Program Jabatan

01
Program Jabatan

ANUGERAH KEMENTERIAN/AGENSI PALING PROAKTIF SEMPENA ANUGERAH MYGOVUC 2.0

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) atas Anugerah Kementerian/Agensi Paling Proaktif sempena Anugerah MyGovUC 2.0 0 Tahun 2023 yang berlangsung pada 28 Februari 2023 di INFRA, Bangi. Untuk makluman, anugerah ini adalah hasil usaha dan inisiatif Bahagian Teknologi Maklumat & Komunikasi (BTMK) untuk menggalakkan penggunaan MyGovuc 2.0 secara optimum di kalangan warga JKSM melalui pelbagai mekanisme termasuk klinik-klinik MyGovUC 2.0 yang diadakan secara berkala dan berterusan. MyGovUC 2.0 adalah perkhidmatan Komunikasi dan Kolaboratif Bersepadu Kerajaan yang memudahkan tugasan harian penjawat awam iaitu penggunaan e-mel menggunakan platform Google Workspace(GWS). Semoga dengan anugerah ini akan menyemarakkan lagi semangat dan memacu JKSM untuk terus cemerlang dalam usaha memberikan perkhidmatan kehakiman syariah di Malaysia.

01
Program Jabatan

KUNJUNG HORMAT KETUA PENGARAH / KETUA HAKIM SYARIE JKSM KE PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

GEORGETOWN, 02 Mei 2023 l YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain; Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama YAA Dato’ Muhamad Abdul Karim bin Wahab; Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang (JKSNPP) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Berhormat Dato’ Mohd Sayuthi bin Bakar; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SUKPP) di pejabatnya pada pagi ini di sini. Kunjungan hormat ini merupakan kunjungan rasmi pertama YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain ke SUKPP sejak dilantik sebagai Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie JKSM pada 10 April 2023 yang lalu. Pertemuan dua hala ini bertujuan membincangkan dan memperkukuhkan kerjasama strategik di antara dua agensi persekutuan dan negeri dalam memberikan perkhidmatan kehakiman syariah yang terbaik di negeri ini. Antara yang dibincangkan juga adalah melibatkan isu-isu penempatan pegawai dan kakitangan persekutuan di negeri ini termasuklah juga melibatkan kecukupan pegawai dan kakitangan di JKSNPP. Selain itu, pertemuan ini juga menjadi platform perkongsian pendapat serta pandangan antara JKSM, JKSNPP dan SUKPP dalam memperkasakan amalan tadbir urus yang baik selaras dengan Nilai Teras Keselamatan Negara yang terkandung dalam Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021-2025. Sejurus selepas itu, YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain; Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie JKSM telah berbesar hati menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut dan banjir yang melibatkan kakitangan JKSNPP.

01
Program Jabatan

KUNJUNGAN HORMAT BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA JKSM KE MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR (MAINJ) BAGI PERBINCANGAN BERKAITAN HAD KIFAYAH NEGERI JOHOR

JOHOR BAHRU, 01 Jun 2023: Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang diketuai oleh Tuan Mohamad Zakian bin Dio, Pengarah Kanan (Kehakiman) dan Puan Maria binti Jilani, Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga JKSM telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bertempat di Majlis Agama Islam Negeri Johor bagi membincangkan kaedah penentuan kadar had kifayah di negeri Johor. Perbincangan telah dipengerusikan oleh Y.B Dato’ (Dr.) Hj Nooh bin Gadut, Penasihat MAINJ dan turut dihadiri oleh Tuan Haji Ismail bin Abu, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ serta pegawai-pegawai kanan MAINJ. Perbincangan mengenai had kifayah ini adalah penting bagi menentukan kelayakan pemohon iaitu Pemiutang Penghakiman terhadap tuntutan BSK Transit yang meliputi tuntutan kos penginapan, makan minum dan pengangkutan bagi menghadiri prosiding berkaitan dengan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah di mana-mana Mahkamah Syariah seluruh Malaysia termasuk kehadiran ke sesi rundingcara BSK yang terhad kepada enam (6) kali sahaja bagi setiap tindakan penguatkuasaan untuk seorang pemohon. Delegasi telah dibentangkan berhubung pengiraan had kifayah negeri Johor oleh Ustaz Mohd Firdaus Bin Abd Hamid, Amin Baitulmal Daerah Johor Bahru dan hasil pembentangan tersebut boleh digunakan oleh BSK Seksyen Negeri Johor di dalam menentukan kelayakan pemohon atau Pemiutang Penghakiman terhadap tuntutan BSK Transit sebelum permohonan tersebut dipertimbangkan oleh BSK JKSM untuk kelulusan. Turut serta dalam kunjungan hormat ini ialah Tuan Mohd Yusof bin Sulaiman, Ketua Penolong Pengarah BSK JKSM, Tuan Ahmad Faizal Tahiron, Penolong Pengarah BSK JKSM dan Puan Nurdiyana binti Aziz , Penolong Pengarah BSK Seksyen Negeri Johor. Usai perbincangan tersebut, delegasi yang diketuai oleh Pengarah Kanan (Kehakiman) menyampaikan penghargaan ucapan terima kasih di atas kesudian MAINJ meluangkan masa menerima kunjungan hormat ini.

01
Program Jabatan

JKSM MENYERTAI MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN TAHUN 1446/2024

I Bahagian Latihan (BL), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengadakan Bengkel Jawatankuasa Modul Perundangan dan Kehakiman pada 12 November 2024 di Hotel Everly, Putrajaya. Modul Kehakiman dan Perundangan merupakan antara modul terpenting dalam membangun kompetensi Pegawai Syariah khusus dalam empat teras kerjaya iaitu Hakim Syarie, Peguam Syarie, Pendaftar dan Penyelidik dan juga menjadi nilai tambah kepada keperluan stake holder agensi yang terlibat dengan bidang kerjaya ini. Percambahan idea dan sumbang saran yang silih berganti antara ahli jawatankuasa yang terlibat telah mengharmonikan kandungan modul kehakiman dan Syariah dengan amalan-amalan semasa pentadbiran institusi kehakiman sivil yang boleh dicontohi. Skop yang diperbincangkan termasuklah penulisan gaya bahasa dalam penghakiman, pengenalpastian prinsip, isu dan fakta dalam alasan penghakiman, kaedah speed reading, penghakiman segera yang efektif, pengurusan pengawasan, pengendalian kes penderaan dan keganasan rumahtangga serta cadangan mewujudkan mentor mentee kepada hakim mahkamah rendah dan hakim mahkamah tinggi. Tidak terhad dengan itu, bengkel hari kedua ini telah meransang kematangan ahli jawatankuasa yang bersemangat menzahirkan pandangan yang bernas sesuai dengan keperluan empat bidang tersebut yang mana setiap pandangan disertai dengan hujah yang diperkuat dengan situasi semasa dalam menyusun kompetensi modul umum, modul kepakaran utama dan modul kepakaran khusus. Perbincangan dua hala ini telah dipengerusikan oleh YA Tuan Hj Mohamad Taifor bin Ahmad Rushdi telah berjaya membawa semua ahli bengkel memberi tumpuan yang berfokus bagi setiap modul teras kerjaya sehinggalah kerangka modul tersebut diselesaikan dengan cepat lagi tuntas pada hari ini sebelum perbincangan mendalam bagi kurikulum yang akan dirangka pada tahun hadapan. Ucapan syabas, tahniah dan terima kasih kepada peserta bengkel yang terdiri daripada YA Tuan Mohamad Fouzi bin Mokhtar, YA Tuan Sheikh Zain Ali bin Abdul Ghani, Puan Nenney Shuhaidah binti Shamsuddin, Puan Rosedalliyaty binti Daud, Tuan Ahmad Bashir bin Yaacob, Tuan Mohamad Shahidan bin Abdul Ghapar dan Puan Salwani binti Khalid dalam kebersamaan menggariskan penambahbaikan modul sedia ada dan baharu. Untuk rekod, platform perbincangan secara hybrid menerusi aplikasi Webex turut dilaksanakan untuk memberi peluang kepada ahli jawatankuasa yang tidak dapat menyertai bengkel pada hari ini secara bersemuka. Semoga kompetensi Pegawai Syariah di institusi kehakiman Syariah sentiasa menjadi keutamaan terutama dalam penyaluran ilmu yang berterusan dengan mengambil kira keperluan semua teras kerjaya yang telah digariskan dalam modul latihan khususnya.

01
Program Jabatan

KUNJUNG HORMAT PENGERUSI JAWATANKUASA MEMPERKASAKAN MAHKAMAH SYARIAH KE JKSM

09 Mei 2023| YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada YBhg. Tan Sri Dato’ Othman bin Mustapha sebentar tadi bertempat di Pejabat Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. YBhg. Tan Sri yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada YAA Dato’ atas pelantikan sebagai Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM berkuatkuasa 10 April 2023. Kedua-dua pihak turut mengambil peluang membincangkan beberapa perkara berkaitan pemerkasaan pentadbiran kehakiman syariah. YBhg. Tan Sri juga yakin YAA Dato’ akan memberikan perkhidmatan yang cemerlang dalam menerajui institusi kehakiman syariah sekaligus memperkukuh sistem perundangan Islam di Malaysia.

01
Program Jabatan

IKLAN PENGAMBILAN PERSONEL SHORT-TERM EMPLOYMENT PROGRAM (MySTEP) TAHUN 2025

| Suasana pagi ini dipenuhi dengan semangat perpaduan dan tekad yang jelas apabila pegawai serta kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menyertai Larian Integriti MADANI JKSM 2024. Acara ini yang diadakan sejauh 3 kilometer, bukan sekadar aktiviti fizikal; bahkan merupakan manifestasi komitmen warga JKSM terhadap gagasan Malaysia MADANI yang berasaskan nilai-nilai utama integriti, akauntabiliti, dan amanah. . YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM bertindak merasmikan acara ini dalam ucapannya menekankan betapa pentingnya nilai integriti sebagai tiang seri dalam pelaksanaan tugas setiap hari. “Acara ini melambangkan bukan hanya langkah fizikal kita, tetapi langkah hati dan jiwa dalam perjalanan memperkukuhkan nilai-nilai integriti,” ujar beliau. Dalam konteks Malaysia MADANI, nilai-nilai seperti amanah, tanggungjawab, dan keadilan adalah asas dalam mewujudkan persekitaran yang harmoni dan berdaya tahan. . Larian yang mengalu-alukan peserta dalam dua kategori usia—45 tahun ke atas dan 45 tahun ke bawah—ini menjadi simbol penyatuan seluruh warga JKSM, merangkumi generasi yang berbeza, namun disatukan oleh visi yang sama untuk memperkukuh dan membudayakan tatakelola baik, berintegriti, bebas rasuah serta amanah dalam setiap aspek kehidupan dan perkhidmatan. . Acara ini juga menyusuli Majlis Sambutan Bulan Integriti Nasional Peringkat JKSM 2024 bertemakan “Teguh Integriti, Kukuh Pertiwi”, yang diadakan semalam. Dalam semangat gagasan Malaysia MADANI, JKSM memperkukuhkan lagi pelan tindakan melalui aktiviti yang mengajak warga institusi ini untuk menghayati nilai-nilai etika dan moral dalam setiap tindakan. . Dengan setiap langkah dalam Larian Integriti MADANI JKSM 2024 ini, warga JKSM tidak sekadar berlari bersama, tetapi mengukuhkan azam untuk mewujudkan sebuah institusi yang memelihara integriti dan amanah dalam tadbir urusnya. Acara ini, diiringi dengan doa dan kesungguhan, adalah bukti bahawa melalui gagasan Malaysia MADANI yang berpaksikan nilai-nilai murni, kita semua dapat bersama-sama membentuk sebuah Malaysia yang lebih teguh, aman, makmur dan maju.

2 1024x362
Program Jabatan

LAWATAN DELEGASI JABATAN SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG (SALSOC), AKADEMI PENGAJIAN ISLAM, UNIVERSITI MALAYA (UM)

18 Januari 2023| Satu lawatan dari delegasi Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya ke JKSM telah diadakan pada petang ini bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 5, JKSM. Lawatan ini terdiri daripada 62 orang para pelajar Jabatan Syariah dan Undang-Undang (SALSOC) yang diketuai oleh Cik Nasrin Afrina binti Afzainizam Amiza, Pengarah Lawatan Institusi Perundangan, SALSOC, UM. YBrs. Tuan Mohammad Shahidan bin Abdul Ghapar, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Latihan, telah menyampaikan taklimat kepada para pelajar berkenaan struktur pentadbiran, fungsi dan peranan JKSM. Para pelajar juga berkesempatan menyertai sesi soal jawab usai taklimat diadakan. Para pelajar seterusnya disantuni dan dibawa melawat Studio JKSM, Mahkamah Moot dan Galeri JKSM. Sebelum tamatnya program, delegasi SALSOC berpeluang mengunjungi perpustakaan JKSM sambil membeli bahan-bahan ilmiah seperti Jurnal Hukum dan Furu’ Al-Masa’il. Turut hadir Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz, Pengarah Bahagian Pendaftaran, Keurusetiaan dan Rekod (BPKR); Puan Sofian binti Haji Ahmad, Ketua Penolong Pengarah, BPKR dan Puan Roziana binti Mat Amin, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Latihan. Unit Komunikasi Korporat JKSM selaku urusetia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua para pegawai dan kakitangan JKSM yang terlibat bersama-sama menjayakan program lawatan ini.

01
Program Jabatan

BENGKEL LANJUTAN PEMAHAMAN DAN PENGIRAAN FARAID TAHUN 2023

10 Mei 2023 – Bahagian Latihan JKSM (BL) sekali lagi telah menganjurkan satu latihan secara fizikal iaitu Bengkel Lanjutan Pemahaman dan Pengiraan Faraid 2023 pada 9-10 Mei 2023 (Selasa-Rabu) bertempat di Bilik Latihan, Aras 4, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Bengkel kali ini dihadiri seramai 30 orang peserta daripada pelbagai gred jawatan pegawai dan kakitangan perkhidmatan agensi kehakiman syariah dari seluruh Malaysia. Bengkel ini merupakan lanjutan dan kesinambungan daripada Bengkel Asas Pemahaman dan Pengiraan Faraid Tahun 2022 yang berjaya dilaksanakan pada tahun lalu. Input dan saranan daripada peserta bengkel tersebut yang menjadi pencetus kepada pelaksanaan bengkel lanjutan kali ini. Antara objektif bengkel kali ini adalah memberi kemahiran kepada peserta kaedah pembahagian dan pengiraan harta secara adil berdasarkan kaedah munasakhat (berlapis) menurut Syariat Islam serta memberi kemahiran dan kefahaman peserta berhubung susur galur waris-waris yang berhak berdasarkan kepada siasatan. Penceramah kali ini ialah Yang Arif Tuan Kamal Bashah bin Dato’ Ahmad Tajuddin, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perundangan dan kehakiman syariah bagi kes harta. Di akhir bengkel ini, para peserta didedahkan dengan latihan amali dimana para peserta perlu menyelesaikan contoh-contoh permasalahan kes faraid secara berlapis. Bengkel selama 2 hari ini di akhiri dengan perasmian penutup yang disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Latihan, Puan Nenney Shuhaidah binti Shamsuddin. Dalam ucapannya beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada penceramah dan mengucapkan tahniah kepada semua para peserta yang berjaya memberikan komitmen yang tinggi serta mengikuti bengkel ini dengan jayanya. Beliau juga berharap agar para peserta dapat mengamalkan dan dapat menyelesaikan isu-isu pembahagian Faraid di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia dengan menggunakan sistem E-Syariah yang lebih cepat dan berkesan.

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Contact Us

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.