Author name: jksm_admin

syahirah
Menterjakm1
Keratan Akhbar

10 Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil dilantik

DR Zulkifli. FOTO BERNAMA PUTRAJAYA: Seramai 10 Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan (Jakim) atau dikenali sebagai Jawatankuasa Teknikal dilantik berkuat kuasa 16 Ogos hingga 15 Ogos 2023 depan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu kenyataan hari ini berkata, ahli jawatankuasa teknikal baharu dilantik bagi menggantikan ahlinya yang tamat tempoh 15 Ogos lalu. Katanya, antara sumbangan utama jawatankuasa ini ialah penyeragaman lima Undang-Undang Syariah 2001, iaitu Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam: Undang-Undang Keluarga Islam; Undang-Undang Tatacara Mahkamah Syariah; Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah. “Dari aspek pengharmonian undang-undang syariah dan sivil, Jawatankuasa Teknikal ini memainkan peranan signifikan dalam meminda Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan pada 1988 iaitu dengan memasukkan Fasal (1A) yang memperuntukkan Mahkamah Tinggi Sivil dan mahkamah di bawahnya tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. “Ahli Jawatankuasa Teknikal ini dilantik secara pentadbiran oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik, menamatkan dan melantik semula keanggotaan mana-mana ahli demi kepentingan Jawatankuasa Teknikal terbabit,” katanya. Katanya, Jawatankuasa Teknikal ini ditubuhkan pada 6 Mei 1988 bernaung di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), suatu badan yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja pada 1 Julai 1969 bagi menyelaras hal ehwal Islam di Malaysia termasuk perundangan Islam. Barisan baharu jawatankuasa ini dipengerusikan bekas Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman. Ahli lain adalah bekas Profesor, Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Abdul Monir Yaacob: bekas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya, Datuk Dr Hassan Ab Rahman dan bekas Rektor Profesor Undang-Undang, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin. Selain itu, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar; bekas Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Muhammad Asri Abdullah; bekas Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Malaysia, Datuk A Aziz A Rahim; Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Mohamad Shakir Abdul Hamid; Pengarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) Prof Datin Dr Raihanah Abdullah dan mantan Timbalan Ketua Bahagian, Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara, Rodziah Muhammad. Sumber: Harian Metro

KL19 11082020 YAPEIM GOLD
Keratan Akhbar

Persekutuan, negeri perkasakan mahkamah syariah

Foto BERNAMA KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri berusaha memperkasa institusi Mahkamah Syariah, dengan memperluas bidang kuasa institusi itu, selain menaik taraf sistem kehakiman dan menyemak semula kedudukan Hakim Mahkamah Syariah. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata kerajaan juga sedang meneliti kewajaran untuk menubuhkan semula Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) yang pernah ditubuhkan pada 2017 bagi memartabatkan sistem perundangan Syariah secara holistik, namun terhenti berikutan pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14. “Selain itu, penyeragaman pentadbiran juga dilakukan melalui pembinaan Arahan Amalan Mahkamah Syariah, Kaedah-Kaedah Mahkamah Syariah dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan diguna pakai di seluruh Mahkamah Syariah. “Usaha ini dibuat melalui perbincangan dalam Persidangan Ketua-Ketua Hakim Syarie Seluruh Malaysia dan mesyuarat Ketua-Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini. Beliau menjawab soalan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang). Zulkifli memaklumkan, inisiatif berbentuk inovasi juga sudah diperkenalkan bagi mempercepat penyelesaian kes dan kelancaran pengurusan pentadbiran mahkamah, antaranya e-Bicara, e-Faraid, Program Perceraian Secara Fast Track di Selangor, Program Sifar Kes Tertunggak (SIKET) di Wilayah Persekutuan, E-Syariah Instant Access Procedure (e-Siap) di Pulau Pinang serta pengenalan sistem i-Tray dan i-Post di Terengganu bagi mempercepat penyerahan dokumen dan perintah mahkamah. “Berkenaan tempoh masa penyelesaian sesuatu kes, ia bergantung kepada pelbagai faktor, sama ada dari pihak Mahkamah Syariah, peguam syarie atau pihak dalam kes itu sendiri. “Usaha proaktif sudah dilakukan mahkamah bagi memastikan setiap kes diselesaikan dalam tempoh masa yang munasabah,” katanya. Beliau menegaskan, sebarang usaha untuk menstruktur semula pentadbiran dan prosedur yang diguna pakai Mahkamah Syariah seluruh negara perlu mendapat pandangan dan persetujuan Sultan atau Raja selaku ketua agama di setiap negeri serta pihak berkuasa agama negeri. Menjawab soalan tambahan Noh sama ada kerajaan bercadang menjalankan kajian bagi membandingkan keberkesanan Mahkamah Syariah setiap negeri dalam mengendalikan kes, Zulkifli berkata, beberapa langkah penambahbaikan yang berjaya dilaksanakan di beberapa negeri seperti Wilayah Persekutuan, Selangor dan Terengganu diharap akan menjadi ikutan negeri lain dan akan diperbaiki dari semasa ke semasa. Mengenai soalan tambahan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) sama ada jumlah kakitangan sokongan bagi mengendalikan beban kerja di Mahkamah Syariah mencukupi, Zulkifli menjelaskan, beliau sudah mengadakan lawatan di beberapa Mahkamah Syariah terutama di Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bagi melihat masalah yang dihadapi. “Memang ada masalah kakitangan sokongan kurang cukup. Sebagai contoh di Wilayah Persekutuan, kini sedang dalam proses untuk diisi dengan lebih 30 jawatan baharu dan insya-Allah, akan menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi. Sumber: Berita Harian

51594876765 MahkamahUtama
Keratan Akhbar

Sidang pertama pendengaran kes Mahkamah Utama Syariah Perak hari ini

Pewujudan Mahkamah Utama Syariah itu mendapat perkenan daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. –fotoBERNAMA Sejarah bakal tercipta hari ini dalam sistem perundangan syariah negara, apabila Mahkamah Utama Syariah Perak bersidang buat pertama kali, sejak pengumuman penubuhannya dalam Dewan Undangan Negeri Perak 5 Dis 2018. Sidang pertama itu akan dibarisi panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Syarie Perak Datuk Asa’ari Mohd Yazid, mantan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, bagi mendengar permohonan kebenaran merayu melibatkan satu kes harta sepencarian. Mohd Na’im yang juga Ketua Pengarah JKSM berkata, untuk rekod, Perak adalah satu-satunya negeri yang mewujudkan Mahkamah Utama Syariah, sekali gus mempunyai empat lapisan mahkamah dalam sistem kehakiman syariah di negeri itu. “Sementara bagi negeri-negeri lain setakat ini hanya mempunyai tiga peringkat lapisan mahkamah, iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, dan Mahkamah Rayuan Syariah,” katanya ketika dihubungi Bernama, bagi menjelaskan mengenai penubuhan Mahkamah Utama Syariah itu. Pewujudan Mahkamah Utama Syariah itu, selepas mendapat perkenan daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Mohd Na’im berkata, bagi kes yang bermula di peringkat Mahkamah Tinggi Syariah seperti kes tuntutan harta sepencarian dan kes tuntutan hadanah (hak jagaan anak), hak merayu hanya sekali sahaja, iaitu di Mahkamah Rayuan Syariah, sedangkan kebanyakan kes itu adalah berat dan nilai tuntutannya lebih tinggi. “Dengan wujudnya Mahkamah Utama Syariah iaitu satu lagi lapisan mahkamah selepas Mahkamah Rayuan Syariah, pihak-pihak yang bertikai memperolehi dua kali peluang merayu, dalam memastikan proses keadilan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya. Mohd Na’im berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk menubuhkan Mahkamah Utama Syariah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan terlebih dahulu, sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain. “Namun ia bergantung kepada perkenan Sultan, Majlis Agama Negeri-Negeri & Kerajaan Negeri,” katanya.– BERNAMA Sumber: Astro Awani

41591854905 mahkamah
Keratan Akhbar

Semua Mahkamah Syariah beroperasi sepenuhnya mulai semalam

JKSM bersama Mahkamah Syariah negeri-negeri seluruh negara telah mengeluarkan garis panduan pasca PKP pada 18 Mei lepas. – Gambar fail Semua Mahkamah Syariah di seluruh negara beroperasi semula sepenuhnya semalam, kata Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. Ia susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Jun lepas. Mohd Na’im berkata pihaknya sentiasa komited dalam memastikan pelaksanaan penyampaian perkhidmatan keadilan diteruskan serta operasi Mahkamah Syariah seluruh negara digerakkan selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Pihak saya akan memastikan Mahkamah-mahkamah Syariah di seluruh negara akan mematuhi segala garis panduan keselamatan dan kesihatan yang dikeluarkan. ”Bagi prosedur perbicaraan dan pengurusan kes lama ataupun baharu, pelanggan boleh merujuk mahkamah berdekatan kerana ia ditetapkan mengikut Jabatan Kehakiman Syariah Negeri masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama. Mohd Na’im berkata JKSM bersama Mahkamah Syariah negeri-negeri seluruh negara telah mengeluarkan garis panduan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mei lepas melalui Mesyuarat Khas Ketua-Ketua Hakim Syarie berkaitan pengurus kes pasca PKP. Beliau turut menasihati pelanggan yang mempunyai urusan di mahkamah supaya sentiasa memakai pelitup separuh muka, diwajibkan melalui imbasan suhu badan di laluan masuk yang ditetapkan serta perlu merekodkan kehadiran yang diletakkan di pintu masuk Mahkamah Syariah. “Pelanggan yang mempunyai masalah kesihatan dan golongan berisiko dinasihatkan supaya tidak hadir ke mahkamah,” katanya. Sebelum ini, semua mahkamah syariah di seluruh negara ditangguh dan dilaksanakan secara dalam talian berikutan pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lepas bagi membendung penularan wabak COVID-19. PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang memberikan lebih banyak kelonggaran kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.– BERNAMA Sumber: Astro Awani

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Hubungi Kami

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.