Program Jabatan

Program Jabatan

PERASMIAN KOMPLEKS MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH

KOTA KINABALU| Tanggal 6 September 2023 merupakan detik bersejarah bagi warga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSNS) apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menyempurnakan perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah di Kota Kinabalu sempena lawatan Seri Paduka Baginda ke Sabah dalam program jelajah ‘Kembara Kenali Borneo’ bermula 3 September lalu. Turut hadir ke majlis ini adalah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Mahiruddin, Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Menteri Hal Ehwal Agama, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, YAA Dato’ Haji Mohd. Amran Haji Mat Zain serta dif-dif kehormat yang lain. Dalam majlis tersebut Seri Paduka Baginda bertitah agar Hakim Syarie dapat melaksanakan amanah dalam menyelesaikan permasalahan umat Islam di Sabah dengan adil dan cepat. Seusai menyempurnakan perasmian kompleks tersebut, Seri Paduka Baginda berkenan mencemar duli melawat dewan Mahkamah Rayuan serta mendengar taklimat ringkas berkaitan JKSNS yang disampaikan oleh Yang Arif Tuan Ahadin Arinen, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. Seri Paduka Baginda turut beramah mesra bersama warga JKSNS ketika sesi fotografi berlangsung. Untuk rekod, seramai 100 ahli jawatankuasa terdiri daripada kakitangan JKSNS telah bertungkus lumus membuat persediaan bagi menjayakan majlis ini yang turut melibatkan kakitangan daripada agensi lainnya seperti PDRM, RELA dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Syabas dan tahniah diucapkan!

Program Jabatan

MUZAKARAH PEGAWAI PENYELIDIK MAHKAMAH SYARIAH SELURUH MALAYSIA KALI KE-11 TAHUN 2023

SHAH ALAM | Bahagian Dasar dan Penyelidikan (BDP), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan Muzakarah Pegawai Pegawai Penyelidik Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia Kali Ke-11 Tahun 2023 pada 9 hingga 10 Oktober 2023 bertempat di Acappella Suite Hotel, Shah Alam. Muzakarah ini merupakan acara tahunan sejak tahun 2011 yang dirancang oleh BDP JKSM sebagai medan kepada pegawai penyelidik mendalami bidang penyelidikan sebagai suatu kaedah profesional dalam meningkatkan mutu perkhidmatan skim pegawai syariah pada masa hadapan. Selain daripada itu, Muzakarah ini bertujuan mewujudkan pelan kaedah penyelidikan perundangan dan kehakiman syariah sebagai suatu panduan penyelidikan, bersesuaian dengan maqasid syariah dan suasana (waqi’) Malaysia bagi semua pegawai penyelidik seluruh negara. Objektif lain Muzakarah adalah untuk mempelbagai kemahiran dan mempertingkat kepakaran pegawai syariah dalam bidang penyelidikan yang bersistematik dan berkualiti sebagai suatu usaha yang berterusan untuk menimba ilmu pengetahuan. Selain itu, program sebegini memberikan kesedaran kepada para peserta mengenai kepentingan method kajian yang sempurna untuk menghasilkan penyelidikan yang berkualiti serta mengenal pasti punca masalah dan cara penyelesaian secara rahmah. Sesi Muzakarah kali ini telah menjemput tiga orang penceramah hebat untuk menyempurnakan setiap slot yang dirancang. Slot pertama bertajuk “Pencarian Teks Kehakiman dalam Kitab-Kitab Klasik Islam Menggunakan Perisian Maktabah Syamilah (Vol. 2.0)” dikendalikan oleh Dr. Irwan Santeri Doll Kawaid dari USIM. Manakala slot kedua telah dikendalikan oleh Datin Dr. Faridah Jalil, Mantan Pensyarah UKM dengan tajuk “Membina Pemahaman Mengenai Perkara 121(1a): Justifikasi dan Kesan Terhadap Bidangkuasa Mahkamah Syariah”. Slot ketiga dan terakhir pula dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Al Adib Samuri dari FPI, UKM melalui tajuk “Kepekaan Terhadap Triti-Triti Antarabangsa yang telah Malaysia Tandatangani dalam Metodologi Penyelidikan Perundangan dan Kehakiman Syariah”. Majlis Perasmian Muzakarah telah disempurnakan oleh YAA Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM, Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain. Turut hadir Tuan Haji Nassir bin Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM, Tuan Mohamad Zakian bin Dio, Pengarah Kanan Kehakiman JKSM dan Tuan Mamat Haizan bin Salleh, Pengarah BDP JKSM. BDP menaruh iltizam yang tinggi kepada para pegawai penyelidik agar lebih aktif dalam memperkasa dan mempelbagai teknik penyelidikan seiring dengan perkembangan dan peredaran semasa. BDP, JKSM

Program Jabatan

MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI AGENSI DI BAWAH YB MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)

16 Mei 2023| Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah berpeluang menyertai Majlis Sambutan Aidilfitri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertempat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. “Gerai Tok Akim” JKSM ini menjamu Nasi Dagang yang cukup enak kepada hampir 1000 orang pengunjung. Para tetamu juga turut menikmati juadah aiskrim yang disediakan di gerai JKSM. YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM hadir mengiringi YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) melawat Gerai Tok Akim. YB Senator juga turut mengunjungi reruai Program Celik Syariah JKSM yang diadakan berhampiran gerai JKSM. Program Celik Syariah ini merupakan satu inisiatif jabatan dalam mendekati para pengunjung sekaligus dapat memberi perkhidmatan Sesi Konsultasi Perundangan Syariah. Antara perkhidmatan lain yang turut diberikan di reruai tersebut adalah ,Taklimat Mediasi Sulh, Taklimat Kaedah Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah Nafkah serta Sokongan Kekeluargaan, Pameran Informasi Perundangan dan Kehakiman Syariah dan Jualan Buku Terbitan JKSM.

Program Jabatan

TAKLIMAT PEMAHAMAN ARAHAN AMALAN JKSM TAHUN 2023 ZON BORNEO

14 Jun 2023 (Rabu) – Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sarawak telah menganjurkan Taklimat Pemahaman Arahan Amalan JKSM Tahun 2023 Zon Borneo bertempat di Hotel Merdeka Palace, Kuching, Sarawak. Seramai 65 orang pegawai hadir yang terdiri daripada YA Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sarawak dan Sabah, Hakim-hakim Mahkamah Rendah Syariah Negeri Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Ketua Pendaftar, Pendaftar dan Penolong Pendaftar Negeri Sarawak dan Sabah. Taklimat ini disampaikan oleh Tuan Mohamad Zakian bin Dio, Pengarah Kanan (Kehakiman), JKSM. Taklimat ini diadakan bagi tujuan memberi penjelasan berkaitan arahan amalan yang dikeluarkan pada tahun 2022. Justeru, ia dapat membantu pemahaman peserta bagi menyeragam dan memudahkan urusan pentadbiran kehakiman dan perundangan Syariah di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia sekaligus dapat memastikan pentadbiran dan pengurusan kes di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia berjalan dengan seragam. Disediakan oleh: Urusetia Taklimat Pemahaman Arahan Amalan JKSM Tahun 2023

Program Jabatan

MAJLIS PENTAULIAHAN PEGUAM SYARIE NEGERI PERLIS 2023

KANGAR l YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah menghadiri Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Perlis Tahun 2023 anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertempat di Hotel Seri Malaysia, Kangar, Perlis. Upacara titah pentauliahan dan penyampaian sijil Peguam Syarie telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis merangkap Yang Dipertua MAIPs dan disaksikan oleh YAB Menteri Besar Perlis, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (SUK), YAA Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis dan YAA Dato’ KP/KHS JKSM serta dif-dif kehormat. Untuk rekod, seramai 31 orang Peguam Syarie telah ditauliahkan Sijil Peguam Syarie Negeri Perlis 2023 pada hari ini. Seusai majlis pentauliahan tersebut DYTM Tuanku meluangkan masa bertukar-tukar fikiran dan pandangan serta berkenan menerima sembah maklum daripada YAA Dato’ KP/KHS JKSM berkenaan perancangan aktiviti JKSM yang melibatkan kepentingan bersama dan libat urus agensi Persekutuan dan Negeri yang berkaitan, antaranya Plan Perancangan Tahun 2024-2025 sempena Tahun Melawat Perlis (TMP). Semoga para peguam Syarie dapat melaksanakan tugas kepeguaman dengan penuh ihsan dan itqan dalam membantu pihak-pihak untuk mendapatkan keadilan di Mahkamah Syariah.

Program Jabatan

LAWATAN KERJA KOLEKSI ARKIB PERSENDIRIAN DI ARKIB NEGARA MALAYSIA

16 Mei 2023 | Delegasi Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang diketuai oleh YAA Dato’ Muhamad Abdul Karim bin Wahab (Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang) hari ini telah mengadakan Lawatan Kerja Koleksi Arkib Persendirian di Jabatan Arkib Negara Malaysia (ANM) bertempat Bilik Mesyuarat Utama, Tingkat 2, Wisma Warisan. Ketibaan delegasi JKSM telah disambut sendiri oleh YBhg. Dato’ Jaafar Sidek bin Hj. Abdul Rahman (Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia) bersama YBrs. Encik Zaidin Mohd Noor (Timbalan Ketua Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan), YBrs. Encik Mokhtaruddin bin Lamsin (Timbalan Ketua Pengarah Sektor Penyelidikan dan Pengembangan) serta Pengarah Bahagian dan Ketua Seksyen. Lawatan kerja ini diadakan bagi menyambut baik hasrat ANM berkenaan perolehan arkib persendirian, bagi memastikan surat persendirian, koleksi persendirian yang bernilai sejarah dan kebangsaan dapat dipelihara. Sehubungan dengan itu lawatan dan perbincangan ini diharapkan dapat memberi gambaran yang lebih jelas dalam usaha untuk memastikan bahan-bahan arkib persendirian seperti surat persendirian, koleksi persendirian dan rekod sejarah Mahkamah Syariah yang bernilai sejarah dan kebangsaan dapat dipelihara.YBhg Dato’Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia di dalam ucapan aluannya berharap perolehan arkib persendirian dapat diperolehi yang melibatkan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM sejak awal penubuhan sehingga sekarang, Hakim-hakim Rayuan Syariah Malaysia dan Ketua Hakim Syarie Negeri-negeri. Delegasi JKSM berkesempatan untuk melihat sendiri koleksi persendirian Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, Tan Sri Zainal Abidin bin Ahmad (Za’aba), dan Datuk Zakiah Hanum binti Abd Hamid bertempat di Seksyen Rujukan dan Akses ANM. Pihak ANM juga telah memberi penerangan dan membuat demonstrasi cara pemeliharaan rekod iaitu pembaikan tradisional yang telah diadakan di Seksyen Pemeliharaan dan Reprografi ANM. Turut hadir di dalam kunjungan tersebut adalah Tuan Haji Nassir bin Haji Abdul Aziz (Ketua Pendaftar JKSM), Tuan Mohamad Zakian bin Dio (Pengarah Kanan Kehakiman), Tuan Abu Sufian bin Abu Yaziz (Pengarah Bahagian Pendaftaran, Keurusetian & Rekod (BPKR) JKSM), Ketua Penolong Pengarah JKSM serta Pegawai Rekod negeri.

Program Jabatan

RAMAH MESRA YB MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERSAMA PESERTA MUZAKARAH HAKIM-HAKIM SYARIE BORNEO (SABAH, SARAWAK DAN W.P.LABUAN) TAHUN 2023

15 Jun 2023 (Khamis)- YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar mengambil peluang berjumpa para peserta Muzakarah Hakim-hakim Syarie Borneo Tahun 2023 di Hotel Merdeka Palace, Kuching, Sarawak. Beliau juga mengambil kesempatan untuk memberikan amanat kepada semua peserta Muzakarah agar memartabatkan perundangan dan Kehakiman Syariah dan mengamalkan gerak kerja yang diterapkan dalam pelan transformasi Al-Falah. Disediakan oleh: Urus setia Muzakarah Hakim-hakim Syarie Borneo 2023 BPKR JKSM

Program Jabatan

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN DALAM BIDANG KEHAKIMAN SYARIAH ANTARA JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA DAN KERAJAAN BRUNEI DARUSSALAM SEMPENA RUNDINGAN PEMIMPIN TAHUNAN (ALC24)

PUTRAJAYA | – Pada hari ini, satu sejarah telah dicatatkan apabila Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Kerajaan Negara Brunei Darussalam menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kehakiman Syariah. Majlis penting ini telah berlangsung di Protocol Hall, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya dan disaksikan oleh pemimpin tertinggi dari kedua-dua negara sempena Rundingan Pemimpin Tahunan (Annual Leaders Consultation – ALC24). MoU ini ditandatangani oleh YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, mewakili Malaysia, manakala pihak Negara Brunei Darussalam pula diwakili oleh Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat / Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim Bin Haji Besar. YAB Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izuddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyaksikan majlis menandatangani MoU ini. Hadir bersama adalah YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) selaku Menteri Pengiring kepada KDYMM Sultan Brunei Darussalam sepanjang ALC24 ini berlangsung. Turut hadir pegawai dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, YA Dato’ Mohamad Shakir Bin Abdul Hamid, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM dan Tuan Haji Nassir bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM. Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC24) adalah acara tahunan yang diadakan antara Malaysia dan Brunei, di mana pemimpin dari kedua-dua negara berkumpul untuk membincangkan isu-isu bilateral, serantau dan global serta mengukuhkan hubungan dua hala. Pada kali ini, acara tersebut telah menyaksikan penandatanganan MoU dari pelbagai kementerian dan jabatan termasuk dalam bidang kehakiman Syariah sebagai langkah ke hadapan dalam kerjasama kedua-dua negara di arena kehakiman Syariah. MoU ini bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama di antara Malaysia dan Brunei dalam bidang kehakiman Syariah dan pentadbiran undang-undang Islam. Ia diharapkan akan membuka jalan bagi pertukaran pengetahuan dan pengalaman antara kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran semasa dan memajukan sistem kehakiman Syariah untuk manfaat bersama. MoU ini adalah satu langkah penting untuk mempereratkan hubungan dua hala dalam bidang kehakiman Syariah dan ia akan memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat Islam kedua-dua negara. Dengan penandatanganan MoU ini, Malaysia dan Brunei kini berkomitmen untuk bekerjasama dalam usaha meningkatkan kefahaman dan pelaksanaan undang-undang Islam serta memajukan sistem kehakiman Syariah bagi kesejahteraan masyarakat Islam secara amnya. Untuk rekod, kesepakatan menandatangani MoU ini merupakan usaha berterusan hasil cetusan idea YBM (HEA) sewaktu beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie JKSM. Beliau juga bertanggungjawab membentangkan Memorandum bagi mendapat pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri. Foto : Kementerian Luar Negeri Berita : Bahagian Dasar & Penyelidikan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

[language-switcher]

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.