Program Jabatan

1 2 1024x768
Program Jabatan

KURSUS PENGURUSAN AKAUN AMANAH TAHUN 2023

9 FEBRUARI 2023 (PUTRAJAYA) – Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah berjaya melaksanakan Kursus Pengurusan Akaun Amanah (Akaun Belum Terima dan Hapus Kira) Tahun 2023 pada 7 hingga 9 Februari 2023 di Makmal Komputer BTMK, Aras 4 JKSM. Peserta yang terdiri daripada Penolong Pengarah Kanan, Penolong Pengarah, Penolong Akauntan, Pembantu Tadbir (Kewangan) BSK Seksyen Negeri seluruh Malaysia telah hadir sepanjang tiga hari kursus. Penceramah daripada Bahagian Akaun JPM telah hadir bagi menyampaikan ceramah dan memberikan panduan dalam penyediaan Akaun Belum Terima (ABT) BSK serta menerangkan prosedur pelaksanaan hapus kira berdasarkan pekeliling dan tatacara kewangan yang sedang berkuatkuasa. Para peserta turut didedahkan kepada penyediaan laporan ABT dan hapus kira melalui latihan amali, dibentangkan pada hari terakhir kursus untuk maklum balas daripada penceramah. BSK JKSM telah mensasarkan fokus pelaksanaan hapus kira bagi ABT pendahuluan nafkah pada tahun 2023 – 2024 dan pelaksanaan kursus ini menandakan permulaan bagi pelaksanaan strategi ini. Semoga para peserta mendapat manfaat daripada kursus yang telah dilaksanakan serta dapat mengaplikasikan segala maklumat yang telah diberikan sepanjang tempoh kursus dalam pelaksanaan hapus kira pendahuluan nafkah BSK Seksyen Negeri seluruh Malaysia.

01
Program Jabatan

KUNJUNG HORMAT BSK JKSM KE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI SARAWAK DAN PROGRAM NAZIRAN BSK SEKSYEN NEGERI SARAWAK

21 Mac 2023 | Bahagian Sokongan Keluarga ,Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengadakan kunjungan hormat dan program naziran BSK Seksyen Negeri Sarawak ke Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sarawak bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 4, Anjung Kiri Bangunan Mahkamah Syariah Negeri Sarawak. YAA Datu Haji Awang Suhaili bin Ledi, Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sarawak dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran BSK JKSM yang diketuai oleh Puan Maria Jilani, Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga JKSM berserta deligasi. YAA Datu turut menekankan kepentingan usaha penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah dan Mut’ah demi kepentingan rakyat bagi memberi kemudahan kepada orang awam khususnya di Negeri Sarawak. Selanjutnya merencana sebarang cadangan program kerjasama yang boleh dirancang BSK JKSM dan BSK Seksyen Negeri Sarawak khususnya untuk memberi kefahaman dan pendedahan berkaitan fungsi dan peranan BSK kepada masyarakat. Untuk makluman, objektif Naziran Pengoperasian BSK Seksyen Negeri Sarawak adalah untuk memperkukuhkan lagi sistem perkhidmatan pengurusan kepada pelanggan yang berurusan di BSK di samping berkongsi idea dan pandangan dalam kalangan para pegawai dan kakitangan. Untuk rekod, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak telah melantik 5 orang pegawai Syariah dan 3 orang penolong pegawai Syariah lantikan negeri yang ditempatkan di BSK Seksyen Negeri Sarawak di ibu pejabat JKSS di Bandar Kuching, Bahagian Miri dan Bahagian Sibu. Turut hadir dalam kunjung hormat pada hari ini ialah Puan Izzah Hanani binti Suhaimi,Penolong Pengarah Kanan dan seluruh warga kerja BSK Seksyen Negeri Sarawak.

01
Program Jabatan

JKSM DI KARNIVAL AL-FALAH

TUMPAT | Bahagian Sokongan Keluarga (BSK,) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia antara agensi agama yang turut serta sebagai pempamer bagi pameran dan khidmat agensi Hal Ehwal Agama sempena Karnival Al-Falah yang diadakan di Sekolah Menengah Kampung Laut di Tumpat,Kelantan. Karnival ini telah dirasmikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Naim bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam Program Siri Jelajah Transformasi Al-Falah Peringkat Negeri Kelantan. Pempamer JKSM terdiri daripada Bahagian Sokongan Keluarga JKSM dan JKSN Kelantan telah memberikan nasihat perundangan berkaitan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah. Manakala,naskah terbitan JKSM seperti Jurnal Hukum dan bacaan ilmiah berkaitan hukum syarak dan perundangan Islam telah dipromosikan oleh Bahagian Pusat Sumber Maklumat dan Penerbitan. Turut hadir YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain,Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Puan Maria binti Jilani, Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga JKSM dan Puan Rafidah binti Abdul Razak, Ketua Penolong Pengarah BPSMP JKSM juga hadir dalam pameran tersebut. Pameran ini merupakan salah satu pendekatan untuk menyantuni dan menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

01
Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM KE ATAS KETUA PENGARAH PENDAFTARAN NEGARA

PUTRAJAYA| Sesi kunjungan hormat Ketua Pengarah/Ketua hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ke atas YBrs. Tuan Zamri bin Misman, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Kamar Gemilang, JPN pada 11 September 2023. Delegasi diketuai oleh YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM yang turut disertai oleh YAA Tuan Mohd. Asri bin Tahir, Ketua Hakim Syarie, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Ketua Pendaftar JKSM, wakil daripada Bahagian Undang-Undang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pegawai Bahagian Dasar dan Penyelidikan, JKSM. Pihak JPN pula dihadiri, antaranya oleh Tuan Saiful Yazan bin Alwi, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Operasi), Pengarah-Pengarah Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat dan Bahagian Dasar dan Pemodenan, Penasihat Undang-Undang dan pegawai-pegawai Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat. YBrs. Tuan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara mengalu-alukan kehadiran JKSM, MSWP dan JAKIM. Antara perbincangan dalam sesi kunjungan hormat ini adalah berkaitan dengan isu permohonan pengangkatan dan pendaftaran pengangkatan anak oleh orang Islam dan isu-isu lain berkaitan dengan mahkamah syariah dan JPN. Semoga dengan kunjungan hormat ini akan merintis ruang kerjasama strategik yang lebih erat antara jabatan-jabatan ini demi kepentingan bersama.

1
Program Jabatan

KENYATAAN KEPUTUSAN TENDER RASMI. NO TENDER: QT240000000025703

| Satu majlis penyampaian sumbangan telah diadakan oleh Biro Kebajikan dan Pembangunan Insan KKS, JKSM bagi sesi 2024/2026 di Bilik Mesyuarat Utama (BMU), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Majlis ini bertujuan untuk menyampaikan sumbangan kepada warga KKS yang telah mengalami musibah seperti kehilangan ahli keluarga (kematian) dan mereka yang dimasukkan ke hospital (warded). Majlis ini berlangsung secara ringkas serta dengan penuh rasa kebersamaan dan kasih sayang, mencerminkan semangat persaudaraan di kalangan warga KKS ini adalah salah satu inisiatif untuk membantu meringankan beban warga yang sedang menghadapi kesukaran. Seramai 18 orang penerima sumbangan yang telah menerima manfaat berbentuk wang tunai, disempurnakan oleh YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie merangkap Penasihat KKS diiringi oleh YA Dato’ Haji Mohd Shakir bin Abdul Hamid, Pengerusi KKS Sesi 2024/2026. Turut hadir Exco tertinggi KKS dan Duta-Duta Bahagian di majlis tersebut. Semoga bantuan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang sedang diuji. Semoga usaha ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk membantu lebih ramai individu yang memerlukan.

01
Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS PENGARAH JABATAN KERJA RAYA NEGERI SABAH

13 Februari 2023 | YA Dato’ Mohd Amran bin Mat Zain, Hakim Rayuan JKSM yang menjalankan tugas Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM hari ini berkesempatan mengadakan Kunjung Hormat ke atas Tuan Haji Arman bin Abdul Muin, Pengarah JKR Negeri Sabah. Antara perkara yang telah dibincangkan berkaitan isu pelaksanaan projek yang sedang dilaksanakan di Mahkamah Syariah Daerah Papar dan isu-isu yang belum selesai bagi projek Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah untuk tujuan penutupan akaun 2023 memandangkan tiada lagi butiran dan peruntukan pada tahun hadapan. Selain itu, JKSM turut menyampaikan hasrat dalam melaksanakan projek bagi Rolling Plan Keempat (RP4) RMKe-12 Tahun 2024 melibatkan daerah Kota Belud, Kudat dan Sandakan. Turut hadir dalam kunjungan ini ialah YAA Datuk Ahmad Din bin OKK Othman, Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah, Tuan Haji Nassir bin Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM, Puan Azlina binti Abdul Aziz, Pengarah Kanan (Pengurusan) JKSM, Puan Surayah binti Ramlee, Ketua Pendaftar, JKSN Sabah.

01
Program Jabatan

KURSUS PROTOKOL, ETIKET SOSIAL DAN PENGURUSAN MAJLIS 2023

Bertarikh 20 hingga 22 Mac 2023, Bahagian Latihan JKSM (BL) telah menganjurkan Kursus Protokol, Etiket Sosial dan Pengurusan Majlis 2023 secara fizikal bertempat di Hotel Ancasa Resident, Port Dickson, Negeri Sembilan yang dihadiri seramai 40 orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan pelbagai gred perkhidmatan agensi kehakiman dan perundangan syariah dari seluruh Malaysia. Kursus ini telah dirangka khusus untuk memberikan pengetahuan mengenai tatacara dan aspek pengurusan majlis yang betul mengikut protokol penganjuran sesuatu majlis. Selain itu, kursus ini juga memberikan pendedahan dan meningkatkan kemahiran pengurusan profesionalisme individu bagi menjayakan sesuatu majlis sekaligus memberikan imej yang baik kepada organisasi. Objektif kursus ini antara lain memberi pengetahuan etika dan protokol dalam sesuatu majlis, mempelajari teori dan amali menguruskan majlis serta kemahiran protokol etiket dan komunikasi dimana adalah diharapkan agar para peserta mengetahui apakah perbezaan pengurusan majlis rasmi dan tidak rasmi, formal dan tidak formal di peringkat organisasi, negeri, kebangsaan dan peringkat antarabangsa. Kursus ini dijayakan oleh dua orang tenaga pengajar daripada Perunding Latihan Kanan dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara, Kuala Lumpur iaitu Puan Suzana Binti Ibrahim, Ketua Unit Kecemerlangan Komunikasi Dan Bahasa Melayu dan Ts. Dr. Rohaizan Binti Daud, Perunding Latihan, Kecemerlangan Komunikasi dan Bahasa Melayu (Komunikasi). Di akhir kursus, para peserta diberi simulasi dan latihan dalam kumpulan yang dibimbing oleh tenaga pengajar dan penilaian dijalankan. Kursus selama 3 hari ini diakhiri dengan perasmian penutup yang disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Latihan JKSM. Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para penceramah serta tahniah kepada para peserta yang berjaya mengikuti kursus ini dengan jayanya. JKSM amat berharap agar segala ilmu dan latihan yang diperolehi daripada kursus ini dapat diamalkan dalam menjayakan sesuatu majlis di jabatan masing-masing.

03
Program Jabatan

KURSUS HIBAH, AMANAH, WASIAT DAN PROBET (HARTANAH)

GENTING HIGHLANDS| Usaha strategik dan berterusan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam menyediakan latihan berimpak tinggi bagi pembangunan kompetensi Pegawai-Pegawai Syariah seluruh Malaysia wajar dipuji. Kali ini, bertempat di Awana Resorts World, Genting Highlands, Pahang Darul Makmur, Bahagian Latihan, JKSM menganjurkan Kursus Hibah, Amanah, Wasiat dan Probet (Hartanah) dengan pihak penganjur menggariskan empat objektif yang ingin dicapai iaitu meningkatkan kefahaman dan kemahiran kepada peserta mengenai hal perkara berkaitan dengan Hibah, Amanah, Wasiat dan Probet; mendedahkan kepada para peserta tentang konsep dan pelaksanaan Hibah Amanah Tunai, Hibah Hartanah Dalam Cagaran, dan Wasiyyah Wajibah daripada perspektif Syarak, perundangan dan administratif; mendedahkan kepada para peserta mengenai praktik penyediaan dokumentasi Hibah, Amanah, Wasiat secara profesional; dan menyediakan ruang percambahan ilmu dan idea dalam aspek perundangan Hibah, Amanah, Wasiat dan Probet (Hartanah). . Progam yang bermula pada 12 September 2023 dan berakhir hari ini menyasarkan para peserta yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Penolong Penasihat Undang-Undang (Syariah) Negeri-Negeri, serta pegawai-pegawai daripada Bahagian Dasar dan Penyelidikan JKSM. . Hadir merasmikan kursus ini, YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ketika berucap menekankan kepentingan penguasaan bidang ilmu yang berkaitan dengan skop tugas dan peranan pegawai-pegawai. Atas hubungannya dengan penganjuran kursus yang disertai oleh kumpulan sasaran terpilih ini, hal perkara berkaitan hibah dan isu-isu yang berbangkit di dalam prosiding kes sebagai contoh, penguasaan ilmu sepenuhnya haruslah dipastikan menyeluruh. . Mengambil kesempatan dalam ucapannya, YAA Dato’ sempat menyentuh perihal kepentingan menjaga amanah kerana perlanggaran terhadapnya boleh mendatangkan kemudharatan kepada pihak lain. Dalam aspek pelaksanaan tugasan seharian, beliau menyeru supaya pegawai-pegawai hendaklah bersifat tekun dan menitikberatkan kesempurnaan hasil kerja selari dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Beliau turut mendoakan agar para pegawai tergolong dalam kalangan mereka yang amanah, berusaha kuat, dan menjunjung nilai-nilai integriti. Cuplikan ayat al-Quran yang dipetik daripada Surah al-Qassas ayat 26 yang bermaksud, “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang diambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” . Program yang telah diklasifikasikan sebagai berimpak tinggi ini menampilkan penceramah pakar daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sendiri iaitu YA Dato’ Haji Mohamad Shakir bin Haji Abdul Hamid, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, YA Tuan Haji Salehan bin Yatim, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor, YBrs. Tuan Jaiya bin Abu yang merupakan Pengarah Bahagian Pengurusan dan Perundangan Tanah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, dan YBrs. Tuan Ahmad Termizie bin Abdullah, Peguam Bela dan Peguam Cara (Malaya) / Peguam Syarie. . Kursus pada kali ini berakhir dengan pembentangan Resolusi Kursus daripada YBrs. Tuan Mohamad Shahidan bin Abdul Ghapar, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Latihan, JKSM dan untuk rekod, sebanyak sembilan (9) resolusi telah diambil dan dipersetujui untuk kajian susulan.

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.