaunter bergerak secara berkala di tempat tumpuan awam bagi memudahkan orang awam mendapatkan khidmat nasihat perundangan syariah dan guaman berkaitan perintah nafkah. Dalam pada itu, Mohd Naim berkata, dari segi pengabaian, 148 aduan diterima iaitu 78 aduan pada PKP 1.0, 26 aduan pada PKP 2.0 manakala selebihnya pada PKP yang terbaharu. “Apabila aduan diterima, BSK akan mengeluarkan notis kepada bekas suami atau bapa yang dilaporkan melakukan pengabaian nafkah. “Tindakan selanjutnya akan dilaksanakan berdasarkan undang-undang dan garis panduan sedia ada bagi memastikan pembayaran nafkah dilaksanakan. “Kepada pasangan suami isteri berdepan situasi ini atau dalam proses penceraian, saya nasihatkan walau apapun keadaan dan sekiranya penceraian jalan terbaik, kebajikan anak terutama nafkah perlu diutama bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka,” katanya. Sumber: Harian Metro

MOHD. NAIM MOKHTAR
Keratan Akhbar

Pegawai syariah wanita diseru cipta inovasi dalam penyampaian perkhidmatan

MOHD. NA’IM MOKHTAR PUTRAJAYA:  Pegawai-pegawai syariah wanita di negara ini dan rantau Nusantara diseru sentiasa berusaha mencipta inovasi dalam proses penyampaian perkhidmatan dalam bidang perundangan dan kehakiman syariah. Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar ketika berucap merasmikan Seminar Perundangan dan Kehakiman Syariah Wanita Nusantara 2021 berkata, program itu juga dijangka dapat membuka ruang kepada pegawai wanita untuk meneroka peranan dan berkongsi cabaran sepanjang keterlibatan dalam bidang perundangan dan kehakiman syariah. “Objektif seminar juga meneliti prospek kerjaya pegawai wanita dalam bidang perundangan dan kehakiman syariah selain mengupas isu-isu semasa melibatkan wanita dan kanak-kanak serta menilai kembali undang-undang serta peraturan yang diaplikasikan bagi isu-isu terbabit,” katanya. Seminar secara dalam talian itu bertemakan Wanita: Isu-Isu Semasa Perundangan Dan Kehakiman Syariah dan julung kali diadakan sejak dua dekad penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).  Seramai 373 peserta terlibat dalam seminar itu terdiri daripada pegawai syariah, penolong pegawai syariah dan pembantu syariah di seluruh negara selain turut disertai pegawai wanita dari Indonesia, Brunei, Singapura dan Maldives.  Mohd. Na’im yang juga Ketua Pengarah JKSM turut mengajak semua peserta seminar menelurusi sejarah Islam, pengiktirafan tertinggi dan solidariti yang diberikan kepada golongan wanita. Pada seminar berkenaan, dua sesi pembentangan kertas kerja  berkaitan tajuk Peranan Dan Cabaran Pegawai Perundangan Dan Kehakiman Syariah Wanita Dalam Sistem Kehakiman Dan Perundangan Berdasarkan Pengalaman Negeri Serantau dibentangkan.- UTUSAN ONLINE  Sumber: Utusan

IMG 20210728 WA0020 768x432
Keratan Akhbar

Firma guaman Syarie boleh mohon beroperasi

ALHAMDULILLAH, saya dengan sukacita ingin memaklumkan bahawa Peguam Syarie di seluruh negara boleh mengemukakan permohonan bagi pengoperasian pejabat atau firma Guaman Syarie sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) melalui sistem Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MlTl) – COVID-79 Intelligent Management System (CIMS) sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN). Permohonan tersebut akan diuruskan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi tujuan pertimbangan untuk kelulusan pengoperasian, tertakluk kepada SOP yang telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertarikh 15 Julai 2021. la juga tertakluk kepada negeri-negeri yang berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN). Permohonan boleh dibuat melalui Kluster Perundangan dan Kehakiman Syariah dan Sektor Guaman Syarie yang mempunyai empat Subsektor iaitu Khidmat Nasihat Profesional Guaman Syarie, Perkhidmatan Guaman Syariah, Perkhidmatan Khidmat Nasihat dan Peguam Syarie bagi tuntutan Harta Pusaka, Hibah dan Wasiat dan Perkhidmatan Perunding Keluarga Islam. Saya mengharapkan peluang ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua Peguam Syarie di seluruh negara dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Suka juga diingatkan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama terutamanya Peguam Syarie untuk mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh MKN seterusnya dapat mengelakkan berlaku penularan wabak COVID-19 ini semasa pengoperasian pejabat atau firma guaman Syarie. Gunakanlah pendekatan yang terbaik sebagaimana yang telah ditetapkan oleh MKN bagi pengurusan kes di Mahkamah Syariah. Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan atas kerjasama yang dihulurkan oleh pihak Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN), MKN, MITI, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bagi mempermudahkan usaha ini. Semoga kita semua dilindungi Allah S.W.T dari musibah wabak COVID-19 ini serta dapat meneruskan perkhidmatan kepada orang awam dan masyarakat meskipun dalam keadaan yang berlaku pada hari ini. YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRIMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)28 Julai 2021 bersamaan 18 Zulhijjah 1442H – HARAKAHDAILY 28/7/2021 Sumber Asal: https://www.facebook.com/100044315565310/posts/377643550389494/ Sumber: Harakah Daily

Hm139nikah
Keratan Akhbar

Poligami tanpa kebenaran isteri pertama [METROTV]

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) mahu pihak berkuasa menyiasat dakwaan kewujudan sindiket menawarkan penipuan poligami tanpa perlu mendapatkan kebenaran isteri pertama. Difahamkan, pernikahan menggunakan kaedah itu membabitkan ahli korporat, orang kenamaan dan selebriti tempatan yang dikesan aktif sejak lebih setahun lalu. Presidennya Che Hassan Che Johan berkata, pihaknya menerima aduan tidak rasmi daripada pihak tertentu berkaitan penipuan poligami di negara ini. Katanya, hasil maklumat itu, ia didalangi golongan profesional termasuk pengamal undang-undang dan individu berpengaruh yang mengaturkan pernikahan golongan kenamaan tanpa kebenaran isteri pertama. “Ia hanya akan diketahui selepas isteri ini dihubungi mahkamah atau dimaklumkan pihak ketiga mengenai pernikahan itu. “Kesannya ia boleh merosakkan rumah tangga yang sudah lama dibina. Apa yang lebih penting ialah bagaimana sindiket ini menyalahgunakan kuasa dimiliki mereka untuk membolehkan seseorang itu berkahwin lain tanpa kebenaran isteri pertama,” katanya kepada Harian Metro. Che Hassan berkata, beliau akan merujuk isu berkenaan kepada pihak berwajib termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk tindakan selanjutnya. Menurutnya, ia bagi merungkai persoalan bagaimana dokumen seperti MyKad boleh dimanipulasi bagi tujuan berkenaan. Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mendedahkan ada kemungkinan wujud kegiatan itu yang turut membabitkan ‘orang dalam.’ Katanya, ia dipercayai berlaku di Terengganu, Perlis dan Kuala Lumpur. Tak tahu suami kahwin dengan selebriti Kuala Lumpur: Hancur luluh hati seorang isteri selepas mendapat tahu dirinya dimadu apabila suaminya melangsungkan perkahwinan baharu dengan seorang selebriti tanpa pengetahuannya. Wanita yang mahu dikenali sebagai Rohaya, 50, berkata rahsia disimpan suaminya mula dihidu apabila dia mendengar pelbagai khabar angin lalu mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena. Menurutnya, dia kemudian membuat semakan di mahkamah dan mengambil nota bicara sebelum mendapati pernikahan baharu lelaki itu dilakukan tanpa diketahuinya. Katanya, suaminya yang juga tokoh korporat dan ahli politik tidak pernah memaklumkan mengenai hasrat untuk mendirikan rumah tangga dengan selebriti itu mahupun orang lain. “Rumah tangga yang kami bina selama lebih 18 tahun lalu bahagia dan turut dikurniakan empat orang anak. “Saya memang terkejut ketika hadir ke mahkamah di sebuah negeri di pantai timur. Apabila melihat nota bicara kerana suami berkahwin lain, saya terdiam, tak tahu nak kata apa. “Pada dokumen itu tertera satu alamat baharu yang digunakan suami. Sebelum ini alamat pada kad pengenalannya adalah di sebuah negeri di selatan tanah air dan ia menimbulkan persoalan,” katanya ketika ditemui Harian Metro. Rohaya berkata, dia kemudian membuat carian dan semakan alamat berkenaan namun ia hanya sebuah tanah kosong dan bukan kediaman. Katanya, keadaan itu menyebabkan anak-anaknya turut tertekan dan malu dengan sikap bapa mereka yang didakwa membelakangkan keluarga kerana perkahwinan baharu itu. “Ahli keluarga juga ada melihat video majlis perkahwinan mereka pada Oktober lalu yang penuh meriah. Mereka kecewa kerana ia berlaku kepada orang yang paling mereka sayang,” katanya. Menurutnya, dia akan membuat aduan kepada pihak berkuasa agama dan polis bagi menyiasat bagaimana perkara itu boleh berlaku. Katanya, laporan itu akan dibuat bagi menyiasat sama ada wujud unsur pakatan atau gerakan terancang yang membolehkan pernikahan itu dilangsungkan tanpa kebenaran atau di luar pengetahuan isteri pertama. “Saya bukan tidak boleh terima (dimadu). (Namun) hati saya hancur, jika saya sebagai isteri pertama tidak mengetahui langsung akan permohonan poligami itu, ia menimbulkan pertanyaan. “Hari ini saya, esok lusa mungkin orang lain pula. Saya mahu berikan kesedaran bahawa sesiapa saja boleh ditipu, ia memusnahkan kebahagiaan sesebuah keluarga,” katanya. Pemalsuan, manipulasi dalam berpoligami bunuh sistem kekeluargaan Kuala Lumpur: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) tidak akan bertolak-ansur dengan sebarang bentuk penyelewengan kuasa yang boleh menyebabkan penindasan berlaku kepada pasangan berkahwin. Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Dr Na’im Mokhtar berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan wujud sindiket berdasarkan maklumat diterima sebelum ini. “Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa. “Dalam isu poligami tanpa kebenaran, tidak ada yang boleh terlepas jika melakukan kesalahan berkaitan,” katanya kepada Harian Metro. Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pemalsuan poligami perlu membuat laporan terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera. Ia termasuk aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dibuat jika wujud unsur pelanggaran integriti di sebalik ‘kelulusan’ pernikahan khususnya membabitkan golongan tertentu. Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kewujudan sebarang bentuk pemalsuan atau manipulasi di dalam poligami akan membunuh sistem kekeluargaan. Menurutnya, ini kerana maksud pensyariatan sebenar sudah dilupuskan dengan sengaja untuk tujuan peribadi semata-mata. Katanya, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam diwujudkan bagi membela serta menjaga hak wanita dan anak dalam sesebuah rumah tangga. “Kalau berlaku demikian, ia akan gagal, oleh itu akan meninggalkan pengalaman ngeri kepada isteri dan anak apabila sistem, komponen serta keadilan Islam ke atas mereka tidak diurus dengan bertanggungjawab dan berintegriti. “Jika benar ada ‘ulat’ yang menjalankan kegiatan ini, mekanisme proses dan kawalan proses baharu perlu dibuat serta dikuatkuasakan agar mereka ini tidak boleh menjalankan aktivitinya. “Tutup semua ruang yang membolehkan mereka ini mencari makan dan merosakkan sistem,” katanya. Menurutnya, isu berkenaan memberi cabaran masa depan kepada pihak berkuasa agama kerana ia membabitkan masalah perceraian, permusuhan dua keluarga besar dan masalah anak dan isu remaja. Katanya, bagi mengatasi isu terbabit, semua komponen sewajarnya dijaga supaya dapat memelihara persekitaran dan sistem sedia ada. “Isu membabitkan sindiket pernikahan sebegini sebelum ini memang berlaku. Cuma dakwaan turut membabitkan peguam serta hakim adalah isu baharu dan perlu disiasat,” katanya. Sumber: Harian Metro

992948
Keratan Akhbar

Semak semula enakmen jenayah syariah negeri

Musa ketika ditemubual wartawan Sinar Ahad di Shah Alam baru-baru ini. [MUKADIMAH] Mahkamah Persekutuan baru-baru ini memutuskan Seksyen 28, Enakmen Jenayah Syariah Selangor bagi kesalahan seks luar tabii sebagai tidak berperlembagaan sekali gus dikhuatiri bakal mencetuskan kesan domino ke atas semua undang-undang jenayah syariah di negara ini. Keputusan mahkamah itu bermakna penggubalan undang-undang syariah yang mempunyai persamaan atau bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal. Justeru, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang mahu undang-undang syariah di negeri-negeri disemak semula bagi mengelakkan ia berisiko dicabar sekali lagi di mahkamah. Dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, Musa turut melahirkan kebimbangannya mengenai reaksi berlebihan pihak berkuasa terhadap kontroversi Nur Sajat sehingga menyebabkan institusi agama di negara ini dipandang rendah. Ikuti wawancara Sinar Ahad bersama Musa Awang yang dikendalikan wartawan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid dan Raja Nur Faznie Aida di pejabat peguam berpengalaman itu di Shah Alam, Selangor baru-baru ini. SINAR AHAD: Mahkamah Persekutuan memutuskan kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang syariah yang menjadikan seks luar tabii sebagai satu kesalahan. Apakah alasan penghakiman tersebut dan apakah implikasinya? MUSA: Keputusan pada 25 Februari baru-baru ini berkenaan satu permohonan yang dibuat oleh seorang individu, Iki Putra Mubarak di Mahkamah Persekutuan yang mencabar kesahan peruntukan Seksyen 28, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor sama ada peruntukan yang ada itu bertentangan dengan Perlembagaan atau tidak. Pada asalnya, Iki Putra adalah antara 11 orang yang ditahan di bawah kesalahan persetubuhan bertentangan dengan tabii dan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. Daripada 11 orang, lima orang telah membuat pengakuan bersalah. Cuma dia salah seorang yang membawa isu itu ke Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan dari segi bidang kuasa mengadakan undang-undang kesalahan persetubuhan di luar tabii atau liwat. Keputusan di Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa Seksyen 28 dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor tidak berpelembagaan. Alasannya disebabkan telah ada satu peruntukan yang lebih kurang sama iaitu Seksyen 377 A, B, C, D, E Kanun Keseksaan. Maksudnya telah ada dua peruntukan yang sama bagi kes tersebut. Dalam undang-undang yang sudah dibuat oleh Parlimen, kerajaan negeri atau badan perundangan negeri, tidak boleh menggubal undang-undang yang sama atau lebih kurang sama. Sebenarnya keputusan ini seperti ‘kesan domino’. Maksudnya ia bukan sahaja memberi kesan kepada peruntukan lain dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor, tetapi akan melibatkan seluruh negeri lain yang mempunyai peruntukan sama. Berdasarkan keputusan ini, peruntukan-peruntukan itu boleh menjadi tidak sah. Maksudnya boleh dibatalkan atau tidak sah jika dicabar. Di sini kita melihat satu tindakan yang proaktif perlu dibuat oleh pihak-pihak yang berkenaan. Tindakan proaktif itu seperti apa? Cadangan yang kita terima ada tiga. Pertama, melihat semula peruntukan yang ada dalam enakmen jenayah syariah negeri. Ini disebabkan enakmen ini telah lama. Di Selangor, enakmen ini sejak 1995 manakala di Wilayah Persekutuan sejak 1997. Terbaru di Pahang pada tahun 2013. Walaupun enakmen ini dibuat tahun 2013, tetapi peruntukan yang diambil adalah peruntukan lama pada 1995. Undang-undang yang ada itu telah 20 tahun. Perlu ada tindakan untuk menyemak semula mana yang perlu ditambah, dibuang dan dipinda. Kedua, ada cadangan supaya dibuat pindaan Butiran 1 Senarai 2 iaitu senarai negeri. Maksudnya, peruntukan berkaitan kesalahan-kesalahan ajaran Islam perlu diperincikan oleh negeri. Bagaimanapun, apabila melibatkan pindaan Perlembagaan, ia akan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen. Itu satu cabaran yang besar kerana sukar hendak mendapatkan majoriti tersebut dalam keadaan politik yang tidak kukuh sekarang. Ketiga, ada cadangan supaya mengislamisasikan Kanun Keseksaan. Maksudnya, supaya kesalahan peruntukan yang ada dalam Kanun Keseksaan itu diambil inti pati atau roh Islam untuk dimasukkan ke dalam Kanun Keseksaan. Contohnya, kesalahan meliwat dan membunuh mungkin boleh diserapkan. Dari segi dasar, cadangan untuk menyeragamkan atau mengharmonikan undang-undang syariah ini sepatutnya datang daripada Menteri Agama dan turun kepada Jabatan Kemajian Islam Malaysia (Jakim). Jakim pula akan ada jawatankuasa teknikal, syarak dan sivil yang akan berbincang untuk melihat di mana undang-undang yang perlu ditambah dan dipinda. Kemudian, cadangan itu akan dibawa ke Peguam Negara serta dipanjangkan ke negeri-negeri. Selain seks luar tabii, apakah jenis jenayah syariah yang telah digubal di negeri-negeri? Enakmen jenayah syariah negeri ini lebih kurang sahaja. Secara dasarnya, ada satu peruntukan berhubung kesalahan akidah. Contohnya, pujaan salah seperti memuja pokok, memuja bangunan atau seseorang itu mendakwa dia bukan Islam bagi mengelakkan dirinya daripada tindakan menyebarkan doktrin palsu atau ajaran sesat. Yang kedua ialah kesalahan berhubung kesucian agama dan institusi. Contohnya, mempersenda al-Quran, hadis, memijak al-Quran, menghina agama Islam atau kesalahan melanggar fatwa. Contohnya, kes Hizbut Tahrir dan Rasul Melayu yang menghina Islam dan melanggar fatwa. Ada juga kesalahan mengajar agama tanpa tauliah. Ada satu lagi iaitu kesalahan kesusilaan seperti sumbang mahram, pelacuran dan muncikari (bapa ayam). Muncikari ini juga satu isu kerana ada undang-undang lain di peringkat Persekutuan. Dalam Kanun Keseksaan ada dan dalam enakmen jenayah syariah juga ada. Ini perlu dilihat semula. (Selain itu) persetubuhan luar nikah, hubungan sejenis antara antara sesama jantina, khalwat, kes seperti Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat iaitu seorang lelaki berlagak seperti perempuan. Dalam kontroversi kes Sajat, apakah sebenarnya yang berlaku? Sajat mungkin boleh didakwa di bawah kesalahan lelaki berpakaian wanita atau tuduhan menghina agama. Itu bergantung kepada pihak pendakwaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Cuma kesalahan yang akan didakwa itu, pihak JAIS dan pendakwa syarie perlu melihat sama ada kesalahan itu telah ada atau tidak dalam undang-undang Persekutuan. Kalau ada, ia mungkin akan dicabar. Jadi perlu berhati-hati. Drama penangkapan Sajat dan kontroversi yang dicetuskan olehnya telah menyebabkan institusi agama seperti JAIS dipandang lekeh kerana gagal menangani kes seorang individu seperti Sajat. Apa komen tuan? Secara peribadi saya melihat Sajat ini seorang ahli perniagaan. Dia berniaga emas dan produk kecantikan. Dia cantik dan berjaya menarik orang ramai untuk mengikuti Instagram dan media sosialnya bagi tujuan promosi. Dari satu segi, saya juga melihat institusi agama termasuklah menteri atau timbalan menteri memberi kenyataan seolah-olah sebuah institusi sedang berlawan dengan seorang individu. Kalau nak tangkap, tangkap sahaja, apa masalahnya? Bukan susah nak tangkap. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan ini, dia (Sajat) bukannya boleh lari pergi ke luar negeri. Dari satu segi lain, apabila kita memanggil Nur Sajat seolah-olah kita mengiktiraf dia sebagai perempuan. Nama dia Muhammad Sajjad Kamaruz

10hmceray1
Keratan Akhbar

Wang berkurang kasih terlerai

KEHILANGAN kerja, pengurangan mendadak sumber pendapatan dan komitmen bulanan tinggi mendorong kepada berlakunya perceraian. Kuala Lumpur: Kemelut kewangan serius sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibatpenularan Covid-19 menjadi punca utama perceraian pasangan Islam di negara ini. Kehilangan kerja, pengurangan mendadak sumber pendapatan selain komitmen bulanan yang tinggi mendorong kepada berlakunya perceraian. Malah, ada pasangan yang beranggapan perceraian sebagai ‘jalan keluar’ untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga. Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, berdasarkan data diperoleh, bermula Mac 2020 hingga 25 Februari lalu sebanyak 48,483 kes perceraian direkodkan pihaknya. Malah, katanya, tahun lalu 1,687 perceraian direkod pada Mei sebelum meningkat hampir lima kali ganda kepada 7,545 kes pada Jun. Katanya, jumlah itu menurun pada Julaikepada 6,163 kes, Ogos (5,351 kes) dan meningkat sedikit pada September (5,582 kes). “Kes direkod pada Oktober menurun kepada 4,354 kes, November (3,742 kes) dan Disember (4,174 kes). “Bagi Januari tahun ini 3,236 kes direkodkan manakala bagi Februari, jumlah direkodkan sehingga 25 Februari meningkat sedikit sebanyak 3,428 kes,” katanya. Beliau berkata, pasangan di Selangor merekodkan kes perceraian tertinggi dengan 8,183 kes diikuti Johor (4,815 kes) sejak Mac hingga Disember tahun lalu. Katanya, untuk Januari dan Februari tahun ini, Selangor kekal tertinggi dengan 1,000 kes manakala Perak merekodkan 732 kes. “Punca utama perceraian disebabkan tiada persefahaman selepas ada antara pasangan terutama suami hilang sumber pendapatan utama disebabkan PKP. “Kemelut rumah tangga ini yang tidak dapat diselesaikan dengan baik akhirnya membawa kepada perceraian,”katanya. Suami bertukar ‘wajah’ selepas dihimpit kesusahan Jempol: “Suami sebelum ini seorang penyayang, namun bertukar sebaliknya berikutan kesempitan wang,” kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Izan, 28. Dia mengakui pandemik Covid-19 yang melanda negara dan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kehidupan mereka terkesan dengan masalah kewangan. Katanya, faktor kewangan menjadi punca utama rumah tangga mereka berantakan terutama apabila suami diberhentikan kerja. Izan yang menetap di Seremban ketika ditemui berkata, sebelum ini dia dan suami tidak pernah menghadapi masalah kewangan berikutan masing-masing mempunyai kerjaya selain bekerja di tempat kerja yang sama. Menurutnya, disebabkan dirinya dan suami bekerja, pendapatan diterima membolehkannya membeli sebuah rumah dan kereta. “Namun siapa sangka pandemik Covid-19 melanda negara disusuli dengan PKP pada Mac tahun lalu mengubah segala-galanya. “Syarikat tempat kerja saya dan suami terkesan dengan situasi itu apabila mula mengurangkan kakitangan, gaji dan kemudian diberhentikan dengan alasan perniagaan semakin teruk,” katanya. Izan berkata, pada awalnya dia menyangka keadaan dapat dikawal kerana ada simpanan untuk digunakan pada waktu kecemasan, namun sebaliknya berlaku. “Selain digunakan untuk perbelanjaan harian, wang simpanan digunakan untuk membayar hutang kepada syarikat penapis air, pinjaman motosikal, kedai perabot dan lain-lain. “Suami yang sebelum ini seorang penyayang bertukar sebaliknya berikutan kesempitan wang,” katanya. Berikutan itu, katanya, mereka berpisah selepas sesi kaunseling tidak berhasil. Mengakui perceraian bukan jalan terbaik buatnya, Izan berkata, dia dan suami hadir bersama ke mahkamah sebelum Julai tahun lalu dan berpisah dengan talak satu. “Perceraian ini membuatkan saya jadi murung namun bagi bekas suami, ia jalan terbaik sebab dia takut mencederakan diri saya dan anak jika keadaan tidak dapat dikawal. “Ada syarikat seperti menjual penapis air dan menawarkan pinjaman kredit tidak boleh bertolak ansur dalam menyusun semula bayaran bulanan sehingga setiap hari menelefon meminta kami membayar hutang,” katanya. Menurutnya, anaknya kini di bawah jagaannya atas permintaan bekas suami. Sumber: Harian Metro

Perkahwinan1
Keratan Akhbar

Fahami urusan poligami demi perkukuh institusi keluarga

Poligami perlu dilaksanakan mengikut hukum syarak dan memahami secara menyeluruh bagi mengelak perbalahan dalam institusi keluarga. – Gambar hiasan KUALA LUMPUR: Golongan lelaki perlu memahami secara menyeluruh keinginan untuk berpoligami bagi mengelak perbalahan dan kegagalan membahagi hak sama rata sehingga menyebabkan kesengsaraan dalam institusi keluarga. Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata urusan berpoligami perlu difahami sebaik mungkin, bukan sekadar tahu ingin beristeri lebih daripada satu. Katanya, poligami ini perlu seiring dengan kefahaman berkaitannya yang bertujuan untuk berkeluarga dengan mengamalkan konsep mawaddah iaitu bahagia hingga ke Jannah, dan bukannya meninggalkan sengsara kepada mana-mana isteri. “Justeru, persediaan sebelum berpoligami ini perlu ada, fahami situasi sedia ada bagi mengelakkan perbalahan dan tidak memberikan hak sama rata antara isteri-isteri mereka. “Masyarakat juga sering salah faham untuk berpoligami, perlu mendapatkan keizinan isteri, tetapi sebenarnya tidak perlu, hanya diambilkira sebagai suatu fakta tambahan yang kuat oleh mahkamah. “Ini kerana ada kes, mahkamah terpaksa menolak permohonan walaupun dengan izin isteri selepas mendapati pemohon tidak mempunyai kemampuan dari kewangan dan sebagainya,” katanya kepada BH Online. Beliau berkata, statistik trend berpoligami menunjukkan permohonan kebenaran poligami dilihat mendatar. Katanya, sepanjang 2015 hingga 2019, sebanyak 2,000 permohonan diterima untuk mendapatkan permohonan kebenaran berpoligami. “Kita perlu melihat kepada undang-undang berkaitan poligami, iaitu bukan menyekat, tetapi lebih bersifat untuk mengawal bagi mengelakkan mudarat terhadap isteri dan anak-anak,” katanya. Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali, berkata beliau banyak menerima kes berkaitan dengan isu poligami ini dan paling terkesan ialah membabitkan isu nafkah dan giliran. Katanya, kebanyakan kliennya berdepan dengan isu ini dan kes terbaharu yang dikendalikan kes seorang lelaki mendapat kelulusan berpoligami, pada Julai 2020, bagaimanapun, tidak lama dia pula tiada pekerjaan. “Sedangkan dia perlu menyara dua isteri dan empat anak dari isteri pertama yang hanya bergantung kepada duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), iaitu RM500. “Ketika ini timbul tekanan dan apabila isteri pertama mempersoalkan perkara ini, dia dituduh nusyuz. “Kes lain pula, bergantung kepada pilihan suami mana satu yang disukai sama ada isteri pertama atau yang baharu. “Bahagia dalam poligami itu bergantung kepada suami. Isteri tidak boleh memonopoli,” katanya. Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin, berkata berpoligami boleh dilaksanakan dengan tindakan dan cara yang betul. Katanya, sudah tentu tidak salah kerana yang membenarkan poligami adalah syarak dan rukhsah (kelonggaran). “Bagaimanapun, disebabkan cara dan tindakan salah hingga mengundang kesengsaraan isteri, akhirnya poligami itu memberikan tanggapan negatif berterusan kepada mereka yang ingin melaksanakannya. “Banyak salah faham berlaku berkaitan dengan poligami. Jadi perkara yang boleh diketengahkan ialah dengan melihat keperluan kes, kemampuan bakal poligami lelaki dan maslahah bakal isteri kedua dan ketiga. “Menyekat poligami itu tidak akan membawa ke mana-mana kerana pada akhirnya suami dan wanita itu juga tetap akan berkahwin sama ada di sempadan dan sebagainya,” katanya. Beliau berkata, apa yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan ialah memperketatkan prosedur poligami hanya bagi lelaki yang benar-benar layak dan tidak mengiktiraf perkahwinan lari di sempadan. “Berbeza di Singapura perkahwinan kedua atau ketiga yang tidak berdaftar sama sekali tidak diiktiraf, tetapi di negara ini, perkahwinan di Siam boleh didaftarkan dengan hukuman iaitu denda yang murah,” katanya. Katanya, hujah wanita boleh berkahwin menggunakan wali hakim jika berada dalam jarak melebihi dua marhalah daripada wali mujbirnya, dilihat sudah tidak relevan untuk kes kahwin lari di Siam menggunakan wali hakim. “Dalam era serba moden ini, teknologi boleh memainkan peranan seperti cara bernikah secara dalam talian, apa rasionalnya pihak jabatan agama mengiktiraf perkahwinan lari di sempadan. “Jika diberi alasan untuk elak berzina bagi mereka yang memegang status suami, ia sangat dangkal. Apakah otak mereka hanya fikirkan tentang zina saja? “Justeru, hentikan guna alasan ‘takut berzina’ bagi membenarkan kahwin lari di sempadan. Beri hak sama rata di antara isteri-isteri dapat mengelak perselisihan dalam rumah tangga. – Gambar hiasan “Mereka mengamalkan poligami dengan cara berkahwin di sempadan ini sangat tidak ‘gentlemen’ dan pengecut,” katanya. Beliau berkata, sembang perjuangan tetapi melakukan tipu daya menggunakan pelbagai dalil dan hujah agama dengan membawa ‘lari’ anak orang tanpa kebenaran wali. “Sebab itu saya sangat menghormati mereka yang berpoligami secara jujur seperti selebriti, Saleh Yaakob,” katanya. Namun, kebanyakan lelaki pada sekarang hanya tahu untuk menggambarkan poligami itu sebagai sunnah Nabi, sedangkan Nabi adalah insan terpilih dan perkahwinannya mengandungi hikmah tersendiri dan tidak boleh dibandingkan dengan diri mereka. Malah di dalam al-Quran dan Sunnah tiada galakan khusus untuk melaksanakan poligami, sebaliknya yang dianjurkan adalah untuk berkahwin dan tidak membujang supaya mereka hidup berkeluarga. FAKTA Statistik status kes Permohonan Kebenaran Poligami di Mahkamah Syariah di seluruh negara bagi tahun 2020 (Januari hingga November 2020) • Kes didaftar – 1510 kes • Kes selesai – 1063 kes (70.4 peratus) • Kes masih dalam prosiding – 447 kes (29.6 peratus) Statistik status kes Permohonan Pengesahan dan Daftar Nikah Poligami di Mahkamah Syariah di seluruh negara bagi tahun 2020 (Januari hingga November 2020) • Kes didaftar – 1543 kes • Kes selesai – 827 kes (53.6 peratus) • Kes masih dalam prosiding – 716 kes (46.4 peratus) Sumber: Berita Harian

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.