Author name: jksm_admin

syahirah
01
Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA JKSM KE MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR (MAINJ) BAGI PERBINCANGAN BERKAITAN HAD KIFAYAH NEGERI JOHOR

JOHOR BAHRU, 01 Jun 2023: Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang diketuai oleh Tuan Mohamad Zakian bin Dio, Pengarah Kanan (Kehakiman) dan Puan Maria binti Jilani, Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga JKSM telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bertempat di Majlis Agama Islam Negeri Johor bagi membincangkan kaedah penentuan kadar had kifayah di negeri Johor. Perbincangan telah dipengerusikan oleh Y.B Dato’ (Dr.) Hj Nooh bin Gadut, Penasihat MAINJ dan turut dihadiri oleh Tuan Haji Ismail bin Abu, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ serta pegawai-pegawai kanan MAINJ. Perbincangan mengenai had kifayah ini adalah penting bagi menentukan kelayakan pemohon iaitu Pemiutang Penghakiman terhadap tuntutan BSK Transit yang meliputi tuntutan kos penginapan, makan minum dan pengangkutan bagi menghadiri prosiding berkaitan dengan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah di mana-mana Mahkamah Syariah seluruh Malaysia termasuk kehadiran ke sesi rundingcara BSK yang terhad kepada enam (6) kali sahaja bagi setiap tindakan penguatkuasaan untuk seorang pemohon. Delegasi telah dibentangkan berhubung pengiraan had kifayah negeri Johor oleh Ustaz Mohd Firdaus Bin Abd Hamid, Amin Baitulmal Daerah Johor Bahru dan hasil pembentangan tersebut boleh digunakan oleh BSK Seksyen Negeri Johor di dalam menentukan kelayakan pemohon atau Pemiutang Penghakiman terhadap tuntutan BSK Transit sebelum permohonan tersebut dipertimbangkan oleh BSK JKSM untuk kelulusan. Turut serta dalam kunjungan hormat ini ialah Tuan Mohd Yusof bin Sulaiman, Ketua Penolong Pengarah BSK JKSM, Tuan Ahmad Faizal Tahiron, Penolong Pengarah BSK JKSM dan Puan Nurdiyana binti Aziz , Penolong Pengarah BSK Seksyen Negeri Johor. Usai perbincangan tersebut, delegasi yang diketuai oleh Pengarah Kanan (Kehakiman) menyampaikan penghargaan ucapan terima kasih di atas kesudian MAINJ meluangkan masa menerima kunjungan hormat ini.

02
Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA JKSM KE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI JOHOR

JOHOR BAHRU, 31 Mei 2023: Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang diketuai oleh Tuan Mohamad Zakian bin Dio, Pengarah Kanan (Kehakiman) dan Puan Maria binti Jilani,Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga JKSM telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YAA Tuan Muhammad Khaldun bin Mohamad Sharif, Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor bertempat di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor, Johor Bahru. Delegasi ini telah mengadakan perbincangan tentang perkara-perkara melibatkan perkembangan operasi BSK JKSM yang berperanan membantu golongan yang tidak berkemampuan menerusi tindakan khidmat nasihat, proses perbicaraan di Mahkamah dan juga penyaluran pendahuluan atau bantuan nafkah. Di samping itu, kunjungan hormat ini adalah bagi mengeratkan hubungan antara BSK JKSM dengan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor. Turut serta dalam kunjungan hormat ini ialah Tuan Mohd Yusof bin Sulaiman, Ketua Penolong Pengarah BSK, Tuan Ahmad Faizal Tahiron, Penolong Pengarah BSK JKSM dan Puan Nurdiyana binti Aziz , Penolong Pengarah BSK Seksyen Negeri Johor. Usai perbincangan tersebut, delegasi yang diketuai oleh Pengarah Kanan (Kehakiman) menyampaikan penghargaan ucapan terima kasih di atas kesudian YAA Tuan meluangkan masa menerima kunjungan hormat ini.

01
Program Jabatan

KUNJUNG HORMAT KE ATAS YB SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI SABAH

| Program Santuni Madani yang berlangsung selama dua hari, pada 17 dan 18 Januari 2025 di Masjid Mukim Permatang Sungkai dan SMU(A) Diniah Permatang Rambai, Pasir Puteh, berjaya mencapai objektifnya. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta, serta sokongan penuh daripada masyarakat setempat. Sebanyak 26 agensi telah menyertai pameran sepanjang program ini, termasuk Bahagian Sokongan Keluarga JKSM Negeri Kelantan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Jabatan Bantuan Guaman, Universiti Malaysia Kelantan dan lain-lain. Pameran ini menyediakan maklumat berguna dan perkhidmatan kepada pengunjung, termasuk khidmat nasihat guaman, bantuan sosial, Kesihatan dan Pendidikan. Program pentas turut memeriahkan suasana dengan persembahan nasyid, qasidah Burdah, dan Dikir Halaqat, yang mendapat sambutan hangat daripada para hadirin. Selain itu, tausiah dan ceramah khas bersempena Isra’ dan Mi’raj memberikan pengisian rohani yang mendalam kepada semua yang hadir. Aktiviti sukaneka yang dianjurkan menjadi tarikan utama untuk seisi keluarga, dengan pelbagai acara menarik yang melibatkan semua peringkat umur. Cabutan bertuah yang menawarkan hadiah istimewa juga menjadi salah satu kemuncak program, menyemarakkan kegembiraan para peserta. Lebih 100 individu menerima sumbangan bantuan barangan keperluan asas, sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan program ini. Jualan Rahmah dengan harga istimewa turut menarik minat pengunjung, menawarkan produk berkualiti pada harga mampu milik. Program ini mendapat sambutan baik dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat sepanjang dua hari ia diadakan. YAA Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM, dalam ucapan perasmiannya, menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya agensi-agensi, sukarelawan, dan masyarakat setempat yang menjayakan program ini. Beliau menekankan bahawa usaha sebegini penting untuk memupuk perpaduan dan kesejahteraan dalam kalangan masyarakat. Dengan sambutan yang baik dan pelbagai pengisian bermakna, Program Santuni Madani YAA Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM berjaya memberikan impak positif kepada masyarakat setempat, sekaligus menzahirkan semangat Madani yang inklusif dan harmoni.

01
Program Jabatan

E-KONSULTASI: INOVASI JKSM DAN ADVOKASI MASYARAKAT

JUMAAT, 26 MEI 2023- Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sekali lagi melakukan anjakan paradigma dengan menawarkan perkhidmatan e-Konsultasi atau runding cara percuma kepada masyarakat yang berhadapan isu-isu perundangan dan kehakiman di Mahkamah Syariah. “E-Konsultasi ini merupakan inovasi baharu JKSM dalam menawarkan rundingcara dan khidmat nasihat perundangan secara atas talian kepada masyarakat. Jika sebelum ini mana-mana pihak yang berhasrat untuk mendapatkan khidmat nasihat perundangan perlu membelanjakan sejumlah kos, namun dengan perkhidmatan e-Konsultasi ini mereka berpeluang untuk mendapatkan khidmat runding cara tersebut dengan pantas, mudah dan tanpa melibatkan sebarang bayaran,” ujar YAA Dato’ Hj Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarii JKSM ketika merasmikan perkhidmatan e-Konsultasi tersebut. “Terdapat pelbagai manfaat e-Konsultasi kepada masyarakat. Antaranya runding cara ini diadakan secara face to face dengan dikendalikan oleh pegawai JKSM yang berpengalaman.” “Maklumat sahih yang disampaikan secara terfokus kepada individu tertentu yang menghadapi kemusykilan tersebut diharapkan dapat mengurangkan stress masyarakat dan kesesakan di kaunter Mahkamah,” tambah beliau lagi. Perkhidmatan e-Konsultasi ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa had kewangan tertentu. Justeru, bagi mereka yang berhasrat untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut, masing-masing hendaklah mengisi e-borang yang disediakan ketika program Online Legal Clinic (OLC) yang bersiaran menerusi facebook live JKSM, pada hari Khamis, jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengahari. Dengan kata lain, program OLC merupakan gerbang kepada masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan e-Konsultasi tersebut. Seterusnya, persoalan berbangkit yang telah disaring tersebut akan diserahkan kepada pegawai tertentu dan link google meet diemailkan kepada pihak yang bertanya bagi penetapan sesi konsultasi pada hari Jumaat keesokannya. “Bertepatan dengan motto Online Legal Clinic dan E-Konsultasi iaitu ‘Segalanya tentang anda’, maka sesungguhnya kejayaan e-Konsultasi ini bergantung kepada sambutan daripada masyarakat. Sehubungan itu, masyarakat disarankan untuk memanfaatkan perkhidmatan ini dengan sebaiknya,” tegas YAA Dato Hj Mohd Amran di hujung ucapannya. Untuk rekod, OLC dan E-Konsultasi merupakan inisiatif dari Bahagian Latihan JKSM dengan sinergi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) demi untuk membumikan ilmu perundangan dan kehakiman syariah, di samping bertindak sebagai salah satu kaedah advokasi kepada masyarakat awam. Sehingga kini tujuh sesi e-konsultasi dikendalikan oleh empat orang pegawai JKSM dan JPW yang dilantik.

01
Program Jabatan

KUNJUNG HORMAT PENGERUSI JAWATANKUASA MEMPERKASAKAN MAHKAMAH SYARIAH KE JKSM

09 Mei 2023| YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada YBhg. Tan Sri Dato’ Othman bin Mustapha sebentar tadi bertempat di Pejabat Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. YBhg. Tan Sri yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada YAA Dato’ atas pelantikan sebagai Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM berkuatkuasa 10 April 2023. Kedua-dua pihak turut mengambil peluang membincangkan beberapa perkara berkaitan pemerkasaan pentadbiran kehakiman syariah. YBhg. Tan Sri juga yakin YAA Dato’ akan memberikan perkhidmatan yang cemerlang dalam menerajui institusi kehakiman syariah sekaligus memperkukuh sistem perundangan Islam di Malaysia.

01
Program Jabatan

KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT JABATAN PENDAKWAAN SYARIE WILAYAH PERSEKUTUAN (JAPENSWP)

PUTRAJAYA | Pengarah/Ketua Pendakwa Syarie JAPENSWP yang baharu Tuan Abdul Razak bin Nayan bersama delegasi telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain di Pejabat KP/KHS JKSM, pagi ini. Kunjungan hormat itu diadakan bertujuan untuk membincangkan hal ehwal kerja dan perkembangan semasa JAPENSWP, disamping bertukar-tukar pandangan secara efektif selain meneruskan kesinambungan silaturahim antara agensi Hal Ehwal Agama di peringkat Perekutuan. Semoga dengan kunjungan hormat seumpama ini dapat menyemarakkan lagi gerak kerja yang lebih tersusun dalam kerangka meneruskan kecemerlangan JKSM dan JAPENSWP bagi memartabatkan institusi kehakiman dan perundangan Syariah di negara ini. Turut hadir dalam sesi kunjungan hormat tersebut, Timbalan Pengarah Bahagian Perbicaraan, Rayuan dan Penyelidikan iaitu Tuan Mawardi bin Che Man dan Timbalan Pengarah Bahagian Pendaftaran dan Khidmat Pengurusan, Puan Wan Aizaa binti Wan Abdullah.

01
Program Jabatan

KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT KETUA HAKIM SYARIE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI SEMBILAN (JKSNS)

Putrajaya– Ketua Hakim Syarie JKSNS yang baharu Tuan Kamal Bashah bin Dato’ Ahmad Tajuddin hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain di Pejabat KP/KHS JKSM. Di awal kunjungan hormat ini, YAA Dato’ KP/KHS JKSM mengucapkan tahniah dan siiru ‘ala baralatillah kepada YAA Tuan Kamal Bashah atas perlantikan sebagai Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan yang baharu berkuatkuasa pada 23 Jun 2023 yang lalu. Semoga amanah besar ini dapat digalas dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin bagi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh rakyat di Negeri Sembilan. Kunjungan hormat itu diadakan bertujuan untuk membincangkan perancangan kerja dan perkembangan semasa JKSNS, disamping bertukar-tukar pandangan selain meneruskan kesinambungan silaturahim antara JKSNS dan JKSM. Semoga dengan kunjungan hormat ini dapat menyemarakkan lagi gerak kerja yang lebih tersusun dalam kerangka meneruskan kecemerlangan JKSM dan JKSNS bagi memartabatkan institusi kehakiman dan perundangan Syariah di negara ini in Shaa Allah.

01
Program Jabatan

KURSUS PENGUATKUASAAN, PELAKSANAAN PERINTAH DAN PERINTAH BERSALING HAKIM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH ZON TIMUR DAN ZON SELATAN

PUTRAJAYA| Bahagian Latihan (BL), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan Kursus Penguatkuasaan, Pelaksanaan Perintah dan Perintah Bersaling Hakim Mahkamah Rendah Syariah Zon Timur dan Zon Selatan kepada Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah (MRS) Zon Timur dan Zon Selatan bermula 20 Jun 2023 hingga 21 Jun 2023. Kursus ini dikendalikan oleh penceramah jemputan iaitu, Tuan Mohd Hirman bin Ab Raub, Timbalan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Malaya, Klang Selangor. Kumpulan sasaran peserta wajib bagi kursus kali ini ialah seramai 52 orang Hakim Syarie MRS Zon Timur dan Zon Selatan yang bertugas di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) Pahang, JKSN Terengganu, JKSN Kelantan, JKSN Negeri Sembilan, Mahkamah Syariah Negeri Melaka dan JKSN Johor. Objektif utama kursus ini adalah untuk memberi kefahaman kepada peserta berhubung kaedah-kaedah dan bentuk-bentuk penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah di Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta/Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah. Kursus ini juga dapat memberi panduan kepada peserta dalam pendengaran serta penghakiman kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah Mahkamah Syariah dan pengendorsan Perintah Bersaling. Semua peserta telah menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang kursus ini berlangsung selama dua hari. Semoga kecekapan para peserta dalam menjalankan tugasan hakiki sebagai Hakim Syarie di MRS akan dapat dipertingkatkan hasil daripada kursus ini.

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.