Program Jabatan

01
Program Jabatan

PERJUMPAAN KHAS KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM BERSAMA PENGARAH YAYASAN ISLAM KELANTAN (YIK)

Kota Bharu | Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain telah mengadakan perjumpaan khas bersama YM Engku Rajhan bin Engku Ismail, Pengarah YIK bertempat di ibu pejabat YIK, Kota Bharu, Kelantan. YAA Dato’ KP/KHS menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada YM Engku atas kesudian menerima kunjungan ini dan kesediaan YIK meneruskan jalinan kerjasama yang dapat memanfaatkan kedua-dua belah pihak. Antara program bersama yang sedang dijalankan ialah Kursus Multaqa Pakar Turath Syariah secara bersiri mulai tahun 2021 sehingga 2025. Perjumpaan ini memberi tumpuan ke arah meneruskan kesinambungan dan jalinan hubungan kerjasama yang baik di antara JKSM dan YIK di samping berkongsi maklumat berhubung prospek kerjasama yang boleh diteroka antara kedua-dua pihak di masa hadapan seperti kursus-kursus dan latihan membabitkan perkongsian kepakaran dan kemahiran. Perjumpaan mesra ini diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati antara JKSM dan YIK. Perjumpaan khas YAA Dato’ KP/KHS JKSM ini turut ditemani oleh Pengarah Kanan (Kehakiman) JKSM, Tuan Mohamad Zakian bin Dio. Manakala dari pihak YIK pula ditemani oleh Timbalan-timbalan pengarah dan pegawai-pegawai kanan. Disediakan oleh: Penyelaras program latihan, Bhg. Latihan, JKSM.

02
Program Jabatan

MAJLIS DINNER TALK PEGAWAI-PEGAWAI SYARIAH NEGERI TERENGGANU

KUALA TERENGGANU | YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie (JKSM) telah diundang untuk menghadiri Majlis Dinner Talk anjuran Persatuan Pegawai-Pegawai Syariah Negeri Terengganu dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di Hotel Raia, Convention Centre, Terengganu. . Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Naim bin Hj. Mokhtar, Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri (JPM). . Hadir sama, YB Penasihat Undang-undang Negeri, YDP MAIDAM, YB Pengerusi JK Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Sohibus Samahah Mufti dan dif-dif kehormat serta seluruh pegawai-pegawai Syariah negeri Terengganu. . Semoga pertemuan pada malam ini dapat mengukuhkan ukhuwah dan menyatukan hati pegawai-pegawai Syariah negeri bersama agensi di peringkat negeri dan persekutuan ke arah melaksanakan gerak kerja pemerkasaan pentadbiran kehakiman dan perundangan Syariah di negara ini.

01
Program Jabatan

MAJLIS MAKAN MALAM DAN PERASMIAN DIALOG PERUNDANGAN ISLAM KEBANGSAAN 2023

KUALA LUMPUR l YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie JKSM telah menghadiri Majlis Makan Malam dan Perasmian Dialog Perundangan Islam Kebangsaan 2023 bertempat di Grand Hibiscus, Swiss Garden Hotel, Kuala Lumpur. . Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama (HEA). . Majlis Dialog ini merupakan salah satu platform bagi negeri-negeri mengutarakan pandangan dan buah fikiran untuk mencapai maksud kesatuan fikrah dan hala tuju jelas demi melihat perundangan Syariah di negara ini diperkasakan martabatnya dan diseragamkan peruntukan serta pelaksanaannya. . Majlis Dialog ini juga telah disertai oleh ahli Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan dan wakil daripada negeri-negeri, antaranya Sohibus Samahah Mufti, YB Penasihat Undang-Undang (PUU), YAA Ketua Hakim Syarie Negeri (KHS), Ketua Pegawai Eksekutif Negeri, Ketua Pendakwa Syarie (KPS) dan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri.

01
Program Jabatan

PROGRAM PENGUKUHAN ORGANISASI DAN PENGHAYATAN PEKERJAAN TAHUN 2025

| Bahagian Latihan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengadakan Bengkel Pembangunan Bahan E-Pembelajaran Sektor Awam (EPSA) dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Bengkel ini diadakan selama 3 hari bermula dari 13 hingga 15 Mei 2025 bertempat di Bilik Latihan Syariah, JKSM dan telah disertai seramai 21 orang peserta yang terdiri daripada pakar bidang untuk Modul Kursus EPSA JKSM dan Teknologi Maklumat. Penceramah jemputan pada bengkel kali ini ialah YBrs. Puan Hennes Henyss Lobenden, Penolong Pengarah Kanan dari Pusat Pengajian Teknologi Maklumat dan Pembangunan Teknologi (IMATEC), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan di bantu oleh YBrs. Puan Roszela binti Abdullah, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat selaku fasilitator sepanjang tiga hari berbengkel. Bengkel ini juga diadakan bertujuan untuk menerangkan kepada para peserta proses pembangunan bahan kursus EPSA bertepatan dengan Garis Panduan Pembangunan Bahan Kursus EPSA yang menerangkan struktur dan kaedah asas dalam penyediaan bahan kursus EPSA serta mengenal pasti elemen multimedia dan reka bentuk teknikal dalam pembangunan bahan kursus EPSA. Untuk rekod, JKSM sebelum ini merupakan penyumbang bahan e-Pembelajaran EPSA dalam bidang Undang-Undang Jenayah Syariah dan kini sudah tiba masanya untuk JKSM membangunkan bahan e-Pembelajaran dalam bidang Undang-Undang Tatacara Mal, Faraid dan Sulh. Bahagian Latihan amat komited dan memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti penambahbaikan pengurusan dan kualiti latihan bagi meningkatkan profesionalisme Pegawai Syariah di JKSM/JKSN/MSN dan kader di seluruh Malaysia. Kerjasama antara kedua-dua agensi ini merupakan simbol sinergi berkesan dan berimpak tinggi dalam meningkatkan pengetahuan masyarakat dalam bidang perundangan Syariah di Malaysia.

02 2 1024x766
Program Jabatan

MESYUARAT JAWATANKUASA KERJA WACANA KEHAKIMAN SYARIAH TAHUN 2023

Putrajaya, 17 Januari 2023| Pengarah BPKR, Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Wacana Kehakiman Syariah Malaysia Bil. 1 Tahun 2003. Dalam ucapan aluannya beliau telah menyentuh berkaitan perubahan tarikh Wacana yang telah dipinda dari tarikh asal sebagaimana dalam takwim JKSM, iaitu pada 8 Februari kepada 22-23 Februari 2023 akan datang. Mesyuarat yang dihadiri oleh Pengarah-pengarah Bahagian JKSM dan semua ahli jawatankuasa yang dilantik telah membincangkan beberapa perkara yang berbangkit dengan penganjuran Wacana. Antara yang dibincangkan ialah pembahagian tugas berdasarkan senarai jawatankuasa yang dicadangkan dan juga cadangan kertas kerja yang akan dibentangkan dalam Wacana tersebut. Dalam ucapan penutupnya, Tuan Abu Suffian amat mengharapkan agar semua pihak akan turut sama dalam menjayakan Wacana Kehakiman Syariah Tahun 2023 ini dengan penuh iltizam kerana ianya merupakan antara program besar jabatan pada setiap tahun.

01
Program Jabatan

MAJLIS BACAAN YASIN SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU 2023M/1444H

01 Jun 2023 – Majlis Bacaan Yasin sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku 2023M/1444H di Masjid Negara, Kuala Lumpur telah dilaksanakan pada 01 Jun 2023 bersamaan 12 Zulkaedah 1444H (Khamis) yang bermula pada jam 7.00 malam. YAA. Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM turut hadir bersama dalam majlis pada hari ini serta beberapa Menteri Kabinet dan dif-dif kehormat. Bacaan Yasin, doa selamat dan Solat Hajat telah dipimpin oleh YBrs. Imam Besar Masjid Negara, al-Fadhil Ustaz Tuan Haji Ehsan bin Mohd Hosni. Dirgahayu Tuanku, Merafak sembah dan setinggi tahniah. Semoga Yang Maha Esa sentiasa melindungi Tuanku, melanjutkan usia Tuanku, dilimpah dengan kebahagian, kesihatan yang baik buat Tuanku dan sekeluarga. Daulat Tuanku! Sumber gambar : FB Masjid Negara Malaysia

02
Program Jabatan

MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN DAN PENGURNIAAN HADIAH MAJLIS TILAWAH & HAFAZAN AL-QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA 2023

KUALA LUMPUR | YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM dan isteri YBhg Datin Asmah binti Musa menghadiri Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah bagi Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-63 Tahun 1445H / 2023M pada 24 Ogos 2023 bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. . Titah Diraja dan Perisytiharan Perasmian Penutupan Majlis ini telah disempurnakan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah. . Majlis pada malam ini juga turut diumumkan keputusan majlis tilawah dan menghafaz al-Quran peringkat antarabangsa kali ke-63 oleh pengerusi jemaah hakim dan pengurniaan hadiah oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim kepada para pemenang tilawah dan hafazan al-Quran bagi kategori lelaki dan perempuan. . Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 49: یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرࣲ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبࣰا وَقَبَاۤىِٕلَ لِتَعَارَفُوۤا۟ۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِیمٌ خَبِیرࣱ. Siiru ‘Ala Barakatillah.

02
Program Jabatan

MAJLIS KUNJUNGAN MAHABBAH DAN DIALOG KEHAKIMAN NEGARA 2023

PUTRAJAYA| Majlis Kunjungan Mahabbah dan Dialog Kehakiman Negara antara Badan Kehakiman Syariah dan Badan Kehakiman Sivil telah berlangsung pada hari ini di Dewan Banquet, Istana Kehakiman, Putrajaya. . Kunjungan Mahabbah dan Dialog Kehakiman ini telah disusun bersama oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) atas inisiatif YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM dan YAA Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat, Ketua Hakim Negara (KHN). . Majlis ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama strategik antara Badan Kehakiman Syariah dan Badan Kehakiman Sivil, mendapat input-input terkini perkhidmatan pentadbiran yang disediakan, berkongsi perkembangan semasa badan kehakiman masing-masing dan saling bertukar-tukar pandangan bagi mencapai titik-titik persamaan yang ada dalam mengangkat martabat kehakiman dan perundangan Negara supaya sama-sama menjunjung ruh dan semangat Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. . Delegasi JKSM diketuai oleh YAA Dato’ KP/KHS JKSM, turut hadir YA Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, YAA Ketua Hakim Syarie Negeri-negeri (JKSN) dan pegawai-pegawai Syariah JKSM. Manakala dari Badan Kehakiman Sivil pula diketuai oleh YAA Tun Ketua Hakim Negara Malaysia dan diiringi YAA Hakim Besar Malaya, YAA Hakim Besar Sabah dan Sarawak, YA Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, YA Hakim-hakim Mahkamah Rayuan, YA Hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan Pegawai-pegawai Kehakiman dari Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Sivil. . YAA Tun dan Badan Kehakiman Sivil menyambut dan mengalu-alukan kunjungan delegasi JKSM ke majlis ini. Delegasi JKSM diberi penghormatan melawat Dewan Mahkamah, muzium kehakiman, perpustakaan dan mendengar taklimat berkenaan E-Kehakiman hasil inovasi badan kehakiman untuk kemudahan pengamal undangan-undang serta masyarakat yang berurusan di Mahkamah Sivil. . Kunjung hormat ini memberi impak yang sangat positif kepada kerjasama strategik antara 2 Badan Kehakiman Negara yang meletakkan asas ihsan, itqan dan keadilan sebagai teras dalam penyampaian perkhidmatan sebagaimana digagaskan oleh al-Quran surah al-Maidah ayat 8 dalam memperkasakan Institusi Kehakiman di Malaysia.

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.