Program Jabatan

01
Program Jabatan

MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN MAHKAMAH SYARIAH BERA* *DISEMPURNAKAN OLEH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA’IN BILLAH

BERA| Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah berkenan merasmikan Mahkamah Syariah Bera, Pahang Darul Makmur pada 23 September 2023 bersamaan 7 _Rabiul Awwal_ 1445H. Turut berangkat adalah KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam, Paduka-Pasuka Anakanda dan Yang Amat Mulia Kerabat-kerabat Bergelar, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Mantan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Bera,YB Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Exco-exco Kerajaan Negeri Pahang, YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM dan YAA Dato’ Haji Abdul Walid bin Abu Hassan Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang. Turut diundang dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) adalah Tuan Haji Nassir bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pendaftar dan Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz, Pengarah BPKR JKSM. Semasa KDYMM SPBYDA berkenan menyampaikan titah perasmian, Baginda menzahirkan rasa bangga dengan pembinaan Mahkamah Syariah Bera yang melambangkan ketinggian institusi kehakiman Syariah di negeri Pahang mahupun Malaysia amnya. Baginda turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang telah membina dan membangunkan Mahkamah Syariah Bera yang menjadi lambang keadilan Syariah. Bangunan Mahkamah Syariah Bera yang telah siap dibina pada 23 Jun 2016 dengan peruntukan sebanyak RM 6.5 juta adalah bukti jelas kepada pembangunan Syiar Islam di negeri Pahang Darul Makmur. Baginda turut menekankan elemen penting dalam sistem keadilan Syariah iaitu konsep perdamaian atau sulh dengan merujuk kepada ayat Al-Quran, surah an-Nisa’ ayat 128 yang menekankan aspek perdamaian yang berkemampuan memudahkan penyelesaian kes tanpa melibatkan prosedur perbicaraan yang panjang. Baginda turut bertitah supaya kedudukan hakim dan peguam hendaklah terus diperkasakan. Hakim Syarie dan peguam syarie juga haruslah memainkan peranan penting dalam melancarkan prosiding kes di Mahkamah Syariah Baginda juga menekankan supaya lebih banyak lagi usaha untuk memperkasa Mahkamah Syariah di Malaysia dan baginda berdoa semoga usaha murni ini diberikan Allah SWT kurniakan ganjaran kepada mereka yang sentiasa berusaha memartabatkan Institusi Kehakiman dan Perundangan Syariah. Selepas titah perasmian, baginda telah dipersembahkan dengan montaj perasmian dan lawatan ke dewan Bicara Mahkamah Syariah Bera. JKSM merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang yang telah berusaha untuk menjayakan majlis perasmian Mahkamah Syariah Bera yang menjadi simbol Syariah asas keadilan.

02
Program Jabatan

PERHIMPUNAN BULANAN DAN SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN AGENSI DI BAWAH MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAAL AGAMA)

| Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENSWP) dan JAKIM telah menjadi penyelaras Majlis Perhimpunan dan Sambutan Bulan Kebangsaan bagi agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi. Program bermula seawal jam 8.30 pagi dengan pendaftaran warga agensi diikuti dengan ketibaan Ketua-Ketua Agensi dan dif kehormat, YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Perhimpunan Agensi adalah amat penting kepada seluruh warga agensi untuk mengemaskini maklumat-maklumat semasa berkaitan pentadbiran hal ehwal Islam, selain mengamati hala tuju dan pengarahan semasa untuk dilaksanakan diperingkat jabatan masing-masing. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan, “Negaraku,” diikuti dengan alunan zikir Asmaul Husna dan bacaan doa. Para hadirin turut disajikan dengan tayangan khas berjudul “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka,” serta kompilasi program berimpak tinggi agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (HEA). Dalam ucapan, YB Menteri menyatakan bahawa Agenda memartabat perundangan dan kehakiman syariah sebagai tonggak penting kepada Pelan Transformasi Al-Falah 2023-2027. Antaranya dengan Penubuhan Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI). Dalam perkara ini Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah diarahkan untuk mengambil tindakan segera kepada keputusan yang telah dicapai. Agenda penting perlu digerakkan dengan memohon sembah perkenan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan juga Majlis Raja-Raja. Ini adalah tertib urusan berkaitan hal ehwal Islam adalah dibawah kuasa Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan. Diakhir ucapan YBM mengharapkan agar semua warga agensi untuk sentiasa menjaga etika sebagai penjawat awam dan sentiasa bersama-sama menjaga disiplin diri dalam usaha kita memantapkan kualiti pentadbiran agensi hal ehwal Islam. Institusi ini amat memerlukan wahdatul fikrdan wehdatul amal daripada semua peringkat pegawai dan kakitangannya. Dalam majlis ini YB Menteri telah melancarkan Bulan Kebangsaan Peringkat Agensi Agama dan pra-pelancaran Jubli Emas Halal Malaysia serta Global Halal Summit. Gimik pelancaran tersebut disusuli dengan nyanyian lagu patriotik “Jalur Gemilang,” menambah semangat kebangsaan dalam kalangan hadirin. Majlis diteruskan dengan pelepasan kenderaan agensi HEA bersama Jalur Gemilang di luar dewan sebagai simbolik sambutan Bulan Kebangsaan. Acara ini bukan sahaja memperkukuhkan semangat patriotisme tetapi juga mempereratkan hubungan antara agensi-agensi di bawah naungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini “Jiwa Merdeka”.

01
Program Jabatan

SESI PEMBUKAAN AUDIT (ENTRANCE CONFERENCE) PENGAUDITAN PEMATUHAN PEROLEHAN STUDIO RAKAMAN MULTIMEDIA JKSM

Program/Aktiviti: Sesi Pembukaan Audit (Entrance Conference) Pengauditan Pematuhan Perolehan Studio Rakaman Multimedia JKSM Tarikh: 10 April 2023 (Isnin) Tempat: Bilik Mesyuarat Utama, Aras 5, JKSM Masa: 9.30 pagi Penglibatan Pengerusi :En Mohd Amiruddin bin Hamzah, P(BKPSM) Kehadiran: P(BL), K(UKK), BTMK, BKPSM dan 5 orang pegawai Bhg Audit Dalam JPM yang diketuai oleh Pn. Nor Azira Mohd Arsnan Info Program/Aktiviti:Bhg. Audit Dalam JPM menjalankan Pengauditan Pematuhan Terhadap Perolehan Studio Rakaman Multimedia di JKSM bagi memastikan pengurusan perolehan studio rakaman ini dilaksanakan dengan cekap dan teratur serta mengikut peraturan yang ditetapkan. Pengauditan ini akan dijalankan selama lima (5) hari bermula 10 April 2023 hinga 14 April 2023.

01
Program Jabatan

TAHNIAH KEPADA YAA DATO’ HAJI MOHD AMRAN BIN MAT ZAIN YANG TELAH DILANTIK SEBAGAI KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA (JKSM)

Setinggi-tinggi tahniah kepada YAA Dato’ Haji Mohd Amran Bin Mat Zain yang telah dilantik sebagai Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berkuatkuasa mulai 10 April 2023. Surat lantikan ini telah disampaikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Nai’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Semoga YAA Dato’ Haji Mohd Amran dapat menerajui kepimpinan JKSM dengan cemerlang serta menyemarakkan lagi semangat dalam usaha untuk terus memartabat serta memperkasakan institusi kehakiman syariah di Malaysia.

02
Program Jabatan

PERTEMUAN KETUA PENGARAH/ KETUA HAKIM SYARIE JKSM BERSAMA KETUA PENDAFTAR MAHKAMAH PERSEKUTUAN BERKAITAN MEDIASI/PENYELESAIAN ALTERNATIF KHUSUSNYA MENYENTUH ISU ISU PASANGAN ISLAM DAN BUKAN ISLAM

Putrajaya| YAA Dato’ Hj Amran bin Hj Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berkesempatan untuk mengadakan pertemuan bersama YBhg. Dato Hasbi Binti Hasan, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan bertempat di Bilik Gerakan Aras 3, Istana Kehakiman Putrajaya. Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh YA Dato’ Haji Abas bin Nordin dan YA Puan Hajah Noor Hadina binti Ahmad Zabidi, Hakim Rayuan JKSM manakala bagi pihak Mahkamah Persekutuan dihadiri oleh YBrs Tuan Azhaniz Teh bin Azman Teh (Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya), YBrs Puan Maziah binti Joary (Pengarah Bahagian Mediasi dan Timbang Tara) dan pegawai kanan jabatan masing masing. Perbincangan selama dua jam telah bersetuju untuk menjalinkan kerjasama antara Pusat Mediasi Mahkamah Kuala Lumpur dan Unit Sulh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan berkaitan kes-kes kekeluargaan yang melibatkan pasangan Islam dan bukan Islam. Mediasi atau Sulh tersebut akan menjadi alternatif utama ke arah penyelesaian kes-kes di kedua dua mahkamah yang melibatkan pasangan berlainan agama. Selain itu, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan juga memaklumkan bahawa perkara ini memerlukan kepada ketetapan dasar kedua-dua agensi untuk memastikan ianya selaras dengan kehendak undang undang. Untuk tindakan lanjut, Bahagian Dasar Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan akan membuat kajian lanjut berhubung perkara ini dan akan berkerjasama dengan Bahagian Dasar dan Penyeldikan JKSM bagi tujuan tersebut. Sekian, terima kasih.

01
Program Jabatan

PERSIDANGAN PEMERKASAAN INTEGRITI BERSAMA KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN AWAM, KETUA AUDIT NEGARA DAN PENGERUSI JAWATANKUASA KIRA-KIRA WANG NEGARA [PUBLIC ACCOUNTS COMMITTEE] (PAC) PARLIMEN 2023

SEPANG- YAA. Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie JKSM telah menghadiri Persidangan Pemerkasaan Integriti bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Audit Negara dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara [Public Accounts Committee] (PAC) Parlimen yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Dewan Mentari, Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Kompleks TH, Sepang, Selangor Darul Ehsan. . Objektif penganjuran persidangan ini adalah untuk menyemarak prinsip tatakelola yang terbaik dan semangat akauntabiliti yang tinggi terhadap aspek pengurusan wang awam, selain menambah baik tindakan susulan oleh Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian / Ketua Jabatan berhubung isu-isu auditan yang telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN). . Persidangan dimulakan dengan ikrar integriti. Diikuti dengan ucaptama persidangan oleh KPPA. . Terdapat dua kertas kerja yang dibentangkan, pertama kertas daripada Timbalan Ketua Audit Negara dan kertas ke-2 dibentangkan oleh Pengerusi PAC Parlimen Malaysia, kemudian persidangan ditutup dengan sesi soal jawab bersama ahli-ahli panel.

01
Program Jabatan

MEREALISASIKAN WAwasan KEILMUAN: PROJEK AKSM DIMULAKAN

| Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menerima kunjungan rasmi delegasi Bangsamoro Attorney General’s Office (BAGO), Filipina, sempena program Public Policy & Syariah Law Programme yang berlangsung dari 27 April hingga 1 Mei 2025. Delegasi seramai 18 orang peserta ini diketuai oleh Atty. Bantuas M. Lucman, Bangsamoro Attorney General. Turut serta adalah pegawai kanan dari BAGO, pegawai dari Bangsamoro Planning and Development Authority (BPDA), serta urus setia dari Universiti Malaya. Bagi pihak JKSM, sesi lawatan ini telah disambut mesra oleh YAA Dato’ Mohd Shukor Sabudin, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah selaku Pengerusi lawatan dan taklimat, bersama barisan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah iaitu YA Puan Hajah Noor Hadina Ahmad Zabidi, YA Datuk Mohd Radzi Ab. Latif, dan YA Dato’ Mohd Nadzri Abdul Rahman. Taklimat telah disampaikan oleh Puan Noor Huda binti Roslan, Pengarah Bahagian Latihan JKSM, yang memperincikan struktur, dasar dan evolusi sistem kehakiman Syariah di Malaysia. Manakala sesi dialog turut dihadiri oleh YBhg. Dr. Jazilah Mohd Saad, Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelidikan JKSM, serta Puan Maria binti Jilani, Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga JKSM, bersama barisan pegawai kanan jabatan. Delegasi turut dibawa melawat ke Galeri Kehakiman Syariah, JKSM yang dikendalikan oleh Bahagian Pendaftaran, Keurussetiaan dan Rekod JKSM. Lawatan ini memberikan pendedahan kepada sejarah, perkembangan institusi serta peranan JKSM dalam memperkasa sistem perundangan Islam di Malaysia. Program ini merupakan salah satu komponen penting dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi keadilan Syariah Malaysia dan komuniti perundangan antarabangsa, khususnya dari rantau ASEAN.

01
Program Jabatan

MAJLIS PENYERAHAN NOTA SERAH TUGAS KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA

14 April 2023| Satu Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah diadakan pada tengahari ini bertempat di Pejabat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM telah menerima Nota Serah Tugas terbabit daripada YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga merupakan mantan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM dari April 2019 sehingga Dec 2022. YAA Dato’ Haji Mohd Amran dilantik sebagai Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie secara rasmi pada 10 April 2023. Turut hadir dalam sesi tersebut ialah YBrs. Tuan Haji Nassir bin Abd Aziz; Ketua Pendaftar JKSM dan Tuan Shaiful Azli bin Jamaludin, Ketua Unit Komunikasi Korporat JKSM.

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.