Program Jabatan

Program Jabatan

E-KONSULTASI: INOVASI JKSM DAN ADVOKASI MASYARAKAT

JUMAAT, 26 MEI 2023- Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sekali lagi melakukan anjakan paradigma dengan menawarkan perkhidmatan e-Konsultasi atau runding cara percuma kepada masyarakat yang berhadapan isu-isu perundangan dan kehakiman di Mahkamah Syariah. “E-Konsultasi ini merupakan inovasi baharu JKSM dalam menawarkan rundingcara dan khidmat nasihat perundangan secara atas talian kepada masyarakat. Jika sebelum ini mana-mana pihak yang berhasrat untuk mendapatkan khidmat nasihat perundangan perlu membelanjakan sejumlah kos, namun dengan perkhidmatan e-Konsultasi ini mereka berpeluang untuk mendapatkan khidmat runding cara tersebut dengan pantas, mudah dan tanpa melibatkan sebarang bayaran,” ujar YAA Dato’ Hj Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarii JKSM ketika merasmikan perkhidmatan e-Konsultasi tersebut. “Terdapat pelbagai manfaat e-Konsultasi kepada masyarakat. Antaranya runding cara ini diadakan secara face to face dengan dikendalikan oleh pegawai JKSM yang berpengalaman.” “Maklumat sahih yang disampaikan secara terfokus kepada individu tertentu yang menghadapi kemusykilan tersebut diharapkan dapat mengurangkan stress masyarakat dan kesesakan di kaunter Mahkamah,” tambah beliau lagi. Perkhidmatan e-Konsultasi ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa had kewangan tertentu. Justeru, bagi mereka yang berhasrat untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut, masing-masing hendaklah mengisi e-borang yang disediakan ketika program Online Legal Clinic (OLC) yang bersiaran menerusi facebook live JKSM, pada hari Khamis, jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengahari. Dengan kata lain, program OLC merupakan gerbang kepada masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan e-Konsultasi tersebut. Seterusnya, persoalan berbangkit yang telah disaring tersebut akan diserahkan kepada pegawai tertentu dan link google meet diemailkan kepada pihak yang bertanya bagi penetapan sesi konsultasi pada hari Jumaat keesokannya. “Bertepatan dengan motto Online Legal Clinic dan E-Konsultasi iaitu ‘Segalanya tentang anda’, maka sesungguhnya kejayaan e-Konsultasi ini bergantung kepada sambutan daripada masyarakat. Sehubungan itu, masyarakat disarankan untuk memanfaatkan perkhidmatan ini dengan sebaiknya,” tegas YAA Dato Hj Mohd Amran di hujung ucapannya. Untuk rekod, OLC dan E-Konsultasi merupakan inisiatif dari Bahagian Latihan JKSM dengan sinergi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) demi untuk membumikan ilmu perundangan dan kehakiman syariah, di samping bertindak sebagai salah satu kaedah advokasi kepada masyarakat awam. Sehingga kini tujuh sesi e-konsultasi dikendalikan oleh empat orang pegawai JKSM dan JPW yang dilantik.

Program Jabatan

LAWATAN KERJA DAN DISKUSI ISU PERNIKAHAN YANG BERLAWANAN DENGAN AKTA/ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NIKAH SENDIKET) WARGANEGARA MALAYSIA DI SELATAN THAILAND BERSAMA MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH SELATAN THAILAND KERJASAMA JAKIM DAN JKSM

20 hingga 23 Jun 2023| Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengadakan lawatan kerja dan diskusi isu pernikahan yang berlawanan dengan Akta/Enakmen Undang-undang Keluarga Islam warganegara Malaysia di Selatan Thailand bersama Majlis Agama Islam Wilayah Selatan Thailand. Lawatan dan diskusi tersebut melibatkan kelima-lima Wilayah Selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun, selain perbincangan dan kunjungan turut diadakan bersama Pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla. Tujuan lawatan kerja ini adalah bagi membincangkan isu berkaitan perkahwinan yang melibatkan warganegara Malaysia di Selatan Thailand terutamanya yang melibatkan perkahwinan sindiket. Lawatan kerja ini telah berjaya dilaksanakan melalui kerjasama semua Majlis Agama Islam Selatan Thailand yang bersedia memberikan kerjasama dan komitmen bagi memudahkan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dan Mahkamah Syariah negeri-negeri dalam membuat pengesahan selain membincangkan langkah bagi membendung perkahwinan dilangsungkan di selatan Thailand. Lawatan ini diketuai oleh YBhg. Tuan Hj. Ruslan bin Said Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM manakala JKSM diketuai oleh YBrs. Tuan Hj Nassir bin Hj Abdul Aziz Ketua Pendaftar JKSM. Selain itu, rombongan turut disertai seramai 41 orang yang terdiri daripada KPNCR Jabatan Agama Islam Negeri-negeri, Ketua Pendaftar JKSN dan MSN, Hakim-Hakim Syarie, Pendaftar, urusetia JAKIM dan JKSM. Turut hadir YBrs. Tuan Hj. Norizan bin Abd Ghani Pengarah KSK JAKIM, YAA Tuan Kamal Bashah bin Dato’ Ahmad Tajuddin, Ketua Hakim Syarie JKSM Negeri Sembilan dan Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz Pengarah BPKR JKSM. Lawatan ini adalah susulan daripada persetujuan Persidangan KPNCR dan KP JKSN/MSN pada tahun 2022. Hasil lawatan akan disediakan laporan bagi tujuan penambahbaikan sama ada di peringkat KPNCR Jabatan Agama Islam Negeri-negeri mahupun Mahkamah Syariah negeri-negeri. Pandangan dan nasihat terutama daripada pejabat Konsulat akan diberikan perhatian dan perbincangan lanjut akan diadakan secara bersama antara JAKIM, JKSM dan Wisma Putra. Semoga hubungan dan kerjasama erat di antara Malaysia dan Wilayah Selatan Thailand mahupun negara Thailand akan terus berkekalan terutama yang membabitkan hal ehwal Islam di antara kedua-duanya. Disediakan oleh: Urusetia Lawatan Kerja & Diskusi, BPKR, JKSM

Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT KETUA PENGARAH JKSM KE ATAS DUTA REPUBLIK ARAB MESIR

AMPANG| YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM berkesempatan mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Mesir Tuan Yang Terutama (TYT) Ragai Tawfik Nasr bertempat di Kedutaan Mesir, Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur hari ini. Kunjungan ini disambut mesra dan penuh mahabbah oleh Tuan TYT dan kakitangan kedutaan, di samping saling bertaaruf antara satu sama lain, kerana kunjungan ini merupakan kunjungan kali pertama Dato’ Mohd Amran ke Pejabat Kedutaan Mesir setelah dilantik sebagai KP/KHS JKSM. Dato’ Mohd Amran dan Tuan TYT berkesempatan bertukar-tukar penjelasan dan pandangan perihal Perlembagan Undang-Undang Syariah dan struktur pentadbiran Syariah negara masing-masing. Dato’ Mohd Amran juga berkesempatan menjelaskan perancangan JKSM untuk memantapkan dan memperbanyakkan lagi latihan untuk para pegawai di JKSM. Ini bagi memastikan semua Pegawai Syariah yang dilahirkan oleh JKSM kompeten dalam bidang tugas masing-masing selaras dengan kehendak Jabatan. Tuan TYT Ragai menyambut baik perancangan tersebut dan akan memberi sokongan penuh kepada sebarang kolaborasi strategik antara kedua negara dalam membantu urusan pentadbiran JKSM secara amnya. Pertemuan yang diadakan pada hari ini dapat memberikan impak yang besar kepada sistem perundangan dan kehakiman Syariah negara, sekaligus mengeratkan lagi hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Kunjungan ini turut disertai oleh Tuan Mohammad Shahidan Abd. Ghapar, KPP Bahagian Latihan dan Tuan Mohd Khairul Hamiz bin Mohd Hussin, Pegawai Khas Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM. Allah SWT berfiman di dalam Surah al-Hujurat, ayat 13: یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرࣲ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبࣰا وَقَبَاۤىِٕلَ لِتَعَارَفُوۤا۟ۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِیمٌ خَبِیرࣱ.

Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA JKSM BERSAMA PERSEKUTUAN ORANG PEKAK MALAYSIA (MFD), PERSATUAN JURUBAHASA ISYARAT MALAYSIA (MYASLI) DAN PERSATUAN ORANG PEKAK ISLAM MALAYSIA (PRISMA) KEPADA KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA

PUTRAJAYA | Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), JKSM telah mengadakan kunjungan hormat bersama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MYASLI) dan Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) kepada Ketua Pengarah /Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa pihak JKSM menyahut dasar kerajaan bagi memastikan OKU mendapat kesaksamaan hak dan peluang bagi penyertaan penuh dalam masyarakat khususnya ketika berurusan di Mahkamah Syariah. Buat julung kalinya Bahagian Sokongan Keluarga JKSM berkolaborasi bersama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MYASLI) dan Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia ( PRISMA ) dalam merencana program penerangan dan pemahaman kepada masyarakat awam mengenai prosedur undang-undang dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BSK. Kunjungan hormat ini dihadiri oleh Encik Mohamad Sazali bin Shaari selaku Presiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Puan Wan Zuraida Abu selaku Ketua Jurubahasa Isyarat MFD merangkap Presiden Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyASLI) dan Encik Aqlam Jafri selaku Yang Dipertua Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA). Turut hadir adalah Tuan Mohamad Zakian bin Dio,Pengarah Kanan ( Kehakiman ) JKSM dan Puan Maria binti Jilani,Pengarah Bahagian Sokongan keluarga JKSM. Antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai perkhidmatan jurubahasa isyarat dan cadangan penambahbaikkan bagi kemudahan OKU pendengaran dan pertuturan di Mahkamah Syariah.

Program Jabatan

DISKUSI PERUNDANGAN TANAH – HAKIM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH

| Bahagian Latihan (BL), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan Program Diskusi Perundangan Tanah – Hakim Mahkamah Tinggi Syariah pada 13 hingga 15 Ogos 2024 bertempat di Aras 4, Bahagian Latihan JKSM Putrajaya. Program ini bertujuan memberi ruang kepada para peserta berdiskusi dengan lebih mendalam berkaitan kes melibatkan tanah khususnya dalam konteks hibah dan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 atau juga dikenali sebagai Akta GSA. Peserta Diskusi terdiri daripada Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN)/ Mahkamah Syariah Negeri (MSN) seluruh Malaysia, Pegawai-Pegawai Penyelidik Hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan Peguam Kanan Syarie Persekutuan dari Jabatan Peguam Negara (AGC). Konsep Diskusi pada kali ini menggandingkan perkongsian ilmu dari sudut akademik dan juga pengalaman sebenar industri di lapangan. Antara pengisian Program ialah Sesi Perkongsian daripada YBrs. Dr. Shofiyyah binti Moidin, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Puan Helwani binti Lukman, Pengetua Institut Semarak FELDA, Bangi. Penghargaan juga diberikan kepada YA Dato’ Muhammad Azhari bin Abd Rahman, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang yang telah mengendalikan Slot Diskusi bersama hakim-hakim mahkamah tinggi Syariah di akhir Program ini. Turut serta mengikuti Program Diskusi pada kali ini ialah YA Dato’ Abas bin Nordin, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM. Diharapkan agar Program Diskusi yang diadakan ini dapat menjadi medan pencerahan dan menggalakkan perbincangan yang positif di kalangan pegawai-pegawai Syariah khususnya kepada hakim-hakim Syarie di Malaysia.

Program Jabatan

JKSM TERIMA KUNJUNGAN UIAM: JALINAN AKADEMIK PERKUKUH INSTITUSI SYARIAH

| YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),YB Senator Dato’ Setia Dr. Naim bin Haji Mokhtar, petang ini hadir merasmikan Majlis Iftar Jamaie di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Majlis ini turut mencatat sejarah dengan pelancaran “ , ”, sebuah inisiatif penting dalam memperkukuh sistem penyelesaian pertikaian secara Sulh di Malaysia. Majlis anjuran bersama JKSM, Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Kelab Kebajikan dan Sukan JKSM (KKS) ini bertujuan mengeratkan hubungan antara warga kehakiman syariah serta masyarakat, selain menyantuni anak-anak yatim dan asnaf dalam suasana penuh keberkatan di bulan Ramadan. Acara bermula dengan ketibaan tetamu jemputan pada jam 6.00 petang, diikuti dengan ucapan Kolonel Bersekutu (PA) Dato’ Seri Haji Abdul Malik Abdullah, Pengerusi Federation of Malaysian Business Association (FMBA), serta YAA Dato’ Hj Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syariee JKSM. Dalam ucapan perasmiannya, YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) menegaskan kepentingan institusi kehakiman syariah dan PPSM dalam menjaga kebajikan para pegawai Syariah dan masyarakat Islam, termasuk mempromosikan pendekatan penyelesaian pertikaian secara Sulh. Beliau turut melancarkan “Tinta Sulh, JKSM”, sebuah makalah yang menghimpunkan koleksi penulisan Pegawai Sulh dari seluruh negara. “Saya berharap makalah ini dapat membantu masyarakat memahami kaedah penyelesaian pertikaian menerusi Sulh, mengarusperdanakan peranannya serta memberikan input berharga kepada institusi perundangan dan kehakiman syariah bagi memperkasakan lagi sistem penyampaiannya,” ujar beliau. Majlis ini turut diserikan dengan sesi penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan asnaf oleh YB Menteri, sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan. Penganjuran majlis ini bukan sahaja mencerminkan keunggulan kehakiman syariah dalam menyantuni masyarakat, tetapi juga menandakan satu lagi langkah strategik dalam memperkasakan sistem penyelesaian pertikaian syariah di Malaysia menerusi platform Tinta Sulh, JKSM.

Program Jabatan

KURSUS SIJIL EKSEKUTIF KEMAHIRAN ISTINBAT HUKUM DALAM PENGHAKIMAN SYARIE (KIPSYA) Siri -1/2023

Kurator Program Latihan Kehakiman dan Perundangan Syariah, BL JKSM PUTRAJAYA, 16 Februari – Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengadakan Kursus Sijil Eksekutif Kemahiran Istinbat Hukum Dalam Penghakiman Syarie (KIPSYA) Siri 1 bermula pada 15 hingga 16 Februari 2023 dengan kerjasama Institut Fatwa dan Halal (iFFAH) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di JKSM Putrajaya. Objektif kursus ini diadakan adalah bertujuan untuk: 1. Memantapkan pemahaman para peserta berkenaan Pengenalan kepada fiqh, usul al-Fiqh, al-Qada’ dna dalil-dalil utama hukum Syarak dalam penghakiman Syarie. 2. Memantapkan pemahaman para peserta berkenaan dalam mengaplikasi konsep Masalih al-Mursalah, al-Istihsan, al-‘Urf, Sadd al-Zariah, al-Istishab dan maqasid al-Syariah dalam bidang perundangan dan kehakiman Syariah. KIPSYA siri 1 ini dikendalikan oleh Prof Madya Mohd Nasir bin Abdul Majid, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) USIM dan Prof. Madya Dr. Abdul Manan bin Ismail, Pengarah Akademi Fiqh Islami (AFHAM) USIM. Di awal kursus ini, para peserta telah diberikan taklimat berkenaan silibus dan modul Kursus KIPSYA 2023 yang disampaikan oleh YBrs Puan Nenney Shuhaidah binti Shamsuddin, Pengarah, Bahagian Latihan JKSM. Kursus tersebut telah dihadiri seramai 30 orang peserta (kumpulan kedua) terdiri dalam kalangan YA Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah seluruh Malaysia dan Pegawai-pegawai Syariah seluruh Malaysia.

Program Jabatan

KUNJUNG HORMAT JABATAN PEGUAM NEGARA (AGC) KE ATAS JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA (JKSM)

29 Mei 2023 | YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM menyantuni kehadiran delegasi Jabatan Peguam Negara (AGC) pagi tadi di Pejabat Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, JKSM. Delegasi AGC diketuai oleh Tuan Mohammad Khalid bin Shaee @ Shaii, Ketua Unit Kehakiman Syariah dan Undang-Undang Keluarga Islam; Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang Jabatan Peguam Negara (AGC) bersama enam (6) orang pegawai yang lain. Semoga kunjung hormat ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara kedua agensi sekaligus dapat mencambah pelbagai idea demi memperkukuh Institusi Kehakiman di negara kita.

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

[language-switcher]

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.