Program Jabatan

02 2 1024x766
Program Jabatan

MESYUARAT JAWATANKUASA KERJA WACANA KEHAKIMAN SYARIAH TAHUN 2023

Putrajaya, 17 Januari 2023| Pengarah BPKR, Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Wacana Kehakiman Syariah Malaysia Bil. 1 Tahun 2003. Dalam ucapan aluannya beliau telah menyentuh berkaitan perubahan tarikh Wacana yang telah dipinda dari tarikh asal sebagaimana dalam takwim JKSM, iaitu pada 8 Februari kepada 22-23 Februari 2023 akan datang. Mesyuarat yang dihadiri oleh Pengarah-pengarah Bahagian JKSM dan semua ahli jawatankuasa yang dilantik telah membincangkan beberapa perkara yang berbangkit dengan penganjuran Wacana. Antara yang dibincangkan ialah pembahagian tugas berdasarkan senarai jawatankuasa yang dicadangkan dan juga cadangan kertas kerja yang akan dibentangkan dalam Wacana tersebut. Dalam ucapan penutupnya, Tuan Abu Suffian amat mengharapkan agar semua pihak akan turut sama dalam menjayakan Wacana Kehakiman Syariah Tahun 2023 ini dengan penuh iltizam kerana ianya merupakan antara program besar jabatan pada setiap tahun.

01
Program Jabatan

MAJLIS BACAAN YASIN SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU 2023M/1444H

01 Jun 2023 – Majlis Bacaan Yasin sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku 2023M/1444H di Masjid Negara, Kuala Lumpur telah dilaksanakan pada 01 Jun 2023 bersamaan 12 Zulkaedah 1444H (Khamis) yang bermula pada jam 7.00 malam. YAA. Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM turut hadir bersama dalam majlis pada hari ini serta beberapa Menteri Kabinet dan dif-dif kehormat. Bacaan Yasin, doa selamat dan Solat Hajat telah dipimpin oleh YBrs. Imam Besar Masjid Negara, al-Fadhil Ustaz Tuan Haji Ehsan bin Mohd Hosni. Dirgahayu Tuanku, Merafak sembah dan setinggi tahniah. Semoga Yang Maha Esa sentiasa melindungi Tuanku, melanjutkan usia Tuanku, dilimpah dengan kebahagian, kesihatan yang baik buat Tuanku dan sekeluarga. Daulat Tuanku! Sumber gambar : FB Masjid Negara Malaysia

02
Program Jabatan

MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN DAN PENGURNIAAN HADIAH MAJLIS TILAWAH & HAFAZAN AL-QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA 2023

KUALA LUMPUR | YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM dan isteri YBhg Datin Asmah binti Musa menghadiri Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah bagi Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-63 Tahun 1445H / 2023M pada 24 Ogos 2023 bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. . Titah Diraja dan Perisytiharan Perasmian Penutupan Majlis ini telah disempurnakan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah. . Majlis pada malam ini juga turut diumumkan keputusan majlis tilawah dan menghafaz al-Quran peringkat antarabangsa kali ke-63 oleh pengerusi jemaah hakim dan pengurniaan hadiah oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim kepada para pemenang tilawah dan hafazan al-Quran bagi kategori lelaki dan perempuan. . Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 49: یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرࣲ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبࣰا وَقَبَاۤىِٕلَ لِتَعَارَفُوۤا۟ۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِیمٌ خَبِیرࣱ. Siiru ‘Ala Barakatillah.

02
Program Jabatan

MAJLIS KUNJUNGAN MAHABBAH DAN DIALOG KEHAKIMAN NEGARA 2023

PUTRAJAYA| Majlis Kunjungan Mahabbah dan Dialog Kehakiman Negara antara Badan Kehakiman Syariah dan Badan Kehakiman Sivil telah berlangsung pada hari ini di Dewan Banquet, Istana Kehakiman, Putrajaya. . Kunjungan Mahabbah dan Dialog Kehakiman ini telah disusun bersama oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) atas inisiatif YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM dan YAA Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat, Ketua Hakim Negara (KHN). . Majlis ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama strategik antara Badan Kehakiman Syariah dan Badan Kehakiman Sivil, mendapat input-input terkini perkhidmatan pentadbiran yang disediakan, berkongsi perkembangan semasa badan kehakiman masing-masing dan saling bertukar-tukar pandangan bagi mencapai titik-titik persamaan yang ada dalam mengangkat martabat kehakiman dan perundangan Negara supaya sama-sama menjunjung ruh dan semangat Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. . Delegasi JKSM diketuai oleh YAA Dato’ KP/KHS JKSM, turut hadir YA Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, YAA Ketua Hakim Syarie Negeri-negeri (JKSN) dan pegawai-pegawai Syariah JKSM. Manakala dari Badan Kehakiman Sivil pula diketuai oleh YAA Tun Ketua Hakim Negara Malaysia dan diiringi YAA Hakim Besar Malaya, YAA Hakim Besar Sabah dan Sarawak, YA Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, YA Hakim-hakim Mahkamah Rayuan, YA Hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan Pegawai-pegawai Kehakiman dari Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Sivil. . YAA Tun dan Badan Kehakiman Sivil menyambut dan mengalu-alukan kunjungan delegasi JKSM ke majlis ini. Delegasi JKSM diberi penghormatan melawat Dewan Mahkamah, muzium kehakiman, perpustakaan dan mendengar taklimat berkenaan E-Kehakiman hasil inovasi badan kehakiman untuk kemudahan pengamal undangan-undang serta masyarakat yang berurusan di Mahkamah Sivil. . Kunjung hormat ini memberi impak yang sangat positif kepada kerjasama strategik antara 2 Badan Kehakiman Negara yang meletakkan asas ihsan, itqan dan keadilan sebagai teras dalam penyampaian perkhidmatan sebagaimana digagaskan oleh al-Quran surah al-Maidah ayat 8 dalam memperkasakan Institusi Kehakiman di Malaysia.

01
Program Jabatan

MAJLIS PRA PELANCARAN SAMBUTAN JUBLI PERAK JKSM TAHUN 2023

1 Mac 2023| Bahagian Pendaftaran, Keurussetian dan Rekod pada hari ini telah mengadakan Majlis Pra Pelancaran Sambutan Jubli Perak JKSM Tahun 2023 di dewan Tan Sri Ibrahim Lembut, Aras 5, JKSM. Majlis ini diraikan bersama-sama dengan warga jabatan dan dirasmikan oleh YA Dato’ Mohd Amran bin Mat Zain, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM. YA Dato Mohd Amran dalam ucapannya telah mengimbau kembali sejarah penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ini. JKSM telah ditubuhkan pada 1 Mac 1998 berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Julai 1996 yang bersetuju dengan cadangan penyusunan semula Mahkamah-Mahkamah Syariah seluruh Malaysia. Kertas kajian dan cadangan dihasilkan oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Negara pada ketika itu. Hasil daripada kajian jawatankuasa ini telah memperakukan beberapa cadangan termasuk penubuhan Jabatan di peringkat persekutuan iaitu Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sebagai penyelaras kepada usaha-usaha penyelarasan dan penyeragaman pengurusan serta pentadbiran Mahkamah Syariah semua negeri. Perasmian penubuhan Jabatan ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Paduka Dr Abdul Hamid bin Othman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 15 Disember 1998. Pada awalnya penubuhannya, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia hanya mempunyai 15 jawatan yang diketuai oleh Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie dan beberapa orang pegawai yang terdiri daripada Ketua Pendaftar, Pendaftar, Pegawai Tadbir dan Diplomatik dan beberapa orang pegawai sokongan yang lain. YA Dato Mohd Amran juga menyatakan Jubli Perak merujuk kepada tempoh 25 tahun penubuhan sesuatu institusi. Beliau menegaskan perlunya membuat sambutan Jubli Perak penubuhan JKSM adalah kerana Sambutan Jubli Perak amat penting kepada sesuatu institusi bagi ‘menginsafi’ sejarah dan keberadaan sesuatu organisasi dalam satu sistem. Memperingati sejarah penubuhan akan memberikan gambaran tentang usaha-usaha dan keringat yang telah dicurahkan oleh pendahulu organisasi bagi meletakkan JKSM dalam keadaannya seperti hari ini. Bagaimana JKSM mampu bertahan dengan segala cabaran yang lalu dan seterusnya mengatur langkah dan strategi bagi mencipta kejayaan demi kejayaan di masa hadapan. Tanpa melihat dan menghayati sejarah perjalanan organisasi, warga jabatan tidak mampu bermuhasabah seterusnya mereformasikan (islah) tindakan-tindakan demi memacu kecemerlangan organisasi yang hasil akhirnya akan memberikan impak kepada kesejahteraan ummah. Justeru, sambutan Jubli Perak JKSM ini amat bertepatan sekali untuk warga jabatan bersama-sama melihat kembali, mentafsir dan membuat koreksi akan kerelevanan fungsi-fungsi serta kesiapsiagaan Jabatan dalam mendepani masa hadapan. Sesuai dengan dasar kerajaan untuk membangun Malaysia Madani, JKSM perlulah berada di landasan yang betul bagi membolehkan jabatan sederap selangkah dengan agensi-agensi lain dalam membina ketamadunan ummah melalui perkhidmatan kehakiman dan perundangan Syariah. Di akhir ucapan, harapan YA Dato adalah segala program yang dirancang sempena Sambutan Jubli Perak JKSM Tahun 2023 ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Seterusnya, dapat memberikan manfaat yang besar dan input yang banyak kepada warga JKSM dan juga masyarakat awam. Program diserikan lagi dengan majlis memotong kek dan penyerahan pulut kuning dan bunga telur kepada dif-dif kehormat dan warga jabatan diiringi dengan selawat.

01
Program Jabatan

MAJLIS PENYERAHAN SUMBANGAN MUSAADAH DAGING KORBAN SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA 1444H ANJURAN KELAB KEBAJIKAN DAN SUKAN (KKS JKSM) JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA TAHUN 2023

Putrajaya| Kelab Kebajikan dan Sukan (KKS) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah mengadakan Majlis Penyerahan Sumbangan Musaadah Daging Korban Sempena Hari Raya Aidlliladha 1444H bertempat di perkarangan lobi, JKSM tengahari hari ini. Majlis dirasmikan oleh YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM yang juga merangkap Pengerusi Kelab Kebajikan dan Sukan JKSM. Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Datin Asmah binti Musa, Pengerusi Puspanita Cawangan Kecil JKSM yang turut merupakan peserta ibadah korban KKS dan penyumbang daging korban pada hari ini. Ibadah korban KKS JKSM pada tahun ini turut disertai oleh YAA Dato’ sendiri; YA Puan Hajah Noor Hadina Binti Haji Ahmad Zabidi, Hakim Rayuan Syariah JKSM); Tuan Haji Nassir bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM; Puan Azlina binti Abdul Aziz, Pengarah Kanan Pengurusan JKSM; Puan Maria binti Jilani, Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga JKSM; Tuan Mohammad Radzi bin Sadiman, Penolong Pengarah Bahagian Latihan JKSM dan Encik Rizal Ismail, Juruteknik Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi JKSM. Untuk rekod, hampir 80 orang warga JKSM telah menerima sumbangan daging korban yang mana mereka terdiri daripada kumpulan pelaksana (musaadah), ibu-ibu tunggal, Exco-Exco Puspanita JKSM dan Exco-Exco KKS JKSM. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada semua para peserta ibadah korban KKS JKSM tahun ini. Semoga ibadah korban tahun ini diberkati dan dirahmati Allah swt. dan ganjaran pahala kepada mereka yang telah menyempurnakan ibadah korban.

01
Program Jabatan

SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA

PUTRAJAYA | YAA Dato’ Haji Mohd. Amran Haji Mohd Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah berbesar hati merasmikan Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia, peringkat JKSM bagi tahun 2023. “Kemerdekaan ini sangat mahal kerana ia dicapai dengan pengorbanan jiwa dan raga perwira dan pemimpin terdahulu. Kemerdekaan bukan hanya dengan laungan semata, namun intipati untuk mengekalkan keharmonian, perpaduan dan memperkasakan perundangan dan kehakiman syariah perlu menjadi keutamaan,” ujar Dato’ Haji Mohd. Amran Haji Mat Zain ketika merasmikan sambutan tersebut. “Perpaduan bukan hanya diaplikasikan apabila melibatkan isu perbedaan kaum dan agama, namun perpaduan juga perlu diberi lebih penekanan dalam budaya kerja dan kesatuan dalam berorganisasi. Apabila wujudnya kesatuan hati, insya Allah segala urusan akan dipermudahkan dan diberkati Allah,” tambah beliau lagi. Bertemakan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ diharapkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini dapat menyemarakkan lagi semangat patriotisme di kalangan warga JKSM, di samping memahami maksud tersirat di sebalik kemerdekaan tersebut. Untuk rekod, sambutan ini dimulakan dengan bacaan doa, gimik perasmian, deklamasi sajak oleh Puan Firdawaty Mohammad, penyerahan jalur gemilang, kibaran bendera Malaysia, di samping nanyian lagu patriotik. Seterusnya sambutan ini diteruskan lagi dengan tayangan filem Leftenan Adnan bertempat di auditorium, Bahagian Pusat Sumber Maklumat dan Penerbitan (BPSMP). Terdahulu, Kuiz Kemerdekaan 2023 anjuran BPSMP telah diadakan bagi menguji tahap keprihatinan warga. Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM)

01
Program Jabatan

SAMBUTAN HARI INOVASI JABATAN KEHAKIMAN DAN SYARIAH MALAYSIA TAHUN 2023

PUTRAJAYA| Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan Sambutan Hari Inovasi JKSM Tahun 2023 bertempat di Dewan Tan Sri Dato’ Setia Ibrahim bin Lembut, JKSM pada 6 Oktober 2023. Program ini melibatkan seramai 200 orang pegawai dan kakitangan JKSM, di samping jemputan khusus pegawai dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri. Hari Inovasi JKSM Tahun 2023 ini diadakan bertujuan untuk memupuk dan menyemarakkan budaya inovasi dalam kalangan warga JKSM. Di samping itu, ianya merupakan platform untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pasukan atau individu yang berjaya menghasilkan inovasi yang memberikan impak positif kepada jabatan. Selaras dengan matlamat JKSM tersebut, beberapa acara menarik telah diadakan seperti Sesi Perkongsian Pengalaman Inovasi dan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), Pameran Inovasi, Pertandingan Inovasi Menghias Pejabat JKSM dan Pertandingan Kuiz Celik Inovasi. Majlis Perasmian Sambutan Hari Inovasi JKSM Tahun 2023 ini disempurnakan oleh YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie JKSM. Menerusi Sambutan Hari Inovasi yang diadakan pada tahun ini, warga JKSM berpeluang untuk mendengar sendiri pengalaman inovasi daripada Kumpulan KIK dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri (JKSN) yang telah melaksanakan projek inovasi dan juga menyertai pertandingan-pertandingan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Kumpulan KIK tersebut juga telah mendapat pengiktirafan dan diumumkan sebagai pemenang di dalam pertandingan inovasi tersebut. Di samping itu, Kumpulan KIK daripada JKSN ini juga membawa bahan pameran untuk dipamerkan di ruang yang disediakan untuk tatapan warga JKSM. Di antara JKSN yang hadir menjayakan Pameran Inovasi tersebut adalah JKSN Selangor, MSN Melaka, JKSN Kedah, JKSN Terengganu dan JKSN Negeri Sembilan. Pertandingan Inovasi Menghias Pejabat JKSM juga mendapat sambutan hangat daripada warga JKSM di mana dalam tempoh kurang dari 1 bulan, setiap bahagian dan unit JKSM telah bertungkus lumus menghias pejabat masing-masing dengan mewujudkan Sudut Inovasi, replika dan arca serta menyediakan info-info yang berkaitan. Penilaian pertandingan tersebut telah dinilai oleh 3 orang hakim yang dilantik dan keputusan pertandingan diumumkan semasa Majlis Perasmian Sambutan Hari Inovasi JKSM. Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) telah diumumkan sebagai Johan Pertandingan manakala Bahagian Khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia (BKPSM) sebagai pemenang tempat kedua. Bahagian Sokongan Keluarga dan Unit Integriti pula telah diumumkan sebagai pemenang di tempat ketiga. Sambutan Hari Inovasi JKSM Tahun 2023 ini telah berjaya menyuntik semangat para warga JKSM untuk bergiat aktif dalam menghasilkan idea dan projek inovasi pada masa akan datang bagi membantu menambahbaik penyampaian perkhidmatan JKSM kepada para pelanggan dan stakeholder. Disediakan oleh: Urus setia Sambutan Hari Inovasi JKSM Tahun 2023 Bahagian Khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia, JKSM

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Contact Us

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.