Author name: jksm_admin

syahirah
01
Program Jabatan

BENGKEL LANJUTAN PEMAHAMAN DAN PENGIRAAN FARAID TAHUN 2023

10 Mei 2023 – Bahagian Latihan JKSM (BL) sekali lagi telah menganjurkan satu latihan secara fizikal iaitu Bengkel Lanjutan Pemahaman dan Pengiraan Faraid 2023 pada 9-10 Mei 2023 (Selasa-Rabu) bertempat di Bilik Latihan, Aras 4, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Bengkel kali ini dihadiri seramai 30 orang peserta daripada pelbagai gred jawatan pegawai dan kakitangan perkhidmatan agensi kehakiman syariah dari seluruh Malaysia. Bengkel ini merupakan lanjutan dan kesinambungan daripada Bengkel Asas Pemahaman dan Pengiraan Faraid Tahun 2022 yang berjaya dilaksanakan pada tahun lalu. Input dan saranan daripada peserta bengkel tersebut yang menjadi pencetus kepada pelaksanaan bengkel lanjutan kali ini. Antara objektif bengkel kali ini adalah memberi kemahiran kepada peserta kaedah pembahagian dan pengiraan harta secara adil berdasarkan kaedah munasakhat (berlapis) menurut Syariat Islam serta memberi kemahiran dan kefahaman peserta berhubung susur galur waris-waris yang berhak berdasarkan kepada siasatan. Penceramah kali ini ialah Yang Arif Tuan Kamal Bashah bin Dato’ Ahmad Tajuddin, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perundangan dan kehakiman syariah bagi kes harta. Di akhir bengkel ini, para peserta didedahkan dengan latihan amali dimana para peserta perlu menyelesaikan contoh-contoh permasalahan kes faraid secara berlapis. Bengkel selama 2 hari ini di akhiri dengan perasmian penutup yang disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Latihan, Puan Nenney Shuhaidah binti Shamsuddin. Dalam ucapannya beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada penceramah dan mengucapkan tahniah kepada semua para peserta yang berjaya memberikan komitmen yang tinggi serta mengikuti bengkel ini dengan jayanya. Beliau juga berharap agar para peserta dapat mengamalkan dan dapat menyelesaikan isu-isu pembahagian Faraid di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia dengan menggunakan sistem E-Syariah yang lebih cepat dan berkesan.

01
Program Jabatan

KUNJUNG HORMAT PENGERUSI JAWATANKUASA MEMPERKASAKAN MAHKAMAH SYARIAH KE JKSM

09 Mei 2023| YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada YBhg. Tan Sri Dato’ Othman bin Mustapha sebentar tadi bertempat di Pejabat Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. YBhg. Tan Sri yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada YAA Dato’ atas pelantikan sebagai Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM berkuatkuasa 10 April 2023. Kedua-dua pihak turut mengambil peluang membincangkan beberapa perkara berkaitan pemerkasaan pentadbiran kehakiman syariah. YBhg. Tan Sri juga yakin YAA Dato’ akan memberikan perkhidmatan yang cemerlang dalam menerajui institusi kehakiman syariah sekaligus memperkukuh sistem perundangan Islam di Malaysia.

01
Program Jabatan

KUNJUNG HORMAT KETUA PENGARAH / KETUA HAKIM SYARIE JKSM KE PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

GEORGETOWN, 02 Mei 2023 l YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain; Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama YAA Dato’ Muhamad Abdul Karim bin Wahab; Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang (JKSNPP) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Berhormat Dato’ Mohd Sayuthi bin Bakar; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SUKPP) di pejabatnya pada pagi ini di sini. Kunjungan hormat ini merupakan kunjungan rasmi pertama YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain ke SUKPP sejak dilantik sebagai Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie JKSM pada 10 April 2023 yang lalu. Pertemuan dua hala ini bertujuan membincangkan dan memperkukuhkan kerjasama strategik di antara dua agensi persekutuan dan negeri dalam memberikan perkhidmatan kehakiman syariah yang terbaik di negeri ini. Antara yang dibincangkan juga adalah melibatkan isu-isu penempatan pegawai dan kakitangan persekutuan di negeri ini termasuklah juga melibatkan kecukupan pegawai dan kakitangan di JKSNPP. Selain itu, pertemuan ini juga menjadi platform perkongsian pendapat serta pandangan antara JKSM, JKSNPP dan SUKPP dalam memperkasakan amalan tadbir urus yang baik selaras dengan Nilai Teras Keselamatan Negara yang terkandung dalam Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021-2025. Sejurus selepas itu, YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain; Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie JKSM telah berbesar hati menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut dan banjir yang melibatkan kakitangan JKSNPP.

01
Program Jabatan

KUNJUNG HORMAT KE ATAS YB SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI SABAH

| Program Santuni Madani yang berlangsung selama dua hari, pada 17 dan 18 Januari 2025 di Masjid Mukim Permatang Sungkai dan SMU(A) Diniah Permatang Rambai, Pasir Puteh, berjaya mencapai objektifnya. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta, serta sokongan penuh daripada masyarakat setempat. Sebanyak 26 agensi telah menyertai pameran sepanjang program ini, termasuk Bahagian Sokongan Keluarga JKSM Negeri Kelantan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Jabatan Bantuan Guaman, Universiti Malaysia Kelantan dan lain-lain. Pameran ini menyediakan maklumat berguna dan perkhidmatan kepada pengunjung, termasuk khidmat nasihat guaman, bantuan sosial, Kesihatan dan Pendidikan. Program pentas turut memeriahkan suasana dengan persembahan nasyid, qasidah Burdah, dan Dikir Halaqat, yang mendapat sambutan hangat daripada para hadirin. Selain itu, tausiah dan ceramah khas bersempena Isra’ dan Mi’raj memberikan pengisian rohani yang mendalam kepada semua yang hadir. Aktiviti sukaneka yang dianjurkan menjadi tarikan utama untuk seisi keluarga, dengan pelbagai acara menarik yang melibatkan semua peringkat umur. Cabutan bertuah yang menawarkan hadiah istimewa juga menjadi salah satu kemuncak program, menyemarakkan kegembiraan para peserta. Lebih 100 individu menerima sumbangan bantuan barangan keperluan asas, sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan program ini. Jualan Rahmah dengan harga istimewa turut menarik minat pengunjung, menawarkan produk berkualiti pada harga mampu milik. Program ini mendapat sambutan baik dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat sepanjang dua hari ia diadakan. YAA Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM, dalam ucapan perasmiannya, menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya agensi-agensi, sukarelawan, dan masyarakat setempat yang menjayakan program ini. Beliau menekankan bahawa usaha sebegini penting untuk memupuk perpaduan dan kesejahteraan dalam kalangan masyarakat. Dengan sambutan yang baik dan pelbagai pengisian bermakna, Program Santuni Madani YAA Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM berjaya memberikan impak positif kepada masyarakat setempat, sekaligus menzahirkan semangat Madani yang inklusif dan harmoni.

02
Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT JKSM DAN MAHKAMAH SYARIAH WILAYAH PERSEKUTUAN KE MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN (MAIWP)

KUALA LUMPUR | Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) telah mengadakan kunjungan hormat ke Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 7 Ogos 2023 bertempat di MAIWP, Bangunan PERKIM, Kuala Lumpur. Kunjungan hormat yang diketuai oleh YAA Dato’ Haji Mohd Amran Bin Mat Zain Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM ini telah disambut oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi MAIWP serta pegawai-pegawai kanan MAIWP. Tujuan kunjungan hormat tersebut adalah untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan dengan MAIWP khususnya dengan YBhg. Tan Sri Dr. yang sememangnya mempunyai pengalaman yang luas dalam sektor kewangan bagi memberikan pandangan dan idea dalam pengurusan dana Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) JKSM. Pandangan daripada pihak yang mempunyai kaitan secara langsung dengan dana BSK ini amat penting bagi membolehkan penambahbaikan pengurusan dana BSK dibuat dari semasa ke semasa. Sebelum ini, MAIWP telah menyumbangkan dana kepada BSK Seksyen Wilayah Persekutuan pada tahun 2010 bagi tujuan pengoperasian BSK Seksyen Wilayah Persekutuan dan penyaluran bantuan nafkah kepada pihak yang berkelayakan. Selain itu, perbincangan turut dimaklumkan bahawa kerjasama lanjut antara JKSM dan MAIWP akan diadakan bagi membolehkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan dapat dilaksanakan. Terdahulu, BSK boleh menyalurkan maklumat bekas isteri atau ibu yang berkelayakan bagi skim bantuan yang bersesuaian oleh MAIWP selain daripada bantuan dana BSK yang sedia ada. Turut serta dalam kunjungan hormat ini ialah YA Puan Hajjah Noor Hadina binti Haji Ahmad Zabidi, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, YAA Tuan Hj. Mohd Asri bin Hj. Tahir, Ketua Hakim Syarie MSWP, Yang Berusaha Tuan Haji Nassir bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM, Puan Maria binti Jilani, Pengarah BSK JKSM berserta pegawai-pegawai dari BSK JKSM dan BSK Seksyen Wilayah Persekutuan.

01
Program Jabatan

DISKUSI PERUNDANGAN TANAH – HAKIM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH

| Bahagian Latihan (BL), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan Program Diskusi Perundangan Tanah – Hakim Mahkamah Tinggi Syariah pada 13 hingga 15 Ogos 2024 bertempat di Aras 4, Bahagian Latihan JKSM Putrajaya. Program ini bertujuan memberi ruang kepada para peserta berdiskusi dengan lebih mendalam berkaitan kes melibatkan tanah khususnya dalam konteks hibah dan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 atau juga dikenali sebagai Akta GSA. Peserta Diskusi terdiri daripada Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN)/ Mahkamah Syariah Negeri (MSN) seluruh Malaysia, Pegawai-Pegawai Penyelidik Hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan Peguam Kanan Syarie Persekutuan dari Jabatan Peguam Negara (AGC). Konsep Diskusi pada kali ini menggandingkan perkongsian ilmu dari sudut akademik dan juga pengalaman sebenar industri di lapangan. Antara pengisian Program ialah Sesi Perkongsian daripada YBrs. Dr. Shofiyyah binti Moidin, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Puan Helwani binti Lukman, Pengetua Institut Semarak FELDA, Bangi. Penghargaan juga diberikan kepada YA Dato’ Muhammad Azhari bin Abd Rahman, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang yang telah mengendalikan Slot Diskusi bersama hakim-hakim mahkamah tinggi Syariah di akhir Program ini. Turut serta mengikuti Program Diskusi pada kali ini ialah YA Dato’ Abas bin Nordin, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM. Diharapkan agar Program Diskusi yang diadakan ini dapat menjadi medan pencerahan dan menggalakkan perbincangan yang positif di kalangan pegawai-pegawai Syariah khususnya kepada hakim-hakim Syarie di Malaysia.

2 1024x576
Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT DAN DIALOG PENGOPERASIAN INSTITUSI LATIHAN BERSAMA ILKEM DAN AKEPT

Nilai, 26 Januari 2023- YBhg Tuan Haji Nassir Abdul Aziz, Ketua Pendaftar telah mengetuai delegasi Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ketika sesi kunjungan hormat ke Institut Latihan Keselamatan Perlindungan Malaysia (ILKEM) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang berlokasi di Nilai, Negeri Sembilan. Kunjungan hormat ini dilaksanakan bagi mendapatkan input dan perkongsian pandangan dalam merealisasikan penubuhan Akademi Latihan Kehakiman Syariah Malaysia (AKSM), JKSM. Sesi dialog ini dimulakan di ILKEM dengan penyampaian taklimat disampaikan oleh Encik Azarul Zaman Eliah, Ketua Program Akademik dan Kompetensi berhubung penubuhan ILKEM serta penjelasan berkenaan isu berbangkit daripada penubuhan institusi tersebut. “Adalah dinasihatkan agar pihak JKSM meneliti setiap sudut pelan pembinaan, infrastruktur, kos dan keperluan latihan sedari awal cadangan penubuhan AKSM bagi mengelakkan timbulnya isu di kemudian hari. Untuk itu, adalah dicadangkan agar diwujudkan _task-force_ terutamanya dalam memastikan keperluan kursus/latihan sama ada dari aspek fizikal, reka bentuk dan perabot dapat dirancang dengan baik,” ujar beliau. “Pada asalnya hanya terdapat 10 perjawatan di ILKEM, namun kami telah memohon pertambahan perjawatan kepada 42 orang bagi memastikan kursus/latihan dalam dikendalikan seoptimumnya. Manakala bagi urusan keselamatan, pembersihan dan katerer pula kami lantik syarikat/vendor luar,” tambah beliau lagi. Seterusnya, pada sesi petang pula delegasi JKSM berkunjung ke AKEPT bagi mendapatkan pencerahan dan perkongsian pengalaman dalam pewujudan akademi latihan tersebut. “AKEPT berbeza dengan kebanyakan institusi latihan lain. Ini kerana semenjak 2019 AKEPT dijenamakan semula sebagai sebuah agensi yang berdiri sendiri. Sehubungan itu, kami berperanan sebagai sebuah entiti khusus, mempunyai Pusat Tanggungjawab (PTJ) tersendiri serta perlu menjalankan fungsi sebagaimana jabatan lainnya seperti dalam pengendalian Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP), Mesyuarat bersama Jabatan, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan lain-lain mesyuarat/plan jabatan,” ujar YBhg Puan Hanis Huzaira Abd Hanan, Pendaftar AKEPT semasa menyampaikan taklimat. Di akhir setiap kunjungan hormat tersebut, delegasi ditunjukkan fasiliti yang disediakan di institusi berkenaan seperti auditorium, dewan, bilik kursus, makmal, asrama dan kemudahan lainnya. Selain ketua pendaftar, delegasi JKSM turut disertai oleh Puan Azlina Abdul Aziz (Pengarah Kanan Pengurusan), Puan Nenney Shuhaidah Shamsuddin (Pengarah Bahagian Latihan), En. Ahmad Mukrim Mohd. Noor (Ketua Penolong Pengarah BKPSM), Puan Roziana Mat Amin dan Tuan Mohd Khairul Hamiz Mohd Hussin (Pen. Pengarah Kanan, Bahagian Latihan), Puan Ira Kartini Chairullah (Pen. Pengarah Bahagian Latihan) serta Encik Ahmad bin Lakibul (Penolong Jurutera). Untuk rekod, peruntukan kewangan bagi penubuhan AKSM JKSM akan dimasukkan dalam _Rolling Plan_ ke-Empat, Rancangan Malaysia Ke-12 Tahun 2024.

03
Program Jabatan

KURSUS HIBAH, AMANAH, WASIAT DAN PROBET (HARTANAH)

GENTING HIGHLANDS| Usaha strategik dan berterusan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam menyediakan latihan berimpak tinggi bagi pembangunan kompetensi Pegawai-Pegawai Syariah seluruh Malaysia wajar dipuji. Kali ini, bertempat di Awana Resorts World, Genting Highlands, Pahang Darul Makmur, Bahagian Latihan, JKSM menganjurkan Kursus Hibah, Amanah, Wasiat dan Probet (Hartanah) dengan pihak penganjur menggariskan empat objektif yang ingin dicapai iaitu meningkatkan kefahaman dan kemahiran kepada peserta mengenai hal perkara berkaitan dengan Hibah, Amanah, Wasiat dan Probet; mendedahkan kepada para peserta tentang konsep dan pelaksanaan Hibah Amanah Tunai, Hibah Hartanah Dalam Cagaran, dan Wasiyyah Wajibah daripada perspektif Syarak, perundangan dan administratif; mendedahkan kepada para peserta mengenai praktik penyediaan dokumentasi Hibah, Amanah, Wasiat secara profesional; dan menyediakan ruang percambahan ilmu dan idea dalam aspek perundangan Hibah, Amanah, Wasiat dan Probet (Hartanah). . Progam yang bermula pada 12 September 2023 dan berakhir hari ini menyasarkan para peserta yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Penolong Penasihat Undang-Undang (Syariah) Negeri-Negeri, serta pegawai-pegawai daripada Bahagian Dasar dan Penyelidikan JKSM. . Hadir merasmikan kursus ini, YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ketika berucap menekankan kepentingan penguasaan bidang ilmu yang berkaitan dengan skop tugas dan peranan pegawai-pegawai. Atas hubungannya dengan penganjuran kursus yang disertai oleh kumpulan sasaran terpilih ini, hal perkara berkaitan hibah dan isu-isu yang berbangkit di dalam prosiding kes sebagai contoh, penguasaan ilmu sepenuhnya haruslah dipastikan menyeluruh. . Mengambil kesempatan dalam ucapannya, YAA Dato’ sempat menyentuh perihal kepentingan menjaga amanah kerana perlanggaran terhadapnya boleh mendatangkan kemudharatan kepada pihak lain. Dalam aspek pelaksanaan tugasan seharian, beliau menyeru supaya pegawai-pegawai hendaklah bersifat tekun dan menitikberatkan kesempurnaan hasil kerja selari dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Beliau turut mendoakan agar para pegawai tergolong dalam kalangan mereka yang amanah, berusaha kuat, dan menjunjung nilai-nilai integriti. Cuplikan ayat al-Quran yang dipetik daripada Surah al-Qassas ayat 26 yang bermaksud, “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang diambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” . Program yang telah diklasifikasikan sebagai berimpak tinggi ini menampilkan penceramah pakar daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sendiri iaitu YA Dato’ Haji Mohamad Shakir bin Haji Abdul Hamid, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, YA Tuan Haji Salehan bin Yatim, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor, YBrs. Tuan Jaiya bin Abu yang merupakan Pengarah Bahagian Pengurusan dan Perundangan Tanah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, dan YBrs. Tuan Ahmad Termizie bin Abdullah, Peguam Bela dan Peguam Cara (Malaya) / Peguam Syarie. . Kursus pada kali ini berakhir dengan pembentangan Resolusi Kursus daripada YBrs. Tuan Mohamad Shahidan bin Abdul Ghapar, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Latihan, JKSM dan untuk rekod, sebanyak sembilan (9) resolusi telah diambil dan dipersetujui untuk kajian susulan.

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.