Author name: jksm_admin

Program Jabatan

TEMU BUAL PAKAR BAGI PENYELIDIKAN IJAZAH SARJANA PENGAJIAN ISLAM (SYARIAH)

PUTRAJAYA| YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berbesar hati meluangkan masa untuk ditemubual oleh penuntut pasca siswazah iaitu Puan Zurina binti Musa. Puan Zurina juga merupakan penolong pengarah kanan di Bahagian Latihan JKSM. Temu bual ini dilaksanakan untuk memenuhi tuntutan Ijazah Sarjana Pengajian Islam (Syariah), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi penyediaan disertasi bertajuk Pelaksanaan Penasaban dan Pendaftaran Kelahiran Anak Tidak Sah Taraf bagi Orang Islam di Malaysia. . Semasa temu bual tersebut, YAA Dato’ turut berkongsi pengetahuan, informasi, kemahiran dan pengalaman beliau dalam mengendalikan kes-kes yang berkaitan dengan penyelidikan isu tersebut. . Antara objektif penyelidikan ini ialah mengkaji amalan terkini prosedur penasaban dan pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf orang Islam menurut perspektif perundangan di Malaysia dengan hukum Syarak serta menganalisis konflik perundangan antara Syariah dan Sivil dalam isu yang dikaji. . Di akhir sesi temu bual, YAA Dato’ menzahirkan harapan agar tujuan dan objektif temu bual ini dapat dicapai, seterusnya penyelidikan ini dapat disempurnakan. Semoga terus berjaya. Siiru Ála Barakatillah.

Program Jabatan

YAA KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM HADIRI MAJLIS QIAMULAIL PERDANA

15 April 2023| YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah menghadiri Majlis Qiamullail Perdana di Masjid Putra, Putrajaya awal pagi tadi. Seramai 2000 orang jemaah membanjiri masjid Putra seawal 4 pagi bersama-sama YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir mengimarahkan majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Tuan Haji Nassir bin Abd Aziz, Ketua Pendaftar JKSM. Majlis ini dimulakan dengan solat sunat tahajud, solat sunat taubat dan solat hajat yang dipimpin oleh imam jemputan iaitu Hanif Azmir Hassim sebelum disusuli dengan sahur. Pengisian acara seterusnya ialah solat subuh berjemaah yang diimamkan oleh imam jemputan iaitu Ahmad Fairuz Nazaruddin dan tausiyah subuh yang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Dasar dan Strategik Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional, Mohd Gunawan Che Ab Aziz. Majlis Qiamullail Perdana itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV AlHijrah dan laman Facebook JAKIM.

Program Jabatan

WACANA PEMIKIR SULH NEGARA: KE ARAH INSTITUSI KEADILAN SYARIAH MADANI

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai Negeri Sembilan, 28 Februari 2023– Seksyen Sulh, Bahagian Pendaftaran, Keurusetiaan dan Rekod (BPKR), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Wacana Pemikir Sulh Kebangsaan dan Mesyuarat Pemikir Sulh bilangan 1/2023 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Program ini diserikan dengan ucapan aluan dari YBrs.Prof Madya Dr.Nik Salida Suhaila Nik Salleh Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM dan ucapan balas oleh YA Dato’ Mohd Amran Bin Mat Zain, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Untuk rekod Wacana Pemikir Sulh Negara ini, julung kali diadakan sejak Jawatankuasa Pemikir Sulh (think tank) ditubuhkan. Penubuhan Jawatankuasa Pemikir Sulh (think tank) di peringkat kebangsaan ini adalah antaranya untuk mengenalpasti permasalahan dalam melaksanakan penyelarasan dan pemantauan perkhidmatan pengurusan Sulh dengan cekap dan tersusun. Selain itu, kumpulan ini juga akan membantu JKSM dalam usaha memartabatkan Sulh dalam membantu penyelesaian pertikaian kes dan sekaligus membantu mengurangkan perbicaraan kes-kes di Mahkamah Syariah. Sewaktu Wacana tersebut, sebanyak 2 kertas kerja telah dibentangkan. Pembentang kertas kerja yang pertama iaitu YBrs. Dr. Hendun binti Abd Rahman Shah, Pensyarah Kanan/ Fellow Pelawat di JKSM yang bertajuk Modul Baharu Institusi Sulh ADR manakala kertas kerja yang kedua telah dibentangkan oleh Puan Nor Asniah binti Mohd Noh, Penolong Pengarah Kanan/ Kaunselor Berdaftar, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan tajuk “Pengurusan Runding Cara dan Kekeluargaan Islam dan Cabaran Yang Dihadapi”. Sejurus selepas habis pembentangan kertas kerja dan sesi soal jawab, majlis diteruskan dengan Mesyuarat Jawatankuasa Pemikir Sulh Bil 1/2023. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YA Dato’ Mohd Amran Bin Mat Zain. Ahli mesyuarat terdiri dari ahli akademik yang pelbagai latar belakang bidang pengajian, pengamal undang-undang, Ketua-ketua Pendaftar mahkamah negeri yang mahir dan arif mengenai pentadbiran dan perundangan syariah di Malaysia serta pegawai-pegawai syariah yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Sulh. Pelbagai isu telah dibincangkan antaranya berkisar tentang kertas kerja yang telah dibentangkan sewaktu Wacana Pemikir Sulh Kebangsaan. Setelah selesai mesyuarat, ahli mesyuarat telah dibawa untuk melawat Klinik Guaman dan Falak Learning Space.Majlis tamat pada jam 6 petang.

Program Jabatan

TEMU BUAL BAGI PENGESAHAN DAPATAN PENYELIDIKAN DOKTOR FALSAFAH (PHD)

PUTRAJAYA| YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM berkesempatan meluangkan masa untuk sesi temu bual pengesahan dapatan penyelidikan peringkat Doktor Falsafah (PhD) bertempat di pejabat beliau hari ini. Temu bual tersebut dijalankan oleh Tuan Hammad bin Mohamad Dahalan, pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang merupakan calon PhD di Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Calon Phd ini berada di peringkat akhir menyiapkan tesisnya yang bertajuk “Tadbir Urus Tata Tertib Peguam Syarie di Malaysia: Analisis di bawah Kaedah-Kaedah Peguam Syarie”. Semoga segala input dan pandangan yang disampaikan oleh YAA Dato’ dapat membantu dalam melengkapkan kajian ini dan diharapkan agar hasil kajian tersebut dapat dimanfaatkan oleh warga kerja JKSM/JKSN/MSN dan pihak-pihak yang terlibat dalam hal ehwal kepeguaman syarie di negara ini. Siiru ‘Ala Barakatillah. Selamat maju jaya Tuan Hammad!

Program Jabatan

WACANA KEHAKIMAN SYARIAH TAHUN 2023

2 Mac 2023 (Khamis) – Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan Wacana Kehakiman Syariah Tahun 2023 bertempat di Auditorium JAKIM, Putrajaya. Wacana ini juga merupakan salah satu program yang telah dirancang sempena sambutan Jubli Perak JKSM. Wacana ini telah dihadiri oleh para Pegawai Syariah dari JKSM, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN), Mahkamah Syariah Negeri (MSN), Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri (JAPENS), Bahagian Pendakwaan, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Jabatan Peguam Negara, Penolong Penasihat Undang-undang (Syariah) Negeri dan lain-lain pegawai seramai lebih kurang 300 orang. Mendahului Wacana ini, satu kertas kerja telah dibentang oleh YBhg. Dato’ Anas bin Ahmad Zakie, Ketua Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-undang, Jabatan Peguam Negara yang bertajuk “Halatuju Pemerkasaan Mahkamah Syariah Melalui Cadangan Pewujudan Mahkamah Utama Syariah”. Dalam pembentangannya, beliau telah menyingkap sejarah sistem perundangan Syariah, kedudukan Mahkamah Syariah dan juga perkembangan perubahan struktur organisasi Mahkamah Syariah. Beliau juga telah berkongsi pandangan berkaitan isu dan cabaran dalam pelaksanaan Undang-undang Syariah di Malaysia. Ucapan alu-aluan Wacana telah disampaikan oleh YA Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain. Beliau telah mengalu-ngalukan kehadiran semua peserta Wacana dan juga dif-dif jemputan. Beliau juga merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Na’im bin Haji Mokhtar, Mantan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM di atas pelantikan sebagai YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Beliau turut memaklumkan pengisian dalam Wacana Kehakiman Syariah 2023 ini akan menumpukan kepada hasrat dan hala tuju perundangan dan kehakiman Syariah di bawah kerajaan baharu yang akan disampaikan oleh YB Menteri. Wacana ini juga akan menjadi wadah dan medium utama dalam memastikan aspirasi, semangat dan hala tuju pentadbiran Mahkamah Syariah dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia selari dengan aspirasi nasional kerajaan. Buat julung-julung kalinya, Wacana ini telah dirasmikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan ucaptama yang bertajuk: Bersama Mencapai Kejayaan (Al Falah): Menggerak Transformasi Perkhidmatan Kehakiman Syariah”. Beliau menyatakan bahawa spektrum Kehakiman Syariah dan Mahkamah Syariah sentiasa akan menjadi keutamaan beliau di samping bidang-bidang lain di bawah pentadbiran hal ehwal agama Islam negara ini. Pengumuman visi dan kerangka dasar reformasi negara iaitu “Membangun Malaysia MADANI” oleh YAB Perdana Menteri bukanlah satu istilah yang asing dalam kamus perbendaharaan ilmu Islam. Ia hakikatnya bersumberkan falsafah kenegaraan yang telah dirumuskan di dalam Al-Quran. Dalam hubungan untuk menjayakan dasar Membangun Malaysia Madani ini, di peringkat JPM (Hal Ehwal Agama) telah memperkenalkan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani atau dikenali dengan nama ringkasnya “AL-FALAH”. Pelan Transformasi Al-Falah ini mengandungi 5 Teras, 10 Fokus Gerak Kerja dan 5 Nilai yang merupakan inisiatif-inisiatif utama yang amat sesuai dan praktikal untuk menjayakan gagasan Malaysia Madani. Beliau turut menekankan 5 Nilai yang ditetapkan bagi menjayakan Pelan Transformasi Al-Falah ini adalah Ilmu, Integriti, Itqan, Istiqamah, dan Ikhlas. Nilai-nilai ini perlu dipunyai dan dihayati oleh penggerak-penggerak agensi termasuklah di JKSM, JKSN dan MSN bagi memastikan kejayaan pelan ini. Untuk membumikan Pelan Al-Falah ini, JKSM, JKSN dan MSN mempunyai peranan yang amat signifikan bagi melaksanakan Fokus Gerak Kerja dalam Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Islam. Wacana ini juga telah menyaksikan majlis menandatangani Payment Gateway Provider Agreement di antara JKSM dan Bank Islam Malaysia Berhad dengan disaksikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi meneruskan kesinambungan pembangunan sistem e-Syariah Versi 3. Perjanjian ini dimeterai atas persetujuan untuk melantik Bank Islam sebagai penyedia gerbang pembayaran atas talian (online payment) bagi semua transaksi dalam talian e-Syariah Versi 3 seperti pendaftaran kes secara e-Filling, pembelian Jurnal Hukum, pendaftaran serta pembaharuan Sijil Peguam Syarie dan pembayaran balik pendahuluan dana nafkah oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK). Kemuncak Wacana telah menyaksikan Majlis Jambangan Budi Rimbunan Bakti yang dianjurkan oleh Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM). Dalam majlis ini, PPSM telah meraikan para Pegawai Syariah yang telah bersara, termasuklah YB Menteri. YB Menteri juga telah berkenan untuk menyempurnakan penyampaian cenderamata kepada para Pegawai Syariah yang telah bersara. Manutup tirai Wacana, Bank Islam Malaysia Berhad Bersama pihak Cyber Security Malaysia telah menyampaikan ceramah yang bertajuk Kesedaran Kewangan: Cyber Crime bagi memberi kesedaran berkaitan penipuan-penipuan yang berleluasa khususnya dalam media sosial.

Program Jabatan

RERUAI PAMERAN BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA DAN SULH SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PROGRAM MATAHARI DAN PROGRAM IRIS ANJURAN JABATAN PEMBANGUNAN WANITA TAHUN 2023

2 Februari 2023 | Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) JKSM telah mengambil bahagian dengan membuka reruai pameran sempena Majlis Pelancaran Program MATAHARI (Meningkatkan Daya Tahan dan Psikologi Wanita) dan Program IRIS (Literasi Perundangan dan Hak Wanita) di Dewan Perdana Nur, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) anjuran Jabatan Pembangunan Wanita. Turut terlibat dalam pameran ini ialah Bahagian Sokongan Keluarga Seksyen Wilayah Persekutuan dan Seksyen Sulh, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. Reruai pameran ini telah menerima kunjungan yang sangat menggalakkan daripada peserta yang ingin mendapatkan khidmat nasihat berkaitan perkhidmatan BSK dan Sulh di Mahkamah Syariah. BSK dan Seksyen Sulh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan juga berbesar hati menerima lawatan YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan YB Hajah Aiman Athirah binti Sabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ke reruai BSK pada program hari ini.

Program Jabatan

MUZAKARAH PEGAWAI REKOD DAN PEMBANTU TADBIR REKOD JKSN/MSN TAHUN 2023

09 Februari 2023| Seksyen Rekod, BPKR telah mengadakan Muzakarah Pegawai Rekod dan Pembantu Tadbir Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) / Mahkamah Syariah Negeri (MSN) pada 7 hingga 9 Mac 2023 bertempat di Grand Continental Hotel Langkawi, Kedah. Muzakarah ini telah dirasmikan oleh Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz, Pengarah Bahagian Pendaftaran, Keurussetiaan dan Rekod (BPKR). Tuan Pengarah BPKR dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa muzakarah ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memantapkan pengurusan rekod, menerapkan bekerja secara kumpulan dan mengeratkan silaturrahim sert jalinan kerjasama antara satu sama lain. Selain itu, ianya sebagai platform kepada pegawai-pegawai rekod untuk bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman berkaitan pengurusan rekod di negeri masing-masing. Inisiatif program ini diadakan di luar pejabat dan memilih Langkawi, Kedah adalah kerana untuk membolehkan para peserta memberi tumpuan dan komitmen yang tinggi agar setiap perkongsian ilmu dapat dibuat sepenuh masa tanpa terikat dengan waktu pejabat yang terhad. Selain itu muzakarah ini juga menjemput penceramah yang berpengalaman di dalam pengurusan fail terperingkat iaitu Encik Mohd Azri bin Pramlee daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO). Manakala penceramah Puan Nor Azlina binti Kamarudin daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dijemput bagi memberikan ceramah berkenaan pelaksanaan DDMS kepada peserta muzakarah. Tuan Pengarah BPKR mengucapkan tahniah atas kejayaan aktiviti dan program yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2022, antaranya Retreat Pegawai Sulh, Pegawai dan Pembantu Rekod seluruh Malaysia kali Pertama Tahun 2022 pada 21-23 Mei 2022, Bengkel Galeri Kehakiman Syariah secara dalam talian pada 21 Julai 2022 dan Inspektorat Pengurusan Rekod di JKSN/MSN di 7 buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Johor, Kelantan dan Sabah yang telah diadakan bermula Ogos hingga November 2022. Seksyen Rekod pada tahun ini telah merancang pelbagai program antaranya ialah Inspektorat Pengurusan Rekod JKSN/MSN di 7 buah negeri lagi iaitu Sarawak, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, dan Pahang yang akan diadakan bermula Mac sehingga September 2023, yang bertujuan untuk memastikan pengurusan rekod dilaksanakan dengan teratur dan mematuhi dasar serta panduan pengurusan rekod yang telah ditetapkan. JKSM juga dalam persediaan akhir Galeri Kehakiman Syariah bagi sambutan 25 tahun penubuhan JKSM yang akan diadakan pada 6 Julai 2023 dan akan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Selain itu, Bengkel Pemurnian Klasifikasi Fail Urusan Am dan Fungsian yang melibatkan PRJ/PTRJ bersama Arkib Negara Malaysia juga dalam perancangan untuk diadakan pada bulan September 2023. Tuan pengarah BPKR mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua PRJ/PTRJ atas gerak kerja yang penuh komited dalam melaksanakan pelupusan rekod dan pemindahan rekod yang bernilai kekal ke Arkib Negara Malaysia sepanjang tahun 2022. Diharapkan dengan program Muzakarah yang dilaksanakan ini membolehkan JKSN/MSN seluruh Malaysia dapat menggunakan sistem DDMS secara keseluruhannya dan dapat mempertingkatkan penyampaian dan ketelusan perkhidmatan kerajaan melalui capaian pengurusan rekod secara digital (elektronik). Manakala DDMS 2.0 bertujuan untuk membangunkan sistem pengurusan rekod yang menguruskan rekod rasmi dan rahsia rasmi kerajaan bagi keseluruhan kitaran hayatnya iaitu daripada proses pewujudan, penawanan, penyimpanan, penyelenggaraan, pengedaran dan pelupusan rekod secara digital dan sistematik.Penggunaan DDMS 2.0 dapat mempertingkatkan penyampaian dan ketelusan perkhidmatan kerajaan melalui capaian pengurusan rekod digital (elektronik) any where, any time and any device . Penggunaan DDMS 2.0 juga mewujudkan keseragaman pengurusan rekod elektronik di sektor awam.

Program Jabatan

PERSIDANGAN KETUA HAKIM SYARIE SELURUH MALAYSIA KALI KE-78 BIL.2 TAHUN 2023

16 ei 2023 (Selasa)- Bahagian Pendaftaran, Keurussetian & Rekod (BPKR), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan Persidangan Ketua Hakim Syarie Seluruh Malaysia Kali Ke-78 Bil.2 Tahun 2023 pada 15 dan 16 Mei 2023 di Ideas Hotel, Kuala Lumpur. Persidangan ini telah dihadiri oleh YAA Ketua Hakim Syarie, Dato’ Haji Mohd Amran bin Mohd Zain, YA Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, YAA Ketua-ketua Hakim Syarie JKSN/MSN, YBrs. Tuan Ketua Pendaftar JKSM, Pengarah Kanan Kehakiman serta Pengarah-pengarah Bahagian JKSM. Persidangan selama 2 hari ini telah dimulai dengan Persidangan Ketua Hakim Syarie Seluruh Malaysia yang dipengerusikan oleh YAA Ketua Hakim Syarie/ Ketua Pengarah JKSM sendiri dan diikuti dengan beberapa pembentangan kertas makluman/ cadangan. Antaranya pembentangan Had Bidangkuasa Jenayah Mahkamah Rendah Syariah Bersesuaian dengan RUU 355, Kod Etika dan Tatakelakuan Pegawai JKSM/JKSN dan MSN

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

[language-switcher]

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.