Program Jabatan

02
Program Jabatan

SULH OUTREACH PROGRAMME (OR SULH) ANJURAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA (JKSM) DENGAN KERJASAMA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA (ATM)TAHUN 2023

KUALA LUMPUR| Seksyen Sulh, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan Sulh Outreach Programme dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 11 Julai 2023 bertempat di Dewan Tanjung, Wisma Transit Kuala Lumpur. Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Program ini turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM, Panglima Angkatan Tentera, Yang Amat Arif Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Panglima panglima, Hakim Rayuan JKSM dan Anggota Angkatan Tentera Malaysia. Program OR pada kali ini bertemakan “Kemuliaan Syariah membina keluarga Madani” iaitu selaras dengan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani atau dikenali dengan nama ringkasnya “AL-FALAH”. Pelan Transformasi Al-Falah ini mengandungi 5 Teras, 10 Fokus Gerak Kerja dan 5 Nilai yang merupakan inisiatif-inisiatif utama yang amat sesuai dan praktikal untuk menjayakan gagasan Malaysia Madani. Salah satu teras yang terkandung dalam pelan ini adalah Kemuliaan Syariah (Teras 3) yang mengandung 2 Fokus iaitu Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Islam (Fokus 5) dan Penghayatan Nilai Masyarakat Madani (Fokus 6). Program OR Sulh pada hari ini merupakan salah satu program yang disenaraikan dibawah Fokus 5 Pelan Al-Falah. Program ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti yang menarik iaitu forum yang akan disampaikan oleh Panel Jemputan yang hebat iaitu Imam Muda Mohd Hassan Adli bin Yahaya @ Yahuza, Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz dan YBrs Dr. Hendun bin Abdul Rahman Shah sebagai moderator forum. Selain itu program OR Sulh turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik yang turut diadakan iaitu Program Muhakat (simulasi) Sulh yang akan dikendalikan oleh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP), Klinik nasihat guaman dari Bahagian ADR Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS), Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan Bahagian Pusat Sumber dan Penerbitan (BPSMP) JKSM. Untuk rekod, Program ini merupakan tahun keempat yang dianjurkan oleh JKSM dengan kerjasama pelbagai agensi awam mahupun swasta, IPTA dan lain-lain bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik dan pencerahan undang-undang kepada masyarakat.Program ini juga telah dihadiri secara fizikal dan fb live.

03
Program Jabatan

KURSUS TATACARA PROSIDING PERBICARAAN JENAYAH SYARIAH ANJURAN BAHAGIAN LATIHAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA (JKSM)

PUTRAJAYA| Usaha Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam memperkasakan modal insan Pegawai Syariah seluruh Malaysia adalah menjadi agenda berterusan melalui penganjuran progam latihan. Bertempat di Dewan Tan Sri Dato’ Setia Dr Ibrahim Lembut, JKSM, satu Kursus Tatacara Prosiding Perbicaraan Jenayah Syariah anjuran Bahagian Latihan JKSM telah diadakan bermula pada 12 Julai 2023 hingga 14 Julai 2023 yang menyasarkan peserta terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah seluruh Malaysia dan Penolong Penasihat Undang-Undang (Syariah) Negeri. Terdapat tiga objektif program yang digariskan oleh pihak penganjur iaitu bagi mengukuhkan pemahaman para peserta mengenai tatacara prosiding perbicaraan jenayah syariah, memberikan pendedahan berhubung dengan tatacara sebatan syariah melalui demonstrasi sebatan syariah dan membolehkan peserta bertukar-tukar pendapat serta berkongsi pengalaman dan ilmu mengenai bidang tugas masing-masing. Bahagian Latihan beriltizam menjadikan kursus ini sebagai platform kepada peserta memahami undang-undang jenayah syariah dalam kerangka tatacara bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang praktik keadilan dalam perbicaraan di Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian, adalah penting untuk memiliki pemahaman tentang konteks tatacara tersebut beroperasi, tentang bagaimana prosedur jenayah syariah berinteraksi dengan prinsip undang-undang substantif dan undang-undang keretangan. YAA Dato’ Haji Mohd Haji Amran Bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dalam ucapannya di hadapan kira-kira 46 orang peserta program memulakan ucapannya dengan memetik potongan ayat al-Quran daripada Surah al-Zariyat, ayat 56, yang antara lain, menekankan kepentingan bekerja sebagai satu ibadah dan atas dasar tersebut, pelaksanaan tugas harian hendaklah dilakukan dengan sebaik mungkin. Selanjutnya, beliau menegaskan kepentingan menguasai bidang tugas dalam konteks kehakiman dan perundangan, lebih-lebih lagi berhubung dengan pengetahuan serta kemahiran terhadap perkara yang perlu diadili sebagai pembuat keputusan di Mahkamah. Dalam konteks pelaksanaan tugas itu sendiri, beliau menyeru supaya aspek ketekunan dalam penyempurnaan tugas hendaklah dititikberatkan agar hasil kerja sesuai amanah yang dikehendaki. Selain gesaan menguasai skop tugas, kemahiran ke atas perkara yang ingin diberikan keadilan, dan juga aspek ketekunan, beliau turut mengujarkan tausiahnya dalam aspek disiplin dengan menekankan bahawa penjagaan waktu dan menepatinya adalah dituntut serta hendaklah sentiasa dipenuhi dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Kursus tiga hari ini menampilkan tenaga penceramah pakar dalam bidang berkaitan iaitu YBrs. Tuan Awang Armadajaya bin Awang Mahmud, Peguam Bela & Peguam Cara (Malaya) dan TPP Ramli bin Umar dari Bahagian Keselamatan dan Inteligen, Jabatan Penjara Malaysia. . Menarik pada kali ini apabila buat julung-julung kalinya program seumpama ini diadakan slot khas iaitu demonstrasi sebatan syariah dan sivil yang juga dikelolakan oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia diketuai oleh TPP Ramli bin Umar serta dibantu oleh pegawai-pegawainya. YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie pada akhirnya mengharapkan agar semua pihak sentiasa memegang amanah dalam lapangan kehakiman dan perundangan ini dan mendoakan supaya tergolong dalam kalangan pegawai-pegawai yang amanah, berupaya kuat, dan berintegriti. Beliau menutup ucapannya dengan membacakan sepotong ayat al-Quran daripada Surah al-Qassas ayat 26 yang bermaksud “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang diambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah”.

01
Program Jabatan

KENYATAAN KEPUTUSAN TENDER RASMI. NO TENDER: QT240000000021605

| YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), telah mengetuai satu lawatan kerja ke tapak cadangan pembinaan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia (AKSM) di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau lokasi strategik yang dirancang bagi projek pembangunan AKSM, sebuah pusat latihan unggul yang bakal menjadi simbol kemajuan dalam sistem kehakiman syariah di Malaysia. Program hari ini dimulakan dengan Mesyuarat Permulaan (kick off) Projek AKSM yang diadakan di JKSM bagi membincangkan pelan pelaksanaan projek pembinaan. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Puan Analiza binti Zakaria, Arkitek Penguasa Kanan dari Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR). Turut hadir adalah wakil-wakil dari Cawangan Arkitek, Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, dan Cawangan Kejuruteraan Elektrikal JKR, serta wakil daripada Jabatan Perdana Menteri dan pengurusan tertinggi JKSM. Setelah sesi mesyuarat, program diteruskan dengan lawatan ke tapak cadangan pembinaan, di mana YAA Dato’ Haji Mohd Amran dan delegasi meninjau lokasi yang bakal menempatkan AKSM. Turut menyertai lawatan ini ialah pegawai kanan JKSM, termasuk Tuan Mohamad Zakian bin Dio, Ketua Pendaftar JKSM; Puan Azlina Aziz, Pengarah Kanan (Pengurusan); Tuan Amiruddin bin Hamzah, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia; dan Puan Mazlina Hussein, Pengarah Bahagian Latihan. YAA Dato’ Haji Mohd Amran menegaskan pentingnya pembangunan AKSM sebagai langkah strategik untuk menyediakan pusat latihan yang kondusif, moden, dan mampu memenuhi keperluan kehakiman syariah masa kini dan masa hadapan. Beliau turut mengingatkan semua pihak yang terlibat agar memastikan perancangan dan pembangunan ini dilaksanakan dengan teliti, menepati piawaian profesional, serta sejajar dengan keperluan institusi kehakiman syariah. Projek ini diiktiraf sebagai satu mercu tanda penting dalam usaha JKSM untuk memartabatkan keadilan syariah di Malaysia. Kehadiran dan komitmen semua pihak yang terlibat dalam mesyuarat serta lawatan ini mencerminkan kesungguhan JKSM untuk memastikan kejayaan projek ini sebagai pusat latihan bertaraf Global.

1 2 1024x768
Program Jabatan

KURSUS PENGURUSAN AKAUN AMANAH TAHUN 2023

9 FEBRUARI 2023 (PUTRAJAYA) – Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah berjaya melaksanakan Kursus Pengurusan Akaun Amanah (Akaun Belum Terima dan Hapus Kira) Tahun 2023 pada 7 hingga 9 Februari 2023 di Makmal Komputer BTMK, Aras 4 JKSM. Peserta yang terdiri daripada Penolong Pengarah Kanan, Penolong Pengarah, Penolong Akauntan, Pembantu Tadbir (Kewangan) BSK Seksyen Negeri seluruh Malaysia telah hadir sepanjang tiga hari kursus. Penceramah daripada Bahagian Akaun JPM telah hadir bagi menyampaikan ceramah dan memberikan panduan dalam penyediaan Akaun Belum Terima (ABT) BSK serta menerangkan prosedur pelaksanaan hapus kira berdasarkan pekeliling dan tatacara kewangan yang sedang berkuatkuasa. Para peserta turut didedahkan kepada penyediaan laporan ABT dan hapus kira melalui latihan amali, dibentangkan pada hari terakhir kursus untuk maklum balas daripada penceramah. BSK JKSM telah mensasarkan fokus pelaksanaan hapus kira bagi ABT pendahuluan nafkah pada tahun 2023 – 2024 dan pelaksanaan kursus ini menandakan permulaan bagi pelaksanaan strategi ini. Semoga para peserta mendapat manfaat daripada kursus yang telah dilaksanakan serta dapat mengaplikasikan segala maklumat yang telah diberikan sepanjang tempoh kursus dalam pelaksanaan hapus kira pendahuluan nafkah BSK Seksyen Negeri seluruh Malaysia.

01
Program Jabatan

KUNJUNG HORMAT BSK JKSM KE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI SARAWAK DAN PROGRAM NAZIRAN BSK SEKSYEN NEGERI SARAWAK

21 Mac 2023 | Bahagian Sokongan Keluarga ,Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengadakan kunjungan hormat dan program naziran BSK Seksyen Negeri Sarawak ke Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sarawak bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 4, Anjung Kiri Bangunan Mahkamah Syariah Negeri Sarawak. YAA Datu Haji Awang Suhaili bin Ledi, Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sarawak dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran BSK JKSM yang diketuai oleh Puan Maria Jilani, Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga JKSM berserta deligasi. YAA Datu turut menekankan kepentingan usaha penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah dan Mut’ah demi kepentingan rakyat bagi memberi kemudahan kepada orang awam khususnya di Negeri Sarawak. Selanjutnya merencana sebarang cadangan program kerjasama yang boleh dirancang BSK JKSM dan BSK Seksyen Negeri Sarawak khususnya untuk memberi kefahaman dan pendedahan berkaitan fungsi dan peranan BSK kepada masyarakat. Untuk makluman, objektif Naziran Pengoperasian BSK Seksyen Negeri Sarawak adalah untuk memperkukuhkan lagi sistem perkhidmatan pengurusan kepada pelanggan yang berurusan di BSK di samping berkongsi idea dan pandangan dalam kalangan para pegawai dan kakitangan. Untuk rekod, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak telah melantik 5 orang pegawai Syariah dan 3 orang penolong pegawai Syariah lantikan negeri yang ditempatkan di BSK Seksyen Negeri Sarawak di ibu pejabat JKSS di Bandar Kuching, Bahagian Miri dan Bahagian Sibu. Turut hadir dalam kunjung hormat pada hari ini ialah Puan Izzah Hanani binti Suhaimi,Penolong Pengarah Kanan dan seluruh warga kerja BSK Seksyen Negeri Sarawak.

01
Program Jabatan

JKSM DI KARNIVAL AL-FALAH

TUMPAT | Bahagian Sokongan Keluarga (BSK,) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia antara agensi agama yang turut serta sebagai pempamer bagi pameran dan khidmat agensi Hal Ehwal Agama sempena Karnival Al-Falah yang diadakan di Sekolah Menengah Kampung Laut di Tumpat,Kelantan. Karnival ini telah dirasmikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Naim bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam Program Siri Jelajah Transformasi Al-Falah Peringkat Negeri Kelantan. Pempamer JKSM terdiri daripada Bahagian Sokongan Keluarga JKSM dan JKSN Kelantan telah memberikan nasihat perundangan berkaitan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah. Manakala,naskah terbitan JKSM seperti Jurnal Hukum dan bacaan ilmiah berkaitan hukum syarak dan perundangan Islam telah dipromosikan oleh Bahagian Pusat Sumber Maklumat dan Penerbitan. Turut hadir YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain,Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Puan Maria binti Jilani, Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga JKSM dan Puan Rafidah binti Abdul Razak, Ketua Penolong Pengarah BPSMP JKSM juga hadir dalam pameran tersebut. Pameran ini merupakan salah satu pendekatan untuk menyantuni dan menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

01
Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM KE ATAS KETUA PENGARAH PENDAFTARAN NEGARA

PUTRAJAYA| Sesi kunjungan hormat Ketua Pengarah/Ketua hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ke atas YBrs. Tuan Zamri bin Misman, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Kamar Gemilang, JPN pada 11 September 2023. Delegasi diketuai oleh YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM yang turut disertai oleh YAA Tuan Mohd. Asri bin Tahir, Ketua Hakim Syarie, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Ketua Pendaftar JKSM, wakil daripada Bahagian Undang-Undang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pegawai Bahagian Dasar dan Penyelidikan, JKSM. Pihak JPN pula dihadiri, antaranya oleh Tuan Saiful Yazan bin Alwi, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Operasi), Pengarah-Pengarah Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat dan Bahagian Dasar dan Pemodenan, Penasihat Undang-Undang dan pegawai-pegawai Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat. YBrs. Tuan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara mengalu-alukan kehadiran JKSM, MSWP dan JAKIM. Antara perbincangan dalam sesi kunjungan hormat ini adalah berkaitan dengan isu permohonan pengangkatan dan pendaftaran pengangkatan anak oleh orang Islam dan isu-isu lain berkaitan dengan mahkamah syariah dan JPN. Semoga dengan kunjungan hormat ini akan merintis ruang kerjasama strategik yang lebih erat antara jabatan-jabatan ini demi kepentingan bersama.

1
Program Jabatan

KENYATAAN KEPUTUSAN TENDER RASMI. NO TENDER: QT240000000025703

| Satu majlis penyampaian sumbangan telah diadakan oleh Biro Kebajikan dan Pembangunan Insan KKS, JKSM bagi sesi 2024/2026 di Bilik Mesyuarat Utama (BMU), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Majlis ini bertujuan untuk menyampaikan sumbangan kepada warga KKS yang telah mengalami musibah seperti kehilangan ahli keluarga (kematian) dan mereka yang dimasukkan ke hospital (warded). Majlis ini berlangsung secara ringkas serta dengan penuh rasa kebersamaan dan kasih sayang, mencerminkan semangat persaudaraan di kalangan warga KKS ini adalah salah satu inisiatif untuk membantu meringankan beban warga yang sedang menghadapi kesukaran. Seramai 18 orang penerima sumbangan yang telah menerima manfaat berbentuk wang tunai, disempurnakan oleh YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie merangkap Penasihat KKS diiringi oleh YA Dato’ Haji Mohd Shakir bin Abdul Hamid, Pengerusi KKS Sesi 2024/2026. Turut hadir Exco tertinggi KKS dan Duta-Duta Bahagian di majlis tersebut. Semoga bantuan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang sedang diuji. Semoga usaha ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk membantu lebih ramai individu yang memerlukan.

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.