Program Jabatan

01
Program Jabatan

PERSIDANGAN KETUA PENDAFTAR NIKAH CERAI DAN RUJU’ DAN KETUA PENDAFTAR JKSN/MSN SELURUH MALAYSIA KALI KE-11 TAHUN 2023

19 Jun 2023 (Isnin)- Persidangan KPNCR dan Ketua Pendaftar JKSN/MSN merupakan program yang mengumpulkan Ketua-ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju’ bersama Ketua-ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia bagi membincangkan isu-isu berbangkit melibatkan kedua-dua agensi pelaksana ini. Persidangan pada kali ini telah diadakan di H Elite Design Hotel, Kota Bharu Kelantan yang disertai oleh seramai lebih kurang 40 orang peserta dan urus setia dan telah dipengerusikan secara bersama oleh Tuan Haji Ruslan bin Said, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM dan Tuan Haji Nassir bin Haji Abd Aziz, Ketua Pendaftar JKSM. Satu kertas pembentangan berkaitan hal ehwal kebenaran pernikahan menggunakan wali raja/hakim telah dibentangkan oleh Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz, Pengarah BPKR, JKSM. Persidangan ini akan diteruskan dengan lawatan kerja dan diskusi isu pernikahan yang berlawanan dengan Akta/Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Nikah Sindiket) warganegara Malaysia di Selatan Thailand bersama Majlis Agama Islam di 5 Wilayah Selatan Thailand bermula pada 20 hingga 23 Mei 2023. Disediakan oleh: Seksyen Keurussetiaan BPKR JKSM

03
Program Jabatan

PERSIDANGAN KEHAKIMAN DAN PERUNDANGAN SYARIAH NUSANTARA (PKPSN) 2023

KUALA LUMPUR| Bahagian Pendaftaran, Keurussetian & Rekod (BPKR), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan *Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara (PKPSN) 2023* pada 18 hingga 20 September 2023 di Hotel Pacific Regency Suites, Kuala Lumpur. Persidangan ini telah dihadiri oleh YAA Ketua Hakim Syarie, Dato’ Haji Mohd Amran bin Mohd Zain, YA Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, YAA Ketua-ketua Hakim Syarie JKSN/MSN, YA Hakim- hakim Mahkamah Rayuan Syariah Seluruh Malaysia serta Ketua Hakim dan wakil delegasi dari Negara Nusantara iaitu Brunei dan Republik Indonesia. Persidangan selama 3 hari ini telah diisi dengan Pembentangan Kertas Kerja oleh wakil- wakil negara Nusantara berhubung Bidangkuasa dan Pentadbiran Kehakiman di ketiga-tiga Negara. Objektif persidangan pada kali ini adalah JKSM berhasrat untuk menubuhkan Sekretariat Perundangan dan Kehakiman Syariah Nusantara di kalangan negara anggota, membincangkan isu-isu kekeluargaan Islam, pentadbiran kehakiman Syariah dan jenayah Syariah serantau dalam membentuk suatu kesepakatan bersama yang bergerak atas dasar Syarak, Secara khususnya, negara-negara nusantara dan negeri-negeri secara amnya akan dapat menyediakan platform kepada institusi tertinggi kehakiman syariah untuk bertukar-tukar fikiran dan mencari jalan untuk memperkasakan Mahkamah Rayuan Syariah, memperkasa kompentensi dan wibawa institusi rayuan Mahkamah Syariah, menjadi nukleus penting kepada penubuhan Majlis Perundangan dan Kehakiman Syariah Nusantara (MPKSN) dan mengangkat darjat kehakiman dan perundangan Syariah dalam menjalin hubungan kerjasama bagi menjamin kelestarian hubungan kemanusiaan dalam kalangan negara nusantara. Persidangan selama 3 hari ini telah diisi dengan Pembentangan Kertas Kerja oleh wakil- wakil negara Nusantara berhubung Bidangkuasa dan Pentadbiran Kehakiman di ketiga-tiga Negara. Selain itu, persidangan pada kali ini juga turut mengambil peluang dengan mengadakan mesyuarat Penubuhan Sekretariat Kehakiman Syariah Nusantara yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM dan dihadiri oleh YAA. Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syarie Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Prof. Dr. Drs. H. Amran Suadi, S.H., M.Hum., M.M., Ketua Kamar Agama Mahkamah Agung Republik Indonesia dan Ketua-ketua Hakim Syarie Negeri Seluruh Malaysia. Persidangan ini juga turut diserikan dengan majlis makan malam di Menara Kuala Lumpur bagi meraikan semua peserta PKPSN khususnya delegasi dari Negara-negara Nusantara. Sebagai penutup persidangan pada kali ini telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Mokhtar melalui pembacaan teks yang disampaikan oleh YAA Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie JKSM. Disediakan oleh: Seksyen Keurusetiaan, BPKR

01
Program Jabatan

MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN SERANTAU KEKELUARGAAN ISLAM

PUTRAJAYA| YAA Dato’ Hj. Mohd Amran bin Hj. Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Serantau Kekeluargaan Islam anjuran JAKIM di Dewan Ibnu Sina, Masjid Putra pada hari ini. . Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama. . Persidangan yang julung-julung kalinya diadakan ini melibatkan negara serantau yang terdiri dari Brunei, Republik Indonesia dan Singapura bermula pada 21-23 September 2023. . Ia bakal menyaksikan 9 kertas pembentangan mengenai amalan terbaik dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh negara-negara serantau dalam menangani dan menguruskan isu-isu kekeluargaan Islam untuk dikongsikan bersama. . Semoga persidangan ini dapat menepati objektif penganjurannya dan menjadi jaringan kerjasama yang padu dalam kalangan negara anggota MABIMS ke arah pengukuhan institusi kekeluargaan Islam di negara-negara serantau.

01
Program Jabatan

MAJLIS PENGURNIAAN WATIKAH PELANTIKAN AHLI MAJLIS AGAMA ISLAM DAN HAKIM SYARIE NEGERI PULAU PINANG BERSAMA KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG

08 April 2023| Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Agama Islam dan Hakim Syarie telah disempurnakan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bertempat di Pelangi Ballroom, Shangri-La Rasa Sayang Resort & Spa, Batu Ferringhi, Pulau PINANG. Majlis yang telah berlangsung dengan penuh gilang gemilang ini telah menyaksikan 6 orang Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM telah menerima tauliah sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Pulau Pinang. Mendahului senarai penerima, Ketua Hakim Syarie JKSN Negeri Puau Pinang telah menerima tauliah tersebut bersama Ketua Pendaftar, Hakim Mahkamah Tinggi dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Negeri Pulau Pinang. Keseluruhan penerima tauliah sebagai Hakim Syarie Mahkamah Syariah JKSN Pulau Pinang berjumlah 17 orang. Diharap dengan pentauliahan ini akan memartabatkan lagi institusi kehakiman dan perundangan Syariah di Malaysia & Negeri Pulau Pinang khususnya. Dalam titah ucapannya, KDYMM Tuanku mengucapkan tahniah di atas pelantikan semua yang menerima tauliah pada hari ini dan menitahkan bahawa pentauliahan ini merupakan satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

02
Program Jabatan

SEMINAR SIHIR PEMISAH ”SAKAU” KEHARMONIAN RUMAHTANGGA

, | Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pegawai Syariah Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah menganjurkan Seminar Sihir Pemisah ”Sakau” Keharmonian Rumahtangga bertempat di Dewan Serbaguna Tan Sri Ibrahim Lembut, Aras 5 Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Seminar ini telah dianjurkan bersempena sambutan 25 Tahun Jubli Perak JKSM dan telah dihadiri oleh seramai 145 peserta dari seluruh Malaysia dengan latar belakang yang pelbagai bidang dan ilmu. Antara objektif penganjuran ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang apa itu sihir tafriq, berkongsi maklumat berkaitan dengan KSK Care sebagai model pusat rawatan holistik dan memberi pengetahuan tentang perkembangan semasa dalam profesyen sebagai pengamal pengubatan Islam serta perkongsian berkenaan dengan siasatan forensik dalam kes-kes melibatkan sihir pemisah. Pakar jemputan yang memberi penerangan berkaitan dengan topik yang dikupas adalah YBhg. Dr. Haji Jahid bin Hj Sidek, Yang DiPertua Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia Merangkap Pengasas Pusat Rawatan Manarah yang membincangkan topik “Gangguan Sihir Pemisah: Perkongsian Pengalaman Perawat”, YBhg. Prof. Madya Dr. Mahyuddin bin Ismail, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Pengajian Siswazah), Universiti Malaysia Pahang berkaitan dengan “Perceraian Angkara Sihir: Satu Analisis Dari Sudut Hukum Syarak dan Solusi Perundangan”, YA Dr. Zainal Abidin bin Kusmin, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang berkongsi maklumat tentang “Perceraian Angkara Sihir Dari Perspektif Seorang Hakim” dan Tuan Amidon Anan, Mantan Ketua Forensik PDRM, Bukit Aman berkongsi mengenai Kajian Forensik dalam siasatan Sihir. Diharap dengan penganjuran seumpama ini akan dapat memberi pendedahan awal kepada semua peserta yang hadir pada hari ini tentang kewujudan sihir pemisah dalam kalangan masyarakat di Malaysia terutama yang melibatkan kes-kes di Mahkamah Syariah. Untuk Rekod, Seminar ini telah dengan jayanya dirasmikan oleh ’ . , Selaku Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan juga penaung Persatuan Pegawai Syariah Malaysia.

01
Program Jabatan

MAJLIS GIMIK PELEPASAN LATIHAN PERBARISAN DAN SUKAN KONTINJEN JKSM SEMPENA MUM’S 2023

PUTRAJAYA| YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah merasmikan Majlis Gimik Pelepasan Latihan Perbarisan dan Sukan JKSM sempena persediaan sukan Multaqa Mahkamah Syariah (MUM’S) Tahun 2023 bertempat di Lobi JKSM, Kompeks Islam Putrajaya pagi tadi. MUM’S yang akan berlangsung selama empat (4) hari bermula pada 24 hingga 27 Ogos 2023 membawa tema “Gaya Hidup Sihat Menjulang Perkhidmatan Cemerlang”. Semua kontinjen yang terlibat akan berkampung bersama-sama di Universiti Islam Sains Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan bagi menyertai 15 acara sukan yang dipertandingkan. Sukan MUM’S yang julung-julung kali diadakan ini merupakan satu program anjuran Kelab Kebajikan dan Sukan (KKS) JKSM dengan kerjasama Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan. Pada tahun ini, kontinjen JKSM yang diberi nama Victorious HQ terdiri daripada atlet-atlet dari 4 agensi iaitu JKSM, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Bantuan Guaman. Turut hadir bersama di majlis pelancaran gimik tersebut ialah Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM dan Ketua Pendaftar JKSM. Usai majlis pelancaran tersebut, YAA Dato’ bersama YA Dato’ Haji Mohd Shukor bin Sabudin, Hakim Mahkamah Rayuan JKSM telah bersama-sama membantu latihan perbarisan kawad kontinjen Victorious HQ di Taman Pancarona, Putrajaya. Syabas dan selamat berjuang!

01
Program Jabatan

MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN MAHKAMAH SYARIAH BERA* *DISEMPURNAKAN OLEH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA’IN BILLAH

BERA| Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah berkenan merasmikan Mahkamah Syariah Bera, Pahang Darul Makmur pada 23 September 2023 bersamaan 7 _Rabiul Awwal_ 1445H. Turut berangkat adalah KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam, Paduka-Pasuka Anakanda dan Yang Amat Mulia Kerabat-kerabat Bergelar, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Mantan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Bera,YB Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Exco-exco Kerajaan Negeri Pahang, YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM dan YAA Dato’ Haji Abdul Walid bin Abu Hassan Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang. Turut diundang dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) adalah Tuan Haji Nassir bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pendaftar dan Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz, Pengarah BPKR JKSM. Semasa KDYMM SPBYDA berkenan menyampaikan titah perasmian, Baginda menzahirkan rasa bangga dengan pembinaan Mahkamah Syariah Bera yang melambangkan ketinggian institusi kehakiman Syariah di negeri Pahang mahupun Malaysia amnya. Baginda turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang telah membina dan membangunkan Mahkamah Syariah Bera yang menjadi lambang keadilan Syariah. Bangunan Mahkamah Syariah Bera yang telah siap dibina pada 23 Jun 2016 dengan peruntukan sebanyak RM 6.5 juta adalah bukti jelas kepada pembangunan Syiar Islam di negeri Pahang Darul Makmur. Baginda turut menekankan elemen penting dalam sistem keadilan Syariah iaitu konsep perdamaian atau sulh dengan merujuk kepada ayat Al-Quran, surah an-Nisa’ ayat 128 yang menekankan aspek perdamaian yang berkemampuan memudahkan penyelesaian kes tanpa melibatkan prosedur perbicaraan yang panjang. Baginda turut bertitah supaya kedudukan hakim dan peguam hendaklah terus diperkasakan. Hakim Syarie dan peguam syarie juga haruslah memainkan peranan penting dalam melancarkan prosiding kes di Mahkamah Syariah Baginda juga menekankan supaya lebih banyak lagi usaha untuk memperkasa Mahkamah Syariah di Malaysia dan baginda berdoa semoga usaha murni ini diberikan Allah SWT kurniakan ganjaran kepada mereka yang sentiasa berusaha memartabatkan Institusi Kehakiman dan Perundangan Syariah. Selepas titah perasmian, baginda telah dipersembahkan dengan montaj perasmian dan lawatan ke dewan Bicara Mahkamah Syariah Bera. JKSM merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang yang telah berusaha untuk menjayakan majlis perasmian Mahkamah Syariah Bera yang menjadi simbol Syariah asas keadilan.

02
Program Jabatan

PERHIMPUNAN BULANAN DAN SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN AGENSI DI BAWAH MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAAL AGAMA)

| Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENSWP) dan JAKIM telah menjadi penyelaras Majlis Perhimpunan dan Sambutan Bulan Kebangsaan bagi agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi. Program bermula seawal jam 8.30 pagi dengan pendaftaran warga agensi diikuti dengan ketibaan Ketua-Ketua Agensi dan dif kehormat, YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Perhimpunan Agensi adalah amat penting kepada seluruh warga agensi untuk mengemaskini maklumat-maklumat semasa berkaitan pentadbiran hal ehwal Islam, selain mengamati hala tuju dan pengarahan semasa untuk dilaksanakan diperingkat jabatan masing-masing. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan, “Negaraku,” diikuti dengan alunan zikir Asmaul Husna dan bacaan doa. Para hadirin turut disajikan dengan tayangan khas berjudul “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka,” serta kompilasi program berimpak tinggi agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (HEA). Dalam ucapan, YB Menteri menyatakan bahawa Agenda memartabat perundangan dan kehakiman syariah sebagai tonggak penting kepada Pelan Transformasi Al-Falah 2023-2027. Antaranya dengan Penubuhan Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI). Dalam perkara ini Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah diarahkan untuk mengambil tindakan segera kepada keputusan yang telah dicapai. Agenda penting perlu digerakkan dengan memohon sembah perkenan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan juga Majlis Raja-Raja. Ini adalah tertib urusan berkaitan hal ehwal Islam adalah dibawah kuasa Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan. Diakhir ucapan YBM mengharapkan agar semua warga agensi untuk sentiasa menjaga etika sebagai penjawat awam dan sentiasa bersama-sama menjaga disiplin diri dalam usaha kita memantapkan kualiti pentadbiran agensi hal ehwal Islam. Institusi ini amat memerlukan wahdatul fikrdan wehdatul amal daripada semua peringkat pegawai dan kakitangannya. Dalam majlis ini YB Menteri telah melancarkan Bulan Kebangsaan Peringkat Agensi Agama dan pra-pelancaran Jubli Emas Halal Malaysia serta Global Halal Summit. Gimik pelancaran tersebut disusuli dengan nyanyian lagu patriotik “Jalur Gemilang,” menambah semangat kebangsaan dalam kalangan hadirin. Majlis diteruskan dengan pelepasan kenderaan agensi HEA bersama Jalur Gemilang di luar dewan sebagai simbolik sambutan Bulan Kebangsaan. Acara ini bukan sahaja memperkukuhkan semangat patriotisme tetapi juga mempereratkan hubungan antara agensi-agensi di bawah naungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini “Jiwa Merdeka”.

JKSM merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Bahasa

Contact Us

Media Sosial Rasmi

© 2025. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Semua hakcipta terpelihara.