Keratan Akhbar

15agama1.transformed
Keratan Akhbar

Tadbir urus syariah pertama di dunia

Kompleks Islam Putrajaya menjadi lambang pembangunan Islam moden berteknologi tinggi. Inisiatif baharu kerajaan memperkenalkan Kompleks Islam Putrajaya (KIP) dan dokumen Garis Panduan Umum Tadbir Urus Berteraskan Syariah (GTUs) menunjukkan komitmen jitu memastikan agenda memartabatkan Islam bergerak secara progresif. KIP dan GTUs yang juga cetusan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah kesinambungan daripada pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia (ISM) yang berfungsi untuk mengukur sejauh mana institusi, dasar dan polisi kerajaan benar-benar memenuhi tuntutan syarak. Perasmian KIP dan GTUs pada 18 Julai ini yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri memberi nilai tambah kepada pengurusan mengikut prinsip syariah sekali gus mewujudkan budaya kerja bersifat harmonis selari kehendak Islam. Ia secara tidak langsung menjadikan Malaysia sebagai ikon pentadbiran Islam dan terus menarik perhatian dunia sebagai model atau acuan terbaik dalam pembangunan serta agenda memperkasa ummah di peringkat antarabangsa. Bangunan KIP yang terletak di Presint 3, Putrajaya, dibangunkan sejajar kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara. Mercu tanda Islam Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jika dahulu Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur dikira sebagai mercu tanda agensi Islam, kini KIP menjadi lambang pembangunan Islam moden yang berteknologi tinggi. Beliau berkata, pembangunan KIP menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam secara menyeluruh, baik daripada aspek ekonomi, prasarana dan pendidikan. “Kita mempunyai banyak institusi agama di peringkat persekutuan yang menjadi ikon atau model kepada dunia kerana tidak banyak negara yang kerajaannya bertanggungjawab penuh dalam agenda memartabatkan Islam. “Atas dasar itu, kita perlu memastikan setiap institusi atau agensi agama diuruskan dengan baik mengikut konsep tadbir urus Islam. Sudah tentu masyarakat ingin institusi agama mengamalkan nilai lebih baik kerana tanggungjawabnya membabitkan dimensi besar, lebih bermakna ia satu tuntutan agama dan amanah Allah SWT,” katanya KIP menempatkan 13 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YaDIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Pertama di dunia Siap dibina sepenuhnya pada 17 Ogos 2016, KIP yang terdiri daripada empat blok bangunan dilengkapi pelbagai kemudahan turut memenangi Anugerah Pembangunan Pejabat Terbaik di Malaysia pada Anugerah Hartanah Asia Pasifik 2017, Mei lalu. Berkongsi mengenai GTUs, Asyraf berkata, ia adalah garis panduan berteraskan syariah yang pertama di dunia dan inisiatif berkenaan tidak pernah dikemukakan oleh mana-mana kerajaan negara Islam lain. Katanya, GTUs mengadaptasi dan memperhalusi piawaian antarabangsa berkenaan tadbir urus yang diiktiraf pelbagai negara di dunia yang kemudian disesuaikan dengan keperluan tadbir urus berasaskan syariat Islam berpandukan pandangan ahli syariah negara. Contohnya, dalam pengurusan kewangan konvensional, mereka boleh melabur dalam syarikat atau pelaburan yang mementingkan keberuntungan semata-mata. Bagaimanapun, bagi institusi berasaskan agama pelaburan yang hendak dibuat perlu mematuhi prinsip syarak. “Aspek tadbir urus mengikut syariah bukan perkara baharu kerana sudah termaktub sejak mula-mula Islam diturunkan menerusi al-Quran dan sunah. Jadi ada perkara perlu merujuk hukum halal haram, tetapi ia tidak dibincangkan dalam konteks konvensional,” katanya. Wacana antarabangsa GTUs dihasilkan dalam dwi bahasa, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris dengan harapan ia mampu menjadi wacana yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai organisasi secara menyeluruh di peringkat antarabangsa. Ini bermakna, GTUs tidak hanya diguna pakai oleh institusi agama sebaliknya boleh dipraktikkan oleh organisasi merentas bidang termasuk yang diusahakan oleh bukan Islam. Menurut Asyraf, potensi untuk GTUs dipraktikkan dan menjadi bahan rujuk institusi atau organisasi di peringkat global amat besar, apatah lagi dengan kesedaran masyarakat dunia terhadap etika dan amalan pengurusan bermoral. Di samping itu, GTUs juga membantu mempertingkatkan budaya dan nilai tadbir urus yang baik dalam konteks institusi khususnya yang berteraskan agama. Akhirnya nanti, ia dapat memenuhi hasrat masyarakat yang ingin melihat institusi agama itu ‘lebih putih daripada putih’ dapat direalisasikan secara berperingkat dan lmenjadi contoh kepada institusi atau organisasi lain. Sumber: BH Online

091c031aede0244c67a21e477488c644jpgs600
Keratan Akhbar

Berhati-hati dapatkan khidmat nasihat guaman syarie

Kebelakangan ini Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) telah mengenalpasti beberapa perkara berikut: PGSM mewakili peguam syarie seluruh negara memandang serius tindakan individu atau syarikat tersebut di atas. PGSM menyeru dan menasihatkan masyarakat Islam supaya tidak mendapatkan khidmat nasihat guaman daripada mana-mana individu atau syarikat yang bukan daripada kalangan peguam syarie yang bertauliah, yang menawarkan atau mengiklankan khidmat nasihat guaman syarie atau menawarkan khidmat menyediakan dokumen tuntutan/permohonan di sahkamah syariah. PGSM menegaskan, mana-mana individu atau syarikat yang mengiklankan khidmat nasihat guaman syarie atau menyediakan dokumen tuntutan/permohonan di mahkamah syariah dengan bayaran tertentu di mana-mana akhbar atau media sosial, berkebarangkalian besar bukan seorang/syarikat peguam syarie yang sah, kerana menurut Etika No 41, Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) No4 Tahun 2002 menyatakan, “seorang peguam syarie tidak boleh mengiklankan dirinya.” Sehubungan itu, PGSM menasihati orang awam yang berurusan di mahkamah syariah agar berhati-hati dan tidak berurusan atau menggunakan khidmat individu atau syarikat yang bukan dari kalangan peguam syarie bertauliah/beramal. PGSM menasihatkan orang awam supaya mendapatkan nasihat guaman syarie daripada peguam syarie yang sah. Orang awam boleh menyemak dan mendapatkan senarai nama peguam syarie bertauliah di kaunter mahkamah atau boleh menyemak di laman web mahkamah sSyariah yang berkenaan, atau boleh menghubungi pihak persatuan. MUSA AWANG ialah presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)​ Sumber: Malaysia Kini

WhatsApp Image 2017 02 13 at 16.40.29.jpeg.transformed
Keratan Akhbar

Hakim syarie tandatangan Ikrar Bebas Rasuah

PUTRAJAYA: Seramai 19 hakim dan pegawai kanan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) hari ini menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), membuktikan komitmen badan itu untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbirannya. Majlis menandatangani ikrar berkenaan disaksikan Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie JKSM, Tan Sri Dr Ibrahim Lembut dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad. Mereka yang menandatangani ikrar berkenaan termasuk empat Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, 14 Ketua Hakim Syarie Negeri dan Ketua Pendaftar JKSM, Mohamad Shakir Abdul Hamid. Dalam ucapannya, Dzulkifli berkata, IBR adalah inisiatif baharu oleh SPRM yang memberi penekanan kepada ikrar dan janji oleh kepemimpinan dan kakitangan sesebuah organisasi atas kapasiti individu bagi menghindari rasuah dan salah guna kuasa sepanjang menjalankan tugas. Katanya, JKSM adalah badan kehakiman pertama di negara ini yang menandatangani IBR, sekali gus mencerminkan usaha badan itu untuk memperkasa institusi kehakiman syariah di Malaysia supaya lebih teguh dari sudut pentadbiran serta penyampaiannya. “Pendekatan ini penting dan relevan kerana rakyat sering memerhati, menguji dan menilai perjalanan pentadbiran institusi kehakiman syariah di dalam negara ini serta kemampuannya mendepani isu perundangan yang kontroversi, sambil disulami gelombang pemikiran yang lebih kritis daripada masyarakat. “Usaha mewujudkan institusi kehakiman syariah yang adil dan berkesan ini adalah penting kerana ia adalah cerminan kepada penghayatan syariat Islam yang mendukung kepada prinsip kedaulatan undang-undang, ” katanya pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Bersama SPRM di sini. Sumber: Berita Harian

DATO HJH AZIZAH DATO MOHD DUN/ KONVENSYEN MAJLIS PEMBANGUNAN WAN
Keratan Akhbar

6,268 permohonan kahwin bawah umur

TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Hjh Azizah Dato’ Seri Panglima Mohd Dun. – Foto Khairul Azhar Ahmad KUALA LUMPUR: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) merekodkan 6,268 permohonan perkahwinan bawah umur membabitkan umat Islam bagi tahun 2010 hingga 2015. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata pada tahun lalu, jumlah permohonan direkodkan sebanyak 1,025 kes, 2014 (1,032 kes), 2013 (1,090 kes), 2012 (1,095 kes), 2011 (1,045 kes) dan 981 kes pada 2010. Beliau berkata, bagi bukan Muslim, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan jumlah perkahwinan bawah umur sebanyak 2,775 kes bagi tempoh sama. “Pada tahun lalu, sebanyak 328 kes direkodkan diikuti 410 kes (2014), 514 kes (2013), 468 kes (2012), 502 kes (2011) dan 553 (2010),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini. Beliau menjawab soalan Datuk Sapawi Ahmad Wasali (BN-Sipitang) yang ingin tahu jumlah kes perkahwinan membabitkan remaja bawah umur dan langkah memastikan ia tidak berleluasa dalam kalangan masyarakat. Azizah berkata, perundangan berkaitan perkahwinan adalah mengikut undang-undang keluarga yang ditadbir secara berasingan bagi beragama Islam, bukan Islam dan mengikut adat di Sabah serta Sarawak. Katanya, mengikut Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di negeri, perkahwinan bawah umur 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun untuk gadis perlu mendapat kelulusan Mahkamah Syariah. Sumber: Berita Harian

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.