Keratan Akhbar

36
Keratan Akhbar

Mohd Na’im Ketua Pengarah baharu JKSM

DATUK Dr Mohd Na’im Mokhtar dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). – Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat KUALA LUMPUR: Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang baharu. Menurut kenyataan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Mohd Na’im sebelum ini memegang jawatan Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor dan Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga di JKSM. Beliau juga pernah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Selain itu, beliau berpengalaman menganggotai Panel Majlis Perundingan Islam serta menjadi Ahli Jawatankuasa Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Mohd Na’ím juga pernah dilantik sebagai profesor adjung oleh Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 2012. Menurut kenyataan itu lagi, kepakaran beliau turut diperakui dunia luar apabila dilantik sebagai Chevening Felo Pelawat Malaysia di Oxford Centre for Islamic Studies, United Kingdom, bagi 2008/2009, Felo Pelawat di Harvard Law School, Amerika Syarikat, dan berkhidmat di Universiti Harvard dari Februari hingga Mei 2013. Mohd Na’im memulakan kerjaya sebagai pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari 1990 hingga 1997. – BERNAMA Sumber: Berita Harian

200394
Keratan Akhbar

Teliti isu kahwin bawah umur

ISU perkahwinan bawah umur hangat diperkatakan ketika ini. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) merekodkan 5,362 permohonan di antara Januari 2013 hingga Disember 2017. Walau bagaimanapun, terdapat penurunan jumlah permohonan di seluruh negara dalam tempoh sama iaitu dari 1,192 bagi 2013 kepada 877 permohonan pada 2017.Enakmen Keluarga Islam secara umum meletakkan had minimum umur 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan yang boleh berkahwin. Sekiranya mereka di bawah umur yang ditetapkan mereka perlu mendapat kebenaran mahkamah syariah dan persetujuan ibu bapa, contohnya mengikut Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kedah 2008. Bagi orang bukan Islam, Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 meletakkan usia minimum 18 tahun bagi kedua-dua lelaki dan perempuan. Namun, kebenaran bertulis hendaklah diperoleh daripada Ketua Menteri berdasarkan Seksyen 10 sekiranya melibatkan pemohon dan pasangan di bawah umur antara 16 ke 18 tahun. Demi menangani isu perkahwinan bawah umur khususnya melibatkan generasi muda beragama Islam, JKSM mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) sebagai rujukan mahkamah syariah seluruh negara berkuat kuasa 23 Julai tahun lalu. Dengan SOP ini, hakim syarie boleh mempertimbangkan permohonan dari sudut dokumentasi seperti laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, laporan kesihatan dan polis. Ia juga mengambil kira maklumat latar belakang pemohon dan pasangan antaranya pendapatan, kedudukan sosial, kemampuan dan pendidikan. Mahkamah syariah dapat berfungsi lebih efektif tanpa menggugat bidang kuasanya dalam perihal perkahwinan orang Islam menurut Jadual Kesembilan Senarai II Senarai Negeri. Usaha pemerkasaan undang-undang keluarga Islam sedia ada merupakan langkah membina. Namun, cadangan serta langkah untuk melarang secara mutlak perkahwinan bawah umur perlu penelitian mendalam. Ini kerana larangan itu berisiko menggadai prinsip keadilan serta kemanusiaan. Pasangan yang ingin berkahwin dan mahu mengelak daripada terjebak ke kancah zina akan dinafikan hak dan pilihan. Ada di antara mereka memiliki kematangan untuk memikul tanggungjawab dan bersedia untuk dipertanggungjawabkan walaupun di usia bawah 18 tahun. Oleh yang demikian, ilmuan Islam mengharuskan perkahwinan sebelum umur mencapai 18 tahun dengan syarat tertentu. Tambahan pula, ia merumitkan keadaan bagi pasangan terlanjur dan ingin mengesahkan hubungan di sisi perundangan. Nasib sama turut menimpa pasangan yang menerima kelahiran anak luar nikah kerana larangan perkahwinan bawah umur lantas tidak diiktiraf sebagai unit keluarga yang sah. Akibatnya mereka buntu dan terpaksa mengambil jalan mudah untuk menutup malu dan mengelak kecaman masyarakat. Bahkan, pengabaian elemen pertanggungjawaban dalam kalangan pasangan muda boleh menjurus ke arah hubungan terlarang dan jenayah. Sumber: Sinar Harian

MUJAHIT YUSOF RAWA MUZAKARAH PENASIHAT SYARIAH
Keratan Akhbar

‘Sekatan bank jika bekas suami degil’

DATUK Dr Mujahid Yusuf Rawa. FOTO Arkib NSTP TINDAKAN lebih tegas sedang dipertimbangkan kerajaan termasuk cadangan mengenakan sekatan bank terhadap bekas suami yang ‘culas’ memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak selepas perceraian. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, kerajaan sedang memperincikan pelaksanaan penguat kuasaan keadilan syariah yang memberi tumpuan kepada wanita yang diceraikan dan tidak mendapat pembelaan. “Kebanyakan wanita tidak ada tempat untuk mengadu, jadi kita melihat keperluan penguat kuasaan kepada wanita yang tidak diberikan keadilan dari sudut nafkah yang sudah diputuskan mahkamah syariah. “Perkara itu sudah dibincang di peringkat Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), dibincang peringkat kami, dan saya harap penguat kuasaan itu perlu dipertingkatkan contohnya mengenakan sekatan bank. “Jadi kita perlukan penguat kuasaan ke atas suami yang liat untuk membayar nafkah kepada bekas isteri mereka,” katanya kepada pemberita selepas program Town Hall Maqasid: Tadbir Urus Maqasid Syariah di Putrajaya, hari ini. Ditanya jumlah dan peratusan lelaki yang gagal membayar nafkah seperti diperintahkan mahkamah, katanya, beliau tidak mempunyai statistik itu, namun tidak menafikan jumlahnya ramai. “Ramai yang terbabit dalam hal ini berdasarkan aduan yang diterima daripada bekas isteri yang tidak dibela kerana kegagalan dan kecuaian suami untuk membayar nafkah yang sudah diputuskan mahkamah. “Jadi kita perlu ada penguat kuasaan lebih tegas agar mereka tahu bahawa keputusan mahkamah perlu dihormati dan kalau mereka tidak buat akan ada tindakan penguat kuasaan ke atas diri mereka,” katanya. Sumber: Harian Metro

Minda
Keratan Akhbar

Minda Pengarang: Memperkasa undang-undang syariah

CADANGAN untuk menyelaras dan menyeragamkan undang-undang syariah antara negeri bukan perkara baharu, sebaliknya sudah diperkatakan sejak 1997 lagi dan usaha itu dimulakan setahun kemudian, serentak tahun penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Malah, kerajaan terdahulu pada pertengahan 2005 berharap undang-undang syariah di antara negeri dapat diseragamkan menjelang akhir tahun berkenaan sekiranya semua kerajaan negeri bekerjasama penuh dengan JKSM untuk melaksanakannya. Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika itu, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dilaporkan berkata, pada dasarnya semua negeri memiliki banyak persamaan dalam pelaksanaan undang-undang syariah kecuali isu teknikal yang perlu dikemas kini dan diselaraskan. Ketika itu, lima negeri sudah menyeragamkan undang-undang syariah, iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Johor, membabitkan hal ehwal Pentadbiran Agama Islam, Keluarga Islam, Keterangan Mahkamah Syariah, Tatacara Mal Mahkamah Syariah dan Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah. Namun, selepas itu tidak lagi kedengaran berita mengenai perkembangan usaha berkenaan yang senyap begitu sahaja. Dua belas tahun kemudian, Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Undang-Undang Syariah 2017 turut mengulangi cadangan sama dengan hasrat melihat semua bidang undang-undang syariah antara negeri dapat diseragamkan secepat mungkin. Mesyuarat jawatankuasa terbabit ketika itu secara dasarnya membincangkan tiga perkara, iaitu penyeragaman undang-undang syariah, sistem pewarisan harta serta pemerkasaan Mahkamah Syariah termasuk menaikkan taraf hierarkinya. Kelmarin, selepas lebih setahun jawatankuasa itu bermesyuarat, Menteri di JPM, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof juga bercakap isu sama, memaklumkan Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil di bawah urusetia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan berbincang dengan negeri-negeri untuk tujuan berkenaan. Katanya, perbincangan bagi menyeragamkan undang-undang syariah antara negeri akan dibuat, antara lain melalui forum seperti Majlis Dialog Undang-Undang dan Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil. Beliau juga dilaporkan berkata, undang-undang yang dicadang untuk diseragamkan kemudian akan dibentang pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapatkan persetujuan dan perkenan. Hakikatnya selepas kira-kira 20 tahun isu ini dibangkitkan, hasrat untuk melihat undang-undang syariah diseragamkan antara semua negeri masih belum terlaksana. Faktor utamanya adalah disebabkan bidang kuasa agama terletak di bawah Sultan atau Raja setiap negeri. Seperti kata peribahasa Melayu, ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, tentunya cadangan penyeragaman itu boleh direalisasikan menerusi kerjasama dan kebijaksanaan semua pihak berkepentingan. Ia hanya boleh menjadi kenyataan jika masing-masing negeri memberi komitmen tinggi untuk melihat Mahkamah Syariah diiktiraf sebagai pusat rujukan dan landasan tepat bagi umat Islam menyelesaikan apa juga krisis berkaitan, selain menjadi platform terbaik menegakkan keadilan berlandaskan tuntutan agama. Sumber: Berita Harian

Keratan Akhbar

Muslim child marriages declining in Malaysia, stats show

KUALA LUMPUR, July 20 — Applications to Shariah courts for approval to marry underage Muslims have been decreasing in recent years with less than 1,000 applications filed last year, statistics showed. According to the Department of Shariah Judiciary Malaysia (JKSM), Muslims made 1,144 applications for child marriage in 2015, dropping to 1,019 applications in 2016, and further falling to 877 applications last year. Up to June 30 this year, 461 applications were made to the Shariah court for permission to wed Muslim minors, making it a total of 5,823 applications in five and a half years from 2013 to June 2018 throughout Malaysia. In 2013, 1,192 such applications were filed, dipping to 1,130 applications in 2014. “These statistics do not depict the total number of underage marriages because there are some cases where the court approved the applications, but the parties did not follow through with marriage,” a JKSM spokesman told Malay Mail. Malay Mail had requested JKSM for statistics on the number of child marriages between 2007 and 2017, broken down according to state and the age of husband and wife. But JKSM merely provided figures on applications to Shariah courts for approval for underage marriage from 2013 up to June 30 2018. JKSM also did not answer queries on why child marriage applications have been dropping in recent years. The minimum legal age for Muslims to marry according to state Islamic family laws is 18 and 16 for a male and female respectively, but children below these ages can still wed if they get the consent of a Shariah judge. According to JKSM statistics, the top three states with the highest number of Muslim underage marriage applications from 2013 up to June 2018 were Sarawak (974), Kelantan (877) and Sabah (848). Selangor and Federal Territories saw 418 and 189 applications respectively, while Penang recorded the lowest number of Muslim child marriage applications at 91. A parliamentary reply by then-Women, Family and Community Development Minister Datuk Seri Rohani Abdul Karim last November revealed 10,807 Muslim marriages involving minors below 18 recorded from 2007 to October 2017, compared to 4,999 non-Muslim marriages involving girls below 18 documented in that period. Under the federal Law Reform (Marriage and Divorce) Act 1976, the legal age of marriage for non-Muslims is 18, but a girl aged 16 can be legally married if the state chief minister/ mentri besar or in the case of the federal territories, its minister, grants a license. Non-Muslims below 16 cannot get married according to the law, but there is no written minimum age of marriage for Muslims. Child marriage has re-emerged as a hot-button issue since a Kelantanese imam recently took an 11-year-old Thai girl as his third wife without the Shariah court’s permission. The 41-year-old man reportedly said he had wanted to tie the knot with the girl since she was seven years old. Although Pakatan Harapan controls the federal government and eight states, while its ally Warisan is in power in Sabah, the new coalition has been slow to amend legislation to ban child marriage. Minister in the Prime Minister’s Department in charge of Islamic affairs Datuk Mujahid Yusof Rawa said Wednesday that his department has initiated discussions towards ending child marriage, but did not give a time frame for it. Sumber: Malay Mail

SEMINAR KES GANGGUAN MAKHLUK HALUS
Keratan Akhbar

SOP perlu bagi kes syariah babit unsur mistik

PESERTA yang hadir di Seminar Pengendalian Kes Di Mahkamah Syariah Yang Melibatkan Gangguan Makhluk Halus di Dewan Muktamar Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS), Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah. – Foto Roslin Mat Tahir SHAH ALAM: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) mahu mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) khas bagi kes syariah di negeri ini yang membabitkan gangguan makhluk halus. Ia berikutan pemerhatian mendapati berlaku kes berunsur mistik seumpama itu di Mahkamah Syariah Selangor, antaranya berkaitan perceraian dan poligami. Ketua Hakim Syarie Selangor, Mohammad Adib Husain, berkata prosedur khas itu perlu dengan mengambil kira realiti kes dikendalikan di Mahkamah Syariah dan pengalaman Hakim Syarie yang pernah mengendalikan kes seumpamanya. “Memang wujud kes berunsur mistik. Ia berkaitan dengan makhluk halus kerana ada yang membabitkan ilmu sihir dan ‘benda’ ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. “Apabila berlaku kes berunsur mistik, wujud keperluan untuk menghasilkan prosedur khusus. Jika kita menyamakan prosedur kes gangguan makhluk halus ini dengan prosedur kes biasa yang lain, ia dikhuatiri menyebabkan ketidakadilan kepada pihak berkaitan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pengendalian Kes Di Mahkamah Syariah Membabitkan Gangguan Makhluk Halus di Dewan Muktamar JAKESS di sini, hari ini. Turut hadir, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Zulfukri Yasoa; Ketua Pendaftar JAKESS, Noor Huda Roslan dan tiga Hakim Mahkamah Tinggi Syariah negeri iaitu Nenney Shuhaidah Shamsuddin, Salehan Yatim dan Abdul Shukor Abdul Hamid. Seminar dua hari itu disertai kira-kira 150 peserta terdiri daripada hakim, pendaftar mahkamah, peguam syarie dan ahli akademik. Hadir sama, barisan penceramah iaitu Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dasar dan Penyelidikan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Zainal Abidin Kusmin; Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Mahyuddin Ismail; Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia, Dr Jahid Sidek; Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Zulfakar Ramlee dan Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Mohd Jim Hamzah. Ia antara lain membabitkan sesi penerangan bertajuk `Gangguan Makhluk Halus dan Amalan Pendinding Diri’; `Sihir dan Kedudukannya Dalam Perundangan’; `Simptom Gangguan Berdasarkan Kaedah Perubatan Islam’ dan `Sihir Tafriq/Analisis Kes-kes Pembubaran Perkahwinan Membabitkan Sihir’. Mohammad Adib berkata, objektif utama seminar itu bertujuan memberi penjelasan mengenai isu pengurusan kes gangguan makhluk halus, terutama di Mahkamah Syariah selain pendedahan umum dan kaedah alternatif perubatan Islam negara ini. “Sebagai contoh dalam kes cerai, kita mahu mengenal pasti dakwaan sebelah pihak wujud ‘pihak’ ketiga iaitu makhluk halus yang menyebabkan berlaku perceraian. Ia termasuk kes pernikahan tanpa kebenaran yang menyalahi undang-undang apabila anak dara dipaksa bernikah dan kes poligami. “Justeru, penganjuran seminar ini diharap memberi perubahan daripada aspek prosedur, antaranya bagaimana keterangan diambil dan bentuk yang diperlukan bagi membuktikan kes membabitkan gangguan makhluk halus. “Selain itu, kita dapat mengetahui kaedah mendapatkan keterangan pakar dari segi pembuktian. Hakim Syarie yang membicarakan kes mungkin hanya boleh menetapkan kaedah umum namun bagaimana mahu membuktikannya turut memerlukan keterangan pakar,” katanya. Beliau berkata, pengiktirafan kini perlu diberikan kepada mereka yang berkemahiran mengenai makhluk halus dalam perundangan Syariah. “Walaupun wujud pelbagai kaedah perubatan moden, kita masih dibekalkan dengan perkhidmatan lebih tradisi di hospital sebagai pilihan seperti rawatan akupuntur dan refleksologi. “Aspek perundangan juga memerlukan pembaharuan dengan memberi pengiktirafan kepada mereka yang berkemahiran dalam alam ghaib,” katanya yang turut akan merujuk kepada pakar berkaitan dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi mewujudkan SOP itu. Sumber: BH Online

NEWS
Keratan Akhbar

Agensi Islam Persekutuan perlu ada bawah Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR: Semua hal ehwal Islam pada peringkat Persekutuan perlu diletakkan di bawah kuasa Majlis Raja-Raja untuk mengembalikan maruah serta memperkasa institusi itu. Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata Majlis Raja-Raja perlu menjadi penentu perjalanan dasar Islam di negara ini, manakala agensi hal ehwal Islam bawah Kerajaan Persekutuan hanya bertindak sebagai pelaksana. Katanya, ia bagi mengelakkan agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) disalah gunakan bagi kepentingan politik serta membelakangkan Majlis Raja-Raja. “Kita lihat sebelum ini wujud campur tangan politik dalam agensi seperti JAKIM ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini, contohnya ketika isu Rang Undang-Undang (RUU) 355. “Sepatutnya nak bawa cadangan di Parlimen pun perlukan persetujuan raja-raja, tetapi hingga saat ini, setahu kami Majlis Raja-Raja tidak pernah perkenankan pun. “Institusi lain juga digunakan bagi menyokong kumpulan politik tertentu, hingga tanpa disedari, tindakan itu bercanggah dengan kuasa Majlis Raja-Raja,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini. Ketika ini, sebanyak 12 agensi hal ehwal Islam berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, iaitu JAKIM, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Lembaga Tabung Haji (TH), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Selain itu, Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) dan Yayasan Waqaf Malaysia, selain Al-Hijrah Media Corporation. Mujahid berkata, cadangan meletakkan agensi Islam di bawah Majlis Raja-Raja tidak bererti institusi itu akan terbabit secara langsung dalam urusan harian agensi berkaitan. “Pentadbiran harian seperti pengurusan agensi dan kewangan dijalankan kerajaan, selagi mana kuasa Majlis Raja-Raja tidak diambil atau diceroboh tanpa disedari. “Contohnya, dulu didedahkan bagaimana menteri bertanggungjawab ketika menyalahgunakan dana YaPIEM, sedangkan agensi itu sepatutnya tumpu pada pembangunan ekonomi Islam. Ini tidak boleh dibenarkan berlaku lagi,” katanya. Sementara itu, Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz, bersetuju dengan pelaksanaan cadangan itu yang bakal mengembalikan kuasa Raja, selaras Perlembagaan Persekutuan. “Islam kekal di bawah kuasa Raja dan Majlis Raja-Raja boleh memainkan peranan, namun Kerajaan Persekutuan masih perlu wujudkan portfolio untuk mengekalkan seorang menteri untuk bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam. “Ini kerana Kerajaan Persekutuan masih ada tanggungjawab dalam undang-undang Islam,” katanya. Shamrahayu berkata, adalah tidak adil bagi pihak tertentu menuntut JAKIM dimansuhkan kerana kewujudannya tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. “Sebelum ini, satu institusi sebagai sekretariat kepada Majlis Hal Ehwal Agama Islam diwujudkan pada 1968 dengan perkenan Majlis Raja-Raja. “JAKIM asalnya adalah sekretariat itu sebelum diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Jadi, tidak adil untuk mencadangkan ia dibubarkan,” katanya. Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty, turut bersetuju dengan usaha itu, namun ia perlu diperhalusi menerusi perbincangan antara kerajaan dan Majlis Raja-Raja. “Mengikut Perlembagaan, Sultan dan Raja adalah ketua agama Islam, dan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) juga kami merancang mengembalikan kuasa Sultan bagi mengukuhkan Islam. “Perkara ini perlu diperhalusi dengan perbincangan antara kerajaan dan Majlis Raja-Raja bagi memastikan tiada salah faham antara institusi itu dan kementerian berkaitan hal ehwal agama,” katanya. Sumber: BH Online

MAHKAMAH SYARIAH WILAYAH PERSEKUTUAN
Keratan Akhbar

Perkasa BSK jaga kebajikan anak, ibu

KUALA LUMPUR: Cadangan memperkasa Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) wajar dilakukan bagi memastikan kebajikan anak dan ibunya terus terpelihara. Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Prof Noor Aziah Mohd Awal, berkata ketika ini, kerajaan memberi dana khas membantu pembayaran nafkah ibu dan anak berkenaan tetapi duit itu perlu diganti. Beliau berkata, ia boleh menimbulkan masalah kerana jika tiada waris boleh diperintahkan membayar, BSK tidak akan membuat bayaran dan keadaan itu menyebabkan kemudaratan kepada anak dan wanita terbabit. “BSK sepatutnya dihubungkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Zakat dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bagi membolehkan anak mendapat nafkah teratur dan cepat. “Sebagai contoh, jika seorang lelaki mempunyai tiga anak dengan pendapatan RM3,500 sebulan, mahkamah boleh memerintahkan beliau membayar RM250 setiap anak sebulan dan potongan berkenaan boleh dilakukan secara automatik daripada LHDN,” katanya. Perlu perintah mahkamah Beliau berkata demikian mengulas cadangan Puteri UMNO supaya BSK diperkasa bagi memastikan isu nafkah dapat diselesaikan tanpa memerlukan perintah pelaksanaan mahkamah. Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ini berikutan statistik menunjukkan 171,252 perceraian dalam kalangan pasangan Islam dari 2014 hingga 2016. Di Terengganu sahaja, sebanyak 1,371 kes ingkar perintah nafkah diadukan sejak 2010 hingga 2016, selain 588 kes difailkan ke Mahkamah Syariah Terengganu bagi tujuan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah. JKSM ditubuhkan pada 2010 bertujuan membantu orang Islam iaitu isteri dan anak, yang sudah mendapat perintah nafkah. Katanya, sebelum wujud BSK, banyak perintah nafkah hanya tinggal atas kertas, berikutan kesukaran membuat tuntutan nafkah. “Ada suami diperintahkan membayar nafkah menghilang diri, tidak dapat dikesan dan tidak mampu membayar. “Sekiranya bapa atau suami yang diperintahkan membayar nafkah itu hilang upaya, wanita perlu menunggu saudara lelaki lain, sementara mendapatkan nafkah berkenaan. “Ini kerana orang lain yang boleh diperintahkan membayar nafkah berkenaan, adalah datuk (bapa kepada bapa) atau bapa saudara (adik atau abang kepada bapa),” katanya. Sumber: Berita Harian

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.